PAGI minggu yang cerah, Jeffrey tidak ke
mana-mana. Dia mengambil kesempatan itu untuk memotong rumput philippine di
halaman rumahnya. Dia memang memilih spesies rumput karpet yang mudah dijaga
dan tidak perlu kerap memotongnya.
Dia juga
memilih konsep landskap yang ringkas dan praktikal untuk kediamannya yang
sederhana besar. Begitupun ia tetap cantik dan menyejukkan pandangan. Di
penjuru kanan rumahnya pula terdapat sebuah kolam mini. Dia turut memelihara
ikan koi tetapi tidaklah banyak. Sekurang-kurangnya dapatlah dia menghiburkan
hati saat memberi makanan kepada ikan-ikan itu.
Setelah
siap memotong rumput dengan lawn mower,
dia duduk berehat di beranda. Lama dia termenung sendiri sebelum dikejutkan
dengan panggilan telefon daripada kakaknya, Janny.
“Akak
sihat?” Jeffrey terus bertanya khabar dalam bahasa Mandarin. Gembira sekali
menerima panggilan daripada kakaknya yang telah berhijrah ke New Zealand.
“Akak
sihat selalu. Sekarang ni ada kat rumah mak mertua.” Janny juga turut gembira
dapat berbual dengan adiknya.
“Akak dah ada kat sini? Bila akak sampai?” Jeffrey begitu
teruja sekali. Maklumlah sudah setahun lebih dia tidak berjumpa dengan
kakaknya.
“Akak sampai semalam dan terus ke Bangsar,” beritahu
Janny. Dia tahu Jeffrey turut rindukan dirinya juga.
“La… Kenapa tak beritahu awal-awal? Kalau tak, boleh Jeff
jemput di airport,” keluh Jeffrey,
sedikit hampa.
“Tak
apalah, saja tak nak susahkan Jeff. Jom keluar dengan akak, Abang Raymond ada
hal pasal bisnes dia, ” ajak Janny.
“Okey,
Jeff terus bersiap dan ambil akak kat Bangsar,” putusnya tanpa berfikir
panjang.
“Tapi
jangan bersiap macam perempuan pulak! Cepat-cepat datang, akak dah rindu sangat
dengan Jeff,” pesan Janny.
“Akak
punya pasal, Jeff mandi kerbau aje!” balas Jeffrey kemudian tertawa pula.
“Suka
hatilah, janji cepat sampai.” Janny juga ketawa mendengar bicara adiknya yang
melucukan.
“Jumpa
nanti,” ucap Jeffrey.
“Okey,”
balas Janny dengan gembira sekali.
Tanpa
membuang masa, Jeffrey terus masuk ke dalam rumah. Dia tidak sabar mahu
berjumpa dengan kakaknya. Janny merupakan anak sulung mamanya tetapi berlainan
bapa. Jodoh mamanya dengan papa Janny tidak panjang dan dia dibesarkan oleh
papanya.
Begitupun,
semasa kecil mereka agak rapat kerana bersekolah di sekolah yang sama. Walaupun
tinggal berasingan, Janny selalu juga datang dan bermalam di rumah mamanya.
Memandangkan wajah Janny awet muda dan kecil molek orangnya, kebanyakan orang
menyangka Janny adalah adik Jeffrey pula. Padahal, Janny tua tiga tahun
daripadanya.
PUKUL
10.30 pagi, Jeffrey sudah terpacak di hadapan rumah mak mertua Janny. Sebaik
bertemu kakaknya, mereka berdua saling berpelukan.
“I miss you so much,” bisik Janny dengan
gembira sekali. Tubuh adiknya dipeluk erat.
“Me too,” balas Jeffrey. Dia juga mengambil
kesempatan itu melepaskan rindu.
“Adik
akak nampak segak sekarang ni. Mesti ramai teman wanita.” Janny memuji selepas
merenggangkan pelukan. Kini, mereka berdua menyambung perbualan dalam bahasa
Mandarin pula.
“Tak
adalah. Adik akak ni, kan pemalu?” balas Jeffrey sambil buat muka poyo.
“Sudahlah!
Nak termuntah akak mendengarnya,” ujar Janny, namun tetap tersenyum.
“Kita
nak ke mana, ya?” soal Jeffrey pula. Dia memang tiada rancangan lagi hendak
berjalan ke mana bersama kakaknya.
“Kat KL
ni akak dah biasa, jomlah bawa akak ke Putrajaya. Naik cruise ke dan belanja akak makan sedap-sedap,” pinta Janny. Saat
ini dia juga rindukan masakan tempatan yang sudah lama tidak dijamah.
“Tak ada
masalah,” jawab Jeffrey sambil membuka pintu kereta untuk kakaknya.
“Wow!
Hebat kereta Jeff,” puji Janny. Tidak menyangka adiknya sudah bertukar kereta
baru lagi.
“Dah
penat bekerja, naklah beli hadiah untuk diri sendiri. Kali ni lama ke akak
bercuti di sini?”
“Tak
jugak, hari Rabu dah nak balik. Abang Raymond memang sibuk sekarang ni. Datang
sini pun semata-mata ada mesyuarat penting pada hari Isnin nanti,” jawab Janny
perlahan.
Dia
sudah berangan hendak bercuti lama-lama di Malaysia, namun tidak kesampaian
pula. Begitupun tidaklah kecewa sangat kerana masih sempat bertemu dan
meluangkan masa dengan adik kesayangan yang amat dirinduinya.
“Alahai…
tak dapatlah berlama dengan akak,” keluh Jeffrey dengan rasa hampa.
“Tulah,
nanti Jeff pulaklah yang datang bercuti ke New Zealand,” pelawa Janny. Setakat
ini, hanya dua kali sahaja adiknya itu berkunjung ke New Zealand.
“Tengoklah
macam mana.”
“Hmm…
macam tak sudi aje menjenguk akak kat sana,” duga Janny.
“Bukan
macam tu, sekarang ni Jeff sibuk sikit. Kena kerja keras kalau mahu bersaing
dengan syarikat maju yang lain,” beritahu Jeffrey agar kakaknya tidak berkecil
hati.
“Okey
tak bisnes Jeff sekarang ni?” Janny juga mahu tahu perkembangan adiknya dalam
dunia perniagaan.
“Bolehlah,
setakat dapat projek yang kecik-kecik aje,” beritahu Jeffrey. Dunia perniagaan
memang ada pasang dan surutnya. Apa yang penting, kena pandai mencari peluang
dan sentiasa menambah kemahiran.
“Tak
apalah, asalkan ada projek. Lama-lama nanti adalah rezeki Jeff,” pujuk Janny.
“Harap-harap
begitulah,” balas Jeffrey.
“Adik
akak ni, bila lagi nak berkahwin? Takkan nak membujang sampai ke tua? Nanti tak
ada siapa yang nak.” Janny bertanya sambil tersenyum.
“Janganlah
cakap macam tu. Jeff pun nak kahwin jugak,” balas Jeffrey. Sambil memandu, sesekali
dia menoleh memandang kakaknya. Perjalanan dari Bangsar ke Putrajaya lancar
sahaja.
“Kalau
dah macam tu, carilah cepat! Akak dah tak sabar nak ada adik ipar,” sebut
Janny. Andai adiknya sudah berumah tangga, bertambahlah bilangan ahli keluarga
mereka yang kecil ini.
“Tak
bolehlah nak cepat-cepat. Kena ikut prosedur jugaklah,” ujar Jeffrey pula.
“Dah
jumpa ke calonnya?” Janny sudah teruja mendengarnya.
“Memang
dah jumpa, tapi banyak benda lagi Jeff kena fikir sebelum ambil langkah
seterusnya,” beritahu Jeffrey.
“Alah,
tak payah fikir lama-lama. Kalau dah berkenan, kahwin aje,” suruh Janny.
“Jeff
memang dah lama berkenan, tapi tak tahulah gadis tu nakkan Jeff ke tidak.”
“Apa
kata Jeff terus bawa akak jumpa dia? Boleh akak tolong cakapkan. Benda baik ni
tak payah nak tangguh-tangguh,” cadang Janny.
“Tak naklah
susahkan akak, nanti Jeff akan usaha sendiri.” Dia menolak.
“nanti jangan
cepat berputus asa pulak. Awak tu dahlah pemalu dan penyegan, kena buang semua
sifat tu. Nak rebut hati perempuan ni kena berani,” nasihat Janny beria-ia.
“Yalah
kakakku…” balas Jeffrey dengan senyuman.
KESEMPATAN
dapat keluar bersama memang mereka gunakan sepenuhnya. Tempat pertama yang
mereka kunjungi pastinya Taman Botani. Jeffrey tahu kakaknya memang suka dengan
keindahan alam dan tumbuh-tumbuhan. Mereka tidak lama di situ dan cuma melawat
sebagian taman. Sambil itu masing-masing bertukar cerita tentang diri sendiri.
Waktu
makan tengah hari, Jeffrey membawa kakaknya menjamu selera di Kelab Tasik
Putrajaya di Presint 8. Memang seronok menikmati hidangan sambil melihat keindahan
Tasik Putrajaya. Pemandangan berbagai bentuk rekaan bangunan di sepanjang
boulevard memang cantik. Tambahan pula landskap lembut yang indah turut memukau
pemandangan. Andai datang pada waktu malam, lagi cantik dan mengasyikkan.
Jeffrey
juga tidak lupa membawa kakaknya membeli belah di Alamanda. Walaupun pusat
membeli belah itu tidaklah sebesar atau standing pusat beli belah yang terkenal
di ibu kota, ia tetap menggembirakan Janny. Mereka berdua memang gembira dapat
menghabiskan masa bersama.