Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 18

LETIH!


Itu yang Haris rasakan. Seharian di sini, memantau keadaan Dara, kemudian beralih pula kepada pencarian Emir. Belum lagi, mengurus beberapa kes yang masih dalam siasatan. Mujur kes-kes lain hampir menemui penyelesaian. Jadi dapatlah sepenuh tumpuan diberikan pada kes Dara dan Emir.


Haris mengemas barang-barangnya sebelum dia angkat kaki. Dia bakal bercuti lama setelah berkampung di balai tiga hari berturut-turut. Puas mama berleter padanya kerana makan dan minum dia yang sering terabai. Jawapan mudah Haris, dia masih kuat. Dia mampu makan dan minum sendiri. Tunggu dia tua nanti, barulah dia meminta isterinya suapkan. Ketika itu, nak angkat tangan mungkin dah terketar-ketar.


Sebut perihal isteri, Haris mengeluh panjang.


Terus ingatan Haris memutar kembali pada hari pertemuan dia bersama Makcik Lijah. Kerana pertemuan itulah, Dara lulus ujian untuk berkerjasama dengan dia dan Amy tanpa diketahui oleh Dara. Kerana kesungguhan Makcik Lijah juga lah Dara itu diserap masuk menjadi pekerja papa dia.


Termenung panjang Haris dibuatnya. Dia merenung meja kerjanya tidak jauh dari sini. Ada sekeping gambar yang sering menjadi tatapan dia saban hari. Langkah dia menghampiri meja kerjanya semula lalu laci meja ditarik. Itulah letaknya gambar yang membuatkan dia bulat dengan keputusannya. Sehingga dia melakukan hal gila bersama Makcik Lijah. Dibantu oleh papa dan kakaknya demi mengelak diketahui sesiapa pun.


Satu persatu perbualan dia bersama Makcik Lijah datang mengetuk minda.


"Makcik cari siapa?" Haris pandang sekeliling. Dia rasa, dia belum pernah nampak makcik ini lagi. Ini kali pertama dia melihat wanita separuh abad di sini.


"Makcik nak jumpa tuan punya syarikat."


Mengecil sepasang mata Haris sebentar. Untuk apa makcik ini bertemu dengan pemilik syarikat? Atas bawah dia menilik makcik di hadapannya. Dia jadi curiga.


"Ini...Anak makcik ada terima surat tawaran kerja di sini. Jadi makcik datang untuk terima bagi pihak anak makcik."


Semakin teruk kerutan dahi Haris. Dia bukan tahu arif sangat tentang syarikat papa. Dia pun tak pernah ambil tahu siapa pekerja papa. Dia hanya tahu, baru-baru ini ada perkara yang terjadi dalam syarikat papa. Sebab tu dia munculkan diri di sini setelah sekian lamanya.


Haris membaca isi surat tersebut. Sempat dia membaca sebaris nama yang tertulis pada baris paling atas sekali.


'Dara Batrisya.'


Biasa-biasa saja nama dia. Bukannya nama taraf antarabangsa pun. Bersepah nama tu dalam Malaysia ini. Apa yang luar biasa, kenapa mesti emak dia yang datang untuk meneriwa tawaran ini? Bukan empunya badan sendiri?


Daripada tidak ingin masuk campur, Haris terpaksa masuk campur. Dia nak sangat tahu, kenapa perempuan bernama Dara Batrisya ini tergamak menghantar emak dia ke sini? Kenapa mesti ingin menyusahkan orang tuanya?


"Macam ni lah makcik...Makcik balik lah, nanti suruh anak makcik datang sendiri. Yang nak kerja tu, dia. Bukan makcik." Maaflah kalau Haris berkasar. Dia sangat tidak gemar dengan sikap Si Dara. Zaman sekarang bukan zaman ibu bapa yang datang carikan kerja untuk anak-anak.


"Anak makcik tak akan datang."


Huluran Haris tidak bersambut. Makcik itu juga tiada tanda-tanda ingin pergi. Malah dia merapat. Tubuhnya perlahan-lahan melorot dan akhirnya lututnya menyentuh lantai. Makcik yang seumuran dengan mamanya sedang melutut di hadapan Haris.


"Apa makcik buat ni?" naik sedikit suara Haris. Sempat dia toleh kiri dan kanan. Ada beberapa pasang mata yang memberi perhatian kepada mereka berdua.


"Makcik...bangun! Kalau orang nampak, apa kata mereka nanti?" Haris tidak senang dengan perilaku makcik yang baru dia kenali lima minit yang lalu. Nama pun belum sempat dia bertanya, dirinya telah disembah sebegitu rupa.


Laju gelengannya.


"Makcik tak kan bangun selagi tak jumpa tuan punya syarikat. Makcik nak anak makcik diterima kerja di sini. Makcik tak sanggup tengok dia kerja kilang siang malam."


Ada getaran pada suaranya. Dia tertunduk. Jarinya naik mengesat tubir matanya.


Mulalah Haris rasa, perempuan bernama Dara itu anak yang tidak sedar dek untung. Sudah besar panjang kenapa masih membiarkan orang tuanya merayu sebegini rupa? Mungkin Dara itu anak emak. Tapi perempuan itu mesti sedar satu perkara. Dia bukan bekerja dengan emak! Dia yang perlu menyara emak.


Haris sudah tidak sedap hati. Tadi bukan main elok sepasang dua yang memandang, sekarang sudah lebih daripada sepuluh pasang mata yang menumpu pada dia. Haris duduk bertinggung. Dia perlu selesaikan masalah makcik ini segera.


"Saya bawa makcik jumpa dengan tuan punya syarikat."


Ada senyuman yang merekah pada wajah yang nampak tidak dimamah usia itu. Namun, Haris perasan satu perkara. Biarpun wanita ini memegang status ibu, wajahnya awet muda. Sejuk mata memandang. Rasa ingin lihat wajah anak makcik ini membuak-buak. Pasti perempuan bernama Dara itu mewarisi kecantikkan makcik ini.


"Terima kasih banyak-banyak!"


Haris tahu, dengan keadaan ekonomi tidak menentu sekarang, pastinya mereka sangat memerlukan kerja. Jadi tak salah kalau dia cuba berbincang dengan keluarganya untuk menerima Dara. Rasa kasihannya pada makcik ini sangat menebal bila melihat wanita ini bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib si anak. Jika berkesempatan, dia akan bertemu dengan Si Dara. Dia ingin membasuh fikiran anak perempuan makcik ini.


Atiya mencari-cari kelibat adiknya. Pagi ini, dia menerima dua kejutan. Kejutan pertama, kemunculan Haris di pejabat. Jarang-jarang Haris ingin menjejakkan kaki di pejabat. Semua pekerja di sini tidak tahu pekerjaan adiknya. Tanggapan mereka, Haris itu penganggur terhebat yang tahunya keluar dan masuk pejabat tanpa arah.


Kejutan kedua menyusul bila ada seorang wanita separuh abad ada bersamanya. Puas dia bertanya itu ini kepada Haris sepanjang dia dalam perjalaan ke sini. Jawapan Haris hanya menambahkan rasa cemasnya sebagai kakak.


Atiya tidak tunggu lama untuk menerpa sebaik melihat Haris tidak jauh dari dia.


"Apa tak kena? Kenapa dengan makcik tu? Jangan cakap itu type Haris." Tuduh Atiya. Dia tahu, sekarang adik dia sibuk di asak dengan soalan perihal pasangan hidupnya bila melihat kehidupan Haris yang sangat tidak terurus. Orang tuanya lebih risaukan keadaan Haris berbanding dirinya.


Haris itu kalau menghilang, lama baru akan munculkan diri. Muncul pun atas alasan urusan kerja. Kerjanya, tak mengira waktu. Siang malam pun bekerja. Kemunculan Haris itu tidak dengan tangan kosong. Muncul bersama misai tidak dicukur. Pernah juga rambut dibiar tumbuh melepasi telinga.


"Haris nampak sesuai ke dengan makcik tu? Kalau jalan sebelah-sebelah, orang ramai tak anggap makcik tu sugar mummy Haris?"Soal Haris.


Melihat seraut wajah serius Haris, Atiya diam sejenak. Dia tahu. Haris sudah menunjukkan tanda-tanda kemarahan. Sebelum kemarahan itu menjulang, Atiya perlu sedar bahawa wanita itu bukan wanita idaman Haris.


"Dia datang pasal ni..." Haris menunjukkan surat tawaran kerja kepada Atiya.


"Tapi..." Atiya melirik keberadaan wanita itu yang dibiarkan sendirian di bilik tetamu.


"Kerja tu dah tak valid. Mereka baru saja terima pekerja baru semalam. Jadi, secara automatik...Anak makcik ni dah terlambat." Atiya menerangkan perkara sebenar.


"Makcik tu merayu bagi pihak anak dia untuk dapatkan kerja ni..." Tak tahu kenapa Haris juga punya semangat seperti makcik itu. Dia ingin membantu supaya anaknya bernama Dara mendapat pekerjaan di sini.


"Itu salah anak dia! Kalau dia maklum awal-awal nak kerja ni, mungkin kita akan extand lagi masa. Kita akan book dia untuk kerja tu. Kenapa senyap je? At least, call." Atiya pun kerja. Jadi, dia sedang mengikut peraturan syarikat. Tak kan dia nak berhentikan pekerja yang baru masuk semalam. Itu tidak adil namanya.


"Kalau Haris tak sampai hati nak beritahu makcik tu, biar akak yang cakap. Lagipun Haris mana pernah ambil tahu pasal syarikat papa. Haris hanya dengan dunia Haris sendiri." Atiya melipat-lipatkan kertas itu. Dia sedia untuk bersemuka dengan wanita itu. Biar dia terangkan hal sebenar.


"Atiya!"


Panggilan suara lain, mematikan langkah Atiya. Tak jadi dia ingin bersemuka dengan makcik yang disebut-sebut Haris. Tumpuan dia beralih pada seorang perempuan yang sedang menghampiri.


"Ada apa Amy?" Soal Atiya sedikit pelik bila Amy muncul dengan satu fail.


"Tadi Haris cakap, kau perlukan ini..." Amy hulurkan satu fail resume kepada Atiya.


Atiya memandang Haris. Ini pasti kerja adiknya. Dia belum memberi apa-apa arahan lagi. Sebaliknya, bukan Atiya yang menyambut huluran Amy, tetapi Haris. Adiknya rakus membelek helaian demi helaian kertas tersebut.


Haris membaca sekilas semua isi kandungan resume tersebut. Dia hanya ingin mencari sesuatu. Sesuatu yang dapat meredakan hatinya sebelum dia ambil keputusan selanjutnya.


Pencarian Haris berakhir saat menatap sekeping gambar. Gambar itu yang dia cari-carikan tadi. Lima minit dia merenung empunya resume sebelum dia menutup fail kasar. Dia sudah sematkan seraut wajah itu di dalam kotak memorinya.


"Pasal kes seleweng duit syarikat..."


Berlapis-lapis dahi Atiya. Tadi mereka cerita perihal makcik yang muncul ke sini. Sekarang Haris membuka cerita masalah syarikat pula! Mana satu yang hendak Haris sampaikan sebenarnya?


"Akak dah jumpa orang yang sesuai untuk perangkap pelaku?"


"Kita selesai yang ini dulu, baru kita bincang masalah dalaman." Atiya kurang setuju jika mereka bincangkan hal ini. Kesian jika makcik itu menunggu terlalu lama.


"Penting...Akak kena jawab dulu." Haris segera menahan bila Atiya ingin berlalu pergi. Dia perlu jawapan segera.


Amy sekadar menjadi pemerhati perbalahan kecil di antara adik beradik ini. Dia rasa, dia tidak perlu ikut campur. Dia hanya perlu menunggu arahan saja.


"Belum...Akak dengan Amy masih mencari orang yang sesuai." Atiya mengalah.


"Bagus! Haris dah jumpa orang yang sesuai." Haris terlebih dahulu meluru masuk. Diikuti dengan Atiya dan Amy.


Haris yang mengetuai perbincangan tersebut. Dia yang banyak bertanyakan soalan. Dengan itu, dia menyebut kriteria-kriteria yang diperlukan dan dia juga mahukan jaminan bahawa Dara itu mampu menggalaskan tugas dengan baik. Mampu menjayakan rancangan tanpa gagal.


"Makcik yakin, Dara boleh. Dara tu dah pernah putus cinta empat kali! Kalau itu ciri-ciri lelaki yang disebut Encik Haris, makcik yakin sangat! Dara akan sukakan dia. Dara akan mudah berlembut hati." Sungguh-sungguh dia canang kelemahan anaknya.


"Cuma..." raut wajah tua itu bertukar sedih.


Sepatah itu yang meresahkan Haris. Dia takut, makcik ini tidak setuju dengan cadangannya. Takut, dia dikatakan lelaki tak guna kerana sengaja mempermainkan perasaan anak perempuannya. Hati emak mana yang tidak sedih. Apa lagi anaknya pernah kecewa berkali-kali.


"Makcik tak sanggup lagi tengok Dara kecewa. Mak mana yang sanggup tengok hati anak dia dipermainkan orang lelaki." Ada kesayuan pada nada suaranya. Dia ingin anaknya diterima berkerja. Bukannya dijual hati dan perasaannya.


Panjang helaan nafas Haris. Hati dia ikut bersedih. Gara-gara kesedihan itu juga dia buat keputusan pantas. Yang bakal membawa pergi semua kesedihan.


"Dara itu bercinta dengan orang lain. Tapi..." ayat Haris putus sekerat jalan. Dia sedang menggali keberanian diri.


"Dia akan berkahwin dengan orang lain. Saya yang bertanggungjawab atas kekecewaan Dara. Saya juga akan jadikan Dara sebagai isteri saya."


Atiya dan Amy saling berpandangan. Dia tidak percaya dengan apa yang baru mereka dengari. Mereka rasa, kewarasan Haris itu jatuh merosot! Haris buat keputusan tanpa berbincang dengan mereka.




Haris tersenyum nipis mengingatkan pertemuan pertama dia dengan Makcik Lijah, emak kepada Dara. Gambar Dara yang diambil curi-curi diletakkan kembali di lacinya semula. Hal ini telah pun sampai ke pengetahuan ke dua orang tuanya. Hanya dia yang masih mengelak untuk bersoal jawab dengan papa dan mamanya. Biarlah sehingga kes ini selesai, baru dia akan buka mulut. Urusan hatinya, biar jatuh di tangga kedua terlebih dahulu.


Sesampai di tempat meletakkan kereta, Haris menyumbat semua barang-barangnya ke dalam kereta. Semua itu bajunya yang tidak basuh sudah berhari-hari. Baru saja dia ingin masuk ke dalam perut kereta, dia diperlihatkan kereta berwarna kuning yang terletak tidak jauh dari sini. Mata dia jatuh pada nombor pendaftaran kereta tersebut.


Pintu kereta di tutup kembali. Dia menghampiri kereta tersebut dan cermin kereta diketuk dua kali. Tetapi, tiada respon.


"Tidur ke?" Haris tertanya-tanya sendiri.


Tidak menunggu lama, Haris membuka pintu kereta sebelah pemandu. Pintu tidak berkunci!


Dia diperlihatkan figura yang dia sangat kenal. Kepalanya elok terletak pada steering kereta. Nampak gayanya, pesanan dia gagal dipatuhi. Membazir air liur saja.


"Sini bukan tempat tidur, Dara! Kalau nak tidur, balik rumah." Haris tidak tunggu lama untuk berleter. Sekelip mata, dia nampak kepala Dara sudah tegak. Itu bermakna, Dara tidak tidur.


"Atau awak dah lupa cara memandu lepas satu malam tidur dalam lokap? Nak saya hantar awak ke kelas memandu semula, hurm?" Haris terus-terusan bersuara.


Lambat-lambat Dara menoleh. Dia tidak kisah apa pun kata Haris. Yang dia kisah, apa penerimaan emak kalau tahu dia pernah menyandang gelaran banduan? Anak jenis apa yang sanggup menconteng arang ke wajah emak. Apa lagi terbayang raut wajah kecewa milik emak.


Sengaja Dara membiarkan wajahnya basah lencun dengan air mata tanpa diseka. Dia nak Haris lihat sendiri kesan perbuatan lelaki itu terhadap dirinya.


"Are you crying?" Bohonglah Haris tidak terkejut. Dia kelu seketika bila melihat tangisan yang Dara menjadi semakin teruk.


"Hei...Hei, Dara!"


Haris bingung seketika. Kerja dia menangkap penjenayah. Bukannya memujuk kaum wanita! Itu tidak termasuk dalam skop kerja dia.


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.