-4-
Warung
Wak Kentut letaknya di persimpangan masuk ke sebuah taman perumahan.
Kedudukannya sangat strategik dan redup tenang kerana berada di bawah sepohon pohon
pulai yang merimbun.
“Hah,
tu dia warungnya!” tunjuk Nek Ros kepada Ain. Dengan cepat Ain menjengah. Ada
papan tanda yang besar diletakkan di
hadapan warung. Ada kain gegantung yang dipasang di penjuru kiri dan kanan
warung.
Ain
ketawa kecil. Nama warung itu mencuit dan menggaru-garu hatinya.
“Jangan
nak ketawa lagi. Jom kita turun dan rasa nasi lemak dan soto istimewanya,” ajak
Nek Ros.
“Kalau
wak tu terkentut macam mana?”
“Dah
nama Wak Kentut. Kita nak buat macam mana lagi,” jawab Nek Ros dengan senyum.
Dia berjalan ke arah warung. Matanya melilau mencari tempat duduk. Tidak ada.
Semuanya penuh.
“Ramainya
peminat wak ni. Nek, agaknya kentut dia ni wangi heh? Sebab itu ramai yang suka
makan di sini,” kata Ain dengan senyum.
“Ish!
Jangan cakap kuat-kuat. Orang datang bukan nak hidu kentut wak tu. Mereka datang
nak makan. Macam kita juga.” Nek Ros meletakkan jarinya ke mulut.
Ada
sepasang suami isteri bangun dari tempat duduknya dan berjalan ke meja kaunter.
“Itu
ada tempat kosong. Mari kita cepat duduk. Nenek dah tak tahan bau kuah soto dia
ni,” kata Nek Ros menarik tangan Ain.
Mereka
duduk dengan selesa. Seorang pelayan datang mengambil pesanan. Nek Ros memesan
mi soto. Ain pula memesan nasi lemak istimewa.
“Tahu
apa yang atuk suka kalau datang ke sini?” tanya Nek Ros. Ain gelengkan kepala.
“Atuk
suka makan roti canai jantan dengan kopi kentut kuat.”
Ain mula
ketawa perlahan. Sungguh tidak tahan dia mendengar nama-nama menu di tempat
itu. Ketika dia ingin bertanya, pelayan datang membawa pesanan.
“Minuman
belum order?” tanya pelayan itu.
“Berikan
saya kopi kentut kuat dua,” Nek Ros menjawab selamba. Pelayan itu juga berlalu
membawa pesanan dengan selamba. Sedikit pun tidak ketawa. Ain yang
mengekek-ngekek. Dia menutup mulutnya agar bunyi ketawanya tidak ketara keluar.
Mereka
mula mengadap juadah yang sudah dihantar itu. Nek Ros menarik mangkuk sambal
kicap yang ada di atas meja. Ain pula menghidu bau nasi lemak yang masih panas
itu. Ayam goreng berempah dan sambal tumis ikan bilis ikut di hidu.
“Sedapnya
bau dia nek... ” bisik Ain sambil menikmati bau itu dengan mata yang terpejam.
“Bau
kentut wak tu?” tanya Nek Ros dengan ketawa.
“Nenek
ni!” jerit Ain sambil ketawa. Beberapa orang menoleh ke arah mereka. Ain
menutup mulutnya. Dia menahan ketawanya yang belum selesai.
Mereka
mula makan. Mulut Ain tak putus-putus memuji.
Tidak
lama dua cawan kopi O dibawa oleh pelayan tadi.
“Ini
kopi kentut kuat?”
Nek
Ros angguk.
“Kenapa
nama dia macam tu?”
“Entah,
kena panggil Wak Kentut dan tanya dia. Nak nenek panggilkan?”
“Eh
nek, janganlah.”
“Kenapa?
Kalau dia datang, Ain boleh tanya apa sahaja yang Ain nak tanya,” kata Nek Ros
sambil menghirup kuah soto dengan penuh selera.
“Ain
bimbang dia terkentut di sini, Ain tak dapat nak makan nanti. Geli... ”
Nek
Ros terus menghirup. Ain pula terus menyuap dan mengunyah. Dia terlupa seketika
pasal nama warung itu.
Orang
datang semakin ramai. Mungkin kerana waktu itu waktu minum pagi untuk kaki
tangan kerajaan yang bekerja di bangunan seberang jalan.
“Cepat
makan. Kita tak boleh nak berlama-lama di sini. Kesian orang lain yang menunggu
nak duduk,” kata Nek Ros. Mi soto sudah habis sampai ke kuah. Dia menarik cawan
minuman dan segera menghirup perlahan. Ain juga begitu.
Akhirnya
mereka segera bangun. Nek Ros menghulurkan sekeping duit RM50 kepada Ain untuk
membayar apa yang mereka makan di kaunter.
“Nenek
tunggu di kereta,” kata Nek Ros. Ain akur. Dia berjalan ke kaunter untuk
membayar.
Nek
Ros masuk ke dalam kereta. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dia segera
menjawab.
“Mak
ada kat mana tu?” Suara anak perempuannya Nurlisa menyentuh pendengarannya.
“Mak
baru habis bersarapan dengan Ain. Ada apa Nur?”
“Nur
ada di rumah mak ni. Mak jangan singgah rumah Nur pulak.”
“Nur
tak kerja hari ni?”
“Cuti
mak. Kurang sihat,” jawab Nurlisa.
“Baiklah.
Kejap lagi mak sampai. Dah nak bergerak ni.” Nek Ros mematikan talian. Dia menghidupkan enjin
kereta. Tiba-tiba dia rasa cemas. Nurlisa jarang bercuti. Apa pula sakitnya sehingga
dia mengambil cuti sakit?
“Ain,
mama Ain ada di rumah. Dia cuti sakit. Jom kita cepat balik,” kata Nek Ros
kepada Ain ketika cucunya itu masuk ke dalam kereta. Ain angguk. Dia
membetulkan duduk dan mengeluh beberapa kali.
“Ain,
kenapa ni?”
“Kenyang
sangatlah nek. Nasi lemak tadi tu banyak. Kopi kentut kuatnya juga gelas besar.
Adui... ” keluh Ain.
Nek Ros
tersenyum senang. Namun fikirannya masih teringatkan Nurlisa, satu-satunya anak
perempuan yang dia ada. Itulah intan. Itulah juga payungnya.