NENEK
vs PATI.
KENANGAN cinta Awang masih menyentuh hati Nek Ros. Apa lagi bila
terpandangkan sepohon bunga melor yang ada di halaman rumah. Itulah kubur
Awang. Atuk Jay yang tanamkan Awang dan dia yang tanamkan pokok bunga melor
itu.
“Awang
dah tak ada. Buat apa aku nak ingat-ingat lagi. Dia dah bayar harga sebuah cinta
dengan nyawanya. Kesian dia,” bisik Nek Ros perlahan.
Sudah
seminggu rumah itu sepi. Nurlisa ada singgah menghantar lauk setiap hari dalam
perjalanan pulang dari pejabat. Darwis pula setiap hari juga akan menelefon
bertanya khabar. Ezani yang ada di Kuching pun sama. Paling
sibuk pun, dia pasti akan menelefon dua hari sekali. Alhamdulillah, Nek Ros
bersyukur di dalam hati kerana dia diberikan anak-anak yang baik dan penyayang.
Semuanya tidak pernah mengabaikan kebajikannya.
Azan
asar berkumandang. Dari anjung rumah, Nek Ros segera masuk ke dalam. Sejak
muda, waktu solatnya memang terjaga. Jarang terlambat kecuali ada keuzuran atau
dalam perjalanan.
Solat
asar usai. Seperti biasa, Nek Ros keluar ke halaman. Deretan pasu-pasu bunga
dalam taman mini ciptaan Atuk Jay adalah
tempat dia berlibur santai di kala sunyi. Ada sebuah buaian kayu tempat dia dan
Atuk Jay menghabiskan hari petang sambil menunggu maghrib. Dia merenung buaian itu. Tergambar
jelas di ruang mata, mereka duduk di buaian itu sambil berbual-bual.
Kadang-kadang membaca buku. Kalau ada cucu-cucu yang datang, di situ juga
tempat mereka melayan cucu.
“Helo
Ros! Apa bikin tu?” Satu suara menegurnya. Nek Ros menoleh. Jirannya Lakhsmi
atau lebih dikenali dengan panggilan Pati Lakhsmi oleh penduduk taman itu,
berjalan ke arahnya dengan tongkat di tangannya. Pati dalam bahasa Tamil
bermakna nenek. Lakhsmi adalah seorang nenek seperti dia juga. Malah
cucu-cucunya lebih ramai dan berjaya dalam kerjaya masing-masing.
“Eh,
kenapa awak keluar ni Lakhsmi. Awak tu kan kurang sihat?” Nek Ros bangun dan
berjalan ke arah Pati Lakhsmi lalu memimpinnya duduk.
“Rimas
saya Ros, asyik duduk dan baring je.
Lenguh badan saya ni,” rungut Pati Lakhsmi.
“Habis
awak nak buat apa lagi. Kita ni dah jadi warga emas. Dah namanya emas, kena
duduk diam dan disimpan rapi.” Nek Ros ketawa.
“Kalau
emas tak apa, orang simpan kerana orang sayang. Ada masa harga naik. Saya ni
asyik harga turun je. Mungkin emas celup agaknya?”
Ketawa
mereka pecah, menyegarkan petang.
“Ros,
tanya sikit boleh tak?” Pati Lakhsmi menepuk bahu Nek Ros dengan mesra.
“Tanyalah.
Awak dengan saya, tak perlu nak minta izin. Selain anak cucu saya, awak adalah
keluarga terdekat saya.”
“Bila
Jay nak balik?”
Nek
Ros diam. Dia melepaskan pandangan kepada pokok bunga melor yang sedang memutih
bunganya. Ia mengharumkan kubur si Awang. Kalau malam, harum bunga itu akan
semerbak hingga ke dalam rumah.
“Maaflah
kalau saya kasi awak susah hati, Ros.” Pati Lakhsmi menarik tangan Nek Ros
dengan rasa bersalah.
“Eh,
tak ada apalah,” kata Nek Ros membetulkan perasaan sahabatnya itu.
“Habis
awak diam dan termenung tu? Saya jadi takut.”
“Saya
termenung sebab saya tak ada jawapan untuk soalan awak. Saya tak tahu bila dia
nak balik. Saya tunggu saja.”
“Ros,
awak masih untung kerana masih ada Jay. Macam saya ni, dah tak ada apa-apa.
Hidup kerana Tuhan masih nak saya hidup. Tapi sebenarnya jiwa saya dah mati
bersama-sama Murthy,” kata Pati Lakhsmi perlahan.
Nek
Ros tahu kesepian hati wanita itu. Seperti dia juga. Sejak Atuk Jay pergi, dia
hilang arah. Namun dia tidak mahu kalah dengan permainan rasa. Dia melawan
semuanya dengan tabah.
“Awak
tak ke sana, jumpa dia?” tanya Pati Lakhsmi lagi.
Nek
Ros menggeleng.
“Awak
tak rindu dia?”
“Lakhsmi,
isteri mana tak rindukan suaminya.”
“Kalau
macam tu, awak pergilah jumpa dia.” Pati Lakhsmi berkata dengan ragu-ragu.
Matanya tidak lepas memandang wajah Nek
Ros.
Nek
Ros mengeluh. Dia tahu niat kata-kata Pati Lakhsmi tulus. Mereka sudah lama
berkawan. Dia sudah lama mengenali wanita India itu. Sejak berpindah ke taman
itu. Sejak anak-anak mereka masih kecil
dan bersekolah. Usia mereka juga sebaya, masuk enam puluh. Banyak perkara
dikongsi bersama. Nek Ros senang berkawan dengan Lakhsmi kerana kejujurannya.
Sungguhpun berlainan bangsa dan agama, mereka saling menghormati.
“Dahlah
Lakhsmi. Jangan fikir pasal dia. Dia pun tak pernah fikirkan pasal saya.”
“Mana
awak tahu dia tak ingat awak?”
“Kalau
ingat, dia dah balik. Dia tak akan pergi begitu lama,” jawab Nek Ros perlahan.
Dia terasa dadanya panas dan bergelora. Dia menahan.
“Sebenarnya
saya suka tengok awak berdua. Masa Murthy masih hidup dia pun selalu kata dia
suka tengok awak dan Jay. Kalau awak naik motor besar tu, Murthy akan ajak saya
pergi ke kedai motor,” kata Pati Lakhsmi dengan ketawa kecil.
“Nak
buat apa?” tanya Nek Ros, hairan.
“Pergi
beli motor. Dia teringin nak naik motor besar dan keliling taman macam awak
berdua. Dia kata nak jadi loving couple macam awak berdua,” jawap Pati Lakhsmi
dengan ketawa yang makin kuat. Kali ini Nek Ros ikut ketawa. Lebur semua resah.
“Tapi,
saya tak nak naik motor.”
“Kenapa?
Awak takut?”
“Bukan
takut. Tapi saya tak sanggup nak tukar sari ni dengan seluar panjang atau
jeans. Boleh pengsan saya, kalau suruh buka sari ni,” kata Pati Lakhsmi dengan
ketawa semakin meleret panjang.
“Awak
ni ada-ada saja Lakhsmi,” kata Nek Ros, masih ketawa.
“Jujurnya,
saya memang suka dengan awak Ros. Awak ni cergas, ceria dan baik hati. Saya
tengok awak punya muka, hati saya sangat senang. Kita sama umur. Tapi,
tengoklah awak. Macam orang muda. Baju, seluar dan kasut awak, tak macam orang
umur enam puluh. Saya nak jadi macam awak. Tapi... ”
“Tapi
awak tak nak tukar sari dengan seluarkan?” potong Nek Ros dengan ketawa. Pati
Lakhsmi ikut rasa senang. Ketawa Nek Ros
sesegar orangnya.
Mereka
diam seketika. Masing-masing melayan fikiran sendiri.
“Pati!
Pati!” Kedengaran satu panggilan dari rumah Lakhsmi.
“Hah,
cucu awak dah panggil tu,” kata Nek Ros sambil menjengah ke sebelah.
“Itu
suara Aru. Dia ni memang tak boleh berenggang langsung dengan saya.
Kadang-kadang saya rimas juga. Asyik nak berkepit saja. Tapi, kadang-kadang
saya suka sebab hanya dia yang suka ambil tahu hal saya. Orang lain semua
sibuk.”
Nek
Ros angguk perlahan.
“Ros,
sebenarnya saya datang ni ada hal nak minta tolong sama awak,” kata Pati
Lakhsmi sambil menarik tangan Nek Ros.
“Apa
dia Lakhsmi?”
Pati
Lakshmi keluarkan sebuah kotak kecil dari kendung sarinya.
“Saya
nak awak tolong saya simpan kotak ini, Ros. Ini adalah barang-barang kemas
milik saya hadiah dari mendiang suami saya.” Pati Lakhsmi menghulurkan kotak
itu kepada Nek Ros.
“Tapi,
kenapa saya? Kenapa awak tak berikan kepada anak menantu atau cucu-cucu awak.
Awak tak boleh buat macam ni Lakhsmi,” kata Nek Ros sambil menolak huluran itu.
“Ros,
awak kawan saya sejak muda. Saya lebih percayakan awak dari mereka. Saya tak
nak cerita lagi pasal perangai anak menantu saya. Saya cuma nak awak tolong
saya. Ini saja bekal saya untuk hari mati saya. Tolonglah saya Ros... ” rayu
Pati Lakhsmi dengan penuh harap. Tangan Nek Ros dipegang. Kotak itu diletakkan
di tapak tangan lalu digenggamkan kuat.
“Saya
masih tak faham apa maksud awak ni?”
“Kalau
terjadi apa-apa kepada saya, awak tolong jualkan barang-barang ni dan berikan
kepada mereka untuk uruskan mayat saya. Awak tahu, kalau saya berikan mereka
simpan saya bimbang mereka akan jual sebelum saya mati.”
Nek
Ros masih termangu-mangu. Hairan dan cuak silih muncul.
“Tapi...
”
“Ros,
jangan bertapi dengan permintaan saya ni. Tolonglah... ” rayu Pati Lakhsmi
lagi. Kali ni Nek Ros tidak mampu menolak lagi. Dia tahu ‘huru-hara’ yang
berlaku dalam keluarga sahabatnya itu. Anak menantu sering bergaduh sesama
sendiri gara-gara berebut duit pencen dan harta benda yang ditinggalkan
mendiang Murthy.
Pati
Lakhsmi bangun. Dengan tongkatnya dia melangkah meninggalkan Nek Ros yang masih
menggenggam kotak kecil itu.
“Ros,
saya sayang awak!” Tiba-tiba Pati Lakhsmi melaung dari pintu pagar rumahnya
yang bertentangan.
“Saya
juga sayang awak!” laung Nek Ros pula.
Mereka
berbalas senyum. Dua hati bergetar riang.
Nek
Ros duduk semula di buaian. Fikirannya masih belum beralih dari kotak kecil di
tangannya. Dia merenung kotak itu.Kalaulah anak menantu Lakhsmi tahu hal itu,
tentu dia akan dimaki hamunnya. Hatinya
mula bimbang.
Serta
merta dia menepis kebimbangan itu. Dia terbayang wajah mendiang Murthy yang
sentiasa senyum. Wajah seorang suami dan ayah yang jarang marah. Dia teringat
permintaan Pati Lakhsmi yang bersungguh-sungguh.