Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 23

DARA perlukan jawapan, barulah dia dapat mengadakan rundingan. Akan tetapi, dia menerima renungan bertali arus daripada Haris. Haris belum menyambut huluran dia yang ingin berkerjasama dengan lelaki itu. Jadi tidak keruan bila sorotan Haris itu semakin menikam. Itu yang merimaskan.

 

“Kalau awak tak nak tolong saya, tak apa.” Putus Dara terlebih dahulu. 


Sepuluh minit masa telah dibazirkan Haris tanpa suara. Belum pun selangkah Dara ambil, lelaki itu akhirnya membuka peti suaranya.

 

“Awak akan menyesal kalau tahu siapa dia.”

 

Berlapis-lapis dahi Dara. Belum apa, Haris sudah memberi kekecewaan padanya. Dia belum tahu siapa sebenarnya Emir, bagaimana dia mahu merasa kesal?

 

“Dan saya tak berani beri jaminan...Kalu awak berkerjasama dengan saya, duit awak itu akan dapat dikembalikan semula.”

 

Sebut pasal duit, menjunam sedikit rasa kecera Dara. Dia sangat berharap duit yang lesap dapat dikembalikan semula walau apa cara sekalipun. Dia sangat memerlukan duit itu. Duit hasil penat lelahnya selama ini.

 

“Dan yang terakhir…”

 

Baru saja Dara ingin menunduk, dia panggung kepala semula. Setia dengar ayat Haris yang sekerat jalan.

 

“Untuk pengetahuan awak, saya belum pernah berkerjasama dengan perempuan. Lebih-lebih lagi perempuan yang sangat jahil dengan ragam lelaki hidung belang, yang gagal membaca fikiran lelaki licik dan penuh muslihat. Ciri-ciri perempuan begini saya tolak untuk kerjasama."

 

Haris tidak pernah gagal membuatkan jantung dia berkerja keras. Sebentar lagi, jantungnya pasti akan mengepam amarahnya naik aras paling tinggi.

 

“Saya perlukan kerjasama. Bukan sindiran awak yang belum pernah gagal memanaskan hati saya, Haris.” Dara bersuara. Tidak tahan menerima kutukan lelaki ini. 

 

Haris ambil beberapa langkah. Dapat Dara rasakan hujung kasut Haris yang berkilat itu menyentuh hujung sandalnya. Kakinya sudah tidak pandai mengelak. Dibiarkan saja hujung kaki mereka bertemu.

 

Dara buat-buat berani. Dia mendongak. Membalas pandangan serius milik Haris biarpun dia hampir rebah.

 

“Saya bukan doktor Dara. Kalau saya doktor, memang dah lama saya buat pembedahan, keluarkan hati awak tu, dan saya panggang. Itu baru panas namanya.”

 

Perlahan-lahan bibir atas dan bawah Dara bertemu. Haris sangat handal menyekat semua ayatnya. Haris memang nak tengok kekalahan dia. Dapat dia lihat di mata lelaki ini yang sedang bersorak kemenangan di atas kebisuannya.

 

“Apa lagi tercegat…Balik. Emir awak tu dah lama melepaskan rindu dengan madu awak yang entah ke berapa.”

 

Berlaga-laga gigi Dara. Haris sengaja menyimbah petrol di hatinya dengan menyebut nama Emir. Tanpa peduli amarahnya, lelaki ini berpusing dan berjalan meninggalkan dirinya. Haris menamatkan perbualan mereka yang belum mencapai sebarang keputusan mahupun rundingan.

 

“Haris!”

 

Haris yang baru saja membuka pintu kereta jabatan, menoleh. Kepala Haris terangkat sedikit. Dia memberi isyarat apa yang lagi yang Dara mahukan daripadanya. Dia tidak boleh menunggu lama.

 

Dara buka langkah besar-besar. Rasa marah bercampur malu di campak ke tepi. Ada dendam yang perlu dilunas. Hanya Haris yang mampu melunaskan dendamnya. Demi memberi pengajaran kepada Emir yang berjaya merobek maruahnya. 

 

“Kalau awak tak nak berkerjasama dengan saya…Saya akan bergerak sendirian.” Dara nekad.

 

Tidak jadi Haris ingin masuk ke dalam perut kereta. Sengaja dia menutup pintu kereta semula. Takut pemandunya dengar semua perbualan mereka. Dan dia tidak mahu cerita yang bukan-bukan tersebar luas di pejabat perihal pertemuan dia dan Dara. Ini bukanlah pada masa sesuai untuk dia perkenalkan Dara sebagai yang istimewa di dalam hidup dia.

 

“Sendiri?” Ulang Haris dengan muka mengejek.

 

“Awak serius?” Soal Haris tidak percaya.

 

“Dengan diri awak yang polos, mudah percaya cakap orang lain, mudah ditipu…Awak yakin nak gerak sendirian?” Atas bawah Haris pandang Dara.

 

“Hidup awak pun dah tak terurus, macam mana awak nak bergerak sendiri? Silap haribulan, teruk awak dipermainkan.” Kutukan yang terakhir terluah dari mulut Haris.

 

Dara betulkan dirinya. Lutut terasa lembik menerima serangan demi serangan Haris yang tanpa belas. Kali ini, dia tidak akan mengelak pandangan matanya. Biar lelaki ini tahu, dia benar-benar ingin menjadi Dara yang baharu. Dara yang tidak mudah ditipu. Bukan lagi Dara yang polos.

 

“Sebab tu saya nak berkerjasama dengan awak. Saya nak tangkap Emir. Saya nak lihat sendiri kejahatan Emir…”

 

“Lepas tu, awak nak menasihati Emir kembali ke pangkal jalan? Dan boleh awak kembali bersama dia? Kemudian hidup dengan penjenayah buat selamanya?” Potong Haris laju.

 

Buka tutup mulut Dara. Dia belum habis bersuara, Haris itu sudah mencantas. Kemudiannya, Haris yang merangka sendiri cerita perjalanan hidupnya selepas itu.

 

“Satu perkara baharu yang saya faham sekarang ini.” 

 

“Haris! Saya belum habis cakap lagi.” Dara sengaja menyampuk. Merah-merah muka dia. Haris memang tidak mahu memberi peluang untuk dia bersuara langsung.

 

“Awak memang suka penjenayah? Jadi, untuk membuatkan awak suka saya…Saya perlu jadi penjenayah, begitu?” Tuduh Haris. 

 

Melopong Dara. Haris tidak dengar apa yang dia katakan. Malah, Haris percakapannya sudah sampai ke bulan bintang. Yang jauh menyimpang dengan fikiran dia.

 

“Tapi saya penangkap cekap seorang penjenayah, Dara. Macam mana saya nak jadi penjenayah kalau kerja saya mengejar penjenayah, hurm?”

 

“Berhenti, Haris! Awak tak sedar apa yang awak cakapkan. Itu bukan apa yang saya nak bincangkan dengan awak.” Dara tidak tahan lagi. Haris itu sudah masuk ke frasa yang bukan-bukan.

 

“Time up! Saya perlu ke mahkamah sekarang. Awak boleh whatsapp saya. Itu pun kalau saya ada keinginan nak balas, sebab jadual saya cukup padat hari ni.”

 

Rahang Dara hampir luruh. Tergeleng-geleng kepalanya. Rundingan dia gagal teruk. Haris yang tidak bisu ini sangat sulit diajak berbincang. 


Sudahnya, Dara hanya mampu memandang Haris masuk ke dalam perut kereta tanpa menoleh lagi. Biarkan dia sendirian dengan muka merah padam menahan marah.

 

Dara menerpa. Cermin kereta diketuk berkali-kali. Dia berharap sangat Haris itu masih punya sekelumit rasa simpati dan mahu memberi kerjasama. Punah harapan Dara bila kereta Haris mula bergerak perlahan. Laju Dara mengekori kereta dinaiki Haris dari sisi lelaki itu.

 

Tak boleh jadi!

 

Dara berlari. Dia perlu menghentikan Haris dengan apa cara sekali pun.

 

“Tuan!”

 

Haris yang tadinya sibuk membaca arahan yang disampaikan oleh pihak atasan melalui pesanan whatsapp, angkat muka. Dia memandang ke arah pemandunya dengan sebelah kening terangkat.

 

“Kenapa tak jalan lagi?” Baru Haris perasan. Kereta mereka masih di situ.

 

“Ada halangan tuan.”

 

Cepat Haris pandang ke depan. Siapa yang berani-beraninya menghalang kenderaan jabatan? Terang-terang kereta model preve berwarna silver dinaiki dia mempunyai lambang polis. 


Bebelan Haris terhenti tatkala terpandang susuk tubuh yang berdiri di hadapan kereta sambil mendepangkan tangan. Dia hela nafas berat.

 

Haris menjeling cermin sisi. Di belakang mereka pula ada sebuah kereta yang mengekori rapat. Tiada ruang untuk mereka berundur.

 

“Macam mana tuan? Nak maklum pada pegawai kita lambat sampai?” Pemandunya bersuara penuh berhati-hati. Penghalang mereka merupakan wanita yang baru saja ditemui oleh ketuanya. Boleh jadi ada masalah besar yang berlaku antara mereka.

 

Lirikan Haris singgah pada jam dipergelangan tangan. Mereka hanya ada masa berbaki dua puluh minit untuk sampai ke destinasi. Itupun, kalau keadaan jalan memberi kerjasama. Dibuatnya, jalan raya sesak boleh jadi dua puluh minit bertukar menjadi empat puluh minit.

 

Jari Haris menekan-nekan pada skrin telefonnya. Dia tak perlu bercakap banyak dengan Dara yang masih gigih menghalang dia pergi. Dia tahu apa kemahuan wanita itu. Gara-gara Emir juga Dara sanggup mati. 

 

“Tak apa ke tuan?” pemandunya bersuara setelah Haris menamatkan panggilan. Dia mendengar cukup jelas apa yang diarahkan oleh Haris.

 

“Jangan risau. Mereka semua orang kuat saya.”

 

Sekali lagi Haris melekapkan telefonnya ke telinga sambil memerhati Dara dari dalam. Dia menghubungi si pencetus kesesakkan jalan raya. Baru satu deringan, dia perhatikan Dara melakukan hal yang sama dengan dia.

 

“Turun, Haris. Ada banyak perkara yang kita perlu selesaikan.” Dara terlebih dahulu bersuara bila nama Haris naik sebagai pemanggil.

 

“Saya bukan lelaki murahan, Dara. Saya tak suka dikejar. Apalagi dikejar oleh seorang perempuan.”

 

Haris suka menyimpang! Dara hanya ingin Haris itu membantu dia saja. Tak lebih dari itu.

 

“Tolong ke tepi."

 

“No! Saya akan stay sampai awak keluar. Atau, awak sanggup langgar saya? Silakan…” Dara tidak takut. Kalau dia tidak berbuat begini, sampai bila-bila pun Haris itu akan sengaja mengelak.

 

“Jiwa awak kacau, Dara.”

 

“Jiwa saya kacau sebab awak, Haris.” Dara tetap dengan pendirian dia.

 

“Jangan jadi gila.”

 

“Memang saya gila. Sejak berjumpa dengan awak, kegilaan saya semakin menjadi-jadi.” Biar Haris tahu. Kemunculan lelaki ini punca segala-galanya. Emir itu hanya watak sampingan saja.

 

“Awak gila Dara?” Sebut Haris cukup jelas.

 

“Ya, Haris! Saya gila sebab awak. Setiap ayat-ayat awak yang buat saya jadi gila.” Jujur Dara.

 

Sepi menguasi suasana. Mereka saling berbalas pandangan biarpun talian belum dimatikan.

 

“Jangan menyesal…”

 

Dara memandang telefonnya. Kemudian dia memandang tepat ke arah kiri. Tempat duduk Haris. Lelaki itu juga memberi tatapan membunuh kepadanya. Bohonglah dia tidak merasa kecut perut. Dia hanya buat-buat berani walaupun dia takut Haris benar-benar akan melanggar dia.

 

Sejurus itu, muncul sebuah ambulance berhenti betul-betul di hadapan Dara. Perlahan-lahan tangan Dara jatuh. Dia bingung seketika. Dia tidak pula ada berlakunya kemalangan di sini.

 

Bibir Haris naik sedikit. Bantuannya tiba tepat pada masanya.

 

Dua orang petugas sudah pun turun lalu mengheret Dara ke tepi. Dapat dia lihat dengan jelas wajah terkejut Dara. Terkejut dengan kemunculan mereka. Kereta Haris bergerak setelah laluan dibuka. Dia berhenti berhampiran dengan Dara, lalu cermin kereta diturunkan sepenuhnya.

 

“Tolong bagi rawatan yang terbaik untuk dia. Saya syak otak dia mengalami gegaran sampai jiwanya sedikit terganggu.” Titip Haris pada dua orang petugas yang memegang kejap lengan Dara biarpun wanita itu langsung tidak meronta.

 

“Kalau perlu masuk ke hospital sakit jiwa, maklum saya. Saya akan datang untuk tandatangan surat persetujuan sebagai suami. Asalkan isteri saya kembali pulih selepas mengalami gegaran otak.”

 

“Sebab empat kali dia mengaku dirinya gila. Jadi, tolong pastikan sama ada dia benar-benar gila atau tidak.” Ujar Haris tanpa jiwa. Tanpa perasaan.

 

Dara pandang Haris dengan pandangan tidak percaya. Haris mengatakan dia gila? Haris sedang menghantar dia ke rumah sakit jiwa? Haris sedar tak siapa yang gila sekarang ni? Belum sempat dia memaki hamun Haris, kereta lelaki itu telah meluncur pergi. Bengkak hati Dara bila Haris meninggalkan dia begitu saja.

 

Sungguh!

 

Dengan Emir, belum pernah lagi dia menyumpah seranah. Dengan Haris, sudah lebih sebakul dia menyumpah!

 

 

 

DARI tadi duduk Dara serba tidak kena. Dia bukannya di hantar ke rumah sakit jiwa seperti yang dikatakan Haris. Dia bukannya menerima rawatan sakit jiwa yang diarahkan lelaki itu. Dia hanya menerima rawatan sakit luar kerana Haris memberitahu pihak hopsital bahawa Haris tanpa sengaja terlanggar dia yang sedang berjalan di bahu jalan.

 

Itulah cerita sebenar yang diberitahu petugas yang merawat dirinya sebentar tadi. Mulalah terbit rasa bersalah. Dia salah kerana berfikiran bahawa Haris itu sebenarnya yang gila kerana tergamak mendaftarkan dia ke Hospital Sakit Jiwa. Rupanya dia salah membaca fikiran lelaki itu. 


Mengeluh panjang Dara. Ayat apa yang mahu dia karang bila berdepan dengan Haris kelak?

 

“Cik Dara nak makan dulu?”

 

Dara panggung kepala bila muncul nurse yang menyapa dia lembut. Sudah hampir dua jam dia menunggu di sini. Itupun atas arahan Haris juga. Haris sendiri akan datang menjemput dia pulang kerana ada urusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

 

Dara menggeleng kepala.

 

“Terima kasih.” Kata Dara perlahan. Dia pun naik segan bila staff-staff di sini begitu mengambil berat tentang dirinya. Ini bukan kali pertama mereka menyapa.

 

“Macam mana keadaan dia?”

 

Tak jadi Dara ingin tunduk semula menekur lantai. Orang yang dia tunggu-tunggu sudah munculkan diri. Namun dia masih belum ada kekuatan untuk berhadapan dengan Haris.

 

“Semakin baik. Cuma isteri encik dari tadi tak nak makan. Banyak termenung. Mungkin puan menunggu encik.”

 

Pandai-pandai saja nurse ini memberi laporan kepada Haris. Pandai juga baca skrip tanpa tapisan dari pihak Dara. 


Tengoklah akibatnya. Haris memberi tatapan tajam menikam yang bermaksud begini.


'Kenapa tak makan?'


Mujur sejurus itu Haris hilang dari pandangan. Barulah Dara mampu menarik nafas lega.

 

Lima belas minit, Haris selesai semua urusan perubatannya. Sekarang Dara sudah berdua-duaan di dalam kereta milik Haris. Dia beranikan diri memandang lelaki itu dari ekor mata. Pasti lelaki itu sudah habis waktu bekerja kerana penampilan lelaki ini lebih kasual. Lebih santai. Lebih kepada gaya orang awam.

 

“Kita makan dulu.” Haris bersuara. Mematikan kecanggungan di antara mereka.

 

Dara masih begitu. Mendiamkan diri. Tahu-tahu saja, mereka sudah sampai di kedai makan. Dia baru saja ingin membuka pintu kereta, terdengar suara lain yang menyapa.

 

“Haris!”

 

Suara perempuan. Dara mencari-cari dari mana datangnya suara tersebut. Baru sedar, Haris itu sebenarnya berada di pintu sebelah penumpang depan. Menunggu dia turun dari kereta. 


Belum sempat Dara melihat perempuan yang menyapa Haris, lelaki ini memberi arahan dengan suara cukup keras. Seraut wajahnya juga jelas nampak seperti sedang menahan marah.

 

“Tunggu sini...Dan jangan sesekali keluar tanpa arahan saya!”

 

Tidak berkelip Dara. Tadi elok Haris berlembut, sekarang perwatakkan lelaki bertukar kerana perempuan yang baru muncul.

 

Hati dia tertanya-tanya. Siapa perempuan itu? Apa kaitan Haris dengan dia?

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.