Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
406,874
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 28

BEBERAPA hari ini, Jeffrey asyik melayan perasaannya. Dia sering datang awal ke pejabat, tetapi hati dan mindanya entah berada di mana. Kerja di pejabat dia tidak ambil peduli, mesyuarat yang sepatutnya dia hadiri, boleh dia buat lupa pula.

‘Jodoh adalah sesuatu yang sangat misteri dan sukar untuk dirungkai. Setiap insan perlu ada niat di hati untuk mencarinya kerana perkahwinan adalah sunah Nabi. Berdoa banyak-banyak semoga TUHAN memudahkan diri menemui jodoh kita.

Akhir sekali kena bersungguh-sungguh mencarinya. Kalau ketiga-tiga itu sudah dilakukan, bertawakallah kepada ALLAH Yang Maha Esa. Kalau benar dia jodoh kamu, naluri hatimu akan merasainya walaupun ia adalah kali pertama kamu memandangnya. Percaya dan yakinlah, semuanya telah ALLAH tentukan sejak azali lagi.’

Jeffrey mengeluh berat. Bicara Ustaz Azahari masih terngiang-ngiang di telinganya. Tidak satu pun perkataan yang tertinggal. Semua jelas di pendengarannya dan terpahat dalam mindanya hingga saat ini.

Tempoh hari, sudah alang-alang Ustaz Azahari menelefonnya bertanya khabar, dia mengambil kesempatan itu bertanya pasal jodoh. Memang segan juga semasa mahu berbual pasal topik itu. Kena usik juga dengan ustaz yang sudah dianggap bagai bapa sendiri.

Ketika ini hatinya amat yakin Juitalah jodohnya. Walaupun dia tidak bersungguh mencari jodohnya, ia telah hadir jua di hadapan mata. Saat ini dia amat pasti dengan perasaan yang dialami. Belum pernah hatinya berasa berbunga-bunga menyebut nama mana-mana wanita.

Sebaik nama Juita meniti di bibirnya, ketika itu juga hatinya berlagu riang. Memang susah untuk dimengertikan bagi mereka yang pertama kali merasainya.Dia mengharapkan bunga dapat dipetik dan diletak dalam jambangan hati. Lagi sukar dia diduga, lagi semangatnya berkobar-kobar.

Kini hati Jeffrey bagai dibuai merdunya suara penyanyi yang mendendangkan lagu. Terasa begitu indah bait-bait ayat yang dilagukan. Terlupa sebentar masalah yang melanda dirinya. Kadang-kadang bagai tidak percaya dengan apa yang dilalui.

Dia amat berharap agar nasib menyebelahinya. Dia perlu lakukan apa sahaja demi mendapatkan kepercayaan gadis itu. Dia tidak mahu isu bertaruh itu dibangkitkan lagi. Ia hanyalah penyebab dia melamar gadis itu.

Wajah Juita bermain lagi di ruang mata. Tidak menyangka dia akan angau begini hanya kerana seorang gadis bernama Juita. Walau pada mulanya ragu-ragu dengan naluri sendiri, kini dia yakin seratus peratus dengan perasaan yang dirasa.

Dia mahu memiliki gadis itu dengan cara apa sekalipun. Dia sanggup berkorban apa sahaja kerana dia tidak mahu kehilangannya. Cinta yang lahir bukan dia yang paksa. Ia datang sendiri dengan seribu keindahan yang mewarnai hidupnya. Kehadirannya buat hidupnya lebih bererti dan sempurna.

“CINTA sememangnya aneh. Ia boleh sahaja wujud pada saat kita tidak duga,” sebut Azman kemudian menyisip air tembikai kegemarannya. Sudah lebih setengah jam mereka melepak di restoran berhampiran pejabat klien.

Apabila cuaca panas begini, tekak yang kering memang perlu dibasahi dengan minuman yang boleh menyegarkan. Mereka baharu sahaja selesai membuat lawatan tapak bersama klien.

“Tapi, ia bukan sesuatu yang mudah ditangkap dan dimiliki,” sambung Azman. Sengaja dia memberi bayangan kepada Jeffrey. Bukan dia tidak tahu yang sahabatnya itu belum betul-betul lagi dapat memikat hati Juita. Lebih tepat dia baru hendak bermain cinta dengan perempuan.

Jeffrey diam sahaja mendengarnya. Mengeya pun tidak, jauh sekali menafikan. Apa yang sahabatnya katakan memang kena batang hidung sendiri. Dahulu berlagak sangat dan kata diri tidak mungkin akan jatuh cinta.

“Saja nak beritahu kau. Jangan sampai terlepas buah hati kau tu setelah penat-penat memikatnya.” Azman mengingatkan.

Perubahan pada Jeffrey sejak beberapa hari ini, memang mudah dibaca. Walaupun dia tidak meluahkan, Azman pasti sahabatnya itu sedang memikirkan langkah seterusnya. Dia memang tepuk dahi apabila Jeffrey benar-benar larikan Juita. Nasib larikan gadis itu ke Bagan Lalang dan bukannya Padang Besar. Kalau sudah sampai ke situ, mahu mereka berkahwin di sempadan!

“Nak buat macam mana, ya?” Tiba-tiba Jeffrey mahukan pendapat dan cadangan daripada Azman pula.

“La… Itu pun nak kena ajar lagi ke?” soal Azman.

Jeffrey tersengih tanda perlukan bantuan Azman.

“Kau ni kan… Kalau nak dapatkan projek, laju aje. Nak dapatkan perempuan, boleh pulak tak reti? Tinggal satu dua langkah aje pun,” perli Azman dengan senyuman sinis. Memang parah dengan sahabatnya yang seorang ini.

“Sebenarnya, bukan mudah nak curi hati si Juita ni. Dia

ni asyik main tarik tali aje dengan aku. Bila aku dah yakin dia memang dah suka kat aku, sekelip mata ayat dia berpusing pulak.” Begitulah menurut pandangan Jeffrey. Lebih-lebih lagi setelah insiden tempoh hari dan selepas dia adakan pertemuan dengannya.

“Kali ini kau kena buat si Juita ni betul-betul jatuh hati dengan kau. Bukan setakat suka aje,” komen Azman.

“Aku tengah fikirlah ni. Aku sedang mencari jalan terbaik untuk terus menuju ke hati dia,” terang Jeffrey.

“Wow! Ayat bukan main skema. Mahu terus menuju ke hatinya! Boleh tahan jugak impian kau,” ujar Azman yang tidak menyangka si Jeffrey ini boleh berkata begitu.

“Itu yang kena ada strategi dan bukan boleh main terjah aje. Silap hari bulan, bukan setakat tak boleh nak dekat, nak intai pun tak berpeluang,” balas Jeffrey.

“Sebenarnya bukan susah pun. Kau memang kena curi hati dia dengan buat sesuatu yang dia tak sangka sama sekali,” cadang Azman.

Buah fikiran Azman buat Jeffrey termenung. Itulah yang jadi cabarannya. Dia mahu memikat burung yang suka terbang tinggi dan bukannya burung merpati yang mudah dijinakkan. Andai gadis biasa, mudah sahaja dia mahu mengatur langkah. Tiru sahaja cara biasa yang ditonjolkan dalam televisyen, pasti akan berjaya.

“Jadi, macam mana sekarang ni? Aku rasa lebih baik kau terus aje berjumpa dengan mak bapak dia, macam yang pernah aku sebutkan dulu.”

“Aku memang nak jumpa mak bapak dia, tapi tak cukup beranilah. Dahlah dengan Juita pun aku tak betul-betul kenal dia lagi,” keluh Jeffrey.

“Kau ni cakap belit-belitlah! Hari tu berani aje buat kerja gila sampai culik dia seharian,” kutuk Azman sambil menjelingnya.

“Masa tu aku memang main belasah aje,” balasnya dengan sengihan.

“Kalau nak tunggu dah kenal baru nak jumpa bapak dia, berjanggutlah jawabnya! Kita takkan kenal orang tu kalau makan tak sepinggan dan tidur sebantal dengan dia!” tutur Azman agar sahabatnya ini mengerti.

“Kau ni jangan buat aku pening pulak!” balas Jeffrey.

“Betullah apa yang aku cakap. Lagi satu, Ada tiga perkara yang akan buat kita sukses dalam kehidupan. Tekad, kemahuan dan fokus,” beritahu Azman kepada Jeffrey yang bagai hilang arah. Mahu mengikat gadis pujaan, tetapi talinya entah di mana-mana.

Jeffrey masih tidak bersuara. Cuba memikirkan apa yang Azman perkatakan.

“Kau boleh berjaya dalam bisnes kerana 3 perkara itu. Kenapa kau tak praktikkan dalam mengejar cinta Juita?” sambung Azman sambil menyiku lengan Jeffrey. Jika dibiarkan memang lelaki ini akan terlebih angau.

“Kau ni…” marahnya.

Just do it!” sebut Azman lagi.

Jeffrey menghela nafas panjang. Lama dan dalam. Pada masa yang sama satu semangat hadir dalam dirinya. “Terima kasih,” ucapnya dan terus bangun meninggalkan Azman.

“Hei, kau nak ke mana?” tanya Azman.

“Aku nak pergi dapatkan cintaku!” beritahu Jeffrey dengan bersemangat sekali.

Azman menggeleng, namun dia gembira dengan kesungguhan yang Jeffrey tunjukkan.


DALAM kereta Jeffrey tersenyum lagi. Bagus juga mendengar pendapat sahabatnya. Tidaklah dia mati akal hingga tidak tahu apa yang patut dilakukan. Sedikit sebanyak idea Azman dapat menyelesaikan masalahnya. Ops, bukan masalah! Tapi cabaran yang akan dia hadapi dalam mendapatkan cinta Juita.

Kereta yang dipandu meluncur laju. Kali ini Jeffrey sudah berada di lorong yang betul. Dia amat berharap akan sampai ke destinasinya dengan selamat dan pantas. Insya-ALLAH.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.