Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 55

Sejak kejadian beberapa bulan yang lalu, Haris buat keputusan yang tersangatlah drastik dalam sekelip mata. Keputusan yang Dara sendiri tidak menjangka. Berkali-kali juga dia bertanya pada Haris akan hal tersebut untuk pengesahan.


“Why? Don’t you believe me?” Haris bersuara bila terpandang muka isterinya. Muka sarat dengan tanda tanya.


Jangan kata Dara. Semua juga merasakan hal yang sama. Mereka yang sebidang dengan suaminya juga bakal rasa tidak percaya. Buktinya, dia menerima panggilan daripada bekas pihak atasannya bertanyakan keputusan diambil oleh Haris. Bahkan dia juga diminta untuk melancar operasi memujuk. Sekarang, Dara sedang menurut perintah. Dia sedang cuba memujuk suaminya.


“Tentulah percaya.” Ujar Dara sambil tersenyum.


Bila hilang arah untuk memujuk, jari Dara bermain pada dada Haris. Bergerak-gerak tanpa arah. Pandang muka Haris pun tidak. Entah kenapa Dara dapat rasakan pujukan dia tidak akan berhasil.


“Cakaplah…Abang tahu ada yang D nak cakapkan.”


Pandangan mereka bertaut. Tiada apa yang mampu disorokkan. Haris cukup mengenali dirinya. Haris tahu ada sesuatu yang ingin dia bincangkan.


“Abang dah fikir masak-masak? Sjn Shahiran pun minta abang pertimbangkan semula.”


Tanda positif pertama yang dia terima, Dara diperlihatkan lesung pipit yang cukup dalam terbentuk di kedua belah pipi suaminya. Keduanya, boleh jadi Haris akan tarik semula keputusannya kelak. Siapa tahu kan?


“Bukan Tuan Razif?” Soal Haris bersama senyuman masih mekar, sebelah kening naik tinggi.


Sjn Shahiran itu hanya orang tengah antara Tuan Razif dan Dara. Mula-mula memang Tuan Razif berhubung terus dengan dia. Disebabkan kekangan masa, Sjn Shahiran diberi mandat untuk bertanya perkembangan hal keputusan mendadak Haris. Apatah lagi Haris sering mengelak untuk berjumpa. Ada saja alasannya.


“Mereka semua sepatutnya berpihak pada abang. Macam mana dia orang semua boleh belot? Dia orang sedang gunakan kelemahan abang supaya kembali bekerja.” Ada kesalan di hujung ayat Haris.


Bukan membelot. Mereka terlalu sayangkan Haris. Mereka suka bekerjasama dengan suaminya. Suaminya pernah menerima anugerah pekerja cemerlang. Malah Haris sangat berdedikasi, sangat telus dan adil. Itu antara pujian yang dia dengar demi memujuk suaminya. Segala pujian terhadap Haris itu membuatkan Dara turut berbangga dengan pencapaian suaminya.


“Boleh abang pertimbangkan semula?” Dara berikan senyuman terbaik dia ada. Dia berharap Haris dapat fikirkan dengan lebih mendalam.


“Boleh…”


Semakin bersinar sepasang mata Dara, bibirnya juga merekah senyuman yang sukar digambarkan betapa gembiranya dia.


“Tapi keputusan abang tetap akan sama.”


Senyuman Dara hampir-hampir tersasar sebelum dia ketawa bagi mengambus rasa kekok yang bertandang. Kali ini Haris duduk menghadap dirinya pula. Merenung dalam-dalam sampaikan Dara hampir saja melarikan pandangan mata.


“You should be happy…Abang akan sentiasa ada dengan D, dengan anak.”


Dara akui hal tersebut bila Haris buat keputusan mendadak untuk pencen diusia muda. Keputusan itu dibuat oleh Haris tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu. Atas alasan suaminya tidak bahayakan diri lagi. Malah tak perlu pening kepala dengan kerja dan melindungi dia dalam waktu yang sama.


Tetapi, Dara sedar. Dia terlalu pentingkan diri. Ramai yang lebih memerlukan Haris sebenarnya.


“You know Haris…” Kata-kata Dara terhenti. Dia sedang mencari kekuatan untuk merelakan Haris bekerja semula. Itu isteri pertama Haris. Dan Dara tidak akan merampas tahta tersebut. Dia akan kekal yang bongsu. Yang manja.


“D jadi orang yang terlalu tamak bila dengar abang nak berhenti kerja…And I’m happy! So happy…Sampaikan D terfikir nak suruh abang jaga anak dua puluh empat jam nanti. Dan anak kita akan dapat perhatian secukupnya. Bukan macam D, kurang kasih sayang sebab kerja abang.”


Ketawa budiman Haris meletus. Tetapi tidak pula Haris membantah. Mungkin suaminya setuju untuk menjaga anak mereka dua puluh empat jam seperti saranan dia. Atau Haris ketawa gara-gara merasa disindir. Terlalu banyak kemungkinan.


“Lebih bagus, tak perlu juga D tunggu kepulangan abang berhari-hari…Kadang-kadang balik pun tak menentu, orang semua dah lena baru abang nak balik. Tak balik seminggu pun pernah.” Riuh Dara mengungkit semula apa yang dia lalui sejak bergelar isteri kepada Hilman Haris.


Itulah hakikat yang perlu Dara tempuh sebagai isteri kepada anggota. Haris itu pernah juga hampir azan subuh barulah nampak kelibatnya. Belum lagi pandang wajah lesu Haris. Melihat keadaannya yang letih tidak cukup tidur saja membuatkan Dara turut merasa simpati. Tetapi suaminya bijak menutup segala kepenatan dengan tersenyum. Malah, bukan tilam yang dituju Haris. Keadaan dirinya dan kandungan yang sering menjadi hal utama setiap kali pulang.


“But I realise…”


Haris menongkat kepala dengan tangan. Seolah-olah sedia mendengar ayat seterusnya dari mulut Dara. Ayat yang akan mengembangkan semua bunga-bunga yang sedang mekar di taman hatinya.


“Ramai yang memerlukan abang di luar sana. Tanpa abang dan yang lain-lain, siapa nak jaga keamanan negara? Siapa nak pantau keadaan ketika semua sedang enak dibuai mimpi? Siapa yang nak gadai nyawa kejar semua penjenayah? Siapa yang nak tegakkan keadilan untuk golongan yang ditindas?”


“And trust me, anak mesti rasa bangga bila dengar siapa daddy dia. Siapa tahu suatu hari nanti anak kita akan ikut jejak daddy dan mommy?" Penuh semangat Dara bersuara. Turun naik tangan dia, dan akhirnya tangan jatuh pada perutnya yang membukit. Diusap perlahan. Hasilnya, dia menerima tendangan lembut dari dalam.


“See…Anak abang pun sokong.” Tersenyum Dara bila merasakan perut dia menerima gerakkan. Malah dia menarik tangan kasar milik Haris mendarat pada perutnya.


“Good boy!” Haris bukan saja memberi usapan, dia juga memberi pakej ciuman sekali.


Hilang senyuman Dara. Yakin benar Haris. Dua kali mereka lakukan imbasan, dua kali itu jugalah anak mereka tidak memberikan kerjasama untuk mengetahui jantinanya. Kalau perempuan macam mana?


“Abang suka hujah D.”


Pujian Haris itu, Dara sambut dengan senyuman. Mata dikerdip sekali. Suka dirinya dipuji!


“Abang suka pujian melangit dari isteri tercinta.”


Tadinya, senyuman itu hanyalah beberapa inci. Kini senyuman Dara menjadi sejengkal lebarnya gara-gara ‘isteri tercinta’.


“Abang suka bila isteri abang prihatin, tahu skop kerja abang.”


Lagilah Dara suka dilabelkan sebagai isteri yang serba tahu hal suaminya. Bukan kembang semangkuk, tapi sedulang rasanya.


“Tapi abang lagi suka kalau isteri abang fokus diri dia dan anak yang menunggu masa untuk keluar.”


Kurang seinci senyuman Dara. Tidak mengapa, dia tidak berkecil hati. Nasihat itu memang patut pun dia amalkan. Dia perlu belajar dahulukan dirinya mulai saat ini, barulah dia memikirkan orang lain.


“Dan abang lagi suka kalau isteri abang percaya pada rezeki. Kalau tertulis rezeki abang sampai sini, abang terima. Mungkin rezeki abang ada di tempat lain. Kita boleh buat family business, atau kerja dengan papa abang. Papa mesti suka.”


Tadinya, keyakinan Dara hampir sampai ke puncak. Dia merasakan dia hampir berjaya melembutkan hati suaminya supaya tarik semula keputusannya. Siapa tahu, keyakinan dia runtuh dalam sekelip mata. Dia sebenarnya masih gagal dalam bab pujuk-memujuk.


“Abang dah lupa apa jadi berapa bulan lepas?” Kalau bahasa lembut tidak mampu melembutkan hati Haris, dia akan gali semula kejadian mereka diserang. Kejadian yang membuatkan mereka terpaksa berpindah ke tempat lebih selamat.


“Not again, Dara…” Haris tidak mahu berperang dengan isterinya.


“Duduk, Haris.” Dara tidak akan biarkan Haris mengelak. Ulang berpuluh-puluh kali cerita ini pun dia sanggup asalkan Haris kembali bekerja.


“Bila dia orang dapat tahu abang tumpaskan ketua mereka, mulalah anak-anak buah dia orang cari abang nak balas dendam. Dia orang ugut abang lepaskan ketua mereka. It’s that true Haris?” Itu cerita yang sampai ke pendengaran Dara. Punca mereka di serang umpama berada di medan perang.


Patutlah bukan main awal lagi balik. Rupanya, serangan mereka sudah dapat dihidu oleh Haris. Pandai suaminya berlakon. Tapi sayangnya, mata suaminya terlalu jujur untuk menipu.


“I see…Berapa D bayar Amy?” Tak perlu Haris susah payah mencari tahu siapa si pelaku yang melaporkan hal tersebut.


“Free of charge." 


Jawapan balas Dara itu mengundang rengusan Haris. Tentunya dia kurang setuju Amy bertukar bidang menjadi wartawan isterinya. Kalau boleh, dia mahu isterinya tahu hal-hal yang mengembirakan saja. Bukan hal yang meresahkan.


Lamunan Haris tersentak bila ada sentuhan di pehanya. Bahkan, nada suara Dara juga naik sedikit. Bukan niat untuk kurang ajar. Sekadar menyedarkan suaminya dari mengelamun. Terkadang pendengaran Haris itu juga kurang memuaskan. Boleh jadi  perlu ulang dua kali. Jadi, Dara perlu mengelak hak tersebut berlaku.


“Kerja abang sekarang pun dah cukup bagus. Dan D tak setuju kalau abang nak ceraikan bini pertama. Ingat tu."


Tekanan Dara berjaya mengembalikan senyuman senget Haris. Malah suaminya berpeluk tubuh memandangnya.


“Abang sayangkan kerja abang. Itu yang abang beritahu masa kita mula-mula jumpa.” Dara masih belum berputus asa.


“Tak semua manusia tetap pendiriannya. Abang pun tersenarai dalam kumpulan tu.” Balas Haris bersahaja.


Dara juga memeluk tubuh. Dia tidak suka Haris versi ini yang munculkan diri. Haris yang ini tidak akan biarkan Dara menang dengan mudah.


“Abang dah banyak berjasa.” Dara memberi peringatan mesra.


“Sekaranglah masanya jasa abang dikenang.” Haris angkat kening tinggi.


Sepasang mata Dara mengecil.


“Kalau abang berhenti, anak kita nak makan apa?” Dara mencari solusi lain. Pujian bukan dambaan Haris. Dia terpaksa menggunakan anak pula.


“Abang dah buat simpanan untuk anak-anak sejak abang pertama kali kita berjumpa.”


Tolonglah Haris. Suaminya buatkan Dara nampak tersangatlah teruk. Haris itu punya perancangan yang sangat rapi. Rancangannya yang menjaminkan masa hadapan demi sebuah keluarga kecilnya.


Sedangkan dia? Perancangannya tiada satu pun yang berjalan dengan lancar. Rancangan dia sering menemui kegagalan.


“Jadi, D perlu angkat senjata? Dan D perlu terima hakikat bahawa D gagal pujuk abang?” Dara rasa, usahanya tidak akan membuahkan hasil kalau lawannya Haris.


Kerdipan mata Haris itu memadai memberi jawapan yang dia perlukan.


“Ini yang terbaik. Nyawa anak dan isteri abang lebih penting. Mati pun abang sanggup."


Kalau itu kata Haris, apa lagi Dara mahu katakan lagi? Haris sanggup bergadai nyawa demi mereka. Mana mungkin Dara ingin membiarkan Haris mati selagi suaminya tidak melihat sendiri anak mereka lahir ke dunia. Sekurang-kurangnya, anak mereka perlu kenal siapa ayahnya.


Kepala Dara turun pada perutnya. Dia merasakan ada pergerakkan dari situ. Pergerakkan yang buatkan tangan dia naik mengusap perutnya yang tidak henti-henti bergerak.


“Thank you…” Dara mencari wajah Haris semula.


Tangan kanan dihulurkan pada Haris. Seperti selalu, tangan besar itu menyambut hulurannya bersama kawah yang menjadi igauan Dara.


“Baby pesan…Terima kasih kerana jadi hero mommy. Baby akan ambil alih tugas abang bila dia keluar nanti. He will take care of me…Did you, baby H?” Dara merenung perutnya kembali. Ada tendangan lembutnya menyambut soalannya.


“Baby H?” Sebelah kening Haris naik.


“Hans…Hilman Hans…” Sebut Dara.


Sekarang Dara tahu kenapa Haris sangat yakin anak dalam kandungan mereka lelaki. Tiba-tiba dia sangat bencikan bunga. Begitu juga Haris. Bukan setakat itu, kemalasan Dara sukar dibawa bincang. Itulah punca mengapa Haris banyak mengambil alih tugas di rumah. Suaminya cukup faham kemalasan Dara yang sangat luar biasa itu.


Tapi lelaki atau perempuan, bukan masalah besar bagi mereka. Asalkan anaknya selamat dilahirkan dan sihat walafiat. Nama Hilman Hans itu sekadar cadangan dia.


"Nope! I prefer Hidayatul Haris."


Mengecil sepasang mata Dara. Nampak sangat keyakinan Haris itu sedang goyah. Dia pilih cara selamat dengan memilih nama yang ada unsur-unsur lelaki dan perempuan.


"How about Siti Khadijah?"


Dara gembira dengan tindak balas Haris. Tindak balas yang membuatkan dia rasa ingin memberi lebih banyak cadangan.


"Mariam pun okey..."


"Khaula?"


"Rabiatul Adawiyah?" Dara tidak putus-putus menyebut nama perempuan. Sudah masanya jika dia dan Haris ingin bergaduh kerana nama. Hanya berbaki dua bulan dia bakal melahirkan anak sulung mereka. Sempat lagi jika ingin memilih nama yang sesuai.


"Lily Kejora? Sound good..."


"No!" Bangkang Haris.


"Jangan confident sangat sayang...Boleh jadi anak kita perempuan yang lasaknya macam lelaki." Hidung Haris dipicit lembut.


Semakin cemberut wajah Haris. Jelas-jelas dia tidak boleh terima kenyataan tersebut. Masih berharap anak sulung mereka lelaki.

Previous: Bab 54
Next: Bab 56

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.