SELESAI mesyuarat bulanan bersamamanagement team, Syifa terus
masuk ke bilik Juita. Dari jauh dia sudah nampak sahabatnya tersenyum sendiri.
“Amboi, ceria nampak?” tegur Syifa sambil meletakkan
dokumen di atas meja Juita.
“Kenyang dapat makan ikan tongsan!” Juita tersenyum
meleret.
“Ooo… dapat jumpa abang tongsanlah, ya?” duga Syifa.
“Taklah, tapi Iz dah beritahu aku maklumat pasal abang
tongsan ni.”
“Iz cakap apa?” Syifa juga mahu tahu pasal lelaki yang
bernama Jeffrey itu.
“Sah dia seorang jurutera! Iz pernah nampak dia di
tapak projek di Presint 11, Putrajaya.”
“Kan aku dah kata! Aku punya telekan mesti betul
punya.” Tidak habis-habis Syifa memuji diri sendiri.
“Okeylah, aku kena akui yang kau memang bijak menilai
orang,” puji Juita.
“Tapi, diaResident
Engineeratau
kontraktor?” soal Syifa pula.
“Berdasarkan warna topi keselamatan yang dia pakai, Iz
kata dia adalah konsultan kat projek tu. Tapi dia bukanResident Engineersebab kadang-kadang aje dia ada katsite.” Begitulah yang Izuddin
beritahu kepada Juita.
“Kira baguslah kita punya inspektor buat kerja.
Berdasarkan warna topi keselamatan pun dia boleh dapat banyak maklumat,” puji
Syifa.
“La… dekat Putrajaya, setiap projek memang lain-lain
warna topinya. Kalau ada beberapa projek di kawasan yang sama, dari jauh kita
boleh tahu pekerja topi warna tertentu buat projek yang mana satu. Jadi pekerja
tidak boleh sesuka hati berada di kawasan projek lain,” terang Juita.
Syifa mengangguk-angguk. Terlupa pula dia pasal hal yang
satu itu.
“Agak-agak kau, ofis dia kat mana ya? Selalu pulak dia
makan dekat Restoran Sharifah tu,” tanya Juita.
“Mestilah kat kawasan tu jugak. Tak mungkin dia dari
kawasan luar. Dahlah waktu makan tengah hari cuma satu jam aje.” Syifa
memberikan pandangannya.
“Tapi, aku rasa dia bos atau kerja sendirilah.” Juita
menduga. Izuddin memang tiada maklumat lagi pasal syarikat tempat lelaki ini
bekerja.
“Buktinya?” soal Syifa. Kini dia duduk menyilang kaki
pula.
“Dia makan kat situ tak tentu masa. Selalunya pukul
12.30 tengah hari dah ada kat situ. Tapi pernah jugak dalam pukul 3.00 petang
dia minum kat restoran tu,” beritahu Juita. Seingatnya, sudah beberapa kali
jugalah dia perasan abang tongsan makan di restoran popular tu.
“Ya tak ya jugak. Macam kitalah, kan? Sesuka hati nak
makan pukul berapa,” ujar Syifa. Rupanya dalam sibuk, sempat juga Juita
mengintip abang tongsan. Ini memang kira Juita betul-betul suka dengan si
Jeffrey ni.
“Pandai pun kau!” ujar Juita sambil bermain dengan pen
di tangan.
“So, Apa tunggu lagi? Kau tak rasa nak pikat
abang tongsan tu ke? Karang dikebas orang, gigit jari kau.” Syifa bagai sengaja
menduga sahabatnya. Juita ini kalau tidak diprovok, memang perlahan sikitlah
langkahnya. Tetapi kalau pasal projek, laju sahaja!
“Gila kau?” Mata Juita sudah membulat mendengar
cadangan kurang bijak Syifa.
“Sesekali tak salah kalau orang perempuan yang
memulakan langkah,” ujar Syifa. Sahabatnya ini kadang-kadang ketinggalan zaman
juga apabila bab memikat ini. Itu yang dia kena beri tip dan dorongan
kepadanya.
“Tak dinafikan dia kategori yang aku suka. Tapi
setakat untuk mata aku aje.” Juita masih mahu menyembunyikan perasaan yang
dirasa. Tidak mahu sahabatnya dapat membaca apa dalam fikirannya.
“La… ingatkan dah masuk dalam senarai calon-calonnya!”
Syifa masih mahu mengusik.
“Pada kaulah, perkahwinan itu satu jodoh atau
pilihan?” Tiba-tiba Juita mahu tahu pendapat sahabatnya pasal perkara itu pula.
“Nak cakap macam mana, ya? Jodoh itu memang telah
ditentukan TUHAN. Cuma cara mana ia terjadi, itu tetap rahsia ALLAH.”
“Maksud kau?” Juita semakin teruja dengan penjelasan
Syifa. Bukanlah dia tidak tahu pasal hal itu. Syifa sudah bertunang, sedikit
sebanyak kena ambil berat juga pandangan sahabatnya itu.
“Tak kira ia pilihan atau tak, jika dah sampai jodoh
maka terjadilah ijab dan kabul. Tapi kalau memang bukan jodoh kita, di depan
tok kadi pun pernikahan takkan berlangsung,” terang Syifa.
“Bagaimana pulak tentang bercinta selepas kahwin?”
Banyak benda pula yang bermain di fikiran Juita ketika ini. Buat sementara
waktu pasal kerja ditolak ke tepi.
“Kau pun tahu yang kita sama-sama tak ada pengalaman
pasal hal ini. Tapi rasanya bercinta selepas kahwin ada indah dan manisnya,”
sebut Syifa sambil tersenyum.
“Rupanya susah jugak nak buat keputusan. Kita boleh
memilih, tapi ALLAH jua yang tentukan.” Buat seketika Juita cuba menyelami
perasaan sendiri. Soal jodoh memang tidak boleh dirungkai dengan akal yang
cetek.
“Tak payahlah nak pertikaikan sangat pasal jodoh ni.
Sekurang-kurangnya kita tak perlu takut nak mengurat dia yang di depan mata.”
Syifa masih lagi mahu Juita yang terlebih dahulu bertindak.
“Pandailah kau!” balas Juita pula. Untuk dirinya
memulakan langkah, memang tidak sesekali dilakukan! Dia masih mahu menjaga
tatasusila.
“Ada berani mengurat abang tongsan yang segak tu?”
sakat Syifa.
“Sudahlah! Mentang-mentang dah bertunang.” Juita sudah
mencebik.
“Baru tunang, belum jadi suami lagi.”
“Amboi! Macam ada hati nak cari lain aje?” Kini
giliran Juita pula mengusik Syifa.
“Tak adalah. Walau dia jauh beribu batu, dia sentiasa
di hatiku ini,” balas Syifa dengan gaya-gayanya sekali.
“Harap-harap ia bukan sekadar penyedap kata!”
“Kalau dah bercinta, kita kena setia. Jauh di mata
bukan halangan,” ujar Syifa menggambarkan betapa cintanya hanya untuk tunangnya
sahaja.
“Memang beruntunglah si Norman,” puji Juita.
“Sama-sama beruntung sebenarnya!” balas Syifa dan
mereka berdua sama-sama tertawa.
PETANGNYA, Syifa dan Juita pulang awal. Mereka mahu
mengambil angin dan berjoging di Tasik Cempaka. Sudah agak lama juga mereka
tidak berkunjung ke sini. Dahulu, boleh dikatakan saban hari mereka berjoging
dan bersenam di sini. Kesibukan tugas menyebabkan aktiviti sihat ini terpaksa
dilupakan.
“Kenapa kau asyik tengok pokok semalu tu?” tanya Syifa
ketika mereka melepaskan lelah si wakaf yang ada di taman tasik ini.
“Hmm… aku teringin nak jadi seperti pokok semalu itu,”
jawab Juita sambil meneguk air mineral yang dibawa. Peluh di dahi kemudiannya
dilap dengan lengan bajunya.
Mereka ke taman tasik itu kononnya hendak bersenam.
Akhirnya baru satu pusingan berjoging mengelilingi tasik, sudah terasa penat.
Nampak sangat sudah lama tidak menyihatkan badan.
“Nak jadi seperti semalu?” soal Syifa sambil melepaskan
pandangan pada keindahan landskap yang mewarnai taman itu. Terasa nyaman dan
menyegarkan.
“Yalah, pandai jaga diri dan tebal dengan sifat malu,”
jawab Juita penuh dengan pengertian.
“Apasal tak jadi buah durian aje?” Sengaja Syifa
hendak bergurau.
“Ada ke buah durian pulak?”
“Yalah! Buah durian, kan raja segala buah? Hmm… tahan
lasak dengan dugaan dan tidak goyah dengan soal perasaan,” jawab Syifa bagai
memerli pula.
“Huh! Kalau macam tu baik aku jadi landak aje.
Sekurang-kurangnya aku boleh ke sana ke mari. Jadi durian, akhirnya masuk dalam
perut orang jugak,” balas Juita, tidak mahu mengalah.
“Sebenarnya kau nak beritahu apa?” tanya Syifa. Kini
dia sudah bangun dan membuat senaman ringan.
“Aku sebenarnya nak jadi macam-macam, tapi nasib tak
selalu menyebelahiku. Nak jadi anak kesayangan, sejak kecil aku ni tak pernah
dapat bermanja dengan abah aku. Mahu jadi kesayangan suami, sampai sekarang
kekasih pun tak mandang,” keluhnya.
Kini Juita juga turut melakukan senaman ringan. Mahu
terus mengelilingi tasik ini buat kali kedua, memang tidaklah. Sampai rumah
nanti pasti sudah tidak bermaya dan akhirnya tidur. Bermimpi dan terus
mengimpikan kehidupan yang sukar untuk dicapai.
“Kalau kita masih tidak menemui apa yang kita
inginkan, jadilah apa yang kita impikan itu untuk orang lain. Bila orang lain
bahagia, diri juga akan turut bahagia.” Syifa mahu berfalsafah pula.
“Ya ke?” soal Juita.
“Betullah apa yang aku cakap tu. Ops silap, kata-kata
tu aku pinjam dari pakar motivasi.”
“Jomlah kita pekena cendol pulut kat depan tu,” ajak
Juita pula. Tiba-tiba dia teringin makan sesuatu yang menyegarkan. Semasa
sampai tadi, dia memang sudah nampak van yang menjual cendol itu.
“Aku peliklah dengan kau ni. Makan-makan, tapi badan
tak naik-naik jugak,” komen Syifa.
“Metabolisme aku tinggi, makan banyak mana pun takkan
buat aku gemuk,” balas Juita.
“Aku tahu macam mana nak buat kau berisi,” sebut
Syifa.
“Apa dia?” Pantas Juita bertanya.
“Kahwin! Tak lama lepas tu,confirmberisi,” sebut Syifa dan terus
tertawa.
“Betul jugak kan? Lepas kahwin mesti hati senang dan
hidup bertambah ceria.” Juita mengeyakan kata-kata sahabatnya. Ingatkan hendak
membangkang pula.
“Betul! Bila lapar terus makan. Suami balik, temankan
suami makan. Anak lapar, suapkan pulak anak makan. Tanpa sedar nasi pun masuk
jugak dalam mulut sendiri. Kononnya sayang dengan makanan yang berlebihan dan
makan lagi…” Syifa ketawa dan ketawa lagi.
“Kau aje yang macam tu, aku tak,” sangkal Juita namun
dia turut tertawa gembira.