Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 36

PANGGILAN telefon daripada Haris sengaja Dara biarkan. Tiada keperluan untuk dia jawab sekarang kerana ada urusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu dengan kadar paling segera.


Sebentar tadi, Dara berkeras menolak pelawaan Haris untuk menghantar dia pulang. Lelaki itu perlu siapkan kerja-kerja mengecat yang tergendala. Jadi satu hal pula nanti nak hantar dia pulang, dan berpatah balik siapkan kerjanya.


Keputusan paling bijak, Dara menggunakan khidmat grab car. Senang. Sebagai janji, dia bakal sampai laporan sejurus tiba di rumah kelak. Tapi itulah, Haris itu makhluk yang sangat perihatin dan sangat degil juga. Setiap lima minit lelaki itu akan bertanya keberadaannya. Jenuh nak menjawab.


- Calm down…sampai je rumah, saya akan beritahu. No need to worries. I’m Dara. Not a baby!


Laju jari Dara menekan butang sent. Barulah Haris berhenti menelefon. Barulah keadaan menjadi terkawal tanpa sebarang gangguan daripada insan bernama Haris.


“Pakcik! Turunkan saya dekat Pangsapuri Damai.” Jari Dara lurus ke depan. Kurang daripada dua ratus meter saja lagi dia akan bakal sampai ke destinasinya. Bukan ke rumah emak.


Usai membuat pembayaran, Dara tidak tunggu lama untuk mengorak langkah. Dia sebenarnya musykil di hujung-hujung perbualannya dengan Haris. Macam ada sesuatu sangat yang cuba lelaki itu sampaikan. Dan dia tidak akan berdiam diri. Perlu dipastikan firasat dia tidak salah.


Dara menekan loceng pintu. Sempat dia menjeling kiri kanan. Waktu-waktu begini memang tiada sesiapa pun yang duduk bersembang di luar rumah atau menyapa jiran-jiran sebelah. Apatah lagi keluar ambil angin. Masing-masing dengan kehidupan masing-masing. Senang cakap, buat hal sendiri.


Baru saja jari Dara ingin menyentuh butang loceng sekali lagi, pintu yang terkatup rapat sudah terbuka luas. Terpampang wajah sebaya emak.


“Lama Dara tak datang?”


Senyuman tuanya yang pertama menyambut kemunculan Dara. Bibir hanya tersenyum tipis sebagai jawapan.


Sebaik pintu jeriji terbuka luas, Dara cepat-cepat meloloskan diri. Dia menghampiri sofa lalu dihempas tubuhnya. Kepala didongak memandang dada syiling berwarna oren lembut, hasil daripada cahaya lampu chandelier di tengah-tengah ruangan tamu. Tingkah dia seolah-olah dia sudah terbiasa dengan keadaan di sini.


“Dara rasa…Dia macam dah tahu.” Ayat pertama Dara sebaik daun pintu tertutup rapat. Kepala sudah terteleng pada susuk tubuh yang menghampiri lalu mengambil tempat di depannya.


Pandangan mereka bertaut. Ada keluhan panjang terluah dari manusia yang bertentang mata dengannya. Tubuhnya dibawa ke depan. Kedua tangan meramas-ramas sesama sendiri. Hanya mata tidak lepas memandang wajah tua itu.


“Ayah ada beritahu dia apa-apa?” Tebak Dara bila ayahnya nampak resah semacam.


“Awal-awak memang ayah tak setuju dengan rancangan Dara.”


“Jadi, memang ayah lah orangnya?” Soal Dara lagi.


Tak perlu penjelasan berjela-jela. Bila ayah mengelak untuk menjawab soalannya, itu sudah jelas menunjukkan siapa yang membocorkan rahsianya yang disimpan kemas selama ini. Seterusnya, dia perlu mencari tahu bagaimana orang itu boleh tahu keberadaan ayah.


“Mak kamu datang sini semalam.”


Tiada sesiapa yang tahu keberadaan ayah di sini melainkan dia. Bagaimana pula emak boleh sampai sini? Dara jadi tertanya-tanya sendiri.


“Berdua dengan Haris.” Kata ayah lagi.


Kuat Dara menghempas tubuhnya pada sofa semula. Jika datang bersama, tiada apa yang tinggal lagi. Semuanya pasti sudah sampai ke telinga Haris. Padanlah bukan main lagi lelaki itu memprovokasi dirinya.


Ada ketawa yang menyapa ketika Dara belum puas menyumpah seranah Haris. Tua sepuluh tahun dia memandang ayah.


“Haris tu sama perangai macam Dara. Angin tak tentu pasal.”


Jangan cakap selepas pertemuan semalam, ayah pun sudah sama seperti emak. Mula belot dan berpihak kepada Haris.


“Apa yang ayah dah sampaikan pada dia?”


Gurauan ayah belum mampu redakan marah Dara.


“Ayah tak cerita apa-apa. Dia cuma datang nak minta ayah jadi wali.”


Mengecil sepasang mata Dara. Sangka dia, Haris itu sekadar hangat-hangat tahi ayam. Siapa tahu sebenarnya lelaki itu bersungguh-sungguh mahu menjadikan dia sebagai isteri.


Berkahwin itu memang dalam perancangan utama Dara. Selepas halal menjadi suami isteri, dia akan mengadakan tawaran. Sejurus tawaran diterima, maka dia akan adakan sesi aku janji dari kedua-dua belah pihak. Tetapi dia tidak menjangkakan perkahwinan bakal berlangsung secepat ini.


“Haris tu baik.”


Bibir Dara mencebik. Sudah lali dengar pujian tersebut.


“Ayah percaya? Nak kahwin, memang lah semuanya baik-baik belaka.” Cantas Dara.


“Cukup Dara…Ayah tak pernah pun ambil hati. Lagipun, perkara dah lama berlalu.”


Mendadak Dara bangkit bila ayat ayah seakan-akan mahu berpihak pada Haris. Perkara ini tidak sepatutnya terjadi.


“Ayah sedar tak? Dia lah punca segala-galanya.” Gulalah sebanyak mana pun, dia tak akan termakan dengan pujian tentang lelaki tu.


Penat Dara menyusun rapi rancangannya. Mujur saja ayah mengotakan janji tidak memberitahu hal sebenar kepada mak atau Haris. Mereka berdua itu sekufu. Boleh gagal rancangannya nanti.


“Pernah tak Dara fikir apa akibatnya? Haris tu tak salah.”


Lagi-lagi ayah menangkan pihak Haris.


“Ayah dah setuju nak jadi wali, kan? Tu tandanya Haris dah masuk perangkap. Dia dah mula cintakan Dara. Bukan itu ke mak dan ayah harapkan selama ini? Impian mak dan ayah akan tercapai tak lama lagi. Mak dengan ayah akan dapat tengok Dara kahwin.” Segera Dara bangun. Urusannya telah selesai.


Tergeleng kepala lelaki tua di depan Dara. Tak setuju dengan apa yang baru saja meluncur dari bibirnya.


“Ayah memang nak tengok Dara ada anak dan suami…Siapa pun pilihan Dara, ayah terima. Tapi kenapa mesti Haris?” Ada rasa kesal yang bertandang.


Dara tahu. Ayah sedang pertikaikan pilihannya. Sememangnya dia pernah suarakan untuk membalas dendam. Tetapi berita perkahwinan dia dengan Haris belum lagi sampai ke pengetahuan ayah. Semestinya ayah terkejut mendengar hajat Haris ke sini. Sejurus pertemuan itu, dia menerima panggilan daripada ayah. Panas juga telinganya.


“Dara tak pernah suka pada Haris? Walaupun sedikit?”


Soalan ayah ini sukar Dara nak jawab. Setiap rasa yang bertandang memang Dara cekalkan hati. Berkali-kali juga dia ingatkan tujuan utamanya. Dia tak nak tewas sebelum rancangannya meraih kejayaan.


“Ayah tak kisah pasal Haris. Yang ayah kisah, anak ayah sendiri. Ayah tak nak sebab Dara, mak dan dicerca tak pandai nak didik anak. Cuba hasut anak-anak supaya berdendam. Walhal ayah dah puas halang. Dah berbuih ayah nasihat.”


Dara mendekat. Tangan kasar milik ayah dicapai lalu dibawa ke bibir sekilas. Sebelum ayah melukakan hati dia, ada baiknya angkat kaki. Bimbang dia pula menjadi anak derhaka.


“Jangan pernah terlintas nak jadi isteri derhaka pada suami, Dara. Jangan pernah ulang apa yang pernah jadi pada mak dengan ayah. Kalau rasa tak nak cium bau syura, teruskan.”


Ayah sudah menjemput rasa serba salah Dara dengan menyebut negara abadi. Percayalah, sebentar lagi neraka pula jadi sebutan ayah.


“Fikir baik-baik Dara. Masih belum terlambat untuk tarik diri."


Ayah saja nak guna cara halus. Sengaja biarkan rasa itu menyerap perlahan-perlahan dan menusuk terus ke hati. Sebab itu Dara jarang-jarang datang ke sini. Nasihat ayah akan meninggalkan kesan yang mendalam.


“Kalau dia tak buat macam tu, ayah tak akan dapat gelaran pembelot. Ayah tak akan dibiarkan hidup merempat dengan hutang sana sini.” Dara tetap rasa Haris yang bersalah dalam hal ini.


Dara buka langkah. Dia tak mahu lama-lama di sini. Nanti mak akan syak padanya. Sempat dia melihat ayah menggeleng kepala. Tandanya, ayah kesal kerana gagal memujuk dirinya batalkan rancangan. Itulah reaksi ayah setiap kali dia ingin pulang.


Jam hampir menginjak ke angka sebelas sebaik saja Dara sampai ke rumah. Dari luar dia nampak lampu di ruang tamu masih terang. Itu tandanya emak masih belum tidur. Tak mungkin Dira. Budak itu lebih suka terperap dalam bilik.


“Haris mana?”


Belum sempat pintu ditutup sepenuhnya, Haris yang emak cari. Sempat lagi emak panjangkan leher ke luar kut-kut ada kelibat nama yang disebutkan itu. Ada kehampaan di wajah emak bila tak jumpa kelibat yang dicari.


“Tadi dia telefon mak tanya Dara dah sampai ke belum.”


Haris itu sangat protektif. Betul-betul nak pastikan Dara selamat sampai ke rumah. Dan dia tahu tahu puncanya mengapa emak belum tidur lagi.


“Dia cakap, sepuluh minit lagi kalau Dara tak sampai. Dia akan datang sini.”


Itulah puncanya.


“Belum cukup sepuluh minit lagi, mak.” Balas Dara selamba. Padahal, dia sendiri tak tahu jam berapa Haris berjanji akan muncul. Sejak tiba di rumah, tiada kelibat Haris. Itu tandanya dia pulang sebelum masanya.


“Dara ke mana ni, ada beritahu Haris tak?”


Dara rasa naik rimas pula. Kalau dulu dengan Emir, dia tak kisah langsung. Malah dia senang. Tapi dengan Haris, semua perkara perlu ada laporan secara lisan mahupun bertulis.


“Mak jangan risau. Dara dah jaga hati menantu mak tu baik-baik.” Bohong Dara.


Ada senyuman terukir di wajah emak.


“Nanti Dara report pada dia… Sebelum tu, Dara nak mandi dan rehat dulu, boleh?”


Makin lebar senyuman emak. Kegembiraan emak bukan kepalang. Hati anak sudah tidak penting. Hati Haris itu jauh lebih penting. Kena tatang dengan penuh rasa kasih sayang. Tumpah sikit, ada tangan emak yang menadah. Tak mahu Haris itu kurang kasih sayang.


Sebelum telinga Dara panas, ada baiknya dia cepat-cepat melarikan diri. Dia perlu bersihkan diri. Dan mata dia sudah terbayangkan katil. Badan pun melancarkan mogok minta  merehatkan diri setelah seharian membantu Haris. Walaupun bantuan Dara sebenarnya lebih kepada sebagai peneman yang menghiburkan Haris supaya tidak kesunyian.





NANTI-nanti Dara itu mengundang padah. Pagi ini dia dikejutkan dengan panggilan telefon sesudah subuh. Mujur hari ini hari minggu. Kalau tak, Atiya patut salahkan Haris kalau punch cardnya bertukar merah.


Dan si pemanggil yang menggangu harinya sudah terpacak di depan rumah bersama muka tidak bersalah.


Dara memeluk tubuh.


“Kenapa tak datang malam tadi je?”


Bibir rata itu melengkung dengar Dara bertanya sambil menyindir.


Betul apa. Dara belum puas rehatkan diri. Sekarang, dia terpaksa bangun awal pagi pula berhadapan dengan makhluk yang tak pernah kenal erti bosan. Padahal baru semalam mereka berjumpa.


“I did it.”


Naik sebelah kening Dara. Haris datang malam tadi? Tak nampak pun? Atau Haris menghantar saka sebagai ganti diri? Itu lagi sangat mustahil. Siapa yang percaya benda-benda kurafat?


“Go…Wash your face. And come back.”


Spontan tangan naik meraba muka. Teruk sangat ke muka Dara di mata Haris? Tapi pagi tadi dia sudah cuci muka sebelum solat subuh. Tak mungkin ada peta lakaran di muka dia sekarang ini? Dia dah pun belek muka depan cermin sebelum keluar berjumpa dengan Haris.


“Saya tak nampak awak gembira berjumpa dengan saya. Mungkin pandangan awak masih kabur. Tak nampak kekacakkan saya. Jadi, pergi cuci muka. Biar terang sikit mata dan lihat siapa yang datang. Saya bakal suami awak."


Mujur tangan Dara tidak diasuh untuk lempar apa saja yang ada di depan mata. Bimbang lebam-lebam muka Haris nanti dia kerjakan.


Siapa gembira kalau tidurnya diganggu? Dara baru rancang cantik-cantik untuk tidur sepuas-puas bagi menggantikan lena dia yang belum cukup jamnya. Tahu-tahu, Haris telefon cakap dah terpacak depan rumah. Cuba bilang, siapa yang merasa gembira kalau rancangan merehatkan diri menemui kegagalan besar gara-gara Haris?


Dara perhatikan Haris menuju ke belakang keretanya. Canvas hitam diselak.


“Come…join me!”


Padanlah Haris muncul dengan cycling suit. Rupanya ini aktiviti Haris diawal pagi. Kerutan Dara semakin dalam bila ada dua buah basikal yang telah selamat mendarat di atas jalan. Bukahkah kebiasaanya dia akan memandu bini nombor dua Haris, dan mengekori lelaki itu dari belakang?


“For you!” Haris menepuk-nepuk basikal berwarna putih biru.


Oh! Pasti aktiviti berbasikal termasuk dalam aktiviti ketika bertemu janji. Mereka berdua memiliki pemikiran yang sangat tidak seiring. Ada saja persimpangan. 


Tak perlu disuruh lagi. Dara terus berlari masuk ke dalam rumah untuk menukar baju. Dia perlu ikut saja kehendak Haris selagi mereka belum berkahwin. Selepas itu, semuanya akan terbalik. Dia akan pastikan Haris itu mendengar cakapnya pula. Akan dia pastikan perkara itu berlaku sesuai dengan rancangannya.


Di luar, Haris sekadar memerhati bersama senyuman yang kian pudar.


“Good try, Dara." Hujung bibir Haris naik, hanya untuk sesaat sebelum senyuman dia lenyap sepenuhnya.

Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.