TERLALU
banyak yang berlaku dalam minggu ini. Penat, susah hati dan berbagai lagi. Rasa
kerinduan yang tiba-tiba menjengah telah membawa Juita ke sini. Kononnya rindu
dengan masakan di restoran popular ini. Padahal, dia rindukan sebuah senyuman
itu. Senyuman abang tongsan yang handsome,
yang comel dan bermacam yang lagilah!
Juita
sudah mahu memasuki tiga siri, namun masih berperangai seperti gadis tidak matang.
Pada mulanya dia cuba berlagak biasa dan menolak apa sahaja rayuan dan
permintaan Jeffrey. Namun sebaik lelaki itu tidak mengganggu hidupnya lagi,
rayuan dan permintaannya jadi igauan setiap malam. Akhirnya dia jadi malu
sendiri apabila dia mula merindui abang tongsan.
Kini, Juita
termenung lagi di biliknya. Sudah beberapa hari juga dia tidak dapat memberi
sepenuh tumpuan pada kerjanya. Seketika dia merenung Blackberrynya lagi. Kenapa pada saat begini baru mengenal erti
rindu? Dia tidak pun bercinta dengan Jeffrey, tetapi kenapa wajah itu yang asyik
mengejarnya?
Kenapa
semasa lelaki itu merayu kepadanya, dia boleh buat tidak reti sahaja? Lelaki
itu seperti ikhlas sahaja dan dia bagai sengaja menyakiti hatinya. Kononnya
mahu mengujinya dan bermain tarik tali. Kini, bagai dia pula yang terikat
dengan lelaki itu walau langsung tiada sebarang hubungan antara mereka!
Masuk
hari ini, sudah dua minggu berlalu. Juita tidak pasti kenapa hatinya mahu
Jeffrey menelefonnya. Semenjak Jeffrey muncul dalam hidupnya, memang buat dia
huru-hara juga. Juita sememangnya semakin resah. Jeffrey telah menghilang lebih
lama dari sebelum ini. Takkan dia pula yang kena menghubunginya atau
mencarinya? Malulah dia. Namun, andai dia berdiam diri dan hanya menunggu,
memang tiada apa yang akan berlaku.
IZUDDIN
menurunkan Juita di hadapan kedai buku. Entah kenapa dia ingin membeli novel
atau buku umum untuk dibaca pada hujung minggu nanti. Tadi dia dan Syifa keluar
makan tengah hari. Hari ini mereka terlewat sedikit mengisi perut, tidak
seperti selalu seawal pukul dua belas sudah ada di restoran.
Sesekali
otak kena dihidangkan dengan bacaan yang ringan dan tidak membebankan kepala.
Syifa pula tidak mahu ikut kerana dia ada mesyuarat dengan klien. Juita tidak
perlu hadir sama kerana ia lebih kepada perbincangan sahaja dan bukan untuk
membuat keputusan penting.
Juita
tidak lama berada di kedai buku. Setelah membeli beberapa buah buku yang
menepati cita rasanya, dia melangkah keluar. Dia memang telah berpesan kepada
Izuddin supaya terus berpatah balik mengambilnya setelah menghantar Syifa ke
pejabat.
Cuaca
sekarang memang tidak menentu. Selalunya panas sampai ke petang dan
kadang-kadang sebelah malamnya hujan turun dengan lebatnya. Andai hujan turun
ketika tengah hari atau awal petang, akan muncullah pelangi. Sudah agak lama
juga Juita tidak pernah menyaksikan pelangi. Asyik sangat dengan kerja, sampai
terlupa pemandangan indah di langit biru.
‘Hish!
Ke mana pulak si Izuddin ni?’ Juita merungut di dalam hati. Pejabatnya dan
kedai buku ini bukanlah jauh sangat. Kini dia terpaksa merasa bahang panas
pula.
Tiba-tiba
sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapan Juita. Dalam sekelip mata,
seorang lelaki keluar dan dia terus ditolak masuk ke dalam kereta. Dalam
kekalutan, Juita pula bagai terlupa untuk menjerit minta pertolongan.
“Eh!
Awak nak buat apa dengan saya?” Juita sudah tidak keruan. Dia meronta untuk
keluar dari kereta, namun kudratnya tidak mampu hendak melawan.
“Boleh
tak awak diam atau saya sumbat aje mulut awak tu dengan kain ni?” arah lelaki
yang menarik dan menolaknya tadi.
Pada
masa yang sama seorang lelaki telah masuk dan duduk di tempat pemandu.
Juita
segera menoleh. “Awak?” jerit Juita sebaik menyedari rupanya abang tongsan
punya kerja.
Tanpa
mempedulikan Juita, Jeffrey terus memecut sebaik orang suruhannya menutup pintu
kereta.
“Awak
nak buat apa dengan saya, hah?” marah Juita. Dia memang tidak faham kenapa
lelaki ini bertindak menculiknya.
“Saya
nak ajak awak makan angin!” jawab Jeffrey bersahaja.
“Awak
jangan nak apa-apakan saya. Buruk padahnya!” ugut Juita. Ketika ini dadanya
masih berdegup kencang akibat situasi yang dialami.
“Boleh
tak awak senyap dan jangan membebel? Karang tak pasal-pasal ada pulak yang
masuk hospital,” ujar Jeffrey pula.
Akhirnya
Juita mengambil keputusan untuk berdiam sahaja. Rasanya lelaki ini tidak akan
membuat sesuatu yang ektrem andai dia tidak melawan. Baik dia tenangkan diri
dahulu.
Lama
juga mereka berdiam dan melayan perasaan masing-masing. Juita memang tidak tahu
hendak kata apa. Memang dia berharap akan berjumpa dengan Jeffrey, tetapi bukan
dengan cara begini. Saat ini buat dia fikir yang bukan-bukan pula pasal lelaki
ini.
“Kenapa
awak tak boleh terima saya? Saya betul-betul sukakan awak.” Akhirnya Jeffrey
bersuara juga.
“Tak
payahlah awak nak banyak cengcong. Awak balik tongsan ajelah. Menyemak aje kat
sini!” ujar Juita dengan perasaan geram. Entah kenapa ayat itu pula yang
terucap.
“Sampai
hati awak halau saya ke negara Puteri Hang Li Po tu? Papa dan mama saya orang
Malaysia tau!” balas Jeffrey. Tidak pula dia marah atau bersuara keras apabila
Juita bagai menyindirnya.
“Kalau
saya dah kata tak nak, tak naklah!” jerit Juita. Padahal bukan itu perasaan
sebenar di hatinya.
“Saya
tak kira, saya tetap nak awak jugak,” tegas Jeffrey, serius.
“Awak ni
tak faham bahasa ke?” marah Juita dengan muka mencuka.
“Tak
kiralah awak nak cakap apa pun, saya akan pastikan awak tetap jadi milik saya,
faham?” Kini suara Jeffrey sudah bertukar nada. Dia memang kena bertegas dengan
Juita. Gadis ini umpama bunga mawar yang ada duri menjaganya. Dia kena bersedia
dan berhati-hati. Tersilap langkah, diri sendiri yang terluka dan berdarah.
Juita
menjeling lelaki yang telah buat dia sesak nafas. Dia sudah tidak tahu
bagaimana hendak melayan kerenah abang tongsan ini. Sudahnya dia melemparkan
pandangan ke luar tingkap. Entah ke mana lelaki ini hendak membawanya, dia pun
tidak tahu.
Seketika
Juita memandang ke hadapan, kemudian menjeling Jeffrey pula. Nampak serius
sahaja lelaki itu memberi tumpuan pada pemanduan. Tiba-tiba, baru dia perasan
jam di dashboard telah menghampiri
angka empat petang.
“Awak,
tolong turunkan saya dekat mana-mana masjid. Sekarang dah dekat pukul empat.
Saya tak solat zuhur lagi.” Juita terus merayu kepada Jeffrey.
“Cakap
dulu yang awak akan terima saya dan setuju berkahwin dengan saya.” Jeffrey
mengambil kesempatan itu mengugut Juita.
“Saya
tak nak berkahwin dengan awak! Tolonglah turunkan saya kat masjid, saya dahlah
tak solat lagi,” bentak Juita. Kenapalah lelaki ini tidak faham-faham?
“Kenapa
awak risau sangat? Masjid ada di mana-mana atau awak nak kita sama-sama bina
masjid hari ini jugak?” Sempat juga Jeffrey mengusik.
“Awak,
tolonglah jangan buat saya macam ni.” Kini Juita terpaksa merayu lagi.
“Ya…
saya tengah carilah ni,” balas Jeffrey buat Juita berasa sedikit lega.
Tidak
sampai sepuluh minit, kereta Jeffrey sudah memasuki perkarangan masjid. Sebelum
Juita melangkah keluar, tiba-tiba Jeffrey merampas beg tangannya.
“Awak ni
dah kenapa?” Juita sudah tidak tertahan dengan sikap lelaki ini. Sekejap okey,
sekejap buat hatinya mendidih pula.
“Saya
nak pastikan awak kembali ke kereta selesai solat nanti,” ujar Jeffrey dengan
muka selamba.
Juita
hanya mampu menjeling Jeffrey. Tanpa membuang masa, dia terus melangkah menuju
ke laluan muslimin. Malas hendak bertekak memandangkan waktu zuhur sudah berada
di penghujung.
Setelah
mengambil wuduk, Juita segera menunaikan solat zuhur. Usai bersolat dan berdoa,
dia beristighfar banyak-banyak. Sudahlah lewat bersolat hingga di hujung waktu,
menghadap TUHAN pula dalam keadaan tidak khusyuk.
Juita
masih duduk di atas sejadah dan bercadang untuk menunggu sehingga waktu asar
masuk. Dalam kepala sudah terfikir untuk melarikan diri ikut jalan belakang.
Semoga lelaki itu tidak menyedari tindakannya.
Saat ini
dia sudah tersenyum dengan idea yang datang. ‘Kau tunggulah sampai esok pagi,
abang tongsan!’ desisnya dalam hati.
Namun,
senyumannya mati tiba-tiba. Baru teringat beg tangannya ada pada Jeffrey. Rosak
pelan dia kerana kad pengenalan, telefon dan segala kunci rumah, ofis dan
kereta ada dalam beg tangannya. Terpaksalah dia melupakan idea yang disangkakan
dapat menyelamatkan diri.
Andai
semua barang peribadinya ada pada lelaki itu, tiada untungnya dia melarikan
diri. Bukan Jeffrey sahaja yang akan tercari-cari dirinya, dia juga terpaksa
mencari lelaki itu untuk mendapatkan semula barang miliknya!
MENGHAMPIRI
lima petang, baru Juita keluar dari masjid. Dia memang sengaja
berlengah-lengah, biar abang tongsan itu penat menunggunya.
Tadi
setelah selesai solat asar berjemaah, dia turut menyertai jemaah yang lain
untuk berzikir dan berdoa. Andai sudah begitu, memang lambatlah habisnya
berbanding melakukannya sendiri.
Sewaktu
menghampiri kereta, terkejut Juita apabila mendapati Jeffrey tiada di dalamnya.
Terus matanya meliar mencari kelibat abang tongsan, namun tiada kelihatan di
mana-mana. ‘Hish! Ke mana pulak dia ni?’ sungut Juita.
Dia terus mencari di sekitar masjid,
namun Jeffrey masih tidak ditemui.Tiba-tiba
dia tergerak hati
untuk melihat ke dalam masjid. Matanya
terpandang sekumpulan jemaah yang masih berada di sudut masjid. Juita segera
menggosok matanya berkali-kali. Rasanya dia tidak tersalah tengok. Benarkah
dengan apa terpampang di hadapan mata?