Home Novel Komedi/Romantik Komedi YANG MANA SATU NI?
Bab 9 ~ Eee... celoparnya mulut dia

“ITULAH Tan Sri... kakitangan sikit punya ramai, yang Tan Sri nak menyibukkan diri juga tu kenapa?” marah Pak Hussin sambil menghulurkan sebotol air mineral untuk diminum dengan ubat darah tinggi yang diambilnya.

Semasa waktu makan tengahari tadi, bila Pak Hussin menghulurkan ubatnya, dia hanya menyikunya sahaja. Kenapa? Malu ke? Selepas menjawab panggilan dari Najmi, tiba-tiba dia berpeluh sejuk dan mengurut dadanya.

“Bukan pasal itulah Hussin... Najmi call tadi...”

Dia masih lagi menyandar di kerusi bilik pejabatnya. Butang baju kemeja sudah dibuka hingga ke paras perut. Pak Hussin pula sibuk memicit remote penghawa dingin untuk mencari suhu yang lebih sesuai.

“Dia dah nak balik?” tanya Pak Hussin berpaling memandang Tan Sri Azizan.

“Dia dah bercerai...” ujar Tan Sri Azizan.

Pak Hussin sama beliak mata. “Habis, si kecik tu macam mana?” Automatik Pak Hussin menyoal bertanyakan tentang cucu Tan Sri Azizan. Dia tahu juga serba sedikit cerita tentang anak sulong Tan Sri Azizan yang bernama Najmi itu.

“Saya suruh Najmi bawak balik ke mari.”

Pak Hussin angguk setuju dengan cadangan majikannya itu. Dia kemudian melabuhkan duduknya di sofa menghadap Tan Sri Azizan yang menyandar keletihan. Duit banyak, rumah besar, tak teringin ke Tan Sri ini menikah lagi? Sekurang-kurangnya adalah isteri yang dapat menjaga makan pakainya. Apatah lagi di waktu tidak enak badan begini. Orang yang kerja kuli itu pun masih merah lagi tanah kubur si isteri sudah mula resah hendak mencari pengganti.

“Tan Sri tak ada cadangan untuk menikah lagi ke?” tanya Pak Hussin tanpa berkira-kira.

“Hukhukhuk!” Tan Sri Azizan tersedak. Bersembur-sembur air mineral yang baru diteguknya itu. Apa hal dia orang semua ni sibuk nak suruh aku kahwin? Desis Tan Sri Azizan.

Pak Hussin memang dah tak sayang mulut lagi. Jika Tan Sri Azizan marah pun dia tidak hairan kerana dia runsing dengan kesihatan Tan Sri Azizan yang tidak terjaga itu. Kebelakangan ini dia dibebankan pula dengan masalah anak yang hanya dua orang itu sahaja. Kalau anak sepuluh macam orang yang tinggal di kampung itu, entah macam mana pula kesihatannya.

Tan Sri Azizan pula dikejutkan dengan pertanyaan itu. Bermakna sudah masuk kali ketiga dia diajukan dengan pertanyaan serupa itu. Baru-baru ini, anaknya Noor Azizah dan Cik Tipah juga ada menyoalnya sedemikian.

“Siapalah yang mahukan orang tua macam saya ni Sin?” soal Tan Sri Azizan sedikit menegakkan badan bila diajukan dengan soalan itu.

Bila sering diajukan dengan soalan itu, mindanya mula berfikir mencari wajah-wajah yang boleh dijadikan teman hidupnya. Lama sungguh dia buat tidak tahu sahaja dengan urusan itu walau di dalam hati ada juga terfikir untuk beristeri lagi. Memandangkan dua anaknya itu masih belum lepas lagi, maka dia pendamkan dahulu hasratnya. Tetapi kesihatannya kebelakangan ini sedikit terganggu dengan kejadian yang menimpa anak lelakinya itu. Sakit peningnya hanya Pak Hussin sahaja yang diberitahu.

“Yang dah ada di depan mata tu, Tan Sri tak nak cuba ke?”

Depan mata? Tan Sri Azizan terus duduk menegak sambil membutangkan kembali baju kemejanya. Dahinya berkerut-kerut hendak menjawab pertanyaan Pak Hussin. Cik Tipah ke?

“Siapa Sin?” Tan Sri Azizan pura-pura bertanya. Padahal dia tahu Cik Tipah ada mencadangkan dia mengambil Nur Najwa setiausaha di Mega Bina Holdings itu. Tetapi mana tahu jika Pak Hussin pula mahu mencadangkan agar diambil Cik Tipah itu sahaja memandangkan wanita itu memang sentiasa ada di depan mata?

“Puan Najwa tu?”

“Hisy! Kamu ni Sin... muda sangat untuk saya tu,” ujar Tan Sri Azizan dengan senyum kelat.

Tidak disangka Pak Hussin dengan Cik Tipah sama sekepala menaruh cadangan agar dia menikahi Nur Najwa.

Alah! Itu semua kan bisa diatur? Desis hati Pak Hussin.

“Itulah Tan Sri ni asyik-asyik nak ambil hati anak-anak dan asyik nak jaga kebajikan orang lain. Diri Tan Sri sendiri, ada sesiapa ke yang nak ambil peduli?” Marah Pak Hussin.

“Waktu macam sekarang ni, siapa yang ada nak ambil tahu? Orang hanya pandai bercakap aje,” tambah Pak Hussin lagi yang tidak peduli sekarang ini. Apatah lagi majikannya itu berkemampuan dari segala segi. “Ustaz Azhar yang dah berbini dua tu pun masih cari lagi, setakat Tan Sri yang mahu mencari pengganti ni, apa ada hal?”

Tan Sri Azizan terdiam bisu. Ada ke Nur Najwa? Muda gila kut? Lebih kurang baya anak-anak dia aje. Sudah pasti anak perempuannya Noor Azizah tidak menyetujui cadangan itu.

“Kalau saya risik-risik dengan Pak Din dan bagi klu sikit, macam mana Tan Sri?”

“Jaja macam mana? Mahu ke dia?” sempat Tan Sri Azizan bertanya masih mengelak kalau boleh.

Pak Hussin merenung wajah lesu yang masih mahu memikirkan soal anaknya yang sudah besar panjang itu.

“Dia tentu suka jika melihat ayahnya sudah ada orang yang jaga,” pujuk Pak Hussin memutar anggapan kepada yang lebih positif.

Tan Sri Azizan mengangkat wajah merenung Pak Hussin. Pak Hussin angguk dengan senyum segaris.

“Lihat sekarang ni aje Tan Sri... mana dia ada di sini hendak menunggu ayahnya? Kalau ada isteri ni lain sikit Tan Sri,” pujuk Pak Hussin lagi.

Tan Sri Azizan angguk faham. Memang benar... waktu sakit inilah terasa mahukan belaian seorang isteri. Macam mana sibuk dan garang isterinya dulu, waktu dia tidak enak badan, si isteri akan berada di samping menemaninya, menyuap makan dan sentiasa menjaga pengambilan ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Tetapi mengapa Pak Hussin cadangkan si Nur Najwa tu? Tan Sri Azizan tidak sudah-sudah memikir.


“NAJWA!”

Suara Tan Sri Azizan yang sedikit meracau mengganggu lenanya itu diperhati oleh Pak Hussin. Entah Najwa mana yang dipanggilnya, Pak Hussin tidak tahu. Mungkin Najwa cucunya kerana berita yang baru diterimanya itu. Hendak terus dikejutkan tadi, nampak macam dia penat sangat. Kelihatan peluh merenik di dahinya. Pak Hussin mendekatkan belakang tapak tangannya ke dahi Tan Sri Azizan. Terasa panasnya berlebihan. Sudah diajak untuk dihantar berehat di rumah sahaja tadi... dia menolak pula dengan alasan mahu berehat sekejap untuk melepaskan penatnya.

Pak Hussin cepat keluar dari bilik itu mendekati Nur Najwa yang tumpang berkongsi meja dengan Tina. 

“Pak Hussin rasa kamu kena panggilkan doktor peribadinya...” ujar Pak Hussin yang kelihatan cemas itu. “...badan dia panas sungguh.”

Nur Najwa angguk. Dia cepat mendail nombor doktor peribadi Tan Sri Azizan untuk segera ke situ bagi memberikan rawatan. Dia kemudian sama mengekor Pak Hussin ke bilik pejabatnya di mana Tan Sri Azizan dari tengahari tadi tumpang berehat.

“Anak dia mana?”

Nur Najwa bertanyakan tentang Noor Azizah. Sepatutnya Noor Azizah sudah datang melihat ayahnya yang dari tadi sudah diberitahu.

Pak Hussin hanya menggelengkan kepala. Dia pun hairan dengan anak gadis Tan Sri Azizan yang dulunya sangat peramah dan baik budi pekertinya itu tiba-tiba berubah laku. Macam ada sesuatu yang tidak kena hendak dicemburukannya.

“Nanti saya cuba call lagi,” ucap Nur Najwa sambil keluar dari bilik itu.

Nur Najwa kemudian masuk lagi dengan membawa sebekas air dan kain tuala kecil.

“Nah! Pak Hussin tolong lapkan dahinya dengan tuala ni...” Suruh Nur Najwa sambil tuala itu dibasahkan dengan air dan diperah pula. “...sementara nak tunggu doktornya sampai,” tambahnya lagi.


TAN Sri Azizan sudah dibawa pulang ke rumah. Selepas memapah Tan Sri Azizan ke biliknya, Pak Hussin turun semula ke bawah. Nur Najwa masih sedang membantu majikannya untuk mendapatkan kedudukan lebih selesa sementara Cik Tipah sibuk di dapur memasakkan bubur yang diminta.

“Ubat yang ni, lepas makan nanti Tan Sri,” beritahu Nur Najwa selepas menunggu majikannya itu mengambil beberapa jenis ubat yang harus diambil sebelum makan.

“Jaja mana?” tanya Tan Sri Azizan yang duduk menyandar berlapiskan beberapa biji bantal. Dia perasan sejak pagi dia tidak nampak kelibat anak perempuannya itu.

“Saya tak dapat nak hubungi dia Tan Sri. Hensetnya kehabisan bateri, barangkali,” tambah Nur Najwa lagi. “Tapi saya dah tinggalkan nota untuknya di pintu bilik pejabat saya tadi.”

“Awak tunggu saya di sinilah sampai dia balik nanti, boleh?” pinta Tan Sri Azizan yang kelihatan sangat letih sekali.

Nur Najwa pula tidak fikir panjang. Apa salahnya dia menunggu majikannya itu yang memang sedang bersendirian? Bukannya mereka tinggal berdua-duaan sahaja di dalam rumah itu?

Nur Najwa angguk. “Boleh Tan Sri, no hal,” jawabnya dengan senyuman segaris.

“Tolong ketepikan bantal ni, tinggi sangat pulak,” suruh Tan Sri Azizan yang terasa mahu melelapkan matanya sementara menunggu Cik Tipah menyiapkan bubur nasi yang dimintanya.

Nur Najwa mendekati katil majikannya. Kepala lelaki itu diampu dengan sebelah tangan, manakala tangan yang sebelah lagi menarik bantal yang tadi dilapis semasa diberi makan ubat.

“Hoi! Dah pandai masuk sampai ke bilik tidur ni, apahal?” Tanya Noor Azizah di muka pintu.

Dua kepala sama berpaling ke pintu. Bunyi suara yang menegur itu tidak enak benar menerjah ke lubang telinga.

“Jaja! Huk! Uhuk!” Tegur Tan Sri Azizan sambil terbatuk-batuk.

“Ayah pun bukan main melayannya, kenapa?” Noor Azizah terus menyerang. “Jangan nak buat-buat terbatuk pulak, Jaja dah nampak dengan mata Jaja sendiri.” Menyinga betul dia dengan insiden yang dilihatnya itu.

Perempuan ni memang dasar nak tangkap ikan jerung agaknya, bisik hati Noor Azizah. Selepas beberapa bulan bekerja dengan ayahnya, sekarang ini cerita tentang Nur Najwa semua sudah ada di dalam koceknya.

“Jaja cakap apa ni?” soal Nur Najwa pula yang memang benci kalau diserang tanpa mengetahui apa sebabnya.

“Saya bukan Jaja awak, jadi tak payah nak tunjuk mesra dengan saya,” marahnya terus membara. Entah kenapa rasa cemburunya dengan wanita yang bernama Nur Najwa itu meluap-luap pula rasanya semenjak dia mula bekerja sama sebumbung dengannya. Sana sini orang memperkatakan tentang kebaikan Nur Najwa... sehingga Karl yang baru ditemui kembali itu juga sama sibuk mahu tahu tentang Nur Najwa.

“Maaflah Tan Sri, anak Tan Sri dah ada ni, elok saya balik dulu,” ujar Nur Najwa sama naik geram. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja rasanya ditampar mulut yang berbunyi sangat kurang ajar itu. Macamlah kita ni tak kenal dosa pahala sengaja hendak berpeleseran dengan ayahnya di bilik itu, desis Nur Najwa.

Tan Sri Azizan hanya mengangguk kecil beberapa kali. Dia kelihatan memang tidak larat benar hendak berhujah dengan anak perempuannya yang sudah mula berubah laku itu. Dia terus memejamkan mata.

Noor Azizah yang tidak dilayan oleh ayahnya itu makin tambah geram. “Ayah jangan nak pura-pura tidur pulak. Jaja nak ayah cakap dengan Jaja, apa perempuan tu buat dalam bilik ayah tadi?”

“Jaja!” Suara Cik Tipah mematikan pertanyaan Noor Azizah terhadap ayahnya. “Ayah Jaja tak sihatlah, Puan Najwa dan Pak Hussin yang hantar dia balik ke sini tadi,” ujar Cik Tipah sambil meletakkan dulang yang berisi bubur nasi dan air suam yang diminta oleh Tan Sri Azizan semasa dia baru sampai tadi.

“Hai? Cik Tipah tak boleh urus ayah, kenapa perempuan tu pulak yang disuruh masuk ke bilik ni? Berdua-duaan pulak tu?” Jawab Noor Azizah tidak mahu kalah. Dia menunda Cik Tipah yang keluar dari bilik itu hingga ke mata tangga.

“Yalah... nanti ayah dah sihat, Cik Tipah sarankan agar mereka berdua menikah aje. Biar senang sikit ayah Jaja nanti ada orang yang nak layan sakit pening dia,” ujar Cik Tipah yang tadi sudah berbual dengan Pak Hussin di dapur membincangkan tentang kesihatan Tan Sri Azizan yang kini tiada siapa yang ambil peduli.

Tan Sri Azizan di biliknya itu mendengar terang dan nyata hujah Cik Tipah. Dia tidak kisah kerana anak daranya itu sedari kecil dibesarkan oleh Cik Tipah. Sekali sekala, jika sudah melanggar tatasusila, dia wajib ditegur juga.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh