Dara yang baru menyisip cawan ke bibir segera bangkit bila Haris itu menonong ke sinki. Ringan tangan dia naik mengosok perlahan belakang suaminya. Dia yang melihat pun sudah rasa simpati apa lagi Haris yang melaluinya.
Sampai sekarang pun Dara masih belum percaya dia bakal menjadi ibu. Dia hanya biasa-biasa saja. Yang luar biasa itu Haris. Sejak dari semalam yang sibuk nak makan itu ini adalah suaminya. Bila dah dapat apa yang diidamkan, makannya cuma sedikit saja. Kemudiannya, Haris bakal muntahkan semula.
“Much better?” Dara pandang Haris yang sudah tegakkan badan. Tangan dia masih kejap di lengan suaminya.
“Setakat morning sickness, apa lah sangat.”
Jawapan versi bongkak Haris itu mengundang jelingan Dara. Sekarang dia tarik balik segala rasa simpati dia pada Haris.
“Don’t worry…Kan saya dah cakap, saya dah biasa.”
Haris menipu lagi. Haris belum biasakan diri. Suaminya berkata begitu demi menyedapkan hatinya. Demi nampak lelaki yang gagah dan sihat di matanya. Sedangkan semua itu auta belaka.
“But I’m curious.”
Kening Dara terjongket. Apa yang suaminya nak tahu sangat, dia pun nak dengar juga.
“Didn’t you feel something weird about yourself, Dara? Takkan awak langsung tak perasan awak mengandung?”
Kelip-kelip mata Dara pandang Haris. Dia was-was sekarang ini sama ada suaminya bertanya, atau sedang memarahinya.
“Awak ada niat nak marah saya ke Haris?” Dara mula beremosi biarpun nada Haris bertanya itu biasa-biasa saja.
“Please…Saya tak nak bergaduh lagi dengan awak.” Tubuh Haris ditolak menjauh. Dia terasa hati.
“Saya pernah marah awak ke? Kalau marah pun, saya akan heret awak ke bilik. Kita bincang dari hati ke hati. Itu lebih baik daripada awak marah-marah macam ni.” Haris berpeluk tubuh memandang Dara. Sengaja dia angkat kening tinggi.
Panjang Dara hela nafas. Apa yang dikatakan Haris itu tidak salah. Dia yang marah-marah tak bertempat. Dia juga yang suka besarkan hal-hal yang kecil. Kesudahannya, dia sendiri yang makan hati.
“No need to sorry. Permohonan maaf awak tu sah selama sembilan bulan sepuluh hari. Boleh jadi tu pembawakan budak.” Potong Haris laju. Dia tahu apa yang mahu disebutkan Dara.
Mengendur sepasang bahu Dara. Hal kerja dia boleh selesaikan semuanya sendiri. Tapi bila melibatkan hal hati dan perasaan dia gagal rundingan bila melibatkan suaminya. Akhirnya, dia yang mengajak Haris bertelagah.
“Saya tak boleh nak kawal marah saya bila berdepan dengan awak.” Jujur Dara.
“Why?”
Dara tak ada jawapan untuk Haris.
“Awak bukan setakat marah-marah, Dara. Awak pernah terfikir saya akan ceraikan awak. Betul tak?”
“Saya tahu, saya salah.” Dara mati ayat.
Haris berpeluk tubuh. Tadinya, bukan main elok Dara bertentang mata dengannya. Sekarang, Dara sudah melarikan pandangan mata. Sengaja nak mengelak.
“Awak tahu kan, saya sayang awak nak mati? And I give you everything, Dara. All…Ingat senang ke saya nak dapatkan awak dulu? Semua orang saya kerah tenaga untuk terlibat sekali. Selepas lalui semua tu, awak senang-senang nak bercerai? Oh, god Dara!” Seingat Haris, Dara itu fikirannya sama matang dengan usianya. Siapa tahu, fikiran isterinya jauh tercicir.
Haris buang pandangan ke tempat lain untuk seketika. Geram pula melihat Dara tiba-tiba diam.
“Sini.” Haris tarik Dara untuk duduk. Dia mengambil tempat bertentang dengan isterinya.
“Berapa lama kita bersama?”
Dara panggung kepala.
“Hampir tiga bulan.” Jawab Dara sepatah-sepatah.
“Awak fikir, tiga bulan tu awak cukup kenal saya? Mesti lah tak...” ujar Haris.
“Tapi saya cukup kenal awak, Dara. Saya tahu apa dalam fikiran awak.” Haris bersuara lagi.
Ya. Dara akui perkara tersebut. Hanya Haris yang ada kepakaran membaca isi hatinya.
“And please…” Suara Haris itu kedengaran merayu pun ya. Kedua belah tangan Dara dicapai.
“Tolong berhenti fikir yang bukan-bukan. Berhenti fikir saya nak berpisah dengan awak. Apa-apa pun yang tak baik untuk hubungan kita, tolong buang semuanya. Untuk anak kita.”
Lama Dara merenung Haris. Ada sesuatu yang dia ingin katakan. Sejak awal tadi lagi dia ingin bersuara. Tetapi Haris itu sering mendahuluinya. Haris yang menguasai perbualan. Bahkan suaminya sedang cuci fikirannya juga. Habis luar dalam dicuci.
“You know something Haris…”
“Saya tak akan tahu kalau awak tak luahkan.” Haris mencelah.
Haris selalu begini. Selalu potong percakapan dia.
“You are talking too much.” Akui Dara. Dia rasa, percakapan Haris itu tiada penghujungnya.
Giliran Haris pula memandang Dara tanpa berkedip. Dan dia perasaan sesuatu yang sangat luar biasa.
“Saya rasa Dara…Bukan dunia saja terbalik. Kita berdua juga sedang alaminya.”
Dara kurang faham maksud Haris. Apa yang terbalik?
“Saya rasa macam duduk depan cermin. Saya sedang nampak diri saya pada awak.”
Sepasang kening cantik Dara bertaut. Masih samar-samar. Masih belum faham apa yang cuba Haris sampaikan.
“Saya nampak Haris suka marah-marah awak. Yang suka kenakan awak. Yang suka sindir awak. Semestinya saya kagum, Dara yang dahulunya terima saja amarah Hilman Haris tanpa melawan.” Cerita Haris teruja.
Bibir Dara mengukir senyuman. Haris sejak bergelar suami sememangnya banyak berubah. Terlalu ketara perubahan suaminya. Paling penting, tiada lagi Haris yang marah-marah. Marah itu lebur sepenuhnya sejak mengetahui dia membawa nyawa lain.
“Apa boleh buat…” Dara bangun. Sesi berdamai telah tamat.
“Awak perlu berhadapan Mrs Hilman Haris selama sembilan bulan. Sila pastikan emosi awak tak koyak macam Dara Batrisya.” Titip Dara.
“Macam tu sekali?” Haris nampak tidak berpuas hati bila merasakan isterinya seolah-olah sedang membalas dendam.
“Dunia kita sedang terbalik, Haris. Itu yang awak cakap tadi. Jadi, terima saja.” Dara tayang senyuman mengejek sebelum dia meninggalkan ruangan dapur.
“Where are you going?” Suara Haris sudah bergema sambil matanya mengekori langkah Dara. Isterinya perlu diberi perhatian. Takut ada perkara di luar jangkaan yang bakal dilakukan Dara nanti.
“Jogging.”
Haris bangkit mendadak. Dia mengekori langkah isterinya. Naluri dia jarang-jarang salah.
“Are you out of mind Dara?” Soal Haris yang berjaya memintas Dara. Dia berdiri di depan pintu sambil menghalang isterinya keluar.
“Nope!”
Mata Haris turun sejenak pada perut Dara, kemudian dia mencari sepasang mata isterinya yang tampak bersinar. Nampak sangat isterinya tak sabar nak melakukan aktiviti berjogging. Dan dia juga tidak sabar untuk angkut isteri masuk ke dalam jika perlu.
“Kenapa? Tak boleh?” Rasanya, Dara baru saja bertanyakan soalan yang kurang bijak.
“Dalam keadaan macam ni?”
Lirikan Haris itu bertukar menjadi sorotan tajam. Itu tandanya, suami dia akan membantah sekeras-kerasnya.
“Tak boleh jogging…Berjalan masih boleh kan?” Dara tidak peduli. Kalau jalan pun tak boleh, dia akan minta untuk berbasikal pula.
“Kita pergi berdua.” Putus Haris setelah lama membuat keputusan.
Barulah Haris nampak muka tegang Dara itu kian menghilang. Ada senyuman yang dititipkan padanya. Dia menapak masuk ke dalam bilik untuk menukar baju, tak lupa diheret sekali Dara. Takut nanti isterinya akan keluar tanpa menunggu dia. Isterinya bukan boleh percaya sangat.
“Lepas tu boleh lah kita ride pula.” Riuh mulut Dara merangka aktiviti mereka selepas itu.
“Saya kayuh, awak follow dari belakang.”
Seperti selalu, Haris akan rombak tentatif tersebut.
“Haris!” Dara terjerit kecil.
Haris berhenti betul-betul di muka pintu lalu berpaling mencari Dara. Apa yang menyapa iris dia, wajah merah padam milik isterinya. Dan raut wajah itu nampak seperti sedang menahan marah.
“You are hurting me.” Adu Dara dengan bibir terketap-ketap.
“Did I?” Haris pura-pura tak faham. Memang tadi dia sengaja mengenggam kuat tangan Dara bila isterinya mengusulkan rancangan untuk berbasikal pula.
“Oh, Sorry…Saya memang sengaja pun tadi.” Akui Haris bila sepasang mata Dara itu mengecil. Tidak terima dengan dengan soalan naifnya.
“Come on…Saya bergurau, takkan tu pun awak nak marah. Chill okey?” Haris menepuk perlahan pipi isterinya.
“Jom.” Haris mula melangkah, namun pergerakkan dia terbatas bila orang yang diheret itu masih tidak berganjak sehingga memaksa dia menoleh kembali. Wajah serius Dara pula menyapa pandangan.
“What’s wrong?” Haris mula tak senang duduk bila Dara tiba-tiba diam dirinya. Dara masih juga begitu. Terus-terusan merenung dia tanpa berkedip.
Ketika itulah rasa itu kembali menerjah. Rasa yang sering buat dia panik. Pantas tangan Haris naik melekap ke mulut.
“Haris? Kenapa ni?” Dara tak keruan bila Haris nampak seperti ingin muntah. Berpusing-pusing tubuhnya mencari apa pun untuk dijadikan tempat Haris melegakan mualnya. Lupa niat dia ingin merajuk sebentar tadi.
“Gotcha!”
Terangkat sedikit tubuh Dara bila belakang badannya disapa sesuatu yang hangat. Bahu kanannya juga terasa berat. Ada sesuatu yang melingkari pinggangnya.
“Ish! Dia ni…” Siku Dara laju mencari sasaran bila merasa dirinya tertipu.
Dara terdengar suara orang mengaduh. Itu tandanya sasaran dia mengena. Dalam waktu yang sama, bahu kanannya terasa hangat bersama sesuatu yang melekit.
“Haris?!” Suara Dara naik satu oktaf. Geram.
“Salah awak, Dara.” Haris mencari tisu untuk membersihkan bahu isterinya.
Sememangnya salah Dara. kalau Dara tak siku perut dia, keadaan pastinya terkawal. Mujur kali ini dia termuntah sedikit saja.
Sudahnya, Haris terpaksa menahan telinga mendengar leteran Dara ketika dia sibuk membersihkan baju isterinya. Apa boleh buat, ini yang perlu dia hadap dengan penuh sabar.
DARA duduk di atas bangku diperbuat daripada batu sepenuhnya yang berada di kawasan taman rekreasi. Haris meminta dia menunggu di sini sementara suaminya sedang baiki tayar basikalnya yang bocor. Itupun, berkali-kali Haris berat hati untuk meninggalkan dia. Dan berkali-kali juga Dara menyakinkan Haris dia baik-baik saja. Lagipun, kedai baiki tayar tidaklah jauh mana. Hanya beberapa ratus meter.
Penutup botol air dibuka lalu muncung botol dibawa rapat ke bibir. Perlahan-lahan air diteguk untuk menghilangkan rasa dahaganya.
“Dara?!”
Air yang baru melalui tekak tadi, tersembur keluar. Lekas Dara mencari dari mana datangnya suara yang menyapa dia. Pandangan dia berhenti pada sebelah kanan. Tangannya yang sibuk mengelap bibir juga terhenti. Lekas-lekas dia bangkit. Mengambil semua barangnya untuk segera beredar dari sini.
“Hei, wait!”
Bayang itu laju memintas lalu berhenti di depannya, sekali gus menghalang Dara untuk pergi.
“Saya kenal awak ke?”
Soalan Dara itu berjaya mengubah raut wajahnya.
“It’s me, Emir.”
Dara belum hilang ingatan lagi. Mana mungkin dia lupakan lelaki penyangak bernama Emir.
“Maaf…Saya tiada masa untuk berkenalan dengan lelaki lain. Lagipun, saya dah berkahwin. Dan awak kenal siapa suami saya.”
Senyuman Emir terlebih dahulu menyambut sindiran Dara. Cumanya, dia tiada keinginan untuk membalas senyuman lelaki ini. Senyuman dia sangat terhad. Terhad untuk Haris.
“Awak banyak berubah, Dara.”
Kalau Emir berjumpa dengan Dara sekadar untuk membezakan dirinya yang dahulu dan sekarang, lebih baik dia angkat kaki untuk beredar dari sini. Tiada faedahnya.
“Dara…”
Emir itu sudah melampau. Dara menepis kuat tangan Emir yang baru saja mendarat di lengannya. Dia merasakan hujung kukunya menyapa sesuatu tadi. Kukunya juga terasa suam-suam suku. Mata Dara tertancap pada pipi kiri Emir yang ada garisan halus sepanjang dua inci dan berwarna merah. Di situlah kukunya meninggalkan kesan.
Belum sempat Dara bersedia, Emir itu terlebih dahulu meluru ke arahnya. Malah, Emir itu bertindak lebih agresif.
“Kau dengan suami kau yang tak guna tu sama je! Memang nak tengok aku jadi papa kedana.”
Suara Emir itu kedengaran seperti orang kerasukkan, dan tangan lelaki itu menolak kasar bahu Dara sehingga dia gagal mengimbangi tubuhnya yang sedikit terhuyung-hayang. Tangan Dara singgah pada handle basikal untuk berpaut, tapi sayangnya basikal tersebut menerima nasib yang sama dengannya. Menunggu masa untuk menyembah tanah.
Spontan tangan Dara jatuh pada perutnya yang masih kempis. Dan dia berharap tiada apa yang berlaku pada dia dan kandungannya. Terbayang raut wajah Haris sekiranya terjadi apa-apa pada dia dan anak di dalam perutnya. Pastinya suaminya bakal mengamuk besar nanti.