Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 11

HASIL amal jariah Dara semalam, hari ini tidak putus-putus ucapan terima kasih dia terima daripada Emir. Emir menghantar mesej kepada dia dengan ayat-ayat bunga. Dia terbuai lagi. Berkali-kali juga Emir berjanji akan membayar semula wang tersebut dalam masa terdekat.


Bagi Dara, cepat atau lambat dia langsung tidak kisah. Asalkan Papa Emir selamat, sudah cukup bagi dia. Kesihatan orang tua Emir lebih penting daripada wang ringgit.


Pagi ini, selesai urusan di bank, Amy mengajak Dara makan tengahari bersama memandangkan jam sudah menginjak ke angka dua belas setengah. Waktu ini jalan boleh tahan sesaknya, kalau mereka menempuh juga. Boleh jadi mereka berdua sampai ke pejabat satu jam kemudian.


"Okay, jom! Atiya dah bagi lampu hijau." Amy menunjukkan ibu jari kepada Dara selesai saja menamatkan panggilan bersama Atiya.


Ini yang Dara suka tentang Amy. Apa-apa pun, dia pastikan akan maklumkan kepada Atiya terlebih dahulu. Boleh dikatakan, semua hal yang melibatkan urusan syarikat, Amy tidak akan membelakangkan Atiya selaku ketua mereka.


"Dara macam mana?" Soalan pertama yang terpacul sebaik suapan pertama Dara. Macam mana apa? Apa maksud Amy? Dara kurang jelas di sini.


"Kerja Dara selepas Suraya  dipindahkan ke unit HR."


Oh! Itu rupanya. Baru semalam Suraya ditukarkan ke bahagian HR. Bukan main masam wajah dia ketika mengambil semua barang-barangnya. Tetapi, bukankah sepatutnya dia merasa gembira kerana bakal satu pejabat dengan Emir yang dia suka dalam diam itu? Kalau Dara di tempat Suraya, dia pasti sudah melompat sampai ke bintang dek terlalu gembira.


"Alhamdulillah...Semuanya baik-baik. Berkat dari bantuan Amy dengan Atiya." Sungguh! Dara tidak menipu. Mereka berdua yang banyak membantu Dara yang kosong, tidak tahu apa-apa.


Suapan ke dua menyusul selesai menjawab pertanyaan Amy. Perlahan-lahan Dara mengunyah. Menikmati makan tengaharinya di luar buat pertama kalinya. Sempat dia melirik pada Amy yang menangguk kepala perlahan.


"Baguslah macam tu..." Komen Amy pendek. Dia juga senang jika Dara tidak merasa tertekan.


"Ada sesiapa yang cuba-cuba minta bantuan Dara?"


Hampir tersembur nasi di dalam mulut Dara. Kesudahannya, dia tersedak sendiri. Amy lebih pantas menghulurkan gelas air kepadanya. Sengaja Dara palingkan muka. Mengelak dari tertangkap dek wajahnya yang membahang ketika ini.


"Kenapa Amy tanya macam tu? Ada yang selalu minta bantuan ke?" Sebaik batuknya reda, Dara pula mengutarakan soalan.


Amy hela nafas lega apabila melihat Dara mampu bersuara semula. Dia meneruskan makannya. Sedikit pun dia tidak memandang pada Dara yang nampak tidak selesa. Duduknya juga dibetulkan berkali-kali. Segala-gala nampak serba tidak kena.


"Nope! Saya cuma tanya. Kut-kut lah Si Suraya tu ada mintak bantuan Dara nak masuk balik ke unit kita."


Ada kelegaan terpancar di wajah Dara. Bermati-matian dia merasakan Amy dapat tahu perihal dia menyalurkan wang kepada Emir.


"Tak adalah! Su mana pernah bersembang sangat dengan saya. Sembang pun jarang-jarang. Amy pun tahu kan macam mana layanan Su." Dara cuba-cuba menyimpang cerita. Berharap Amy tidak membuka cerita perihal 'bantuan' sebentar tadi.


"Baguslah kalau macam tu." Amy nampak berpuas hati dengan penerangan Dara.


"Ingat pesan Amy. Kalau ada yang serius, jangan segan nak cerita. Lebih-lebih lagi melibatkan staff kita."


Mati terus selera Dara. Suapan dia pun jadi lemah. Sekejap-sekejap dia mengerling Amy. Dia pun tak ada selera nak buka pesanan whatsapp Emir. Dia takut tertangkap dengan Amy buat kali ke dua.


Niat dihati tadi, ingin bertanya keberadaan Haris. Bila Amy buka cerita perihal bantuan, dia jadi kelu. Jadi bisu.


Apa cara yang Dara ada untuk kembalikan wang Haris? Dia mengeluh sekadar di dalam hati. Tidak mahu keluhan dia sampai ke pendengaran Amy.


Petang itu Dara nekad untuk ke bengkel itu semula. Dia perlu mengertak tuan punya bengkel supaya buka mulut dengan apa cara sekali pun. Asalkan tahu di mana dia dapat berjumpa dengan Haris.


Dara sudah sampai di hadapan bengkel tersebut. Dia masih teragak untuk turun dari kereta. Sepasang tangan dia kejap mencengkam steering. Ketika dia sedang was-was untuk turun, telefon dia menjerit minta di angkat. Melihat nama tertera, rasa gugup Dara bertempiaran lari. Emir tahu masa yang sesuai untuk menenangkan hatinya.


"Waalaikumsalam, Emir." Jawab Dara sangat lembut.


"Awak tak balas whatsapp saya."


Aduh! Dara sedang memandu, bagaimana dia mahu membalas mesej Emir? Dalam kepala dia hanya ingin lekas bertemu empat mata dengan Haris dan melunaskan segala hutang dia supaya tidur malam dia lebih nyaman. Lebih tenteram.


"Oh, ya! Saya ada hal penting nak beritahu awak." Emir tidak tunggu lama untuk bersuara semula. Dia tahu Dara sedang buat apa, niatnya hanya ingin mengusik.


"Apa dia Emir?" Dara menunggu Emir bersuara sementara dia sedang fokus jika ternampak tuan punya bengkel kereta, boleh dia segera menyapa.


"Saya ada buka akaun bank untuk kita bersama."


Berkedut dahi Dara. Akaun bersama? Bila dia sepakat untuk setuju? Bila dia dan Emir berbincang hal ini? Atau dia terlalu mengelamun hingga tidak sedar Emir ada menyebut perkara tersebut sebelum ini?


"Kita?" Puas tertanya-tanya, hanya sepatah yang meluncur dari mulut Dara.


"Yup!"


Untuk apa? Dara masih juga dihantui soalan.


"Simpanan duit untuk kita kahwin nanti. Tapi kalau awak tak simpan pun tak mengapa. Saya tetap akan berikan pin number dan password pada awak. Biar awak nampak kesungguhan saya nak menjadikan awak yang halal."


Panas kedua-dua belah pipi Dara. Sungguh! Dia terharu dengan pengorbanan Emir. Emir sanggup buka akaun untuk simpanan mereka. Emir tak kisah jika akaun itu dikawal sepenuhnya oleh dia.


"Nanti saya hantar semua detail untuk simpanan awak. Awak bebas untuk buat spot check bila-bila masa."


Gembira Dara bukan kepalang. Emir mempercayai dia sepenuhnya. Emir sungguh-sungguh untuk membina mahligai bersama dia.


Tidak sampai seminit menamatkan perbualan, Dara menerima pesanan whatsapp daripada Emir. Merekah senyumannya. Tanpa menunggu lama, dia sudah mengakses masuk. Melopong sekejap Dara melihat jumlah yang ada. Baru saja membuka akaun, Emir telah memasukkan dua ribu ke dalam akaun tersebut.


Dan mesej seterusnya, wang itu akan menjadi milik Dara. Emir akan mula menabung dari sekarang. Tidak lupa juga, dia akan melunaskan wang yang digunakan Emir untuk membiayai kos perubatan papanya.


Macam mana Dara tidak merasa diawang-awangan. Emir itu penuh dengan perancangan ke hadapan. Hanya dia yang masih di situ. Tanpa sebarang perancangan untuk menoktahkan hubungan mereka.


Ketukan di cermin menyentak Dara.


Rasanya, terlalu lama dia berada di dalam kereta. Dia juga terlupa tujuan dia ke sini. Cepat dia matikan enjin kereta sebelum keluar.


"Cik buat apa di sini?"


Lelaki di depan Dara terlebih dahulu mengutarakan soalan. Sempat dia menilik penampilan Dara dari atas ke bawah.


"Err...Encik?"


"Imran." Potong dia.


"Encik Imran ingat saya?" Teragak-agak Dara bertanya.


Lama dia memandang Dara. Kemudian baru dia tersenyum tipis.


"Cik yang datang dengan Haris hari tu kan?"


Dara membalas senyuman dia. Imran masih mengingati Dara.


"Kenapa? Kereta masih ada masalah ke? Hari tu saya dah pun test drive dengan Haris. Bukan sekali. Ada juga sampai tiga kali sebab Haris nak pastikan semuanya berfungsi dengan baik."


Terkelip-kelip Dara pandang dia. Belum pun dia bersuara, Imran terlebih dahulu bertanya. Bukan ke hari tu, Imran bersungguh-sungguh nak tutup cerita?


"Jadi, Imran tahu Haris yang bayar dua ribu bagi pihak saya? Haris lah hamba Allah yang Imran beria-ia tak nak saya tolak rezeki?"


Tergamam Imran bila Dara mengajukan soalan tersebut. Dia tahu, dia sudah terlanjur kata.


"Urusan kita dah selesai. Saya anggap kereta awak tiada masalah. Jadi awak boleh balik. Bengkel saya dah tutup." Imran ingin beredar. Dalam waktu yang sama terang-terang dia mengusir Dara pergi. Dia tidak mahu panjangkan cerita mereka.


"Sejak dari hari tu, Haris sengaja menghilangkan diri. Dia dah tak muncul lagi." Beritahu Dara.


Cukup tiga langkah, Imran berhenti. Dia masih membelakangkan Dara.


"Puas saya cari dia. Saya nak ucapkan terima kasih. Saya nak kembalikan semula duit dia. Saya tak nak terhutang budi dengan dia. Saya tak kenal pun siapa Haris tu sebenarnya. Kenal dia pun baru beberapa hari." Dara harap Imran faham. Dia bukanlah sejenis yang bersenang-lenang  tanpa mengetahui siapa yang sanggup menghabiskan beribu-ribu demi dia. Dia sudah dididik dari kecil supaya tidak termakan dengan budi.


"Jadi? Awak nak saya buat apa? Itu urusan awak dengan Haris."


Cukup dingin ayat Imran. Apa yang Dara nampak, harapan dia menemu Haris melalui Imran sangat tipis.


Imran berpusing. Dia sudah berjanji dengan Haris tidak akan memberitahu sedikit pun informasi tentang dia selagi hal peribadinya belum selesai. Apatah lagi hal itu melibatkan wanita yang berkeras ingin bertemu empat mata dengan Haris.


"Saya akan selesaikan urusan saya kalau awak beri kerjasama Imran. Saya perlukan nombor telefon dia. Atau alamat rumah dia. Tempat kerja baru dia. Apa-apa pun lah asalkan saya dapat berjumpa dengan dia."


Langkah Imran terbantut lagi. Dia sedar satu perkara. Haris itu degil, wanita ini dua ke tiga kali ganda lebih degil. Langit sudah pun bertukar warna jingga, tetapi wanita ini masih meraih pertolongannya.


"Cik dah cuba pergi balai polis?"


Bercantum kening Dara. Apa Haris tidur dilokap? Kalau dah tidur di lokap, itu bermakna Haris telah melakukan jenayah. Jenayah yang pastinya besar sehingga dia dihumban ke dalam lokap!


"Haris kena tahan di balai mana? Beritahu saya. Saya nak berjumpa dengan dia. Saya akan usahakan untuk keluarkan dia dari lokap." Tidak keruan Dara bila mendengar perkataan balai polis. Dalam kepala Dara sudah bermacam-macam andaian.


Imran bercekak pinggang. Sorotan dia semakin tajam.


"Cik boleh pergi balai polis berdekatan sini saja. Pergi buat laporan polis kehilangan Haris Nanti pandailah polis tu bawa Haris berjumpa dengan Cik. Malaysia ni kan besar. Pihak polis pun dah mudahkan kerja Cik."


Merah padam muka Dara. Dia tidak suka bahasa Imran. Dia tidak suka dengan kesombongan Imran. Dia benci Imran! Imran itu lelaki tidak berguna!


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.