Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayang 3 Dalam 1
Sayang 3 Dalam 1
Weeda Airiza
15/8/2014 19:21:59
54,166
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 3

SUASANA pejabat Intphic Co. mulai tegang apabila mendengar keriuhan yang berlaku di sebalik pintu kaca Encik Badrul. Suara garau Encik Badrul berselang seli dengan suara lantang Miss Honey, Design Director pejabat tersebut.

Arel dan Zafran berpandangan. Sah! Kedua-dua bos mereka sedang berperang mulut di bilik. Ada suara-suara nakal mengatakan mereka berdua bercinta dalam diam, tetapi tiada seorang pun dapat mengesahkan perkara tersebut.

Daripada ekor mata Arel, dia nampak Fany sedang menuju ke arah mereka berdua yang duduk di workstation bersebelahan. Pandangan Arel terus tertumpu ke arah skrin monitor. Projek menyiapkan signage graphic sebuah kompleks membeli belah itu harus disiapkan dengan segera untuk presentation keesokkan harinya.

“Err… Abang Arel.” Arel menoleh tajam ke arah Fany. Manakala Zafran hanya tersenyum simpul sambil mengenyitkan matanya ke arah Fany. Gadis itu membulatkan matanya. Rambutnya yang ikal di hujung terbuai-buai apabila dia memandang kedua-dua lelaki tersebut.

Wajah Arel yang selalu serius itu menyebabkan dia kurang popular sedikit berbanding Zafran yang hanya baru dua tahun bekerja di situ. Dia jarang mengukir senyuman dan hanya bercakap apabila perlu.

“Fany nak tanya, malam ni perlu stay back di office ke?” perlahan gadis itu bertanya. Dia mampir ke arah meja Arel yang berselerak dengan kertas kerja.

“Kenapa? Kalau perlu?” Arel bertanya kembali tanpa memberikan jawapan. Matanya terus terpaku di skrin.

Fany menelan air liurnya yang terasa pahit. Ni yang aku malas nak tanya ni. Macam nak tak nak je jawab. Menyampah! Gadis itu menjeling ke arah Zura yang duduk di hujung studio.

Ini semua salah kau! Fany menjelirkan lidahnya ke arah Zura yang tersengih. Mereka berdua lebih junior di situ dan sebarang agenda studio perlu ditanya kepada Arel yang merupakan Senior Designer.

“Fany ada hal ke malam ni?” Zafran menyampuk. Dia menoleh sedikit ke arah Fany yang ayu berbaju kurung Kedah. Walaupun wajahnya lebih ke arah Inggeris, sikap Fany lebih ke arah kemelayuan.

Fany mengangguk lemah. Rasa mahu lari sahaja daripada sisi Arel tetapi dia tahu, dia perlu bertanyakan hal tersebut kerana kerja di pejabat itu sudah menjadi tanggungjawabnya.

“Nenek Fany daripada England tiba malam ni. Jadi kami…” Belum sempat Fany menghabiskan ayatnya, Arel terus bangkit daripada tempat duduk dan berlalu daripada situ.

Zafran memandang tajam ke arah kawannya yang tidak berperasaan itu. Apatah lagi terhadap perempuan yang mudah sekali terusik hatinya. Fany terkedu di situ melihatkan sikap Arel yang sejuk beku.

“Macam inilah Fany, cuba siapkan secepat mungkin task yang abang Arel bagi. Bila nak balik nanti, bagitahu abang sampai mana Fany dah buat.” ujar lelaki tersebut.

Fany yang sudah berubah air mukanya mengangguk perlahan. Dia menuju ke arah tempat duduknya sambil mengomel.

Zafran memandang sekilas pintu bilik Encik Badrul yang tertutup kemas. Hanya nampak bayangan samar-samar kerana pintu kaca tersebut dilapisi dengan sandblaster sticker bercorak garisan vertical daripada atas sehingga bawah.

Tidak lama kemudian, Arel muncul semula di ruang studio. Lelaki tersebut terus duduk di tempatnya tanpa memandang Zafran yang merenungnya tajam.

“Kenapa?” Arel menoleh ke sebelah kirinya apabila melihat Zafran masih tidak menginjak tempat duduk.

“Kenapa kau buat Fany macam tu? Diakan budak baru? Sensitif pula tu…”

Arel mengerutkan dahi. Apa salah aku dah buat? Lelaki itu mencongak. Aku hanya bangun untuk ke tandas dan bertanyakan kak Ramlah di bahagian Admin tentang presentation yang akan berlangsung esok hari.

“Aku ingat dia tengah cakap dengan kau. Aku bangun ajelah. Lagipun aku pergi tanya Kak Ramlah, esok presentation tu jam berapa. Kalau petang, sempatlah esok pagi nak sambung sikit.” terang Arel.

Berdosa sungguh aku menyangkakan yang bukan-bukan, keluh Zafran. Kurang sudah pahala aku hari ini. Dia hanya diam membatu dan meneruskan kerja yang tergendala.

Interkom telefon berbunyi perlahan dan memaksa Zafran yang berada dekat dengan telefon mengangkatnya. Suasana sunyi sepi. Sempat dia menjeling Arel yang sedang mengerutkan dahi sambil menggumam sendirian.

“Sekejap ye kak. Arel, telefon.” Zafran menghulurkan gagang. Arel bertanyakan siapa tetapi Zafran hanya mengangkat bahu.

“Arel, Sara di talian.” Suara kak Ramlah bergema di corong telefon.

“Cakap Arel dalam meeting.” Nada Arel yang serius menyebabkan kak Ramlah hanya menuruti katanya. Dia tahu benar sikap Arel yang sudah lima tahun dikenali.

Sejurus meletakkan gagang, Arel mengeluh kecil. Dia tahu, dia tidak sepatutnya berkelakuan sebegitu terhadap Qaisara. Namun, itu sahaja jalan yang boleh dilakukan untuk melupakan gadis yang pernah bertakhta di hatinya suatu ketika dahulu.

“Qaisara?” soal Zafran. Dia membetulkan lengan kemeja hitamnya yang disinsing ke lengan. Sesekali dia menguap. Bulan puasa sebegini memang sangat mengantuk terutama bila petang menjelma.

“Ha’a. Nak apa lagi entah dia tu.”

“Dia nak kat kau baliklah.” Zafran serkap jarang.

Arel mencebik dalam diam. Bila orang nak, dia cari orang lain. Sekarang baru sibuk nak cari aku balik? Sekali terkena, sampai bila pun aku tidak akan lupa!

“Kau tak nak bagi peluang pada dia ke? Semua orang ada buat salah.”

“Aku bukan macam orang lain.”

Perbualan mereka berdua terhenti begitu sahaja kerana Zafran sedar, jika dia tersalah kata, Arel mungkin akan berubah mood. Sudahnya, dia hanya kembali membatu.

Jarum jam semakin bergerak dengan cepat. Hanya tinggal setengah jam lagi waktu pejabat berakhir. Ketika inilah Miss Honey atau nama betulnya Nurul Hannah keluar daripada bilik Encik Badrul.

Gadis yang berusia hampir tiga puluh itu melilau di dalam studio, bagaikan mencari sesuatu. Dia berpaling ke arah Amen, pelajar praktikal yang sedang menyusun pelbagai jenis material yang akan digunakan nanti.

“Amen, tolong saya angkat barang ke kereta.” Budak lelaki yang baru sebulan praktikal itu menggangguk dan bersedia untuk mengekori Miss Honey.

And… Arel, the presentation will be postpone next Monday. So, just make sure to wrapped up all the tasks by today or tomorrow.

Masing-masing menyembunyikan senyuman gembira apabila Miss Honey menyatakan perihal tersebut. Arel hanya mengangguk dan serta merta mengeluh perlahan.

Mereka memerhatikan lenggok Miss Honey yang berblaus ketat warna kuning air serta berskirt cokelat cair paras lutut. Rambutnya yang panjang ikal hanya dilepaskan bebas.

Arel perasan wajah Miss Honey yang pucat dan matanya yang berkanta lekap cokelat cair itu sudah berubah kemerahan. Lelaki itu sesungguhnya malas untuk mencampuri urusan bos-bosnya tetapi jika ini sudah mengganggu kerja, sudah tentu ianya menjadi masalah.

So…?” Zafran memandangnya penuh makna.

Lelaki itu mencongak kerja yang masih berbaki. Jika dihitung, mereka boleh menyelesaikan kerja tersebut dalam hanya masa beberapa jam lagi.

“Kita sambung esoklah.”

“Hooreyy!!” Zura bersorak separuh menjerit dan terus menutup mulutnya apabila sedar Arel memandangnya tajam sambil menunjukkan ke arah bilik Encik Badrul.

“Diam-diam sudah. Jom balik!” ujar Zafran yang sudah mula mengemas tempat kerjanya.

“Lagi lima belas minit! Sambunglah kerja kau tu dulu.” kata-kata Arel tidak dipedulikan. Zafran mahu balik dengan segera jika boleh. Popia basah di pasar Ramadhan berhampiran rumah bujangnya seakan memanggil.

Tepat jam lima, lampu di studio sudah dipadamkan. Mereka semua berpusu keluar daripada pejabat. Arel yang sudah mengukir senyuman itu berubah kembali apabila terpandangkan Qaisara yang berdiri di hadapan pintu pejabat.

“Aku balik dululah ya. Jumpa esok.” Zafran menepuk perlahan bahu Arel yang lebih rendah sejengkal daripadanya. Dia memandang Qaisara sambil tersenyum dan mengangkat kening.

Mata Arel meneliti Qaisara yang berbaju kurung hijau muda bersulam di lengan dan leher. Keayuan gadis itu terserlah dengan rambut panjang hitamnya yang beralun lembut.

Di tangan kanannya terdapat sebuah beg kertas dan di kirinya ada beg tangan berjenama Dior. Lelaki itu cuba berpaling ke arah lain.

“Abang sihat?” Qaisara bertanya. Dia memandang tepat pada wajah Arel yang putih bersih dan tahi lalat yang terletak di dagunya itu menyerikan lagi wajahnya.

“Sihat saja.” Arel menjawab ringkas. Ringan sahaja kakinya terasa mahu melangkah.

“Ni, Sara buat. Nanti bagi pada ibu ya.” Qaisara menghulurkan beg kertas yang berada di tangannya.

Arel mengambil beg kertas tersebut tanpa berkata sepatah. Sudah acapkali Qaisara berbuat begitu. Mungkin inilah caranya untuk mengambil hatinya.

“Sara balik dulu. Kirim salam pada ibu dan kak Erlina.” Lelaki itu mengangguk. Sikap santun Qaisara membuat hatinya sedikit terusik. Dia hanya memerhatikan Qaisara berlalu sehingga hilang daripada pandangan.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.