Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
384,163
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 33

SEORANG lelaki tampan melemparkan senyuman yang sangat manis khas buat Juita seorang. Senyuman yang bisa sahaja mencairkan hati Juita yang sekejap kematu dan sekejap separuh beku! Ditambah lesung pipit di pipi kirinya, lagi membuat Juita tidak keruan.

Saat ini, dia tidak tahu bagaimana hendak menghadapi situasi ini. Anuar Zain yang masih mendendangkan lagu seakan tidak dipedulikan. Juita memang terkejut sungguh! Dia tidak pernah membayangkan yang Jeffrey akan bertindak sejauh ini semata-mata mahu memikatnya. Kali ini memang susah dia hendak lari.

Wajah abang tongsan yang cuba memenangi hatinya dipandang buat seketika. Mata Jeffrey memang tidak berkelip merenung dirinya yang serba tidak kena. Senyuman yang masih terukir membuat Juita berasa berdebar pula.

Tiba-tiba suasana kembali hening. Nyanyian Anuar Zain sudah berakhir, namun penyanyi itu masih berada di sisinya. Akhirnya Juita tunduk memandang permaidani. Tidak tahu ke mana harus menghalakan pandangannya. Sebelah kanan, penyanyi pujaan hati. Sebelah kiri pula, lelaki yang cuba mencuri hatinya. Itupun kalau dapatlah!

“Tunggu apa lagi?” Terkejut Juita dengan pertanyaan Anuar Zain. Memang sahlah soalan itu ditujukan kepada Jeffrey dan bukan dirinya.

“Awak… saya bukan lelaki yang pandai berbicara yang indah-indah. Saya juga tidak bisa buat mana-mana gadis terpukau. Saya cuma mahu awak jadi peneman hidup saya...” Tiba-tiba Jeffrey bersuara. Dia merayu dengan penuh harapan sambil memandang Juita.

Juita mengangkat kepala dan memandang lelaki yang sedang menunggu jawapan daripadanya. Sebenarnya, wajah ini yang asyik muncul dan mengganggunya saban hari. Tidak kira siang atau malam, ia sentiasa menampakkan diri. Ke mana pun dia pergi, bayang lelaki ini selalu mengekorinya.

“Awak,” panggil Jeffrey dengan lembut. Dia tidak mahu mengulangi kata-katanya. Juita seharusnya mengerti bagaimana perasaannya ketika ini. Ini bukan kali pertama dia merayu dan memujuk.

“Kenapa awak buat semua ini?” Akhirnya Juita bersuara juga. Terharu dengan tindakan Jeffrey yang tidak diduga langsung.

“Sebab saya nak berkahwin dan bercinta dengan awak seorang…” Tanpa segan Jeffrey meluahkan apa yang dirasa. Dia tidak mahu melepaskan peluang ini begitu sahaja. Hanya Juita gadis yang dia idamkan.

Juita terdiam mendengar bicara Jeffrey. Naluri wanitanya membisikkan sesuatu. Kali ini dia cukup yakin dengan perasaan sendiri.

“Awak? Tolonglah jangan hampakan harapan saya,” rayu Jeffrey lagi.

Wajah abang tongsan direnung dalam-dalam. “Sebenarnya saya tak layak untuk awak,” tutur Juita antara dengar dengan tidak.

“Saya tak kisah awak nak cakap apa sekalipun, saya tetap nak awak jadi isteri saya. Percayalah, hanya awak yang saya cinta,” ucap Jeffrey dengan sepenuh hati. Wajah Juita masih direnung tanpa berkelip.

Juita bertambah tidak keruan mendengarnya. Gembira, sebak dan entah apa lagi. Bicara Jeffrey sudah menghampiri ruang hatinya. Dia akan lemah kalau ayat begitu yang mengetuk pintu hatinya. Dia akan mudah simpati dan jatuh kasihan.

“Wei, kau nak ke tidak?” Syifa yang tadinya menghilang sudah menyampuk sambil menyinggung bahu Juita.

Juita menoleh dan menjeling Syifa tanda tidak suka diperlakukan begitu. Sahabatnya yang seorang ini memang suka buat dia dalam keadaan tertekan. Sudahlah lesap begitu sahaja, kini main singgung-singgung pula.

“Takkanlah kau nak tunggu pagi esok, baru nak bagi jawapan kut? Anuar Zain pun dah lama blah!” usik Syifa lagi sambil tertawa.

“Hah! Dia pergi ke mana?” Spontan Juita bertanya sebaik menyedari Anuar Zain sudah tiada di situ. Matanya liar mencari kelibat penyanyi tersohor itu.

“Tak payah cari. Dia ada persembahan kat ballroom. Kau nak dia atau si Jeffrey tu?” tegur Syifa. Kalau dia jadi Jeffrey, memang sudah lama give up!

Syifa memang geram betul dengan Juita yang masih buat tidak reti. Kasihan dia melihat si Jeffrey. Bersusah payah lelaki itu merancang semua ini semata-mata mahu memujuk dan memberi kejutan kepadanya, sebaliknya dia masih mahu jual mahal pula.

Juita termalu sendiri mendengar kata-kata Syifa. Kenapalah sahabat dia yang selalu menyokong ini boleh berpaling tadah? Bukannya Syifa tidak tahu yang dirinya memang sengaja main tarik tali dengan abang tongsan. Dia mengomel dalam hati.

“Awak nak saya rewind ke?” Tiba-tiba Jeffrey mahu berlawak pula. Dia juga turut buat muka kasihan, namun tetap nampak comel di mata Juita.

Syifa dan Norman pula sudah tidak dapat menyimpan tawa. Mereka gelak sakan melihat gelagat Jeffrey dan Juita. Tetapi, tidaklah kuat sangat sampai mengganggu orang lain. Lagipun memang tiada orang lain pun selain mereka!

“Okeylah, okeylah! Awak buatlah apa yang patut. Saya akan hadirkan diri sebagai pengantin awak di pejabat Tok Kadi! Lagi satu, saya nak awak belanja saya makan sedap-sedap!” Spontan Juita mengucapkannya. Laju dan sekali lafaz pulak tu!

Seketika Jeffrey terpaku. “Nak buat bagaimana?” tanya Jeffrey. Tiba-tiba dia bertukar menjadi si dungu yang tidak tahu apa-apa.

“Awak nak jadi imam saya, kan? Perlu ke saya ajar?” tutur Juita. Dia sengaja mengerutkan wajahnya.

Mata Jeffrey tidak berkelip memandang Juita. Ketika ini, dia rasa bagai bulan, bintang dan semua di dada langit jatuh ke riba. Senyuman yang terukir semakin lebar dan bertambah manis.

Hati Juita juga sudah berbunga-bunga. Tulip, mawar, semuanya sedang mekar di jiwa. Tidak sangka semudah itu pula musim di hatinya bertukar wajah! Cantik dan mengharum segenap alam.

“Okey, kerja I dah selesai. So, tolong layan klien awak ni baik-baik, ya Cik Juita!” tutur Syifa sambil mengenyit matanya.

“Terima kasih, Syifa,” ucap Jeffrey kemudian turut menyalam Norman yang sudah mahu beredar.

“Sama-sama. I bagi you pinjam Juita sekejap aje tau. Jangan sambung bergaduh pulak!” pesan Syifa sebelum meninggalkan mereka berdua.


JEFFREY tersenyum, kemudian menoleh memandang Juita yang tunduk sahaja. “Shall we?” ajak Jeffrey memecah kesunyian.

“Ke mana?” soal Juita kehairanan.

“Tak nak tengok persembahan Anuar Zain ke? Saya dah tempah meja,” pelawa Jeffrey.

Juita punya pasal, dia sanggup buat apa sahaja sampai tempah meja pada minggu setiausaha bersama Anuar Zain. Nasib penyanyi itu bersetuju untuk membuat persembahan tambahan khas untuk Juita. Semuanya atas cadangan Syifa yang tahu sangat kesukaan Juita.

“Betul ke?” tanya Juita seakan tidak percaya. Baru dia tersedar minggu setiausaha disambut dalam bulan ini. Yalah, sebelum ini dia tidak pernah menyambut atau pun menyertai majlis sebegini. Selalunya acara meraikan setiausaha ini diadakan pada sebelah siang.

“Saya ni ada muka penipu ke?” soal Jeffrey sambil mengusap rambutnya berulang kali.

“Bukan macam tu. Saya bukan setiausaha awak dan awak pun bukan bos saya,” balas Juita perlahan. Alahai, seganlah konon! Padahal berasa seronok sangat. Bukan senang mahu berjumpa jejaka idaman Malaya. Bertambah indah siap nyanyikan lagu untuk dirinya.

Jeffrey tersenyum mendengar jawapan Juita. “Tapi awak ada dalam hati saya. Mulai hari ini, awak tak boleh lari dari saya,” ucap Jeffrey kemudiannya.

Juita tidak membalas apa-apa. Dalam hati turut memuji Jeffrey yang tiba-tiba sahaja pandai bermain kata-kata. Lagi lama dia bersama lelaki ini, memang habislah dia. Apatah lagi mata lelaki ini asyik menatap wajahnya. Kelak hatinya juga akan bertambah cair.

“Hmm…lain kali ajelah.” Akhirnya Juita mahu minta diri sahaja.

No way! Awak kena temankan saya makan. Awak jugak yang nak saya belanja, kan?” halang Jeffrey.

“Tadi tu saya main-main aje.” Juita beralasan. Masih ada selera hendak makan ke, andai sudah kenyang tengok wajah dia? Hish! Apa aku melalut ni? Juita berbicara sendiri.

Please…” rayu Jeffrey.

“Okeylah.” Akhirnya Juita akur dengan permintaan Jeffrey dan kehendak hati sendiri.

Jeffrey mengukir senyum kemenangan. Benih cinta mula memutik. Kali ini dia cukup yakin yang Juita memang tercipta untuk dirinya.

I will always love you,” bisik Jeffrey berhampiran telinga Juita.

Walaupun masing-masing tidak nampak, Juita dapat rasakan telinganya sudah berubah warna. Sebenarnya dia juga berasa hendak melompat sebaik Jeffrey mengucapkannya!


MENGHAMPIRI tengah malam, baru Juita sampai ke kediamannya. Buat pertama kalinya dia mencipta rekod lewat pulang ke penthousenya dengan sengaja. Andai abah dia atau Abang Ridwan tahu, memang masak dia kena marah.

Melihat televisyen masih terpasang, Juita mengeluh. Itu tandanya dia kena melayan pertanyaan daripada sahabat tersayang.

“Amboi! Lamanya berdating?” tegur Syifa sebaik Juita melabuhkan punggung di sofa.

“Balik tadi jalan sesaklah. Itu yang lambat sampai ke rumah.” Juita menjawab malas. Walaupun hatinya sudah ada taman, tetapi badannya terasa penat. Ketika ini dia berasa amat lega kerana dapat merehatkan diri.

“Ya ke? Masa aku balik tadi, lancar aje kereta kat jalan raya itu,” ujar Syifa sambil membetulkan duduknya agar lebih selesa.

“Kereta kat jalan raya tu memanglah lancar. Cuma hati aku ni yang dah sesak!” jawab Juita selamba. Berdua bersama Jeffrey memang buat jantungnya tidak boleh bekerja dengan efisien!

“Hmm… yalah tu! Tapi kan, tak sangka pulak aku rupanya abang tongsan tu sungguh romantik, kan?” puji Syifa sambil tersenyum-senyum.

“Baik kau cakap dengan aku, kau yang ajar dia, kan?” tanya Juita sambil berbaring pula. Malam ini dia tidak lena tidurlah jawabnya.

“Tak adalah! Dia minta aku pastikan kau datang ke hotel tu tepat pada masanya,” dalih Syifa. Mana mungkin dia akan bercerita dialah sebenarnya yang mencadangkan semua itu kepada Jeffrey.

“Aku dah agak. Ini mesti kau berkomplot sekali. Masa bila kau buat kerja, hah?” Juita menjeling Syifa.

“Tak kisahlah. Apa yang penting hubungan kau orang berjalan lancar,” balas Syifa. Suka dia kerana dapat menolong kawan. Dia pun tidak menyangka yang Jeffrey akan menghubunginya dan minta bantuan.

“Pandailah kau!”

“Apa lagi kau nak fikir ni? Orang dah bersungguh-sungguh, buat apa nak jual mahal?” Syifa memang geram dengan sikap Juita. Sengaja mahu membuat abang tongsan sakit jiwa. Mujur lelaki itu memang betul-betul suka bangat dengannya. Kalau tidak, memang sudah lama kena tinggal sebelum sempat bercinta!

“Kenalah main tarik tali, barulah seronok,” balas Juita pula sambil tersenyum.

“Kau jangan nak main tarik tali lagi, ya? Aku malas nak jadi orang tengah dan tukang sambung lagi.” Syifa mengingatkan.

Juita diam sahaja mendengar bebelan Syifa. Tindakan Jeffrey ketika di hotel memang menyentuh hatinya. Insya-ALLAH hubungan yang sedang terjalin ini akan kekal sampai bila-bila. Doanya dalam hati.


Previous: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.