Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
384,184
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 1

SYIFA bernyanyi dengan riangnya mengikut lagu yang disiarkan menerusi corong radio kereta. Juita di sebelahnya tidak dihiraukan walaupun gadis itu beberapa kali menegur supaya perlahankan suara. Begitupun, akhirnya dia melepaskan keluhan sebaik kereta berhenti berhampiran deretan rumah kedai.

“Restoran ni lagi?” soal Syifa lalu memandang Juita. Punyalah banyak restoran di Bandar Baru Bangi, Restoran Sharifah juga yang sahabatnya pilih.

“Apa salahnya makan kat sini?” Juita mengerut dahi sambil menanggalkan tali pinggang keledar.

“Ke kau ada share dengan tuan punya restoran ni?” duga Syifa. Sahabatnya ini bukan boleh percaya sangat. Kononnya tiada rahsia antara mereka, tetapi ada juga perkara penting yang sering Juita sembunyikan daripadanya.

“Tak salah tolong bangsa sendiri, kan?” Juita menggariskan senyuman yang turut menampakkan giginya yang cantik tersusun.

“Aku dah agak dah,” keluh Syifa sambil membuka pintu kereta.

“Tahu tak, sebelah restoran ni adalah pejabat pakar motivasi yang terkenal? Bila dia ada program, sah-sah restoran ni dapat tender sediakan makanan untuk para peserta. Bijak tak aku?” Juita memuji diri sendiri.

“Pejabat tu tengah buat pengubah suaian dan kau dah tahu siapa pemiliknya?” Syifa membulatkan mata. Ingatkan si Juita ini tidak mahu ambil tahu dengan hal-hal sebegini. Rupanya sudah jauh ke hadapan.

“Aku kan otak bisnes? Walaupun tak untung banyak, aku percaya restoran ni boleh maju,” tutur Juita dengan yakin sekali.

Bagi yang tidak mengenali dirinya, pasti beranggapan dia hanyalah eksekutif biasa yang sama-sama memajukan syarikat. Tidak tahu, rupanya dialah pemilik syarikat pembinaan yang mempunyai staf yang ramai dan bangunan bertingkat-tingkat. Siapa bos yang sebenarnya pun, kadang-kadang buat orang lain keliru!

“Lepas tu boleh buka cawangan baru, kan? Hebat betul kawan aku ni!” puji Syifa tetapi kepalanya sudah menggeleng. Tidak menyangka Juita akan melabur dalam bidang katering pula. Langsung jauh tersasar dari perniagaan yang mereka usahakan sekarang.

“Jue, nanti nak Iz ambil pukul berapa?” Tiba-tiba si pemandu kereta pula menyampuk.

“Ambil kita orang dalam pukul dua suku. Saya nak lama-lama lepak kat dapur angkat saya ni,” pesan Juita kepada Izuddin yang setia membawanya ke mana sahaja.

“Okey,” balas Izuddin. Kereta BMW X6 berwarna hitam terus bergerak setelah Juita menutup pintu kereta.

Juita dan Syifa beriringan menuju ke Restoran Sharifah. Tidak jauh mana pun dari tempat Izuddin turunkan mereka.

“Tapi kan, aku rasa kau mesti ada agenda lain. Baik kau cakap dengan aku,” ujar Syifa yang masih tidak berpuas hati. Dia yakin sahabatnya pasti ada perkara yang dirahsiakan dari pengetahuannya.

“Kalau ada pun, biarlah rahsia.” Senyuman Juita semakin lebar, buat Syifa bertambah bengang.

“Sekejap, ini mesti ada kaitan dengan mamat tu, kan?” Syifa cuba mengorek cerita. Tiba-tiba terlintas di fikirannya pasal lelaki yang Juita ceritakan tempoh hari.

“Hmm… mungkin salah satu sebabnya.” Juita sudah tertawa. Saat ini mereka berdua sudah duduk di meja pilihan Juita.

“Ei, tak fahamlah aku dengan kau ni! Hanya kerana mamat tu, kau sanggup berhabis macam ni? Kau biar betul Jue?” Ini yang Syifa paling tidak suka. Lantik dirinya sebagai pengarah urusan dan proksinya, tetapi si Juita ini sesuka hati buat keputusan sendiri.

Ini bukan kali pertama Juita membuat keputusan tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu. Kadang-kadang sahabatnya ini suka buat dia sakit jiwa! Lebih parah, sudah terhantuk baharu dia sibuk bertanya apa langkah yang patut diambil.

“Kau ni… tak fikir lain! Aku melabur sebab aku nak untung. Kalau ada perkara lain yang boleh buat aku gembira, ia satu bonus,” beritahu Juita agar Syifa mengerti. Apa yang dia buat ada sebab tertentu. Dia tidak akan buat sesuatu yang sah-sah merugikan dirinya dan juga syarikat.

“Bonus apanya?” Syifa bertanya geram. Matanya menjeling Juita yang relaks sahaja.

“La… kau macam tak kenal aku pulak! Dapat makan sesuatu yang kononnya percuma memang syok. Dapat memandang sesuatu yang cantik, adalah satu terapi!” sebutnya kemudian tertawa lagi.

“Banyaklah kau punya terapi. Menambah kerja aku adalah!” marah Syifa.

“Itulah silapnya kau. Selain dapat cuci mata, mana tau dapat idea bisnes yang lain. Aku mana pandai cari bisnes kat padang golf,” tegas Juita sambil menggelap wajah yang sedikit berpeluh. Maklumlah, mereka baharu sahaja duduk. Penghawa dingin restoran masih belum memberi kenyamanan yang sebenar.

“Kau janganlah nak buat aku bertambah sibuk, Jue. Perjanjian kita ada syarat-syaratnya. Bukan selamanya aku kena kerja dengan kau.” Syifa mengingatkan.

Dia juga ada cita-cita dan impian sendiri. Malah keluarganya mengharapkan dia untuk menggantikan papanya dalam bisnes keluarga. Sekarang ini dia boleh lepas kerana kononnya mahu mencari pengalaman dengan bekerja di syarikat lain terlebih dahulu.

“Alah, kau baru aje bertunang, bukan nak kahwin dalam masa terdekat ni. Entah-entah aku yang kahwin dulu,” balas Juita pula.

“Bukan pasal tu, papa aku dah banyak kali bertanya. Kau ni memanglah!” sungut Syifa.

Kadang-kadang dia bengang juga dengan sahabatnya ini. Ada sahaja jawapannya untuk mengelak dan menyelamatkan dirinya. Tetapi, kalau dengan abang dia, pijak semut pun tak mati! Tidak kisah kena kutuk dan kena marah. Itu yang Syifa pelik dengan perangai si Juita ini.

Sedang mereka asyik berbual, pelayan restoran telah menghampiri meja mereka dengan senyuman.

“Macam biasa ya,” sebut Juita sebelum sempat pelayan itu bertanya.

“Okey…” balas pelayan itu dan terus berlalu.

“Amboi, apa yang macam biasa tu? Bukan ke kita baru dua kali makan kat sini? soal Syifa.

“Dah restoran aku, kan? Memang nak kenalah kalau tak reti-reti lagi! Tapi kalau kau nak pesan menu lain, dipersilakan,” ujar Juita sambil matanya liar memandang sekeliling.

“Tu… nak cari kelibat mamat tulah, kan?” Sekali lagi Syifa menggeleng. Memang susah hendak faham dengan sahabatnya yang seorang ini.

“Aduhai Syifa, bila lagi aku nak mencari calon-calonnya kalau bukan sekarang?” Juita menjawab selamba.

“Kut ya pun, mata tu kawallah sikit! Awak tu anak dara. Mamat tu pun tak tahu siapa kau lagi. Kalau dia tahu siapa sebenarnya minah sempoi ni, hmm… tak tahulah aku nak cakap apa,” perli Syifa.

“Habis tu, jadi anak dara kena tunduk ajelah?” Sengaja Juita mahu bergurau dan buat Syifa bertambah geram.

“Suka hati kaulah!” Syifa ketap gigi. Nasib baiklah bos, kalau tidak, lagi panjang bebelan dia.

Previous: Pengenalan
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.