Bab 6
“Assalamualaikum, angahnya,” lalu salam Pak Seman dijawab perlahan oleh Pak Nuar. Pak Seman terus duduk dipangkin tanpa dipelawa. Pak Nuar sedang sibuk menjahit guni untuk mengisi buah kopi yang telah bocor dipenjurunya.
“Adik buat hal lagi ke andak?” kedatangan Pak Seman mesti bersebab. Dia tidak akan datang saja-saja memandangkan selalu sibuk dengan kerja-kerja kebun dan ternakannya.
“Aku ni sebenarnya malas nak bising-bising, angah. Adik tu pun macam anak aku jugak. Cuma, akhir-akhir ni makin galak dia buat hal. Kemarin dah dipecahnya pasu Asmah tu hah. Semalam pulak dibukaknya reban itik aku tu, habis semuanya lagi bertempiaran. Sekor itik dah tempang kakinya bila adik baling dengan kayu. Aku dah sembelih pun, kesian jalannya dah terhoyong-hayang.” Pak Seman mengambil nafas. Jika diperincikan satu per satu apa yang telah Rima lakukan sudah tentu Pak Nuar akan termenung panjang. Biarlah dia bercakap seadanya sahaja.
“Orang rumah kamu buat rendang ke itik tu, andak? Tak ada pulak kamu nak menghantar ke mari. Dah lama aku tak merasa daging itik kamu yang manis tu.” Sempat juga Pak Nuar mengusik adiknya. Pak Seman ketawa kuat. Abangnya yang seorang itu memang suka berseloroh.
“Tak nyempat nak hantar ke mana-mana, Ita tu ha mengulang-ulang makan. Kebetulan Asmah sekeluarga pun makan sekali di rumah masa tu,” jelas Pak Seman di dalam sisa ketawa.
“Kalau adik tak lempar kayu pada itik kamu, nampaknya tak adalah kamu makan rendang itik, ya andak,” usik Pak Nuar lagi, Pak Seman tersenyum.
“Hmmm...entahlah andak, tak tau aku nak kata apa lagi perangai adik tu.” Sudahnya Pak Nuar serius semula.
Guni yang belum siap berjahit, jarum dan tali tangsi diletakkan di atas pangkin. Sesak dada Pak Nuar memikirkan sikap Rima yang tidak juga berubah biarpun sudah akil baligh. Bukan tidak dimarahi, bukan tidak dibebel dan dileteri tetapi semuanya seperti mencurah air ke daun keladi.
Agaknya begitulah kerenah anak bongsu, tidak makan saman. Bila ditegur beria-ia Rima berjanji tidak akan buat lagi. Janji tinggal janji. Sikap siapakah agaknya yang dicontohi oleh Rima? Ah! Pening Pak Nuar memikirkan.
“Aku ni pun dah naik rungsing dengan adik tu, andak. Kak long dan kak ngahnya tak ada pulak rupa itu. Kadang aku tengok dah macam budak jantan feel adik tu. Dah berbuih aku dan ibunya nasihatkan tapi entahlah, andak.”
“Ha, sebut pasal kak ngah, dah lama aku tak nampak dia, angah.”
“Ada kat kedai along tu ha, sekarang dah siang malam situlah tempatnya. Kalau ada kat rumah ni dia dengan adik, dah macam anjing dengan kucing. Tak boleh dekat langsung,” jelas Pak Nuar dengan malas.
“Angah suruh dia duduk dengan along ke?”
“Tak adalah. Along mintak kak ngah tolong kat kedai tu. Lama-lama dah tak ingat nak balik pulak dia. Along pun tak kisah.” Lain pula halnya dengan anak kedua Pak Nuar, pandai berdikari dan tidak terlalu memeningkan kepala orang tuanya.
“Aku tengok kak ngah tu memang lain sangat, tak macam adik. Tapi, yalah dalam adik-beradik mana nak samanya, lebih-lebih lagi Rima.” Pak Seman membuat perbandingan.
Kedua saudara terus serius memperkatakan tentang Rima.
Mujur Rima masih berada di sekolah. Kalau tidak tentu dia tidak akan senang duduk bila melihat Pak Seman datang mengadu tentang sikap nakalnya. Telinganya akan menjadi tebal lagi bila bebelan ayah dan ibunya mengalahkan bertih digoreng. Hanya tangan Pak Nuar yang belum pernah singgah ke muka. Jauh sekali untuk orang tua itu merotannya.
“Cuba carikan air penawar untuk adik tu, angah. Mana tau jadi lembut hatinya. Kadang aku gerun bila tengok dia memanjat pokok jambu susu aku tu. Tinggi kan pokok tu. Kalaulah jatuh, patah riuk jadinya. Aku tak adalah mendoakan tapi kenalah berjaga-jaga. Itu yang selalu aku jeritkan tu. Masa orang lain sedap-sedap tidur, masa tulah dia suka merayau. Apa-apa jadi tak ada orang nampak nanti.”
Pak Nuar menggaru kepala. Bukan tidak pernah berusaha tetapi belum ada hasilnya. Setiap kali memasak, Mak Lijah akan berselawat dan membaca surah-surah yang melembutkan hati anak-anak. Selepas membaca, ditiupkan dengan lembut ke dalam masakan. Setiap kali sebelum tidur malam Mak Lijah juga akan mengusap ubun-ubun Rima sambil membaca ayat-ayat tertentu.
“Perangai kamu dulu rupa perangai Rima ke andak? Dah lupa pulak aku,” ujar Pak Nuar mengusik Pak Seman lagi lalu keduanya ketawa kecil. Jika dilayan sangat akan lebih menekan lagi pemikiran Pak Nuar yang selalu sarat. Sarat setiap kali memikirkan kerenah Rima.
“Apa pulak ikut perangai aku, angah kan ayahnya...dah tentu dia ikut perangai angah.” Pak Seman membalas usikan abangnya. Mereka sama-sama ketawa. Mesra sungguh hubungan kedua beradik itu.
Sedang mereka saling mengusik, kedengaran Mak Lijah memijak anak tangga. “Ada tamu rupanya! Dah lama, andak?” terpacul Mak Lijah dari atas rumah. Dia yang sedang ralit menjahit tangan sehelai kain batik baru menyedari kedatangan adik iparnya itu.
“Lama taklah lama, kak ngah...tapi dah banyak jugaklah yang kami sembangkan pasal adik. Angah ni pun dah pening semacam je.” Pak Seman berterus-terang. Mak Lijah duduk di anak tangga, dia mahu tumpang sekaki perbualan dua beradik itu.
“Kamu tolonglah tegur-tegurkan adik tu sekali, andak. Dah berbuih mulut kami ni nasihatkan dia. Kalau rasa nak rotan pun, kak ngah tak kisah. Cuma tulah, kalau kak ngah sendiri yang nak rotan, tak gamak lagi rasanya.” Ada sedikit ketawa di hujung kata-kata Mak Lijah.
Sememangnya rotan sentiasa tersangkut pada paku di dinding. Setiap kali Rima nakal, setiap kali itu juga Pak Nuar atau Mak Lijah akan menjeling-jeling ke arah rotan itu. Berfikir sama ada mahu digunakan atau tidak. Pada setiap kali itu juga, mereka cepat-cepat membatalkan niat kerana memikirkan masih ada cara lain yang boleh digunakan. Mereka tidak mahu badan Rima yang kurang berdaging itu akan lebam dan calar dek libasan rotan.
“Kamu tau andak, akhir-akhir ni dia merengek nakkan ayahnya beli motor. Dia kata sampai bila nak naik basikal tua. Malu dengan kawan-kawan yang sama-sama tunggu bas sekolah tu.” Mak Lijah mula bercerita.
“Yang aku tak tahan nak ketawa tu bukan apa, andak. Dia nak aku beli motor merah jambu. Kamu bayangkan kalau aku yang tunggang,” tokok Pak Nuar lalu ketawa. Pak Seman dan Mak Lijah turut ketawa.
“Besar seleranya tu. Adik tu kalau boleh semuanya nak warna merah jambu.” Mak Lijah mengeluh.
“Kita berdoa jelah supaya adik tu akan berubah jugak, ya abang ngah, kak ngah. Dia tu nakal gitu-gitu je. Sampai masa nanti dewasalah dia.” Pak Seman mahu menyedapkan hati kedua suami isteri itu.
“Mudah-mudahanlah andak. Nasib baiklah rumah dekat-dekat ni semuanya sedara mara kita jugak. Masing-masing dah faham dengan kerenah adik tu. Kalau tidak, tak taulah kak ngah nak kata.” Mak Lijah menepis seekor nyamuk yang cuba menggigit tangan kanannya
“Ada jugak budak yang lambat matangnya, kak ngah. Ita pun lebih kurang je...tapi tak adalah sampai tahap memanjat sana-sini atau merayau tak sudah-sudah,” ujar Pak Seman.
Sesekali habuk dari halaman rumah kelihatan berterbangan di bawa angin. Biarpun cuaca agak panas tetapi angin nyaman sering bertiup menjadikan udara terasa segar. Lebih-lebih lagi tumbuhan hijau yang membekalkan oksigen masih memenuhi setiap persekitan rumah Pak Nuar yang luas.
“Heran jugak kak ngah ni. Kalau nak diikutkan adik tak ada abang tapi perangai dia macam budak lelaki. Entah siapa yang diikutnya.” Mak Lijah mendongak ke langit. Langit biru dan cerah dengan awan putih yang bertompok di sana-sini. Nampak cantik bila diamati. Dari jauh awan-awan itu tidak ubah seperti bulu biri-biri.
‘Besarnya kuasa Tuhan!” sempat juga Mak Lijah berbisik memuji keajaiban kejadian ciptaan Allah.
“Takkan kak ngah dah lupa, sepupunya kan ramai lelaki.”
“Dah lama aku kat sini, banyak kerja tak siap nanti. Balik dululah angah, kak ngah. Adik balik nanti, nasihatkanlah dia elok-elok,” sambung Pak Seman lagi.
“Tak tunggu kak ngah bancuh air ke?” barulah Mak Lijah teringat, dia belum menjamu apa-apa untuk Pak Seman.
“Aku menuggu jugak tadi tapi angah tak ada pulak pelawa nak minum ke, apa ke?” usik Pak Seman sambil menepuk belakang Pak Nuar. Pak Nuar tidak terasa hati. Dia hanya tersengih. Begitulah mesranya hubungan mereka. Mak Lijah tumpang seronok melihat kemesraan mereka itu.
“Kenapa kamu tak mintak tadi? Aku ni kalau orang tak mintak, tak adalah aku bagi. Takut orang tak sudi pulak.” Kali ini Pak Nuar pula mahu mengenakan adiknya. Mendengar kata-kata Pak Nuar, Pak Seman ketawa kuat lagi. Mak Lijah menggelengkan kepala.
‘Perangai adik ni menurun ayah dan pak andaknya ke?’ sudahnya Mak Lijah membuat andaian di dalam hati.
“Melayan angah ni tak akan ada sudahnya nanti. Balik dululah, kak ngah.” Mak Lijah hanya mengangguk. Pak Nuar senyum melihat adiknya berlalu pergi.