Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 43

RIMAS!

 

Itu yang Dara rasa sekarang ini. Ke mana pun dia pergi, ada bayang-bayang yang mengekori rapat. Dan setiap kali dia menoleh, pastinya bibir dia akan ternoda. Mujur bibirnya suci, bersih dari calitan gincu. Kalau tidak, baju putih Haris itu akan menerima berpuluh-puluh hiasan bibirnya. Sudah satu kerja dia akan minta baju tersebut untuk disental.

 

“Selalunya, Haris mana pernah nak jejak kaki ke sini.”

 

Ada suara yang berbunyi. Berselang pula dengan suara ketawa mengusik.

 

Dan wajib Dara jegilkan mata pada suaminya. Dia mohon, Haris faham maksud jegilan tersebut. Jegilan yang bermaksud, sila beredar dari sini dengan kadar paling segera.

 

“Itulah…Suruh kahwin awal-awal. Macam-macam alasan.”

 

Kali ini, suara Mama Haris pula berbunyi. Dara tidak senang duduk jadinya. Dia tahu, apa sebutan ayat seterusnya.

 

“Bila dah kahwin, bukan main lagi..."


Dara sudah tidak tahan lagi. Ini semua salah Haris. Bibir dia bergerak-gerak tanpa suara. Dia harap Haris dapat membaca pergerakkan bibirnya.

 

“What?”

 

Sebaliknya, suara Haris itu bukan main kuat lagi hingga meraih perhatian mamanya dan Mak Iti.

 

Merona wajah Dara. Tak tahu mana nak disorok lagi bila mereka berdua tersenyum-senyum sesama sendiri sambil memandang dia.

 

“Tak guna Dara halau Haris. Melainkan Dara yang heret dia pergi.” Suara Mak Iti berbunyi.

 

“Dia sebenarnya takut mama bawa Dara keluar, tinggalkan dia sendiri dekat rumah...Betul tak Mak Iti?"

 

Semakin lama Dara di dapur, semakin teruk dia dan Haris menjadi bahan bualan mereka. Mana tidaknya, satu jam di situ, tak putus-putus dia menerima usikan mereka. Bertambah lagi dengan kemunculan Haris. Semakin giat mereka bersuara.

 

Dara mengheret Haris keluar. Suaminya perlu diajar supaya memberi privasi dia bersama mama. Banyak yang Mama Haris ingin berkongsi dengan dia tentang asam garam berumah tangga, tapi semua itu terpaksa dikuburkan gara-gara Haris yang turut serta.

 

“What are you doing, Haris?”

 

“Perhatikan isteri saya."


Apa masa yang mereka habiskan bersama selama ini masih belum mencukupi? Kenapa dia perlu diperhatikan? Dara bukan anak kecil yang perlu diberi perhatian dua puluh empat jam.

 

“Jangan buat muka macam tu. Awak macam nak ajak saya bergaduh, Dara.”

 

Siapa yang cari pasal terlebih dahulu? Haris lah kan?

 

“Tak boleh ke biarkan saya tolong apa yang patut dekat dapur tu? Saya sampai segan bila mama dengan Mak Iti asyik pandang-pandang kita.” Luah Dara perlahan.

 

“Tapi kenapa saya rasa awak yang cuba nak mengelak dari saya?” Haris angkat tinggi sepasang kening lebat dia.

 

Dara diam. Dia hanya memandang Haris. Dan apa yang Dara nampak, hujung bibir merah suaminya perlahan-lahan naik tinggi.

 

“Okey...Saya memang nak elak dari awak.” Akui Dara. Tak ada gunanya dia selindung kalau Haris pakar membocorkan penipuan dia.

 

“Why?”

 

“Perlu ke saya jawab?” Dara sedaya upaya menyembunyikan rasa tidak berpuas hati.

 

“Of course, Dara. Saya perlukan jawapan. Bangun-bangun je, awak dah hilang. Sekurang-kurangnya, beritahu saya.”

 

Dara tak lari ke mana pun. Dia hanya turun ke bawah membantu mama dan Mak Iti sediakan sarapan. Dan Haris boleh saja cari dia. Semestinya, tidak perlu disuruh kerana Hris memang benar-benar mencari dia. Bila dah jumpa, Haris itu seperti gam. Melekat di sisinya, macam Dara itu ingin melarikan diri.

 

“Saya tak nak ganggu tidur awak, Haris.”

 

“Sebelum-sebelum ini, elok je awak ganggu. Tapi kali ni, awak buat saya tak lena tidur.” Balas Haris.

 

“Jadi, apa yang awak nak sekarang?”

 

Kenapa ya, Dara rasa Haris itu sedang berpura-pura? Selepas kejadian semalam, Haris buat seperti tiada apa-apa yang berlaku.


"Tell me...Apa tak kena?" Haris sedia dengar luahan isterinya. Dari pemerhatian dia, ada yang sedang Dara sembunyikan.

 

“You are hurting me, Haris.” Dara mengawal nada suaranya. Seperti angin lalu suara dia menyapa.

 

“Did I?” Suara Haris terkejut.

 

Ya Allah!

 

Dara rasa tangan dia ringan saja nak menampar pipi Haris berulang kali biar suaminya sedar diri. Kepala dia turun, dia nampak Haris menggenggam kunci kereta. Dan sini bukan tempat yang sesuai untuk mereka berbincang. Jadi, dia perlu bawa Haris jauh dari sini.

 

“Kita nak makan dekat luar?” Soal Haris bingung.

 

“Tak, Haris. Mama dah penat-penat masak untuk kita. Lagipun, kita keluar sekejap je.” Dara masih cuba berbudi bahasa dengan suaminya sendiri yang terkadang memeningkan.

 

“Mama akan faham.” Kata Haris.

 

Dara tidak bersuara lagi. Dia tetap saja mengheret Haris ke Ford Ranger miliknya. Dia tak menunggu lama untuk loloskan diri ke dalam kereta.

 

Sebaik saja Haris mengambil tempat di kerusi pemandu, Dara berpusing menghadap suaminya.

 

“Sekarang, beritahu saya. Dekat mana yang saya sakiti awak?” Haris tahu kegelisahan Dara. Dia sedia untuk mendengar semuanya. Dia akan terima jika isterinya marah sekali pun.

 

Dara tidak menunggu lama, tudungnya diselak lalu menampakkan kesakitan dia. Tak besar mana pun, namun itu yang meninggalkan kesan di wajahnya. Lalu sakit itu turun ke hati. Dan semestinya tidak elok untuk hatinya.

 

“Looking good.” Haris bersuara setelah lama meneliti kesan tersebut.

 

Mengendur sepasang bahu Dara. Dia kurang gemar bila Haris sering memuji dengan perkataan ‘good’. Tiada yang tidak bagus di mata Haris. Semua tentangnya pasti Haris memuji bagus.

 

“Please, Haris…awak nampak saya okey ke?” Dara sudah tidak tahu bagaimana lagi berdebat dengan Haris. Suaminya tak pernah bagi muka. Dia yang perlu terima kekalahan tersebut.

 

Jadi, dimana pepatah yang mengatakan perempuan selalu menang, perempuan saja yang betul? Dalam kes dia, Haris yang mendominasi gelaran tersebut.

 

“Semalam awak tak nampak sakit pun? Awak menikmati segala kesakitan tu. Jangan cakap kesan kesakitan tu baru nak muncul sekarang? Nonsense!”

 

Dara tak suka Haris cakap tanpa rasa malu. Sedangkan dia, tak sanggup nak pandang muka Haris. Lebih-lebih lagi senyuman Haris. Teruk emosi dia terluka.

 

“Don’t worry…Bukan besar mana pun. Kalau cakap kena gigit nyamuk pun, orang percaya.” Haris mengelus lembut pipi Dara.

 

“Memang tak besar, tapi ada dua tanda...Orang akan syak saya kena baham dengan dracula, Haris.”

 

Ketawa Haris meletus. Raut wajah gelisah Dara itu yang buatkan dia tidak mampu mengawal diri. Tak perlu ditanya, dia lah dracula yang melakukan kerja di malam hari. Hasil daripada kejadian semalam, ada dua tanda yang ditinggalkan di pangkal leher Dara.

 

Malam tadi bukan main elok isterinya tidur beralaskan lengan sasanya. Celik saja mata, dia melihat Dara sudah hilang dari pandangan matanya. Merata dia mencari isterinya. Dan dia menemukan Dara di dapur. Apa yang menghiasi pandangan matanya, kain menutupi rambut isterinya. Dia tahu apa yang cuba disembunyikan Dara dari pandangan mereka.

 

“Awak tahu tak, mama dengan Mak Iti dah pandang saya pelik? Kalau papa tak ada, jarang-jarang saya pakai tudung dalam rumah. Dan hari ini, itu yang saya buat. Bukan sekali mama jeling saya dengan senyuman.” Rungutan Dara itu mematikan lamunan Haris.

 

“Satu jam saya habiskan masa google untuk hilangkan kesan ni. Dan saya dah cuba hilangkan dengan panadol. And, it’s doesn’t work." Dara hampir mahu menangis.

 

“Kenapa nak hilang kan? Itu tanda awak milik saya.”

 

Melotot Dara pandang Haris. Dia berpeluk tubuh memandang suaminya. Bahang wajahnya menahan malu. Tapi Haris itu bisanya tenang saja. Cakap pun dah tak pandai nak berlapik lagi.

 

“Saya ada jalan penyelesaian.”

 

Itu yang Dara mahu dengar dari mulut Haris. Dia perlukan penyelesaian bagi meredakan keresahannya. Dia harap sangat Haris itu dapat hapuskan keresahan yang dia alami sekarang ini.

 

Apa yang Dara nampak, Haris sedang melekapkan telefon ke telinga. Dia tertanya-tanya, siapa yang sedang dihubungi Haris.

 

“Ma…Haris dengan Dara balik dulu. “

 

Dara geleng kepala. Perbincangan mereka sebentar tadi, tak ada pun menyebut nak balik. Haris sudah salah faham. Itu bukan jalan penyelesaian yang dia harapkan.

 

Sudahlah malam tadi Haris mengajak dia pulang ke rumah mama tengah-tengah malam selepas kejadian dia dikatakan menggoda suami sendiri. Sampai saja, semua sedang enak diulit mimpi.


“Sorry ma, tak dapat join breakfast.”

 

Besar bukaan mata Dara. Haris buat keputusan tanpa berbincang dengan dia terlebih dahulu.

 

“Kami ada special dinner…A long night dinner.”

 

Lirikan Haris buatkan Dara mendekat. Dia mencapai telefon yang melekap di telinga suaminya.

 

Dan, ya. Ketawa budiman Haris pun munculkan diri. Dara ditipu hidup-hidup oleh suami sendiri. Telefon milik Haris itu sepi. Gelap. Tiada panggilan pun yang dibuat suaminya.

 

“Kita balik. Saya dah beritahu mama, dan mama faham.”

 

Tangan kasar Haris melekap di pipinya.

 

“Tapi…Baju…Handphone…” Dara perlu masuk ke rumah semula untuk mengemas semua barang-barangnya.

 

“Saya dah pack siap.” Haris mengerling pada kerusi belakang.

 

Dan Dara rasa, Haris memang dah plan awal-awal nak larikan dia dari sini. Dan Haris itu suka membuatkan dia menjeling sebagai tanda kekalahannya. Kemudiannya, ketawa kemenangan Haris pun menyusul. Tanpa henti.

 

Protes Dara untuk tidak bercakap dengan Haris menemui kegagalan bila dia merasa bosan dan keadaan terlalu sunyi tanpa suara mereka berdua.

 

“Awak tak rasa pelik ke Haris?”

 

Pandangan Dara hanya tertumpu ke jalan raya. Dia yakin, Haris dengar soalanya. Buktinya, suaminya mengeratkan lagi genggaman tangan dan dia menerima sentuhan hangat pada kekura kanannya.

 

“Awak tak rasa ke hubungan kita macam on off.” Lirikan dia singgah pada Haris. Suaminya nampak tenang memandu.

 

“Kadang-kadang, saya rasa kita macam ke arah pergaduhan. But, end up. Kita jatuh cinta macam tiada lagi hari esok.” Luah Dara.

 

Bukan dia bosan lalui hal ini, tapi orang lain yang menjadi pemerhati bakal salah faham. Mereka akan merasakan hubungan dia dengan Haris itu bermasalah sebenarnya. Sedangkan salah faham itu hanya bertahan seketika sebelum Haris bertindak sebagai penyelesai masalah tersebut sebelum salah faham itu merebak.

 

Sejujurnya, Dara suka Haris. Semua tentang Haris dia suka walaupun dia sering dibuli. Itu cara Haris menarik perhatian dia. Bercinta dengan Emir dalam beberapa bulan itu, membuka mata Dara. Lelaki sebegitu memang tidak menjamin masa hadapan. Mulut saja manis, tapi kemanisan itu lama-lama menjadi pahit. Payah untuk ditelan lagi.

 

“Kenapa? Awak tak suka cara saya? Awak nak saya bermadah helah? Peluk dan cium awak depan semua? Nak tunjuk satu dunia perasaan saya pada awak?”

 

Inilah sebabnya Dara tak suka berbicara perihal hati dan perasaan. Haris selalu terkeluar dari landasan. Malah, Haris bakal mengheret dia sekali. Biar sama-sama sesat. Dari situ bermulalah perselisihan pendapat antara dia dan Haris.

 

“Mesti saya suka semua tentang awak. Kalau tak, saya tak menikmati kesakitan awak bagi semalam." Sengaja Dara tekankan perkataan ‘kesakitan’. Dan ekor mata dia menemukan lekuk kiri Haris terbentuk.

 

“Biar apa orang nak cakap, Dara. Kita romantik cara kita. Tak perlu nak terikut-ikut cara orang. Asalkan kita jumpa kebahagiaan. Bukan senang nak mengecapi kebahagiaan dalam berumah tangga...Harga kebahagiaan itu sangat mahal nilainya, tak mampu dibeli dengan wang ringgit.”

 

Dara berpusing. Dia tak percaya apa yang baru dia dengar dari mulut Haris. Tangan dia melekap pada dahi suaminya.

 

“Awak tak sihat ke, Haris?” Dara balik-balikkan tangan di dahi Haris.

 

“Saya hanya tak sihat bila bersama awak, Dara."

 

Dara mencebik. Tak sihat Haris tu sangat-sangat teruk. Sampaikan dia tak terdaya nak melayan.

 

“Kalau macam tu, kita jangan bersama. Takut kesihatan awak merosot teruk sampai tak ada ubat nanti.”

 

“Mana boleh!”

 

Tumpuan Dara terganggu mendengar bantahan Haris. Dia menoleh, mencari sisi Haris.

 

“Saya sedang usahakan untuk wujudkan orang ketiga di antara kita. Orang yang akan mengheret kita ke arah kebahagiaan dan menjadi penyeri hubungan kita.”

 

Anak mata Dara bergerak-gerak, meneroka seluruh wajah Haris yang tersenyum lebar. Telapak tangannya dielus Haris. Dara faham sangat apa yang dimaksudkan suaminya.

 

“Awak tak nak ada anak dengan saya?” Soal Haris

 

Kini pandangan mereka beradu. Bibir Dara bergerak mahu menjawab, namun dia diamkan setelah akalnya menegah. Apa yang dilakukan Dara, dia terlebih dahulu melarikan pandangan mata kembali merenung jalan.

 

“Awak tak rasa ke ni bukan jalan ke rumah? Dah satu jam kita berpusing-pusing.” Sengaja Dara pesongkan cerita. Nak mengelak cerita perihal anak berlanjutan.

 

“Saya ingat awak suka kita dating dalam kereta. Sebab dulu awak suka macam tu.”

 

Dara menoleh buat kali ketiga. Macam mana Haris tahu?

 

“Awak intip saya?”

 

“Kalau awak nak tahu, saya hampir-hampir langgar kereta Emir dari belakang.”

 

Pengakuan Haris itu sedikit sebanyak mengejutkan Dara. Dia tak sangka, selama ini Haris itu ada bersamanya. Mengekori dia dalam diam.

 

“Can I say something, Haris?”

 

“Sure.” Haris memberi lampu hijau dengan pantas.

 

“I hate you, but I love you."

 

Merekah senyuman lebar Haris. Menampakkan lekuk dalam ke dua-dua pipinya. Dan dia memberi kucupan pada kekura Dara.

 

Sebalik senyuman tersebut, Haris masih menagih jawapan daripada soalan dia yang masih tergantung. Dia menjeling Dara sekilas. Dia merasakan ada sesuatu yang tak kena pada isterinya bila hal anak dibangkitkan.

Previous: Bab 42
Next: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.