EMAK sengaja membentuk pakatan sendiri tanpa sebarang kempen. Lihat sajalah, emak sudah meraih undian majoriti kaum kerabat Dara. Lebih dari separuh berpihak pada emak.
Bukan Dara tak tahu makna di sebalik senyuman emak. Apa lagi lirikan emak lebih kerap terhala pada lelaki di sebelah m. Kecantikkan dia pun berjaya ditewaskan oleh kekacakkan orang sebelah.
Ketika Dara sedang berperang dengan perasaan sendiri, ada satu suara yang memberi arahan. Arahan yang gagal dipatuhi sejak lima minit yang lalu. Dia masih teragak-agak untuk menurut.
“Apa nak dimalukan? Haris dah jadi suami Dara.”
Ya.
Lelaki itu telah selamat menjadi suaminya sejak dua puluh minit yang lalu. Sekarang Haris berada sebilik dengannya setelah selesai upacara batal air sembahyang. Sekarang, dia perlu menurut kehendak jurugambar yang mahu mengambil gambar mereka berdua untuk diabdikan sebagai kenangan. Bukan bergambar macam dalam buku tahunan sekolah diri sebelah menyebelah tanpa sebarang senyuman. Perlu ada juga sentuhan fizikal.
Emak pula secara sukarela menjadi pembantu jurugambar tidak berbayar. Emak yang riuh menyuruh Dara bergaya itu dan ini. Semestinya, anggota tubuh dia gagal dengan cemerlang untuk menurut perintah. Haris? Lelaki itu hanya diam menunggu aksi dari pihak perempuan.
“Cepat Dara. Semua orang tengah tengok kita. Atau awak tak kisah kalau mereka semua berkampung dalam bilik ni bersama kita sampai malam?" Bisik Haris.
Rengusan Dara meletus. Perlahan cuma.
“Okey…Awak jangan lebih-lebih pula.” Dara akhirnya mengalah.
“Ya Allah! Sempat lagi bisik-bisik. Nak berbisik tunggu malam nanti.”
Satu suara menyapa berjaya mengubah suhu wajah Dara.
“I told you...”
Tangan Haris sudah mulakan kerja, dan impaknya seluruh tubuh Dara automatik mengeras.
Bila merasakan pergerakkan tangan Dara untuk sampai dibahunya terlalu lambat, Haris sedia membantu. Dia mencapai ke dua belah tangan Dara lalu di daratkan bahunya. Dan tangan dijatuhkan semula pada pinggang isterinya.
“Kerja senang, tak sampai seminit pun.” Ujar Haris dengan bibir senget.
Jelingan Dara yang pertama muncul. Kalau dia tahu begini kejadiannya, awal-awal dia akan menentang keras untuk mengupah jurugambar.
“Tak cantik! Jauh sangat. Pengantin perempuan pun tak senyum.”
Komen jurugambar buatkan sepasang bibir Dara mengetap.
Tanpa sempat Dara bersedia, Haris terlebih dahulu menarik dia rapat. Hampir saja wajahnya tersembam dalam dada bidang lelaki ini. Mujur sepasang tangannya turun melekat di dada Haris sebagai penghalang bibirnya meninggalkn cop mohor pada baju putih gading milik lelaki itu.
“Tolong senyum..." jurugambar masih belum berpuas hati dengan kerjasama pengantin perempuan.
Teguran itu untuk Dara. Dari tadi dia yang kekok mengukir senyuman. Dia yang payah untuk bekerjasama. Sedangkan Haris itu sudah lama bersedia. Biarpun senyuman Haris itu hanya tipis. Itu pun sudah menyerlahkan aura lelaki yang telah bergelar suaminya.
“Kiss or smile? Pilih salah satu untuk saya laksanakan sekarang.”
Ugutan Haris berjaya bila Dara automatik merekah senyum. Cukup lebar. Itu bukan bererti dia kalah. Dia hanya mengelak berlakunya kejadian tidak diingini. Terutamanya kejadian yang tidak elok untuk tontonan umum.
“Good!”
Sikit lagi heel Dara ingin mencari kaki Haris kalau bukan ada berpuluh-puluh pasang mata yang sedang memerhati.
Seharian berkepit dengan Haris itu menyesakkan sangat dada Dara. Telapak tangan dia juga sentiasa berpeluh bila Haris langsung tidak mahu melepaskan tangannya. Terkadang Haris itu diluar kawalan bila tangan lelaki itu akan naik berada dipinggangnya. Puas dia menyiku perlahan perut Haris. Malah lelaki itu hanya memandang dengan sebelah kening naik tinggi. Tiada langsung rasa bersalah. Seolah-olah memberi soalan ‘apa’ kepadanya semula.
Sepanjang majlis resepsi pula, hanya Dara yang rajin membalas senyuman semua tetamu. Berbeza dengan Haris yang lebih selesa menayang muka biasa. Cukup dengan sepasang mata yang tersenyum. Itulah tipikal Hilman Haris yang orang lain anggap sombong nak mati.
Dara mampu menghirup udara sejenak bila Haris sedang menyapa sekumpulan rakan sekerjanya. Dikesempatan inilah dia memandang sekeliling. Tercari-cari kelibat seseorang yang dia nanti-nantikan kemunculannya.
“Dara…”
Dara menoleh sisi. Dia terbata. Bukan orang ini yang dicari. Tumpuan Dara dicuri tangan kecil yang dipimpin. Bibir si kecil itu melemparkan senyuman.
“Salam auntie…”
Anak kecil itu menurut. Semakin teruk rasa terkejut Dara. Dia tidak menjangka bakal berjumpa dengannya di sini. Di majlisnya sendiri.
“You nampak cantik.”
Diam. Kemudian, Dara menjeling kiri dan kanan. Dapat dirasakan peluh mula tumbuh bak cendawan.
“Patutlah you tolak bila I nak kita berbaik semula.”
Naim tak patut ungkit kisah silamnya di sini. Di majlisnya. Bahaya! Boleh mengundang fitnah.
“Sera. Anak I.”
Dara tunduk. Ada senyuman diukir buat anak kecil yang mendongak memandang ke arahnya.
“Hai, Sera.” Sapa Dara. Biarpun dia memberi layanan dingin terhadap Naim, namun dia masih ramah menegur anak lelaki ini. Anak kecil ini tak bersalah.
“Sera diri dengan auntie, papa ambilkan gambar.”
Besar bukaan mata Dara. Naim bukankah sepatutnya meminta kebenaran untuk bergambar dengan dia? Tapi bila Dara terpandang wajah gembira Sera, dia kuburkan niat untuk menolak. Apatah lagi mereka berada di dalam majlis. Kalau Dara memberi layanan dingin, itu bakal menarik perhatian semua tetamu.
Bila kekecohan tercetus, takut ada yang Dara dan Naim itu merupakan bekas kekasih. Dan tak perlu dia membayangkan lagi, pastinya akan timbul cerita kurang enak sejurus itu.
Perlahan-lahan Dara jatuhkan tubuhnya. Sempat membetulkan hujung gaunnya sebelum dia berusaha untuk bertinggung demi menyamai ketinggi Sera yang hanya separas pehanya. Cepat Naim ambil gambar, cepat juga dia akan pergi mendapatkan Haris.
“Do you need help, love?”
Pergerakkan Dara terhenti. Tak perlu dia panggung kepala, kerana hujung kasut berkilat milik lelaki itu cukup Dara kenali. Dara pandang telapak tangan yang dihulurkan Haris.
Sedar akan tiada bayang disebelah Dara menoleh kiri, baru dia perasan kelibat Sera telah hilang. Berpusing Dara mencari ke mana anak kecil itu.
“Sera with me...”
Terus Dara mencari wajah Haris. Dan lebih elok, Sera itu berada dalam dukungan lelaki itu. Tangan kanan Haris masih setia mengembang untuk membantu Dara bangkit. Tiada alasan untuk dia tidak menyambut. Menolak huluran suaminya, maka malam nanti dia akan bersoal jawab sampai ke subuh.
Sebaik saja Dara berdiri tegak di sisi Haris, tangan suaminya memang tak mampu nak disangkal lagi kepantasannya. Badannya dah jadi magnet, terus melekat dengan Haris. Kelakuan lelaki ini memaksa Dara menoleh. Mencari sisi wajah Haris. Sempat dia menjeling Sera yang berada disebelah kiri suaminya. Haris sengaja tak nak Sera menjadi orang tengah di antara mereka supaya senang Haris buat kerja jahat dalam diam. Kerja jahat yang boleh kumpul pahala kata Haris.
“Ready?” Haris tidak peduli lirikan Dara. Hanya Naim menjadi tumpuan dia.
Dara rasa macam ada yang tak kena antara Haris dengan Naim. Kerlingan dia singgah pada Naim. Kemudian, barulah dia nampak Naim mengorak senyuman terlebih dahulu sebelum telefon milik diangkat untuk mengambil gambar.
“Ready!”
Kekok senyuman Dara bila jari-jemari Haris seperti sengaja bermain-main di pinggangnya. Sikit lagi dia bakal menolak tubuh Haris menjauh kerana kegelian. Sebaik saja Dara menoleh, tak jadi Dara nak marah bila Haris juga memandang ke arah dia.
“Berani awak ambil gambar tanpa saya, huh?” Hampir hilang suara Haris bertanya.
Bibir merah jambu Dara bergerak-gerak untuk protes soalan Haris. Bukannya dia ingin bergambar berdua dengan Naim. Tapi berdua dengan anak Naim. Namun mulut Dara terbata bila Haris menjauhkan tangan dari tubuhnya lalu menurunkan Sera. Anak kecil itu berlari mendapatkan Naim yang hanya beberapa langkah saja dari mereka berdua.
Nampak gayanya, Dara terpaksa batalkan protesnya. Selagi majlis ini belum selesai, dia perlu menjaga air muka Haris. Lengan Haris disambar. Dia sama seperti suaminya, memandang tepat ke arah Naim yang telah mendukung Sera. Tak lupa juga Dara melukis senyuman bahagianya biarpun sentuhan dia belum berjaya meraih perhatian Haris kerana suaminya lebih tertarik dengan Naim.
“Thanks.”
Dara pandang suaminya. Haris nampak macam tak ikhlas menyebut perkataan tersebut.
“Tahniah.”
Naim pula dicari. Lelaki itu tersenyum, berbeza dengan Haris yang sangat kedekut untuk senyum dengan kaum sejenis.
Rasa curiga Dara itu semakin teruk bila dia merasa perbualan dua orang lelaki ini kedengaran sangat janggal di telinganya. Macam ada kejadian buruk yang pernah berlaku di antara mereka sebelum-sebelum ini.
“Both of you know each other?” Itu yang Dara nak tanya sejak dari tadi.
“Yes!”
“No!”
Sah!
Memang ada yang tak kena antara dua orang lelaki ni bila mereka berdua memberi jawapan serentak namun berbeza.
Suara Naim terlebih dahulu meminta diri yang menyelamatkan ketegangan di antara mereka berdua. Sempat Dara melambai-lambai ke arah Sera yang semakin menjauh. Bukan main lebar lagi senyuman anak kecil itu hingga tanpa sedar, Dara turut melakukan hal yang sama.
Senyuman Dara tersasar daripada landasan bila ada suara yang menghentikan lambaiannya.
“Awak ada isi borang nak jadi mak tiri Sera?”
Muka Haris dicari. Mak tiri Sera? Apa Naim berniat mencari isteri ke dua?
“His wife passed away a few month ago.”
Oh! Baru Dara faham. Padanlah Naim datang berdua dengan Sera. Dia ingin bertanyakan hal itu juga, namun tidak manis bila dia sudah bergelar isteri orang.
“Dan dia bekas teman lelaki awak.”
Tak berkedip Dara pandang Haris. Banyak yang lelaki ini tahu tentang Naim juga ya.
“Dia juga bekas kawan seuniversiti saya.”
Kerdipan Dara auto berhenti.
Tak sangka. Ingatkan perempuan saja yang selalu bergaduh sesama sendiri. Lelaki tak kurang hebatnya. Sekali bergaduh terus melekat nama ‘bekas kawan’.
“Kenapa bekas? Awak gaduh dengan Naim?” Soal Dara penuh minat.
“Saya jumpa gambar awak dalam phone Naim masa reunion sebulan yang lepas. So, I decided to remove him from my friend list.”
Dara rasa hampir tercekik liur sendiri. Dunia yang dia rasa punyalah besar, rupanya tak sebesar mana. Buktinya, Dara berkahwin dengan Haris yang merupakan kawan kepada bekas kekasihnya dan mereka belajar dalam satu universiti yang sama. What a coincidence!
Padanlah mereka berdua macam nak berperang je tadi. Ada kisah hitam yang telah berlaku rupanya tanpa pengetahuan dia.
“Berhenti fikirkan dia. Ada kerja lain yang perlu kita buat.”
“Kerja?” Setahu Dara, pengantin itu dilayan bak raja sehari. Mana mungkin mereka dikerah untuk melakukan kerja setelah berjam-jam ditatarias?
“Yeah! Saya dah apply kerja tu sehari awal.”
Haris sudah mengisi jari besarnya di celah-celah jarinya. Dara terpaksa mengangkat sedikit gaunnya yang meleret untuk mengekori langkah besar Haris.
“Kerja apa?” Sempat Dara bertanya ketika dia berjaya menyaingi langkah suaminya. Namun, Haris masih belum melepaskan tangannya. Dan ketika itulah, Haris berhenti.
“Kerja membasuh.”
“Basuh periuk?” Dara ingin kepastian. Itu adat orang dulu-dulu. Selesai saja majlis, memang pengantin dikerah untuk basuh segala periuk belanga yang ada. Dara tak sangka, Haris yang serba-serbi ini mempunyai pemikiran sama dengan orang dulu-dulu.
Haris menanggalkan kot dan meninggalkan kemeja putih tersarung di tubuh. Malah Haris tanpa ragu mula menyinsing lengan baju. Itu tandanya, telahan Dara tak salah. Dan bukan juga Dara sengaja nak beri alasan untuk mengelak.
“Tapi kita kan ambil catering?”
“Indeed! Tapi...Apa yang menarik perhatian saya, dia orang siap bagi diskaun kalau kita tolong cuci semua tu. ” Bibir Haris terhala pada belakang Dara.
Hampir jatuh rahang Dara. Ikutkan hati, sekarang juga dia nak menjerit panggil pengurus catering. Pandai-pandai saja mereka membuat tawaran yang pastinya Haris tidak akan menolak. Haris yang dia kenal memang mengamalkan konsep berjimat cermat dalam segala hal.
“Come on...Tak banyak mana pun. Kita kena siapkan sebelum maghrib.”
Haris sudah pusingkan tubuh Dara. Sikit lagi dia hampir rebah bila melihat semua perkakasan memasak tidak banyak yang dimaksudkan Haris. Punyalah banyak, boleh Haris kata tak banyak? Susunan periuk itu hampir menyamai ketinggian dia. Di mana yang Haris maksudkan tak banyak itu?
Panjang helaan nafas Dara.
Nak tak nak, terpaksa jugalah Dara duduk di sisi Haris yang telah memulakan kerja. Dan paparazi majlis pun tak melepaskan peluang untuk mengambil gambar mereka berdua. Dan maaf! Dia tak ada keinginan untuk senyum. Kalau senyum pun, ada cacat celanya. Lebih kepada terpaksa.
Niat untuk tidak senyum dicantas oleh amaran Haris. Amaran yang menekankan supaya kerja biar ikhlas, ramai tengah perhati. Semestinya, teguran itu akan diusul sekali dengan renungan maut Haris. Perlahan-lahan bibir Dara melengkung dan harus dia mendapat pujian daripada Haris.
“Good!”
Pujian selalu yang Haris berikan.
Kemudiannya, mulalah hati Dara melancarkan perang. Seperkara baharu, dia tidak lagi menyumpah seranah Haris, kerana dia tahu di mana letaknya syurga oleh sang isteri.
DARA pasungkan langkah depan pintu. Kepalanya terteleng ke kiri dan kanan. Kelibat seseorang dicari. Dia takut terserempak dengan Haris. Mujur lelaki itu telah keluar selesai solat maghrib. Melihat keadaan bilik sunyi, itu tandanya Haris belum pulang. Dara pun tak tahu ke mana perginya lelaki itu. Bila merasakan tiada sesiapa di dalam bilik tersebut, barulah Dara menapak keluar dari bilik air yang sudah menjadi bilik ke duanya. Pantang Haris ada, bilik air Dara tuju terlebih dahulu.
“Looking for me?”
Hampir melompat Dara bila Haris muncul disebalik pintu almari yang terbuka tadi. Mana Dara nak perasan Haris ada di situ. Bukan main elok Haris bersandar mengiring sambil tangan dia menutup pintu almari.
Dara tegakkan badan. Dia cuba bereaksi biasa dengan memandang ke depan, lalu di bawa kaki menjauh dari lelaki yang telah bergelar suaminya.
“Sekejap...”
Baru Dara perasan. Mana perginya beg dia? Ini semua salah Haris. Kalau ikutkan, mereka sepatutnya menginap di rumah Mama Haris. Tapi, Haris membawanya ke hotel atas alasan yang sangat tidak munasabah. Takut ada yang mendengar aksi mereka. Tersangatlah kotor dan sarkastik pemikirannya.
Menginap di sini lebih membuatkan Dara rasa bagai dalam penjara. Tiada ruang untuk dia mengelak dari bertembung dengan lelaki ini. Seperkara yang dia belajar, Haris itu tetap berada di mana-mana.
Sekarang Dara dapat rasakan mata Haris itu mengekori ke mana saja dia pergi. Dara berani jamin perkara tersebut. Dan jaminan itu membuahkan hasil bila di sisi Dara sudah ada bayang hitam yang memandang dia dari atas bawah.
“Are you trying to seduce me Mrs Dara?”
Apa jenis soalan yang Haris berikan? Kalau dah pakai baju tidur bertali halus, malah menampakkan separuh pahanya, Haris fikir dia mahu membuat sesi catwalk tengah-tengah malam begini? Memang taklah! Dia memang sedang menggandakan usaha untuk meraikan malam pertama mereka seperti pasangan-pasangan lain.
Sedang elok Dara berperang dengan perasan sendiri, Haris pula sibuk merenung dirinya. Sehabis baik juga Dara bereaksi biasa.
“Sorry! I need to recharge my energy...So, the little virgin title still belongs to you tonight.”
Terteleng Dara mendengar ayat keramat tersebut. Kening Dara telah mengadakan sesi mengurut.
Haris membalutkan tubuh Dara dengan jaket yang sempat dia sambar di almari sebentar tadi. Tangannya singgah sesaat di pipi mulus isterinya. Wajah terkejut isterinya sempat di tatap sekilas.
Tiada kata yang mampu Dara ungkap melainkan mengekori langkah Haris yang menuju ke katil. Bukan atas katil yang menjadi tempat lelaki itu melelapkan mata. Tetapi di bawah.
Dengan rasa bercampur, Dara mendekat lalu dia memanjat atas katil dengan cara paling kasar. Bergegar seluruh katil. Biarlah Haris ingin cakap dia memberontak atau apa. Yang pasti hati dia perlahan-lahan sedang mendidih gara-gara di tolak dengan cara paling sadis.
Dara bangkit semula bila dia sedar jaket Haris itu masih elok menjadi penemannya. Jaket Haris dibuka lalu dicampak ke bawah. Barulah dia rebahkan diri semula.
Haris celik mata bila merasakan seluruh wajahnya dihempap sesuatu. Bibirnya auto senget bila jaketnya dipulang kembali.
“Sleep tight!” Titip Haris.
Dara pejam mata rapat-rapat. Dia pura-pura tak dengar apa kata Haris. Dia berharap malam ini dia dapat tidur nyenyak tanpa bertukar menjadi serigala jadian!