Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 19

SANGKAAN Haris, dia dapat pulang dengan tenang. Mana tahu ketenangan dia diragut sekelip mata ketika terserempak dengan Dara di ruangan parkir kereta. Lebih memburuk, buat pertama kalinya dia diperlihatkan air matanya.


Itu pantang Haris. Dia pantang nampak air mata perempuan. Sepanjang  pemanduan ini juga dia diperdengarkan dengan sisa sedu-sedan Dara yang tiada berpenghujung.


"Saya dah cakap kan...Saya tak suka dengar bunyi tu. Kenapa lambat sangat nak hilangkan sedu-sedan awak tu?" Dah berbuih mulut Haris bercakap hal yang sama. Dan sejak dari tadi Dara ingkar arahan.


Biarpun tangisan Dara sudah terhenti. Namun bunyi itu masih menjadi alunan lagu yang menghiasi perjalanan mereka. Bunyi sedu-sedan itu yang mengatasi semua lagu-lagu yang berputar di corong radio. Sedikit sebanyak, bunyi itu menganggu fokus memandu dia.


Dara mengesat hidungnya yang basah. Sehabis baik dia cuba menahan. Tetapi sedunya tetap juga yang gagal memproses arahan. Inilah padahnya dia menangis hampir setengah jam di dalam kereta. Muncul pula Haris pada waktu yang salah.


"Tak boleh ke awak jangan cengeng sangat? Kalau Emir, mungkin suka lah awak buat drama air mata. Tapi saya tak suka." Kata Haris sedikit geram.


"Saya pun tak nak bakal isteri saya lembik. Sikit-sikit menangis."


Ekor mata Dara menjeling Haris.


"Untuk pengetahuan Tuan Haris, saya tak ada buat penerimaan secara lisan mahupun bertulis bahawasanya saya terima tawaran menjadi isteri awak." Suara Dara tenggelam-timbul diselang dengan sedu.


"Sila buat pertimbangan semula kalau awak berniat nak melamar saya yang cengeng ni." Kata Dara lagi. Biar Haris hapuskan niatnya nak memperisterikan dia.


Kerlingan Haris singgah pada Dara yang buang pandangan ke luar tingkap. Baru dia tahu, lembut-lembut Dara itu pun ada sisi bentaknya juga. Bentakkannya pun masih boleh dikategori sopan lagi.


"Bila kita nak sampai? Dah dekat satu jam awak bawa saya entah ke mana-mana..." Dara sudah sudi untuk bercakap dengan Haris, biarpun sebenarnya dia menangis kerana marahkan lelaki itu.


Terdengar keluhan panjang datangnya dari Haris. Keluhan itu yang membuatkan Dara menoleh. Apa dia sudah salah cakap? Apa dia telah membebankan lelaki ini gara-gara dia menangis seperti meratapi pemergian seorang suami? Ditambah pula, Haris terpaksa menjadi pemandu yang menghantar dia pulang.


"Kalau saya hantar awak balik satu jam yang lepas, mak awak mungkin tak akan benarkan saya balik. Dan saya perlu perlu buat karangan tidak lebih dari seratus patah perkataan, apa yang terjadi pada awak sampai bengkak-bengkak mata."


Dara terdiam. Ada betulnya kata Haris. Sudahlah lelaki ini lelaki pilihan emak. Lelaki yang menjadi igauan emak untuk dijadikan menantu. Silap haribulan, Haris tidak dibenarkan pulang.


Dara gigit dinding bibir. Serba salah pula kerana menyusahkan Haris. Mahu membalas jasa lelaki ini dari segi wang ringgit, memang diluar kemampuan. Kalau dia mengajak Haris pulang makan di rumah, dia berani potong jari. Emak pasti akan sibuk canang segala kebaikkan Haris.


"Kalau awak ada niat nak hantar saya balik rumah, abaikan! Orang tua saya memang nak sangat jumpa bakal isteri saya. Dalam keadaan awak sekarang ini, saya yakin...Papa dengan mama saya mesti suruh kita menikah sekarang juga!" Haris beri amaran keras. Meranap segala rancangan Dara.


Bukan main laju Dara menoleh. Dia merenung Haris dalam-dalam. Lelaki itu masih bersahaja. Apa yang membuatkan dia terkejut, Haris itu dapat menebusi fikirannya. Haris dapat membaca apa yang sedang dia fikirkan.


"Saya berani jamin, orang tua saya fikir mungkin saya telah mengapa-apakan anak dara orang bila tengok awak menangis seteruk ini. Jadi, niat awak yang ini, awal-awal saya pangkah keras." Kata Haris lagi.


Kalau Haris hantar dia balik, Haris mahu pulang dengan apa? Dara tahu, Haris meninggalkan keretanya di balai semata-mata mahu menghantar dia pulang. Gara-gara dia gagal mengawal tangisan dia yang menggila tadi.


"Lagipun, saya hanya hantar. Bukan nak masuk rumah awak ziarah orang tua awak. Cukup sekadar sampai pintu pagar, saya akan cepat-cepat pergi." Dara betulkan apa yang salah pada ayat Haris. Cara Haris, macam ingin mengajak dia masuk untuk menyapa ke dua orang tuanya.


"Saya jarang-jarang balik rumah, Dara. Kepulangan saya hari ini, sememangnya di tunggu-tunggu. Boleh jadi mama saya akan berkampung depan rumah. Mungkin juga mama saya tumbangkan seekor lembu untuk meraikan kepulangan saya. Kalau mama saya buat kenduri, awak langkah kanan. Mama saya tak tunggu lama buka cerita hal perkahwinan."


Daripada cerita ringkas lelaki ini, Dara dapat rasakan hubungan mereka anak beranak nampak tidak baik. Jadi, kenapa Haris sungguh-sungguh menyatakan Dara itu bakal isterinya? Ataupun ini sekadar helah semata-mata supaya Dara melupakan terus Emir? Dan selepas dia berjaya menghapuskan nama Emir, Haris dengan bersahaja akan berkata dia tidak pernah berniat untuk memperisterikan dirinya?


Dara geleng kepala.


Haris itu memang licik!


Dara rasa, Haris hanya memanipulasikan keadaan dia saja. Perkataan 'bakal isteri' itu pula sekadar untuk menarik perhatian Dara daripada Emir. Emir itu hanya menjadi suspek. Selagi belum ada bukti mengatakan Emir itu salah, selagi itu Emir itu tetap lelaki budiman yang pernah dia jumpa.


"Kalau macam tu, awak fikirkanlah cara. Saya tak nak bawa awak balik ke rumah, dan saya pun tak nak ke rumah awak." Putus Dara.


Eloklah!


Dara takut ketahuan dek emak bahawa Haris yang menghantar dia pulang. Begitu juga Haris. Otak Haris itu kan bijak, jadi Dara serahkan kepada lelaki ini menyelesaikan masalah mereka berdua. Memang salah Haris pun. Sepatutnya Haris biarkan saja dia menangis sendirian di sana. Tak perlu pedulikan dirinya.


"Saya lelaki. Tak balik malam, bukan masalah besar bagi saya. Tapi, awak! Satu malam tidur dalam lokap, mak awak tahu tak?"


Bertempiaran lari semua rasa leganya tadi sebaik menyerahkan kepada Haris sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah. Kini, menjadi masalah Dara pula. Ini yang Dara ratapi seperti orang gila sebentar tadi. Gara-gara Haris, dia tidak pulang sehari semalam. Gara-gara Haris lah, buat pertama kalinya dia menjadi anak perempuan yang tidak elok perangainya. Gara-gara Haris l juga, Dara tidak punya ayat untuk memberitahu emak ke mana dia pergi satu malam ini.


"Kalau saya jadi mak awak, saya akan berdiri depan pintu pagar sambil pegang batang penyapu. Nampak je awak sampai rumah, terus saya hambat!"


Kejayaan Dara menyurutkan kemarahannya secara perlahan-lahan, kecundang. Namun, ayat Haris yang ini menambahkan ombak tsunami yang menaikkan semula kemarahannya. Perlu diingatkn juga bahawa kesabaran Dara ada hadnya jugak.


Di dalam kegelapan, Dara mencari sorotan Haris. Dia perlu bersuara demi menjemput kesedaran lelaki itu.


"Salah awak juga, Haris! Awak yang buat laporan mengenai saya dan awak yang sumbat saya dalam penjara. Maka, dengan sengajanya awak halang saya balik berjumpa dengan keluarga saya. Awak yang buat mak saya risau." Ada getaran pada suara Dara. Dia mengetap bibir. Dalam waktu yang sama, dia cuba menahan empangan matanya pecah.


Haris hela nafas panjang. Dia tak suka dengan nada suara Dara. Dia boleh agak, bila-bila masa saja Dara akan hamburkan tangisannya. Tangisan itu lama kelamaan bakal bertukar sedu-sedan yang menyakitkan pendengaran dia.


"Sebab tu saya hantar awak balik. Biar saya yang bercakap dengan mak awak." Haris cuba memujuk.


Dara palingkan muka. Dia sedang mengusir jauh kesedihan dia. Dia tidak mahu menangis di hadapan lelaki ini lagi.


Dara rasa, dia tidak punya pilihan. Dia terpaksa pertemukan emak dan Haris. Sekurang-kurangnya, biar emak tahu betapa eloknya budi bahasa Haris. Biar emak terkejut dengar ayat-ayat belati milik Haris. Biar emak pangkah terus Haris daripada menjadi calon menantu.


Haris benar-benar mengotakan janjinya. Dia benar-benar turun dari perut kereta berjumpa dengan emak. Cuma, Dara tidak dibenarkan turut serta. Dia diusir masuk ke dalam rumah. Hanya emak dan Haris yang bersembang di pankin rumah.


"Itu ke Haris yang mak nak sangat jumpa..." Dira panjangkan leher ke luar tingkap.


Bukan main terkejut Dira bila kakaknya yang menghilangkan diri sehari semalam, kemudiannya muncul di depan pintu bersama dengan seorang lelaki. Tak cukup dengan itu, kakaknya menyampaikan hasrat lelaki itu ingin berjumpa dengan emak di luar. Malah, mereka sengaja menjauhkan diri supaya perbualan mereka tidak didengari.


"Kak!" Panggil Dira lagi bila kakaknya diam. Sempat dia mengekori langkah Dara yang menghampiri pintu bilik.


"Jangan masuk campur urusan orang tua." Titip Dara kemudian menghilangkan diri sebalik pintu.


Dira garit kening. Emak, ya memang tua. Tapi, Haris itu belum lagi  dikategorikan tua. Masih elok paras rupanya. Cuma, Haris itu nampak serius saja berbincang dengan emak. Sudahnya Dira hanya membiarkan Dara lesap ke dalam bilik tanpa menahan lagi.


Dara mahu rehatkan diri. Apa yang dia ingin tahu, esok pagi dia tidak menerima amarah emak. Itu janji Haris. Janji Haris, emak tidak akan berleter panjang. Emak tidak akan banyak soal perihal kehilangan dia.


Besar harapan Dara bahawa Haris tidak akan menyebut hal dia meringkuk dalam penjara. Itu juga merupakan salah satu janji Haris setelah dia dan lelaki itu sebulat suara setelah hampir satu jam bertegang urat. Mana tidaknya, semua ayat lembut-lembut dia dibalas cukup pedas oleh Haris. Bagaimana mereka ingin menemukan jalan penyelesaian?


Enggan ambil pusing. Pandai-pandailah Haris bersoal jawab dengan emak. Esok kalau emak masih marah-marah, Dara akan buka semua keburukkan Haris tanpa ragu-ragu.


Di luar, Haris sudah pun beritahu hal yang sebenar. Tiada apa yang perlu dia sembunyikan hal tersebut daripada pengetahuan Makcik Lijah. Makcik Lijah pun sudah kenal benar dengan sikap Dara yang kurang memberi kerjasama.


"Kalau Dara tahu, macam mana?" Ada sedikit gusar di hati tuanya. Dara itu sudah acap kali tertipu.


"Jangan risau. Pegang kata-kata saya, makcik. Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya atas kekecewaan Dara."


Ada senyuman tipis yang terukir di bibir wanita tua itu.


"Dara ada buat hal semalam?" hati tuanya kuat mengatakan Dara sedang melakukan hal yang salah sehingga tidak pulang ke rumah. Dia merasa lega bila Haris menghubungi dia, mengatakan Dara bersamanya. Keadaan Dara baik-baik saja.


"Saya masih boleh kawal dia, makcik."


Lagi, senyuman Makcik Lijah menyapa Haris. Dia juga mampu merasa lega melihat wajah tua itu. Selagi Makcik Lijah meletakkan kepercayaan dan memberi restunya, selagi itu dia yakin dapat mengotakan niatnya untuk memperisterikan Dara.


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.