JUITA
leka melayan perasaannya. Sekejap matanya memandang pelanggan yang keluar masuk
restoran. Kemudian melemparkan pandangan ke arah bangunan yang sedang dalam
pembinaan pula. Memang tiada apa yang indah untuk dipandang pun.
Tiba-tiba
Juita perasan beberapa lelaki berbual dan ada yang memandang ke arahnya. Dia
segera berpura-pura membelek telefonnya sebaik menyedari lelaki yang bernama
Jeffrey turut ada bersama. Sekali-sekala dia menjeling dengan ekor mata. ‘Apa
yang dibisikkan mereka? Kenapa pulak mereka asyik memandang aku?’ Hatinya
tertanya-tanya.
Kini
matanya beralih memandang makanan yang masih berbaki separuh pinggan. Entah kenapa seleranya telah
patah. Dia ke sini kerana terpaksa makan juga bagi mengelakkan perutnya masuk
angin. Nanti dia juga yang susah dan tidak dapat meneruskan pemanduan.
Perjalanan balik ke pejabatnya memakan masa juga.
Tadi,
dia terpaksa sendirian menghadiri mesyuarat kerana Syifa bercuti. Sekali-sekala
sahabatnya itu mahu pergi melancong juga. Syifa juga perlu merehatkan minda dan
bukannya asyik bekerja. Dia tidak dapat menyertainya kerana ada perkara penting
yang perlu diuruskan. Masalahnya, selalu sangat apabila Syifa bercuti, Izuddin
juga turut bercuti. Mereka berdua macam berjanji pula!
Dalam
Juita berkira-kira hendak beredar dan membuat pembayaran, tiba-tiba seseorang
telah berdiri di hadapan dan menyapanya. Terkejut dia kerana lelaki itu adalah
dari geng yang asyik memandangnya tadi. Lebih tepat, lelaki itu adalah abang
tongsan!
“Hai,”
ulang Jeffrey. Kali ini dengan senyuman terukir di bibirnya.
“Hai…”
balas Juita perlahan. Dia memandang pada yang bersuara, kemudian menundukkan
wajahnya. Terasa segan pula apabila Jeffrey turut merenung wajahnya.
“Sebenarnya
sudah banyak kali saya perhatikan saudari apabila makan di sini. Memandangkan
saya ni jenis yang ekspres dan tak suka buang masa, ni saya nak bertanya.”
Jeffrey berhenti seketika.
Juita
panggung kepala dan menanti bicara seterusnya daripada Jeffrey.
“Hmm… kalau
saudari bukan tunangan orang, saya berhajat nak jadikan saudari isteri saya.
Itupun kalau saudari sudilah.” Lancar sahaja ayat itu keluar dari bibir
Jeffrey. Bagai telah dirancang dan dihafaz sebelum mengucapkannya.
“Er….
Apa awak cakap?” Tiba-tiba Juita jadi tidak keruan mendengarnya. Biar betul
lelaki ini, atau dia yang tersalah dengar?
“Kalau
saudari masih belum berpunya, saya nak hantar rombongan meminang,” sambung
Jeffrey dengan tenang. Wajah Juita masih tidak lepas daripada pandangannya
sejak tadi.
Juita
tidak terkata dan betul-betul terkejut dengan apa yang Jeffrey sebutkan. Dia
memandang sekeliling bagi memastikan ayat itu memang ditujukan kepada dirinya.
Memang tiada gadis lain di restoran itu. Tiba-tiba lidahnya kelu untuk
berkata-kata apatah lagi untuk memberi sebarang jawapan.
“Diamnya
seorang gadis, menandakan dia setuju,” sambung Jeffrey itu lagi. Pada ketika
ini dia masih lagi berlagak selamba meskipun di hati hanya TUHAN yang tahu
perasaannya. ‘Bagaimana diri boleh bertukar seberani ini?’ detiknya.
“Hah?”
Ketika ini Juita sudah tidak tentu arah. Abang tongsan ini memang buat dia
tidak tenteram!
Jeffrey
melemparkan senyuman. Dia memberikan isyarat mata kepada Juita menandakan dia
serius dengan pertanyaannya sebentar tadi.
“Awak
jangan nak main-main dengan saya,” balas Juita sambil membalas pandangan
Jeffrey. Saat ini memang dia berasa semacam pula. Antara suka dengan tidak
percaya, tetapi lebih kepada blur
sebenarnya.
“Saya
serius hendak menyunting saudari jadi suri di hati saya.” Jeffrey masih dengan
hajatnya.
Sekali
lagi Juita tidak terkata, hanya matanya terkelip-kelip. Mahu percaya pada
kata-kata lelaki itu, tetapi akal yang waras menyatakan sebaliknya.
“Okeylah,
saya sebenarnya tak ada bukti nak pamerkan rasa dalam hati saya. Sememangnya
tidak boleh pun kerana hanya TUHAN yang tahu apa yang ada dalam lubuk sanubari.
Tapi saya nak saudari tahu, saya takkan berganjak selagi saudari tidak berkata
ya kepada lamaran saya ini,” sambung Jeffrey lagi. Kedengaran dia memang
bersungguh benar dengan apa yang dia sebutkan.
Juita
semakin tidak keruan. Mata dan mindanya sedang fokus kepada lelaki yang sedang
menanti jawapannya dengan penuh harapan. ‘Hendak jawab apa ni?’ Dia
berkira-kira sendiri.
Tiba-tiba
BlackberryJuita berbunyi. Dalam
kekalutan, dia terus menjawab panggilan. Tidak sempat hendak melihat di skrin
ianya panggilan daripada siapa.
“Waalaikumussalam…
ya, abah.” Juita menjawab perlahan sebaik menyedari abahnya yang menelefon.
Jeffrey
masih di situ menanti Juita selesai menjawab panggilan telefon. Matanya juga
tidak lepas dari memandang gadis itu.
“Hah?”
Tiba-tiba Juita terjerit. Sekali lagi dia terkejut dan hampir sahaja telefonnya
terlepas dari tangannya. Dia mengerut dahi bagai memikirkan sesuatu.
“Kenapa?”
Jeffrey segera bertanya ketika Juita kembali memandangnya.
“Okeylah,
saya setuju.” Itu pula yang keluar daripada mulut Juita. Dia sendiri terkejut
kerana ringan sahaja mulutnya memberikan jawapan itu. Seketika dia memandang Blackberrynya pula.
Jeffrey
tersenyum. Namun, dalam sekelip mata senyuman yang baharu terukir di bibirnya
terus mati. Bukan sebab tidak gembira, tetapi amat terkejut!
“Awak?”
tegur Juita apabila lelaki di hadapannya bagai patung pula.
“Saya
tak salah dengar ke?” tanya Jeffrey. Matanya tunak memandang Juita. Kemudian
menoleh memandang ke arah rakan-rakannya pula. Pastinya mereka juga dapat
mendengar dengan jelas. Dia telah menang dalam cabaran ini, namun kenapa dia
berasa tidak menentu?
Juita
terdiam. Tidak tahu hendak jawab apa. Apatah lagi tiba-tiba sahaja abang
tongsan telah duduk pula di kerusi di hadapannya. Kini mereka saling memandang
antara satu sama lain.
Dada
Juita semakin berdebar-debar dengan situasi yang dia tidak jangka sama sekali.
Dia cuba mengingat kembali apa soalan yang abahnya tanya di telefon dan apa
pula jawapannya. ‘Ah sudah! Aku dah buat silap,’ getusnya sambil memandang
Jeffrey.
“Saya
Jeffrey, awak?” Jeffrey terus memperkenalkan dirinya. Sudah terlepas kata,
takkan mahu biarkan begitu sahaja? Dia tidak mahu dituduh kurang siuman pula.
Sudahlah tadi dia memang buat kerja gila!
“Er…
saya Juita. Perasan jugak awak dan
kawan-kawan awak selalu makan kat sini.” Juita juga terpaksa beramah mesra
untuk mengenali lelaki ini.
Jeffrey
tersenyum mendengarnya. Ingatkan yang empunya diri tidak perasan. Seketika
Jeffrey mati kutu pula untuk meneruskan perbualan. Hendak bertanya apa pun dia
tidak tahu.
Tiba-tiba,
sekali lagi mereka berdua dikejutkan dengan deringan dari Blackberry Juita. Dia segera menjawab panggilan yang masuk.
Jeffrey
hanya tunduk. Tidak sanggup pula menentang mata gadis di hadapannya ini. Dalam minda,
berbagai pula yang difikirkan dalam satu masa. Selepas ini dia boleh demam
seminggu!
“Maaf,
saya ada hal dan terpaksa pergi,” beritahu Juita yang sudah bangun.
“Tunggu!”
panggil Jeffrey.
“Kenapa?”
soal Juita yang mematikan langkah.
“Boleh
bagi contact numberawak?” pinta
Jeffrey.
Juita
tercari-cari kad namanya. “Alamak, tertinggal dalam kereta pulak. Saya tulis
ajelah.” Juita segera menulis nombor telefonnya di atas kertas yang dia koyak
dari buku notanya. Kemudian dia hulurkan kepada Jeffrey dan terus menuju ke
kaunter pembayaran.
Jeffrey
hanya memerhati Juita yang melangkah laju menuju ke tempat parkir setelah
membuat pembayaran. Kertas yang Juita berikan dipandang lagi. Seketika Jeffrey
mengeluh dan menepuk dahi!