Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
406,873
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 29

JUITA merenung alam yang terbentang luas. Terasa amat indah ciptaan TUHAN. Cuaca yang agak baik buat dirinya mahu mengambil angin di luar rumah. Kemudian melangkah perlahan untuk bersantai di pangkin di bawah pohon rambutan.

Serasanya, usia pohon ini lebih kurang usianya juga. Menurut cerita umi, selepas menanam urinya, abah turut menanam pohon rambutan. Begitulah kebiasaan orang di kampungnya. Semua itu dilakukan agar suatu hari nanti dapat mengingat kembali tentang kelahiran yang amat dinantikan keluarga.

Benarkah? Tetapi kenapa dia tidak pernah merasakan dia anak yang dinantikan kelahirannya? Begitupun adanya pohon itu akan mengimbau kenangan ketika dia dilahirkan ke dunia ini. Biarlah apa yang berlaku berlalu dan meninggalkan memori sedih dalam hidupnya. Mungkin ada sebab abah mendidiknya dengan cara yang berlainan berbanding dengan abang dan kakaknya yang lain.

Tiba-tiba wajah Jeffrey muncul di ruangan mata. ‘Hish, abang tongsan ni! Aku baru nak beri hatiku pada dia, dia pulak bagi aku makan hati! Memang buat aku sakit jiwa dan raga.’ Juita mengomel sendiri. Dia memang berasa geram dan bengang juga dengan kerenah lelaki ini.

Masuk hari ini, sudah lebih seminggu juga Jeffrey menghilang dan tidak menghubungi Juita. Entah ke mana lelaki ini pergi. Di restoran yang selalu Juita kunjungi juga Jeffrey tidak kelihatan.

Kalau tiba-tiba abahnya bertanya, susah juga Juita hendak menjawabnya. Tempoh hari sudah berjanji mahu membawa Jeffrey berjumpa dengan abahnya. Alih-alih apabila dia balik kampung, bayang Jeffrey masih tidak nampak juga.

Ingatkan dirinya yang hendak bermain aci lut dengan Jeffrey, rupanya lelaki itu pula yang memulakan apa yang dia rancang. Sekejap kata mahu berkahwin, selepas itu menghilang pula. Apabila Juita sudah menyampah, boleh pula lelaki itu datang merayu-rayu.

Tatkala Juita sudah okey, lelaki itu pula buat hal. Pening Juita dengan sikap abang tongsan ini. Semasa lelaki itu mengaku dirinya cintakan Juita, dia pula buat tidak endah sahaja. Saat Juita telah membuka hatinya, giliran Jeffrey pula menduga hatinya. Memang bermacam yang Juita rasa ketika ini. Boleh pula rasa rindu dan sayang wujud serentak dengan rasa benci dan geram. Begitukah apabila bermain cinta?

Inilah padahnya apabila hendak jual mahal sangat. Tidak pasal-pasal merana sendiri. ‘Hmm… putus cinta sebelum sempat berkasihlah jawabnya! Ada ke orang yang macam aku ni?’ gumamnya.

Kini Juita mengeluh lagi. Sudah dua hari dia berada di kampung, memang tiada tanda-tanda abang tongsan akan menghubunginya. Dia memang tidak suka dengan perasaan yang hadir ketika ini. Entah kenapa dia boleh terasa hati apabila Jeffrey bagai menyeksanya sedangkan pada masa yang sama dia juga dua kali lima sahaja dengan lelaki itu.

Saat ini dia mengutuk diri sendiri kerana mengambil risiko begini. Memang silap dia juga yang sengaja buat hal sebab mahu melihat apa tindakan lelaki itu. Nampak gayanya dia menunggu sendiri sahajalah. Kalau menelefon pun lelaki itu tidak ingin, apatah lagi mahu mencarinya. Andai Jeffrey tidak mahu bertemu dengannya lagi, kenalah dia pasrah.


HARI Ahad, Jeffrey bertolak ke Gopeng kerana mahu bertanya pasal pakej berkayak dan rafting yang popular di Sungai Kampar. Dia memang mahu bercuti di sini bersama staf-staf syarikatnya dan merancang melakukan aktiviti yang lain juga.

Akhirnya dia terpaksa juga mengambil tanggungjawab ini kerana Azman dan Shahrul agak sibuk dengan projek di tapak pembinaan. Asalnya mereka mahu bercuti bertiga sahaja, tetapi berubah rancangan apabila kena fikirkan juga aktiviti bersama staf. Selain dapat beriadah, boleh juga mengeratkan hubungan sesama mereka.

Pagi tadi, dia tersesat di Kampung Sungai Itek sebelum tiba di Kampung Jahang. Dia tergelak sendiri saat terpandang papan tanda kampung itu. Apabila melihat sekitar kampung dan sungainya, tiada seekor itik pun yang dia nampak!

Tadi, kaki tangan Syarikat Riverbug telah membawanya untuk melawat sekitar kampung. Selain itu, mereka juga pergi ke kebun durian dan kampung yang lain juga. Keretanya memang diparkir di tempat parkir di Kampung Jahang. Tidak sangka pula apabila dia kembali ke sini akan menemui sesuatu yang amat mengejutkan.

Pada mulanya Jeffrey ingatkan dia tersilap orang. Setelah dia menghampiri, ternyata gadis itu memang Juita. Sudah rezeki dia untuk berjumpa gadis idaman hati di tepian sungai. Memang tidak sia-sia dia datang ke sini walau pada awalnya asyik bertangguh sahaja.

Saat ini Jeffrey tersenyum sendiri. Agaknya apabila sudah memasuki alam percintaan, memang banyak terjadi perkara-perkara yang pelik. Dia pun tertanya juga, adakah orang lain pun mengalami berbagai rasa seperti dirinya juga?

Sebelum ini, apabila dia mahu berjumpa Juita, gadis itu asyik mengelak. Peliknya, apabila dia tidak mencari, sudah ada di hadapan mata pula! Bertambah indah apabila dapat berjumpa di tempat yang tenang dan damai.


KINI, sudah lebih sepuluh minit Jeffrey memerhati Juita yang termenung di atas batu besar itu. Sekejap gadis itu merendam kakinya, kemudian tangannya bermain-main di gigi air pula. Kelihatan dia seronok sekali berbuat begitu.

Seketika Jeffrey memandang sekeliling. Kelihatan air Sungai Kampar amat jernih. Dia dapat rasakan betapa airnya juga sejuk walaupun tidak merasanya. Memang sangat mengujakan andai berkelah di sini bersama teman-teman. Pasti menyeronokkan dan dapat melupakan sebentar masalah di pejabat yang tidak pernah habis untuk diselesaikan. Bunyi unggas dan cengkerik yang kedengaran juga amat mengasyikkan.

Jeffrey kembali memerhati Juita yang telah duduk bersila di atas batu. Dia ingin sekali menegurnya, namun tetap ditahan. Biarlah dia puas memandangnya pada saat gadis itu tidak menyedarinya. Andai telah bertentang mata, memang tiada lagi keberanian memandangnya lama-lama.

Akhirnya Jeffrey melangkah perlahan menghampiri gadis itu. Entah bagaimana, dia terpijak ranting kayu pula.

Juita yang terdengar segera menoleh. Sebaik terpandang Jeffrey, terus tersirap darahnya. Tiba-tiba hatinya mula berlainan rasa. Buat seketika dia dan Jeffrey saling berpandangan.

Sorry… Awak buat apa kat sini?” Jeffrey menegur sambil duduk di batu yang berhampiran. Tangannya turut merasai kedinginan air sungai. Memang betul tekaannya sebentar tadi.

“Macam mana awak tahu saya ada kat sini?” soal Juita pula tanpa menjawab pertanyaan Jeffrey. Memang mengejutkan sebaik menyedari abang tongsan yang datang menemuinya di sini.

“Malaysia ni, bukanlah besar sangat pun. Tak payah hendak menyorok, saya pasti dapat jumpa awak.” Jeffrey sudah tersenyum melihat wajah Juita yang berkerut. Pandai sungguh dia menyusun ayat, seolah-olah dia memang sedang menjejaki Juita!

“Siapa yang beritahu awak saya ada kat sini?” Juita mengulangi pertanyaannya. Memang dia terkejut sungguh dengan keberanian lelaki ini. Tidak sangka dia sanggup mencarinya hingga ke kampung. Bertambah pelik, siapa yang beri alamatnya? Tindakan lelaki ini memang susah untuk dijangka.

“Gerak hati!” Sengaja Jeffrey berteka-teki sambil mengukir senyuman manis. Suka dia melihat gadis di hadapannya serba tidak kena. Tentu sahaja Juita tidak menyangka dirinya boleh sampai ke sini.

“Cakaplah betul-betul!” Geram pula Juita dengan lelaki ini. Sengaja buat dia tertanya-tanya pula.

“Saya memang serius dengan apa yang pernah saya cakap kat awak. Kalau tidak, saya takkan sampai ke sini,” jawab Jeffrey dengan tenang. Padahal, semuanya hanya kebetulan sahaja.

Juita mencerlungkan matanya. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang Jeffrey berikan. Memang handallah lelaki ini sampai boleh menjejaki dirinya. Bagaimana Jeffrey dapat maklumat? Tidak mungkin lelaki ini bertanya dengan Syifa dan sahabatnya itu beritahu di mana dia berada.

Adakah melalui facebook? Mungkin juga, namun dia tidak mendedahkan alamatnya buat tatapan umum. Ini yang buat Juita bertambah musykil. Atau Jeffrey menjejakinya melalui gambar yang dia muat turun di facebook?

Kampung neneknya memang terkenal dengan tempat menarik untuk berekreasi. Bukan sahaja popular dengan durian kampung yang enak, jeram dan laluan yang mencabar di Sungai Kampar juga sering jadi pilihan untuk melakukan aktivti seperti berkayak dan rafting.

Di daerah ini juga terdapat dua gua yang terkenal. Gua Tempurung dan Kandu popular dengan stalagmit dan stalaktit yang sangat cantik dengan berbagai warna dan bentuk. Juga tinggalan kesan sejarah semasa Malaya diserang tentera Jepun. Gua kandu sudah jadi destinasi wajib andai mahukan cabaran meneroka gua, begitu juga dengan Gua Tempurung.

“Saya suka kampung awak. Lebih-lebih lagi gadis di hadapan saya ini,” ucap Jeffrey sambil mengenyitkan matanya. Saat ini hatinya berbunga riang.

Juita tidak tahu bagaimana hendak memberi respons. Dia geram dengan telatah Jeffrey, namun turut tersentuh dengan ayat yang dituturnya.

“Tak nak ajak saya datang ke rumah ke? Nak jugak berjumpa dengan keluarga awak. Nanti senanglah saya nak masuk meminang secara rasmi,” usik Jeffrey.

Juita terkedu mendengarnya. Hatinya bagai didatangi perasaan halus yang menyentuh kalbu. Nampaknya lelaki ini benar-benar serius dengan hajatnya. Begitupun, pertanyaan Jeffrey Juita biarkan sepi. Bukan dia tiada jawapan. Dia masih mahu menduga sejauh mana lelaki itu akan mengejarnya.

“Awak? Saya tengah tunggu jawapan awak,” sebut Jeffrey.

“Berapa kali saya nak cakap? Saya tak nak, saya tak naklah!” Pandai sungguh Juita berlakon sampai terlebih geleng. Nasib badan pun tidak terpusing sama. Kalau tidak, tak pasal-pasal jatuh sungai!

“Percayalah, saya hanya mahu bercinta dan hidup bersama awak,” pujuk Jeffrey.

“Kenapa awak ni tak serik-serik dan tak faham-faham?” Juita pura-pura tunjuk muka marah dan geram.

“Sebab saya tetap nakkan awak jugak! Ingat senang-senang ke saya boleh jumpa awak kat sini?”

“Huh, ya sangatlah tu! Apa jaminan cinta awak terhadap saya?” tanya Juita. Entah bagaimana soalan itu pula yang keluar dari mulutnya.

“Jaminan? Er… saya memang tak mampu nak beri apa yang awak nak. Tapi saya akan beri apa yang saya ada untuk awak.” Jeffrey main belasah sahaja. Hanya itu jawapan yang terlintas di fikirannya.

“Macam tu, ya? Tengoklah macam mana, ada masa nanti baru saya fikir.” Juita sengaja berkata begitu.

Seketika tiada bicara antara mereka. Jeffrey yang sudah kehabisan idea memaniskan wajah dengan asyik tersenyum memandang Juita.

“Yang awak asyik senyum kambing tu kenapa?” soal Juita sebaik menyedarinya.

“Takkanlah sebab saya ada janggut, awak samakan senyuman saya yang manis menawan ni dengan binatang tu pulak? Saya punyalah handsome, tak adil, tak adil...”

“Tolong sikit, awak jangan nak terlebih perasan!” ujar Juita pula sambil memaling mukanya ke arah lain.

“Saya memang dah lama terlebih perasan pun. Perasan saya kacak dan perasan ada awek yang suka curi-curi pandang kat saya.” Jeffry sengaja mahu provok Juita.

“Sudahlah!” Juita peluk tubuh dan tarik muka masam.

“Sebenarnya saya tahu awak sukakan saya. Awak memang saja nak jual mahal, kan? Tapi saya tak kisah, saya tetap akan beli walau berapa pun harga cinta awak tu.”

Juita telan air liur mendengarnya. Kini dia mencari peluang untuk pergi dari sini. Lagi lama dia bersama abang tongsan, susah dia nanti.

Tiba-tiba I-Phone Jeffrey berbunyi. Dalam kekalutan Jeffrey mahu mengeluarkan telefon dari poket jaketnya, Juita segera menuju ke keretanya. Sepantas kilat dia masuk dan menghidupkan enjin.

Jeffrey tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya mampu mengeluh dan memandang kereta Waja Juita meluncur laju. Juita, Juita… Bagaimana hendak menang dalam pertandingan merebut cinta ini? Padahal tidak bersaing dengan sesiapa pun!

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.