Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayang 3 Dalam 1
Sayang 3 Dalam 1
Weeda Airiza
15/8/2014 19:21:59
54,156
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 5

TEPAT jam tiga petang aku sudah tercongok di ruang tamu menanti Angah bersiap untuk ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Selang seminit aku memanjangkan pandangan ke arah luar balkoni rumah.

Awan mendung yang sudah semakin gelap itu makin meresahkan. Macam mana nak pergi shopping ni kalau hujan? Dahlah bersiap bagai nak rak, al-maklumlah, mana tahu terserempak dengan mamat handsome kawan angah pula!

Tapi kawan angah ada ke yang macho? Atau semua spesis macam dia? Mulalah fikiran nakalku melayang entah ke mana. Salahkan angah! Dia yang lambat, menyebabkan saluran urat dalam kepalaku ini menerawang ke tempat lain.

“Dah siap?” Semerbak bau wangian angah menerjah ke rongga hidung. Aduhai! Ini bau minyak wangi cop Jalan Masjid India pun kalah!

“Tak nampak ke adik angah yang comel ni dah anggun jelita?” Aku mencebik seraya menarik beg sandang berwarna hitam.

Angah melirik ke arah aku. Pandangannya jatuh daripada atas sehingga ke kaki. Dia tergeleng sebentar melihat aku yang masih berdiri tegak di sisi televisyen plasma yang telah di beli oleh alang tahun lepas.

“T-shirt hitam, seluar jeans biru gelap, beg hitam. Hmm…” Angah menggeleng lagi.

“Apa?!” Separuh menjerit aku berkata sambil melihat ke arah pakaian sendiri. Ada apa-apa tak kena ke? Seluar koyak? Baju berlubang? Lantaklah! Janji selesa.

“Hitam aje daripada atas ke bawah. Macam mana orang nak nampak? Nak mengorat pun takut.”

“Eh helo! Hitam itu bergaya…”

“Eih tolonglah! Nama aje graphic designer tapi kenal hanya satu warna.” Angah mencekak pinggang sambil memandang ke arah aku.

“Angah!!!”

--------------------------------------------------------------------

ALAT penghawa dingin yang terpasang pada angka satu itu aku ubah ke angka tiga. Nampak macam mendung aje langit di atas sana tetapi dalam ruang kereta yang tak berapa nak sempit ni aku rasa terperangkap dengan kehangatan.

“Sejuknya!” Angah mengalihkan penghawa dingin yang daripada tadi menghala ke arahnya.

“Panaslah angah!”

Angah menjeling tajam ke arahku. “Ni mandi ke tak?”

“Mandilah!” Aku membalas pandangannya kembali dengan rasa sebal. Sampai hati kata aku tak mandi! Mujur tak sempat letak bunga-bunga dalam bath tub je tadi. Kalau tidak, mesti kalah minyak wangi angah.

Angah ketawa gelihati melihat rupaku yang agaknya sudah menyerupai haiwan platipus. Alah, haiwan mamalia separa-akuatik ala-ala rupa itik tu… Panjang saja muncungnya.

Aku tidak ada kudrat mahu berbual dengan angah, yang ada di fikiran hanyalah baju-baju kurung berharga ratusan ringgit, biskut tat nenas dan juga menu berbuka puasa petang ini.

Sungguh tidak senonoh sekali memikirkan tentang makanan sepanjang hari semasa berpuasa. Hanya mengundang lapar dan pahala pun berkurangan. Nasib badan, iman tidak setegar mana.

“Nak beli apa dulu?” Angah memecah kesunyian setelah lima minit selesai memarkir kereta di tingkat tiga, Semua House. Lagi senang, tidak payah mencari parkir di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang semestinya bakal sesak petang ini.

Mataku mula menerawang laju melihat kiri dan kanan gerai-gerai kecil yang terbentang. Sana kuih, sini kuih, situ makanan dan hujung sana pun makanan. Pedih mata dan ulu hati melihat rezeki yang melimpah ruah di depan mata tetapi harus di simpan perasaan itu sehingga Maghrib muncul.

Tanpa menunggu jawapan daripada aku yang masih terkebil, angah melajukan diri menghampiri sebuah gerai yang dipenuhi biskut-biskut raya. Aku hanya membontoti lenggang Angah yang semakin lemah gemalai.

“Mari, mari, mari! Special discount nak raya ni! Hanya lima belas ringgit satu kotak!” Lelaki yang kelihatan di awal 40-an itu mula bersuara tinggi apabila melihat kami menjengah gerainya.

Aku melihat biskut-biskut dalam kotak jernih berbentuk bulat yang tersusun indah. Nampak cantik sungguh packaging kotak tersebut, cuma yang belum tahu rasanya saja.

“Tak nak tengok yang lain dulu?” Aku berbisik perlahan pada angah. Walhal kalau boleh, semua biskut yang ada di situ aku mahu beli. Jika di ikutkan, sama saja jenis yang dijual di sepenjang jalan TAR ini. Hanya peniaga sahaja yang berlainan.

Angah hanya tersenyum memandang lelaki separa buncit itu dan menarik tangan aku untuk berlalu pergi daripada situ.

“Eh, bulan puasa ni haram berpegang-pegangan lelaki perempuan!” Suara lelaki itu memecah gegendang telinga aku. Apa?? Aku mematikan langkah, sekaligus menyebabkan langkah angah terus terhenti.

“Apa awak cakap?” Kalaulah ada termometer yang mengukur kepanasan demam di lidahku kini, dah tentu ianya meletup, pecah berderai.

Lelaki yang sudah aku cop boroi itu hanya tersengih gatal. Macam mana aku tahu dia gatal? Sebab misai lentik ala-ala pelakon A. Galak dalam siri terkenal Gerak Khas itu mula terliuk-liuk mengikut alur bibirnya. Ergh!

“Dia abang sayalah!” pekikku sebelum ditarik kuat oleh angah. Beberapa orang yang perasan ketegangan kecil yang berlangsung itu hanya memandang ke arah kami.

Sah! Sudah sahlah pahala yang aku bina berganda banyaknya hari ini runtuh sebegitu sahaja. Tak guna punya pak cik! Aku mengetap bibir dengan rasa geram. Hilang terus mood aku nak membeli belah.

--------------------------------------------------------------------

GELAK alang yang semakin kuat menyebabkan aku hilang pedoman dan akhirnya memberikan sepakan padu di kakinya daripada bawah meja. Angah di sebelahku hanya tersenyum sambil menggeleng kepala. Air Citrus Mintkepunyaannya di sedut perlahan.

“Adus, sakitlah adik!” Padan muka!

“Siapa suruh mengata Yana? Rasakan!” Cubaan kali kedua untuk menendang kaki abang tersayang tidak berjaya kerana dia sudah bersedia menangkis serangan.

Aku memandang Fried Country Mushrooms yang hanya tinggal sisa. Alang beria mengajak kami berbuka di Manhattan Fish Market. Sudahnya aku hanya bersetuju jika dia sanggup mengorbankan isi beg duitnya.

“Kenapa kau jerit macam tu dik? Malu angah tahu?” Ah! Angah masih mahu menimbulkan soal pakcik boroi bermisai lentik gatal itu! Seram bulu roma aku tiap kali teringatkannya. Minta dijauhkan daripada mimpi!

“Yelah, dia cakap macam tu. Manalah Yana tak bengang.” Aku menegakkan kebenaran.

“Angah tahu dik. Tapi kenapa kau emosional sangat. Tak payah pedulikan. Habis hilang pahala hari ni.” bebel angah. Tau takpe! Aku mendengus. Susah kalau iman setipis kulit pisang ni.

“Bila interview?” Alang mengubah topik apabila melihat aku kembali menjadi seorang platipus… eh! Seekor platipus…

“Esok.”

Resah dan sesak fikiran apabila mengenangkan sesi temuramah yang bakal berlangsung esok di firma baru milik keluarga kawan along yang dijumpai tempoh hari. Sudah terbayang bakal kawan-kawan baru dan juga kerja yang pastinya mencabar kewibawaan sebagai seorang pereka grafik.

“Suspen ke?”

Lagi mahu tanya alang ni. Macamlah dia tu tak suspen bila kali pertama nak pergi interview. Aku jugalah masa tu nak tolong dia gosok baju, tolong ikat tie, tolong cari portfolio yang entah di mana tersorok. Nasib baik tak tolong mandikan! Suspen alang sesungguhnya telah mengharu birukan kami adik-beradik.

Aku masih ingat lagi, ketika menemani alang ke firma barunya untuk sesi temuramah, dia memegang tanganku kejap sepanjang perjalanan ke sana. Hampir terburai tawaku melihatkan wajahnya yang pucat lesi kerana terlalu berdebar.

Along dan angah yang ikut serta menjadi pemandu tidak rasmi ketika itupun hanya menahan kegelian melihat sikap macho alang yang selama ini terpampang jelas, hancur begitu sahaja. Tak cool langsung!

“Dah siap semua?”

“Sudah. Portfolio dah cari. Baju dah gosok. Kasut dah ready.” Aku pasti alang terasa dengan kenyataan berbaur nada perli itu. Biarkan!

Make upbaru? Beg tangan baru?” Alang buat muka selamba walaupun aku tahu hatinya sekecil kuman ketika itu. Oh, sungguh kejamnya adikmu berfikiran begini!

“Buat apa, pakai yang dah ada cukuplah!” Aku membalas soalan alang.

“Untung laki kau, dik. Semua recycle je nanti.” Angah pula memerli. Aku hanya mendengus kecil.

Terfikir juga untuk membeli kelengkapan baru, sekadar menjadi semangat untuk memulakan kerja. Itupun kalau dapat. Kalau tak dapat? Alamat frust tertonggeng aku dibuatnya sebab tak dapat kerja dengan Yonghwa yang teramat handsome itu!

“Nak beli handbag tak?” tanya alang. Aku membulatkan mata. Apa baik sangat abang aku ni? Tarik baliklah kata-kata tentang hatinya sekecil kuman. Nampak gayanya sudah menjadi sebesar gajah! Eh, tak sedap. Seluas lautan, sebesar alam semesta dan…

“Naklah!” Mahu sahaja aku terkam untuk memeluk alang ketika itu, tetapi kebarangkalian untuk berasa malu adalah seratus peratus. Walaupun halal di sisi agama, tetapi ia bakal mencetuskan drama lain kepada orang lain.

“Iqal belanja beg. Biar ngah heret budak ni beli alat make-up. Susah hati aku tengok adik aku pucat tak berseri esok! Lain kali, gaji sendiri tahu!”

“Baik!” Aku tersenyum gembira dan pastinya wajahku sedang bercahaya. Inilah untungnya ada abang-abang yang penyayang. Jealous tak? Silalah jealous!

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.