Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayang 3 Dalam 1
Sayang 3 Dalam 1
Weeda Airiza
15/8/2014 19:21:59
48,517
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 7

“MACAM ni, bukan macam tu. Angah suruh kau buat jantan, bukannya betina!” Berkerut-kerut dahi angah melihat simpulan ketupat aku yang sudah hampir lunyai.

Ini yang aku malas ni! Aku dah cakap tak nak buat, dia paksa juga. Lepas tu nak marah-marah. Mulalah aku nak jadi platipus balik ni!

“Kau janganlah nak marah Yana tu sangat Izal, dia kan memang jarang buat ketupat ni…” Suara ummi bergema lembut di gegendang telinga. Sejuk hati aku mendengar suara bonda tercinta. Jenuh tangan aku menganyam ketupat daun palas. Rasa pelik ketika kali pertama dengar, ketupat ini ada berbentuk jantan dan berbentuk betina. Haaa, cuba tanya orang yang tahu pasal ketupat ni kalau nak tahu lebih lanjut.

Hari ini hari terakhir puasa! Yang paling tak best bila aku sendiri dah mula beraya. Sudahnya aku menjadi mangsa untuk merasa rendang buatan angah, kek hasil tangan mak su Fiza, adik bongsu ummi dan yang paling penting, aku yang banyak dikerah mengemas rumah. Sebab apa? Sebab aku boleh makan minum bila penat. Tak aci kan?

“Mana nak letak ni angah?” Alang muncul dengan seluar pendek paras lutut dan t-shirt kusam kegemarannya. Di tangannya penuh dengan balang kuih.

“Letak di depan televisyen kat ruang tamu tu.” Panjang muncung Angah menunjukkan ruang tamu depan disebabkan sepuluh jarinya sedang ligat menganyam ketupat.

“Ummi, along mana?”

“Dia ke pekan dengan ayah. Cari pelita.” Ummi menjelaskan keadaan. Dia sedang sibuk mengacau kuah laksa di dalam periuk besar. Harum bau daun kesom semerbak di ruang dapur kami yang besar itu. Mujurlah aku tak puasa, kalau tidak dah tentu boleh terbatal dengan sendirinya.

“Nak buat apa cari pelita?” Aku bertanya, keliru pula. Esok dah nak raya. Takkan malam ni baru nak pasang?

“Nak bakar baju...”

“Yelah…” Aku menjeling tajam angah yang mula mahu menyakat. Sudahnya aku dan angah menganyam ketupat dalam keadaan sunyi sepi. Cuma sesekali kedengaran batuk alang daripada luar rumah.

Hanya sejam selepas itu barulah aku boleh menarik nafas lega. Kami perlu menunggu ummi menanak pulut sehingga tiga suku masak. Selepas itu tunggu sejuk sedikit, baru masukkan pulut tersebut ke dalam daun palas yang sudah dibentuk sebelum di rebus kembali.

Dengan rasa malas dan penat, aku menuju ke sofa di ruang tamu lalu merebahkan diri. Oh nikmat! Tetapi tidak lama…

“Yana!” Jeritan suara angah kedengaran betul-betul di cuping telinga.

“Apa?” Aku membalas dengan jeritan yang sama.

“Tolong angah buat rendang ni!”

Aku membuka mata. Rendang apa pula ni? Semalam dah buat rendang daging. Berapa banyak rendang orang tua ni nak buat? Sambil membebel dalam hati, aku menuju ke arah dapur.

Terbeliak mataku melihat seberkas besar kepingan ayam yang terletak cantik di sebelah sinki dapur. Parti raya ke ni? Aku membetulkan seluar pendek longgar paras lutut sebelum bersila menghadap angah yang sedang memotong bawang merah dengan rasa gembiranya.

“Apa ni…”

“Rendang.”

“Angah nak buat rendang banyak-banyak buat apa?”

“Esokkan raya…”

“Taulah, tapi apa pasal banyak sangat?”

“Ada orang nak datang meminang esok.”

“Hah???”

Bunyi ketukan pintu dapur mematikan perbualan kami. Aku memandang daun pintu yang terkuak dan along muncul di situ bersama ayah.

“Yana, tolong ayah angkat barang-barang ni…” kata ayah sambil membawa masuk beberapa beg plastik yang mengandungi barang-barang yang dibeli daripada pekan.

Sepantas kilat aku bangun membantu ayah. Syukur juga aku mempunyai abang-abang yang ringan tulang. Kalau berat, memang habis hidupku jadi hamba abdi abang-abang aku. Isk… Isk…

“YANA!!” Aku menjelirkan lidah ke arah alang yang sedang mengejar aku dengan dua tangkai bunga api berwarna warni di tangannya.

“Along!!!” Abang sulungku yang sedang leka memasang pelita di tepi rumah terkejut dengan jeritan aku yang seperti orang gila itu.

Aku berlari mendapatkan along untuk dijadikan benteng perlindungan. Aku tahu alang takkan berani ke sini. Apatah lagi ayah ada bersama.

Tshirt along aku tarik dengan kasar, mujur juga sempat aku pegang tshirtnya, kalau kain pelikat? Tak pasal-pasal dapat tengok drama 18SX percuma kat sini! Awww tak rela you!

“MasyaALLAH! Dah umur berapa budak-budak ni Ashraf?” tegur Pak Cik Adam, jiran sebelah rumah kepada ayah aku yang mula menggelengkan kepalanya.

“Yang abang tu tujuh tahun, yang adiknya enam tahun…” Aku ketawa besar mendengar kata ayah. Dah kurang dua puluh tahun umur aku dan alang.

Setelah penat berlari ke sana sini bersama alang, aku terduduk keletihan di pangkin rumah. Sungguh bosan rasanya tiada saudara kecil untuk bermain.

Nak tunggu along kahwin, entah bilalah agaknya. Usahkan nampak bayang bakal isteri, asyik terperuk sahaja di rumah dah menandakan tiada temujanji yang dibuat diluar.

Suasana raya sudah mula terasa. Kadang kala bunyi meriam buluh berdentum di sana sini. Mujur tiada sakit jantung. Kalau ada? Tak berayalah aku jawabnya. Telefon bimbit yang terletak di sebalik tiang pangkin mula bernyala.

“Hello Zafran!”

“Assalamualaikum Yana!” Aku tersenyum mendengar suara Zafran yang kedengaran tidak sedap langsung di pendengaranku.

Agaknya benarlah ada orang kata, aku sendiri tak tahu orang mana yang kata tetapi yang aku dengar, jika lelaki itu kacak, suara mesti tak sedap. Namun, jika lelaki tersebut memiliki suara lemak manis, gerenti muka tak handsome. Eih, boleh percaya ke?

“You tengah buat apa?”

“Main bunga api.” Tercetus tawa Zafran. Dia ingat aku tipu ke? Anak mataku mengekori langkah alang yang sedang mengacah cucu Pak Cik Adam di sebelah rumah dengan bunga api di tangan.

Anak kecil berusia dua tahun itu hanya terkebil memandang alang. Pasti anak itu sedang keliru, mengapakah wujudnya clown di malam-malam buta begini.

“I rindulah dekat you.” Kata-kata Zafran meremangkan bulu roma aku. Eh, malam raya begini syaitan dah terlepas daripada ikatankan? Aku memegang pangkal leher yang terasa kembang dek perkataan lelaki itu.

“Baru jumpa sekali dah rindu.” Sengaja aku mengusik Zafran, lelaki yang pernah sekali bertakhta di hati sewaktu aku masih hingusan.

“You dah makin lawa Yana. You dah ada boyfriend belum?” Kalaulah Zafran boleh nampak rupa mimik aku ketika ini, mesti dia sanggup bergirlfriendkan hantu Kak Limah daripada aku.

“Ada.”

Serious?”

“Ya, ada tiga.”

“Banyaknya?”

“I tengah plan nak tambah seorang lagi. Cukupkan empat. You mahu?” Aku mengusik Zafran.

“I rela…” Aku ketawa besar. Yalah, kau rela. Aku? Tidak!!

Melalui ekor mata, aku nampak alang menghampiri pangkin. Ah, aku harus mematikan perbualan ini. Aku tak mahu alang tahu kerana dulu dia pernah buat hal dengan Zafran.

Dek kerana terlalu sayangkan aku, wah gitu! Alang dengan beraninya menghadap Zafran di sekolah, walhal alang setahun muda daripadanya. Alang memberi amaran keras supaya jangan mengganggu aku lagi kerana ketika itu aku akan menghadapi PMR..

Namun, Zafran buat tidak peduli. Begitu juga dengan aku. Cinta monyet yang berputik kami mekarkan diam-diam sehinggalah Zafran tamat sekolah.

Setelah Zafran berpindah daripada bumi Perlis ini, dia langsung tidak menghubungi aku. Sedihkan? Cinta pertama walau cinta monyet sekalipun tidak akan dilupakan kerana ketika itulah kita mengenali cinta.

Biarpun semasa di sekolah, universiti ataupun di mana-mana kita jatuh cinta, cinta itu adalah anugerah daripada Ilahi dan kita sendiri yang akan mencorakkan cinta tersebut menjadi acuan yang sama ada akan terbentuk cantik serta suci ataupun sebaliknya.

----------------------------------------------------------------

ZAFRAN sedang menolong aku membawa sebeban buku rujukan yang baru sahaja dipinjam daripada perpustakaan. Kami bercadang untuk pulang bersama-sama setelah selesai mengulangkaji pelajaran.

“Takpe ke abang tolong bawa ni? Tak berat?” ujar aku yang semakin tertawan dengan sikap Zafran.

Zafran menggeleng perlahan. Daripada raut wajahnya, aku pasti ada banyak perkara yang sedang bermain di fikirannya. Selain SPM yang menanti, sudah tentu perkhabaran berita tentang perpindahannya ke Kuala Lumpur nanti sudah mengganggu.

Lelaki berusia tujuh belas tahun itu tidak tahu bahawasanya aku yang patut lebih merana. Dia bakal meneruskan pengajian ke alam universiti, sedangkan aku masih di sini, masih menghadap buku-buku yang sama.

“Apa yang abang fikir?” tanya aku, tidak puas hati kerana sejak tadi Zafran mendiamkan diri. Sesekali aku memandang ke kanan, berharap agar bas yang dinanti tidak kunjung tiba. Bukan apa, terasa gelisah jika hanya dapat berbicara hanya seketika. Kalau boleh, sampai esok pun aku tak nak balik rumah.

Persahabatan adik angkat dan abang angkat yang terjalin di antara aku dan Zafran sebelum ini menyebabkan perasaan kami terangkat dengan sendirinya ke suatu paras yang baru. Biarpun muda setahun jagung, nasib jugalah aku sudah boleh berfikir mana yang baik dan mana yang buruk.

Mungkin sikap kasarku sejak kecil lagi, ditambah pula dengan kehadiran abang-abangku yang memang semulajadinya kasar, menyebabkan aku menjadi seorang yang tegar dan tidak tahu takut.

“Abang kasihan pada Yana. Lepas ni siapa yang nak jaga Yana.” Sayu benar bunyi nada suaranya.

“Alah, Yana ada tiga orang abang. Jangan risaulah.” Aku tersengih memandang Zafran yang sudah bermuram durja.

Kerisauan aku bertambah dalam setelah pemergian Zafran. Aku ingatkan aku mampu bertahan kerana perasaan aku hanyalah suka-suka sahaja tetapi tidak sangka pula ianya berlarutan sehingga aku demam buat beberapa lamanya.

Ketika itu puas abang-abang aku memberi semangat. Memang bila teringat, rasa sungguh lucu kerana kami masih terlalu mentah untuk tahu apa itu cinta. Sungguh, mentah! Aku sendiri selalu ketawa apabila teringatkan insiden tersebut.

Sejak itu, aku nekad untuk belajar tinggi-tinggi dan mencari Zafran di Kuala Lumpur. Memang itu niatku kerana aku mahu tahu apa yang terjadi kepada lelaki tersebut dan mengapa dia meninggalkan aku tanpa berita.

----------------------------------------------------------------

LAMA aku termenung mengenangkan tujuan asal aku belajar tinggi-tinggi selama ini. Bodoh? Ya memang. Bodoh kerana belajar kuat-kuat kerana lelaki itu, bukannya kerana keluarga tetapi bagusnya kerana dia, aku berjaya kini.

Apabila sudah bertemu Zafran, hatiku mula ragu-ragu. Aku seakan sedar, tiada gunanya aku mencari dia jika dia sendiri tidak memulakan langkah mencari diriku. Namun, hati seorang wanita sangat rapuh. Aku tahu, lama kelamaan, kenangan itu pasti menjelma dan aku pasti ketika itu hati aku akan mulai memekar.

“Hoi! Cepat salam!” Huluran alang di depan mata hanya kupandang sepi. Aku membetulkan baju baru kebarung warna jingga bersulam di tangan dan kaki baju sebelum bangun dan buat tidak tahu kepada alang.

“Adoi sakitlah!” Alang ni memang nak kena! Dah cantik rambut panjang mengurai aku ni disikat 44 kali pagi ini, ditariknya dengan rasa suka hati. Sudahnya berperang lagilah aku dan alang di dalam rumah pusaka.

“Pagi-pagi raya dah buat hal budak-budak ni. Kamu tengoklah anak-anak kamu ni Dayana…” Ayah bercekak pinggang. Baju Melayunya yang berwarna jingga dan dikenakan dengan kain pelikat berwarna jingga pekat nampak begitu janggal sekali.

Kata ayah, pelik sungguh. Namun, kata angah, lain sikit daripada yang lain. Asyik warna kelabu sahaja setiap tahun. Memang tema tahun ini berwarna jingga. Seperti biasa, angah selaku konduktor fesyen setiap tahun yang menguasai takhta fesyen hari raya.

Manakala along dan alang hanya mengikut. Tak kuasa mahu bertekak. Keindahan pagi raya mula dirasai apabila aku mencium tangan ummi Dayana dan ayah Ashraf memohon keampunan daripada mereka.

Along Affizam, angah Affizal dan alang Affiqal yang sentiasa berada di belakang aku, menahan sabar serta menjaga aku selama ini juga turut aku memohon maaf. Maafkan adindamu Aryana Shafnie ini!

Oh, syahdunya!

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.