KOTAK
CINTA ATUK
Atuk
Jay bersiap-siap untuk balik. Semua pakaian dan barang-barangnya dimasukkan ke
dalam sebuah beg. Tidak sabar dia ingin balik ke rumahnya. Selain rindukan
belaian kasih sayang Nek Ros, dia juga merindui Kudin dan Temah. Kalau Awang
ada, dia juga akan rindukan Awang. Apa boleh buat, Awang sudah mati akibat
jerat asmaranya.
“Atuk
nak balik hari ni juga?” tanya Amir Asyraf yang memerhati dari tadi.
Angguk.
“Tapi,
atuk demam. Semalam atuk dah hampir jatuh kat bilik air kerana pening. Macam
mana nanti kalau atuk jatuh lagi?”
“Atuk
dah baik. Atuk dah sihat. Atuk dah dapat penawar sakit atuk. Tengok senyuman
nenek kamu, atuk rasa kalau mati pun boleh hidup semula!” Atuk Jay menarik
tangan Nek Ros dan meletakkan di dadanya.
Nek
Ros rasa bahagia. Kebahagiaan yang dirasai sejak muda, kini dirasai tanpa
berubah. Sudah begitu lama. Sejak
bercinta, berkahwin hingga beranak dan bercucu, perasaan itu tetap sama.
“Kalau
macam tu, biar Amir hantar barang-barang ni. Macam mana atuk nak naik motor
dengan beg besar ni.”
“Memang
atuk nak suruh Amir atau mama Amir yang hantar pun! Sebab atuk dan nenek nak
meronda dan pergi makan dulu,” kata Atuk Jay sambil mengenyit mata kepada Nek
Ros.
“Amir
dah agak dah.”
“Apa
yang Amir agak?” tanya Nek Ros pula.
“Atuk
mesti nak ronda sekeliling bandar. Atuk mesti nak berasmaradana dengan nenek
kat Tasik Merdeka tu. Sekarang dah ada sampan kolek. Bolehlah atuk dan nenek
berkayuh sambil nyanyi lagu Sanggam. Ush! Mesti meriah punya!” Amir mengangkat
ibu jari dengan ketawa. Atuk Jay dan Nek Ros ikut ketawa.
“Jom
kita!” ajak Atuk Jay ketika ketawanya usai.
“Tapi
bang, Ros tak bawakan abang topi keledar. Mana boleh naik motor?” Nek Ros
menjeling manja.
“Oho...
pasal tu nek jangan risau. Amir boleh pinjamkan topi keledar Amir.” Amir Asyraf
segera bangun dan berjalan ke biliknya. Tidak lama, dia keluar dengan topi
keledar di tangannya.
“Nah,
khusus untuk papa rock!” hulur Amir
Asyraf.
Atuk
Jay terus memakai topi itu.
“Terima
kasih bro! Itu sebab wa sayang lu sangat-sangat,” kata Atuk Jay sambil menepuk
bahu Amir.
“Eh!
Tadi lu kata lu sayang wa. Sekarang lu kata lu sayang Amir pulak?” Nek Ros
berpura-pura merajuk.
“Adui..amoi laling. Lu jangan cemburu sama ini Amir. Wa
sayang lu separuh mati. Wa sayang ini budak sikit saja,” jawab Atuk Jay dengan
ketawanya yang berdekah-dekah.
Amir
Asyraf tidak berkecil hati. Dia ikut ketawa berdekah. Dia tahu apa yang ada
dalam hati lelaki itu. Sudah lama dia merasai kehangatan kasih sayang lelaki
itu.
“Wa
caya lu bro! Jom kita. Tak usah layan budak busuk ni lama-lama. He! He!” Nek
Ros mengenyit mata kepada Amir Asyraf dan menarik tangan Atuk Jay.
Ketawa
Amir Asyraf semakin berderai. Dia melihat langkah kedua-duanya dengan mata
senang. Wajah muram neneknya telah hilang. Begitu juga dengan wajah sedih
atuknya tiada lagi. Mungkin lepas ini, dia tidak mendengar lagi atuknya berkata
: Atuk rindu nenek!
“Atuk!
Jangan lupa hantar Amir nanti!” Laung Amir Asyraf ketika enjin motor sudah dihidupkan.
“Ke
mana?”Atuk Jay berpaling.
“Amir
nak pergi PLKN! Minggu depan. Amir tak
akan pergi kalau atuk tak hantar!”
Atuk
Jay mengangkat ibu jari tanda setuju. Tidak lama motor itu melunjur laju
meninggalkan halaman rumah Nurlisa itu.
Amir
Asyraf sempat menjeling, tangan Nek Ros melilit pinggang Atuk Jay dengan mesra.
Senyum senangnya menguntum lagi. Dia suka pada kemesraan atuk dan neneknya. Dia
selalu berharap akan dapat melihat kemanisan cinta mereka hingga hujung nyawa.
Yang sudah berlaku, biarlah berlalu. Namun, kadang-kadang dia teringin untuk
tahu kenapa atuknya merajuk? Besar sangatkah kesalahan neneknya hingga atuk
sanggup larikan diri ke rumah pak usunya di Kuching?
“Kita
nak ke mana?” tanya Nek Ros ke telinga Atuk Jay. Suaranya berdesir melawan desiran
angin .
“Abang
lapar. Kita pergi makan di tempat biasa. Dah lama tak makan nasi lemak ayam
rock!” balas Atuk Jay, sedikit menjerit sebagai melawan pusaran angin.
“Warung
Ibrahim Jali di Kempas?”
“Kat
mana lagi yang jual ayam rock yang sedap selain di situ.”
Nek
Ros diam bersetuju. Selain Warung Wak Kentut di Senai, di situlah salah satu
tempat mereka mengisi perut. Kadang-kadang duduk melepak dan membaca akhbar.
Atuk
Jay akan bertemu dengan ramai kawannya di warung itu. Semuanya yang sebaya dia.
Warga pencen dari sebuah jabatan kerajaan. Kalau bertemu, cerita biasa orang
pencen ialah mengenang kisah semasa mereka bekerja. Kalau jumpa kawan yang agak
rapat, mereka akan bercerita tentang anak cucu.
Ayam
rock! Kenapalah ayam itu diberikan nama itu. Apa sebenarnya ayam rock
itu? Awal-awal dulu, Nek Ros juga
berfikir begitu. Sering tertanya-tanya. Namun selepas sekali pergi ke situ,
baru dia tahu rupa dan rasa ayam rock itu.
Ia
sebenarnya hanya ayam bakar. Yang lainnya, dia dibakar dengan salutan berbagai
rempah. Baunya, memang semerbak.
“Kenapa
ia dipanggil macam tu?” tanyanya kepada tuan punya kedai itu, Ibrahim Jali.
“Saja
je nak meriahkan dunia rock tanah air. Dah awak berdua digelar nenek dan
atuk rock, apa salahnya ayam bakar saya pun diberi gelaran begitu. Yang
penting, ayam saya semakin laris sejak dimartabatkan rock!” jawab
Ibrahim Jali dengan ketawa.
“Dah
sampai. Tak ramai orang hari ni,” kata Atuk Jay sambil memberhentikan motornya
betul-betul di hadapan warung itu. Nek Ros segera turun dan membuka topi
keledar.
“Dah
tengah hari bang. Dah habis waktu bersarapan.”
Mereka
berjalan ke arah sebuah meja.
“Abang
Jais! Lamanya abang menghilang. Abang ke mana?” tanya Ibrahim Jali keluar dari
dalam dan bersalaman dengan Atuk Jay.
“Abang
bercuti,” jawab Atuk Jay dengan ketawa.
Ibrahim
Jali ikut ketawa.
“Abang
nak makan apa ni? Kak Ros?” Ibrahim Jali menoleh kepada Nek Ros pula.
“Macam
biasa. Nasi lemak ayam rock. Kopi O janda.”
“Kopi
O janda tak ada bang. Yang ada kat sini semua bini orang. Ha! Ha! Ha!” balas
Ibrahim Jali, sekali lagi ketawa.
Sementara
menunggu pesanan makanan mereka sampai, Atuk Jay tidak putus-putus merenung
wajah Nek Ros.
“Kenapa
awak tenung kita macam tu?” tanya Nek Ros dengan gaya manja.
“Tak
bolehkah kita nak tenung awak?”
“Kita
malu tau!” balas Nek Ros sambil menutup mukanya. Ketika itu, mata Atuk Jay terpaku seketika.
Jemari Nek Ros yang panjang meruncing itu menarik pandangan matanya. Jemari itu
juga tiba-tiba menggetarkan hatinya.
“Abang,
nah ini dia nasi lemak ayam rock yang abang pesan. Ini pula kopi O janda.
Jemputlah abang dan akak makan. Harap tetap rock!” kata Ibrahim Jali dengan
ketawa.
Atuk
Jay hanya merenung hidangan di hadapannya dengan mata hambar. Seleranya pudar.
“Abang,
makanlah. Tadi kata lapar. Kenapa renung saja ayam yang rock sangat tu?”
gurau Nek Ros dengan ketawa kecil. Namun ketawanya segera terhenti apabila
melihat wajah Atuk Jay serius dan dia langsung tidak memberikan apa-apa reaksi.
“Abang,
kenapa ni? Tak ada angin. Tak ada ribut. Tiba-tiba nak hujan?”
Atuk
Jay menoleh perlahan.
“Dahlah,
makan cepat. Nanti sejuk tak sedap.”
“Tapi
kenapa? Abang belum jawap soalan saya,” kata Nek Ros dengan cuak.
“Kita
bincang di rumah. Makan dulu. Nanti tak rock ayam ni,” balas Atuk Jay cuba
melawak. Ketika itu Nek Ros pula terdiam dan seleranya tumpul
“Makanlah.
Kenapa tak nak makan pula?” Atuk Jay sudah mula mengunyah.
Untuk
tidak membuatkan Atuk Jay kecil hati, dia paksa seleranya untuk mengunyah nasi
lemak itu. Ayam rock akhirnya tidak rock lagi!
Sepanjang
perjalanan pula ke rumah, mereka hanya ditemani enjin Harley Davidson yang
menderu lembut. Sepatah kata pun tidak keluar dari bibir Atuk Jay. Nek Ros
menjadi khuatir untuk bergurau dan menegurnya. Lalu dia ikut diam, mengelamun
di belakang suaminya yang tiba-tiba menjadi bisu. Apakah dia akan menyambung
sengketa?
Sampai
di rumah, Atuk Jay terus menarik Nek Ros ke bilik. Lintang pukang Nek Ros
mengikuti langkah Atuk Jay. Selepas pintu bilik dibuka, Atuk Jay duduk di birai
katil dan memberi isyarat agar Nek Ros duduk di sebelahnya.
“Abang,
kenapa ni? Tadi baru saja minta maaf, sekarang dah mula lagi ke?” tanya Nek Ros
dengan senyum sinis.
“Ros
kena jawab dengan jujur. Abang tak nak Ros bohong.”
“Abang,
cuba terus terang saja. Saya tak fahamlah bang.” Nek Ros semakin keliru. Wajah
lelaki itu yang tadinya ceria dan gembira, tiba-tiba berubah masam dan muram.
Dia mencari kesilapan. Rasanya tidak ada.
Atuk
Jay menarik tangan Nek Ros.
“Mana
cincin yang abang berikan? Kenapa jari Ros dah kosong macam ni?” Atuk Jay
menunjukkan jari Nek Ros yang langsung tidak bercincin!
“Oh!
Ini yang buat abang marah sangat ya!”
“Ros
tak pernah buka cincin tu dari jari Ros. Ros pun dah janji nak pakai sampai
mati. Mana semua janji Ros tu? Ros dah benci abang ke?”
“Apa
abang merepek ni? Ros tak pernah benci abang. Cincin tu Ros buka sebab selama
abang tak ada, Ros sangat rindukan abang. Setiap kali Ros tengok cincin tu, air
mata Ros keluar. Ros tak sanggup nak tanggung detik sedih dan rindu tu,” jelas
Nek Ros sambil menarik tangan Atuk Jay dan dikucup lembut.
Atuk
Jay rasa lega. Dia menarik tubuh Nek Ros ke dalam pelukannya. Seluruh rasa
cintanya luruh luhur.
“Habis
mana cincin tu?”
Nek
Ros bangun dan mengambil kotak kecil di atas almari solek. Kemudian dia menyerahkan kotak itu kepada Atuk
Jay.
“Nah,
ini dia kotak cinta atuk. Nenek tak buang pun cincin tu sebab nenek tahu, atuk
sangat sayangkan cincin tu. Cincin tu adalah g... ” Nek Ros terhenti. Tidak
sanggup untuk diluahkan perkataan itu kerana bimbang Atuk Jay akan marah.
Atuk
Jay mengeluarkan cincin dari dalam kotak itu. Nek Ros pula menghulurkan
jarinya.
“Awak,
saya sangat sayangkan awak. Jangan pisahkan lagi jari dan cincin ni. Saya tak
dapat hidup tanpa awak. Awak janji ya?” Atuk bersungguh-sungguh. Nek Ros angguk dan tersengih-sengih. Perkataan awak yang menggantikan
perkataan abang itu dirasakan sangat lucu dan polos!