SEJAK dari tadi Dara ingin bersuara. Namun dia jadi takut bila Haris itu terus-terusan menyuap makanannya. Sedikit pun tidak angkat muka. Cara pemakanan nampak cukup berselera sekali. Sedangkan keinginan dia untuk bertanya siapa perempuan tadi, meluap-luap hingga selera dia mati.
“Muka saya boleh buat awak kenyang ke?”
“Ya?” Dara tidak keruan mendengar suara Haris. Dia tertangkap kerana terlalu lama merenung lelaki ini. Lekas dia mencapai apa pun di atas meja. Dia perlu makan demi mengelak tuduhannya nanti.
Mata Haris singgah pada tangan Dara yang pura-pura ingin makan. Kemudian pandangan matanya singgah pada wajah Dara yang nampak sangat tidak keruan. Dia memerhati gerak geri Dara yang masih belum sedar sepenuhnya.
“Menarik!” Haris berhenti makan. Dia ingin melihat magis sebelum menyambung makan semula.
Dara membalas pandangan Haris dengan penuh tanda tanya. Apa yang menarik? Wajahnya menunjukkan seribu persoalan. Dia kurang faham maksud ‘menarik’ Haris itu. Tak kan makan di gerai tepi jalan termasuk dalam kategori menarik? Mustahil!
“Tu…” Haris duduk bersandar sambil berpeluk tubuh. Muncung terhala pada tangan kanan Dara.
Dara turut memandang ke mana arahnya muncung Haris.
“Saya nak juga tengok macam awak hirup sup tu dengan garfu.”
Merah padam muka Dara. Kekalutan sebentar tadi yang membuatkan dia salah tingkah. Dia tidak sedar tangan mencapai garfu lalu elok direndam ke dalam mangkuk kecil berisi dengan sup.
“Sesuatu yang menarik...Kalau awak berjaya hirup, saya iktiraf awak sebagai genius."
Kuat gigitan bibir Dara. Haris yang layak menyandang gelaran genius. Sindiran Haris semuanya tahap-tahap genius. Setiap serangan belum pernah mengecewakan empunya badan.
Cepat-cepat Dara menukar sudu. Niat di hati ingin bertanya perihal kemunculan perempuan tadi. Namun, niatnya hanya timbul untuk beberapa saat sebelum dia sedar batasnya. Dia tidak berhak bertanya lebih-lebih. Jadi niat murninya itu perlu dikuburkan supaya tidak digelar jaga tepi kain orang.
“Jangan tanya apa-apa pasal tadi. Tak penting.”
Suapan pertama Dara kaku bila Haris terlebih dahulu buka mulut. Lelaki ini tidak pernah gagal membaca keinginan dia.
“Tadi Umairah. Bekas tunang saya.”
Kunyahan Dara jadi berat. Entah kenapa, dia rasa tidak selesa apabila nama tersebut. Rasa seperti dia sedang menjadi orang ketiga di antara mereka.
“Jangan berani sebut apa pun tentang dia. Hanya itu saja saya boleh beritahu.” Haris masih makan. Sedikit pun dia tidak memandang Dara.
Dara menjeling sekilas Haris. Pinggan lelaki itu hampir licin. Sedangkan dia, baru dua ke tiga suap luak. Selera dia mati bila Haris menyebut perihal bekas tunangnya. Dia mula bersoal jawab sendiri.
Apa Haris itu ingin kembali pada Umairah? Boleh jadi sayang Haris masih tersisa buat Umairah. Jadi, kenapa Haris memberi emaknya harapan? Apa Haris sengaja ingin memberi kekecewaan pada ibunya?
“Makan Dara, saya dah lewat nak hantar awak balik.” Haris selesai makan. Pinggannya yang kosong di letak ke tepi.
Bagaimana Dara ingin makan. Selera dia dicantas oleh sesorang bernama Umairah. Dia mula berkira-kira untuk meneruskan atau tidak kerjasamanya dengan Haris. Dia takut dengan penerimaan bekas tunang Haris. Boleh jadi, perkataan bekas itu akan lenyap, dan mereka bakal berbaik. Itu yang sangat membimbangkan.
“Saya ada sejarah Dara.”
Dara melirik pada Haris. Dia berhenti menguis makanannya. Seluruh tumpuan dia menjadi milik Haris.
“Sejarah saya cukup buruk.”
Tanpa sedar, Dara mencebik. Memang patut pun Haris ada sejarah buruk. Sejarah buruk lebih sinonim untuk lelaki bermulut longkang seperti Haris.
“Sejarah saya tak pernah baik bila melibatkan perempuan.”
Semakin teruk cebikan Dara. Perempuan mana yang sanggup bertahan dengan Haris kalau begini layanannya. Hanya dia yang mampu. Mampu duduk semeja dan makan bersama.
“Saya pernah paksa perempuan makan dengan tangan saya sendiri biarpun dia menangis semahunya kerana berdegil tidak mahu makan. Menangislah air mata darah sekali pun asalkan makan tu masuk ke dalam mulut walaupun terpaksa."
"Konon nak jaga badan...isk." Hujung ayat Haris mendesis.
Kunyahan Dara terasa berpasir. Puas dia ingin menelan, namun gagal setelah mendengar cerita Haris. Cerita lelaki ini sangat mengerikan. Bermacam-macam bayangan berada difikiran.
“Jadi, jangan sampai saya ulang semula sejarah lalu saya.”
Cepat Dara menelan biarpun payah. Dia takut jika Haris memaksanya. Suapan perlahan dia menjadi laju. Dia tunduk menikmati makannya tanpa mengangkat muka lagi.
Haris tersenyum tipis. Kan senang kalau Dara makan saja dari tadi. Tak perlu dia mereka-reka cerita untuk menakut-nakutkan Dara.
Selesai membuat pembayaran, mereka berjalan beriringan menuju ke kereta Haris.
“Kereta saya parking jauh, awak tak kisah kita jalan jauh sedikit?”
Dara menoleh. Dia rasa, malam ini nada suara Haris berbeza dari sebelum-sebelumnya. Cukup berbahasa. Cukup budiman. Bebas dari segala unsur-unsur pemberontakkan.
“Saya okey.” Dara tidak mahu merosakkan mood Haris.
“Sepatutnya, saya yang belanja awak.” Dara jadi serba salah bila Haris yang kerap mengeluarkan wang untuk dia.
“Saya dah masuk dalam buku tiga lima.”
Dara menoleh lagi. Tumpuan Haris hanya di depan. Tiada senyuman. Itu tandanya, Haris tidak bergurau.
“Cukup bulan, saya akan lunaskan sikit-sikit buku tiga lima awak tu.” Dara memandang ke depan. Dia memang dah pasang niat akan membayar semula wang Haris secara berperingkat.
Haris menjeling Dara sekilas. Sekilas itulah dia menemukan raut wajah Dara yang sarat dengan masalah. Kemudian cepat-cepat dia menghala pandangannya ke depan semula bila merasa pergerakkan Dara.
“Terima kasih Haris.” Dia tak kisah untuk memandang sisi lelaki ini biarpun Haris tidak sudi pandang dia.
Haris masih begitu. Diam. Tidak menolak ataupun menerima ucapan terima kasihnya. Perlahan-lahan Dara berpaling. Tak mengapa kalau Haris tidak terima. Asalkan dia sudah sampaikan rasa terima kasihnya di atas semua pertolongan Haris.
Tumpuan Dara dicuri oleh kelompok manusia yang sedang menikmati malam mereka dengan aktiviti di kawasan dataran yang tidak terlalu besar. Ada yang sedang melayani anak mereka yang sedang bermain buih sabun. Ada yang memerhati anak mereka menaiki kereta mainan elektrik. Tidak jauh dari situ ada kelompok remaja yang sibuk bermain skateboard.
Dalam banyak-banyak aktiviti, ada satu yang menarik perhatian dia. Langkahnya di panjangkan ke arah sesuatu.
Haris perasan langkah Dara itu terpesong. Dia berhenti mendadak sebelum dia mengekori langkah Dara dari belakang. Dia sekadar memerhati Dara yang sesekalinya berlari-lari. Dia jadi penasaran apa yang berjaya menjemput keterujaan Dara sehingga nampak sungguh-sungguh.
“Berapa kalau saya naik ni?” Jari telunjuk Dara lurus pada benda yang berada di sisi wanita yang lebih tua darinya.
“Sepuluh ringgit untuk setengah jam.”
Bibir Dara melorek senyuman. Cukup rasanya. Dara mengeluarkan wang kertasnya dari kocek. Duit seringgit-seringgit tadi dikira. Ngam-ngam ada sepuluh keping lalu dihulurkan kepada wanita di depannya.
Serentak dengan itu, Dara merasakan bahang seseorang berdiri rapat di belakangnya. Tak perlu meneka, dia sudah dapat tahu siapa yang mendekat. Lekas dia menoleh sambil menyorong tandem bike yang mempunyai dua tempat duduk.
“Jom, Haris.” Dara sedia mengajak Haris menaiki basikal berkembar.
“Mak saya tak akan marah kalau saya balik lewat dengan awak.” Dara bersuara bila timbul kerutan di wajah Haris.
“Cepat…Saya dah bayar untuk setengah jam. Lima minit dah dibazirkan macam tu saja.” Dara sudah siap mengambil tempat duduk paling depan.
Dara menoleh belakang, senyuman dia terukir bila Haris telah pun mengambil tempat duduk belakangnya. Lelaki itu menurut kemahuannya tanpa banyak suara . Semakin lebar lengkungan bibirnya. Ketika itu pandangan mereka bersabung.
Malam itu, angin sepoi-sepoi menyapa. Rambut Dara yang dibiar lepas terbuai-buai ditiup angin membuatkan Haris begitu menikmati keindahan yang satu ini. Ditambah pula dengan senyuman Dara yang tidak pernah gagal untuk mengetarkan jiwa lelakinya.
“Ready?”
Dara memangkah semua keasyikkan Haris. Dia tunduk, pura-pura memeriksa keadaan basikal sama ada selamat ditunggang atau tidak.
“Jalan je lah…”
Dara mencebik. Haris itu sukar diramal emosinya. Tanpa berlengah, dia memulakan kayuhan. Mula-mula kayuhannya terasa berat. Lama-kelamaan kayuhannya menjadi semakin laju dengan bantuan Haris yang sememangnya pakar dalam aktiviti berbasikal.
“Jangan nak mengelat, Dara. Awak perlu bersenam selepas makan. Bukannya biarkan saya sendiri mengayuh.”
Terjuih bibir Dara. Dia baru saja ingin berehat dengan membiarkan Haris mengayuh sendiri, lelaki itu terlebih dahulu menjerit dari belakang. Dia kembali mengayuh. Takut nanti mulut Haris tidak mahu berhenti mengarah.
Sepuluh minit mengayuh, Dara mula terasa letih. Di tambah pula angin mula kuat meniup hingga dia terpaksa berkerja keras untuk melawan arus. Sudahnya, Dara berhenti. Dia membiarkan Haris mengayuh sendirian. Dia tak kisah kalau Haris mahu marah sekali pun. Dia ingin menikmati angin malam.
Perlahan-lahan dia melepaskan pegangan tangan pada handle. Dia mendepangkan tangan, menerima angin yang menyapa kuat seluruh tubuhnya. Dara pejam mata untuk sesaat dua untuk menikmati suasana itu.
Haris mengeleng kepala melihat tingkah Dara. Tidak pula dia menegur.
“Watch out, Dara!” Haris bersuara bila merasa basikal mereka sedikit terhuyung hayang.
Cepat-cepat Dara celik mata dan tangan dijatuhkan. Kemudian dia kembali membantu Haris. Mujur ada Haris. Jika tidak, mereka berdua mungkin sudah selamat terjun ke laut.
“Thank you.”
Dara tidak salah dengar kan? Dia mencari wajah Haris, dia ingin sekali melihat wajah lelaki ini saat menutur ayat tersebut. Gagal! Haris membelakangi dia.
Dia masih belum percaya Haris itu pandai rupanya mengucap terima kasih.
“Awak ada hak untuk melawan semua ayat-ayat saya, Dara. Bukan tadah telinga dengar semua kutukan saya.”
Lagi. Suara maskulin Haris menyapa pendengarannya. Semua itu hanya bertahan beberapa minit sebelum Haris berubah karakter semula.
“Dah lewat. Cepat, saya hantar awak balik. Esok pagi-pagi saya perlu ke Perlis.”
Belum sempat Dara bersuara, Haris terlebih dahulu melangkah jauh ke depan. Membina jurang di antara mereka sehingga memaksa Dara berlari anak untuk mendekati Haris. Larian Dara terhenti bila dia terlanggar tembok. Haris yang menjadi tembok itu.
Dara bergerak ke sisi. Dia dapat melihat dengan jelas mengapa Haris berhenti mendadak hingga dia melanggar belakang lelaki ini tanpa sengaja. Dia perasan, dirinya menjadi tumpuan manusia yang berdiri di depan. Yang hanya berjarak beberapa langkah saja.
“Sebab dia awak tolak pelawaan saya untuk makan malam bersama?”
Dara mencari wajah Haris. Dia tak faham. Dia perlukan penjelasan Haris atas pertuduhan perempuan itu.
“Tunggu saya dalam kereta.”
Haris meranapkan keinginan Dara yang ingin meraih penjelasan lelaki ini. Malah, Haris menghulurkan kunci kereta. Sekali gus mencampak jauh penjelasan yang dia perlukan.
“Awak sayang dia, Haris?” Dia bertanya. Tumpuan dia hanya pada perempuan di sisi Haris.
Dara memandang perempuan itu. Entah kenapa, kakinya berkeras tidak ingin berganjak. Dia ingin mendengar semua perbualan mereka berdua. Dia jadi lupa diri. Lupa yang sepatutnya dia tiada hak untuk turut serta.
“Go, Dara!” Suara Haris sudah lain benar.
“Nama dia, Dara?”
Perempuan itu tersenyum memandang Dara. Dapat Dara rasakan, senyuman itu sangat sulit digambarkan. Yang jelas, nampak tidak ikhlas. Nampak pura-pura. Lebih kepada terpaksa demi menjaga air muka di depan Haris.
Haris pusingkan tubuhnya mendadak. Arahan dia tidak disampaikan dengan baik kepada Dara. Buktinya, Dara masih belum berganjak. Masih di sini bersamanya.
“Saya dah lama ada keinginan Dara…Jangan sampai saya cium awak dekat sini biar awak sedar diri. Bukan sekali, saya boleh bagi berkali-kali supaya awak mampu bernafas dan sedar dari mimpi." Bisik Haris. Keras.
Dara teguk liur. Wajah Haris sangat dekat. Bisikan Haris pula umpama taufan yang menakutkan seluruh tubuhnya bila terpandang seraut wajah serius milik lelaki ini.
“Go…Tunggu saya sampai.” Bisikkan ke dua Haris menyusul. Mengusir Dara pergi untuk sekian kalinya.
“Saya perlu uruskan Umairah terlebih dahulu.”
Jadi, itulah Umairah? Perempuan yang pernah berada di dalam hati Haris satu ketika dahulu? Tapi kenapa Dara perlu ada rasa cemburu? Dia jadi keliru dengan apa yang dia rasa sekarang ini.