URAT
DAWAI TULANG BESI
Hujung
minggu hari yang meriah di rumah dua tingkat milik Atuk Jay itu. Walaupun tidak
semua cucu yang datang bercuti, namun ia tetap meriah. Nurlisa hanya datang
bersama Haziq. Kali ini Quratul’Aini tidak datang sebab ada tugasan yang perlu
disegerakan. Amir Asyraf pula masih berada di PLKN.
Darwisy
datang bersama isterinya Marni dan dua anaknya Hana Humaira dan Ainun Najwa.
Siti Aqilah ke Langkawi bersama rombongan sekolah. Walaupun hanya tiga orang
cucu yang ada, riuhnya mengalahkan sepuluh orang.
Petang
itu di halaman rumah, Atuk Jay melayan Haziq bermain bola. Sebiji bola kecil
dikejar bersama. Berkali-kali Haziq terjatuh. Berkali-kali pula dia bangun dan
menyapu-nyapu sikunya.
“Apa
ni Ziq, asyik jatuh je. Tengok atuk ni. Tak jatuh. Kuat. Ada urat dawai tulang besi!”
kata Atuk Jay dengan ketawa.
“Hah?
Bila atuk pasang? Ziq nak pasang juga,” kata Haziq pula, menahan mengah.
“Pasang
apa?” Atuk Jay berhenti berlari. Dia menyeka peluh yang menitik di dahi.
Sungguh segar bila dapat keluarkan peluh seperti itu. Dia termengah-mengah.
“Pasang
urat besi. Pasang tulang dawai. Tak sangka, atuk ni keturunan robot.”
Atuk
Jay ketawa berdekah-dekah. Seluruh halaman itu segar dengan gema tawanya. Nek
Ros yang sedang berbual dengan Nurlisa dan Marni di taman mini ikut menoleh.
Melihat
suaminya ketawa kuat begitu, dia bangun dan berjalan ke arah mereka.
“Abang,
ada apa? Apa yang lucu sangat ni?”
Atuk
Jay menoleh. Sambil ketawa dia menunjuk ke arah Haziq.
“Ziq,
kenapa?” tanya Nek Ros kepada Haziq pula. Anak yang berumur sepuluh tahun itu
menggaru-garu kepala. Dia bingung. Kemudian dia mengangkat bahu, tanda tidak
tahu.
Nek
Ros membiarkan Atuk Jay ketawa sepuas-puasnya. Dia ikut rasa segar dengan
ketawa itu. Sudah lama halaman itu tidak riuh dengan suara gurauan Atuk Jay
bersama cucu-cucunya.
“Ziq,
ceritakan dengan nenek apa yang Ziq nak pasang tadi,” suruh Atuk Jay.
Ketawa
Atuk Jay membuatkan Haziq tersipu malu. Dia tidak tahu apa maksud ketawa itu.
Namun dia tahu, dia mesti sudah tersalah cakap.
“Atuk
kata, urat dia dawai. Tulang dia besi. Sebab tu atuk kuat dan susah jatuh. Jadi
Ziq nak pasang juga macam atuk. Atuk keturunan robot...” jawab Haziq dengan
ragu-ragu.
Nek
Ros tersenyum. Sebenarnya dia ingin ketawa. Tetapi selepas melihat wajah Haziq
yang kebingungan, dia menahan ketawanya.
“Poyonya cucu nenek ni,” kata Nek Ros sambil
menepuk bahu Haziq.
“Salahkah
apa yang Haziq cakap nek?”
“Memang
salah. Mana ada atuk ni keturunan robot. Kamu ni dah besar. Takkan belum tahu
kiasan bahasa. Urat dawai tulang besi tu maknanya orang yang kuat. Itu cuma
bandingan sahaja. Haziq... Haziq...” Nek Ros menggelengkan kepala.
“Dah
mari main lagi. Atuk belum letih ni,” ajak Atuk Jay pula.
“Nek...
” rengek Haziq.
“Kenapa
pula? Penat?” Nek Ros menyapu kepala cucunya.
“Haus.
Nak air,” jawab Haziq dengan manja.
Nek
Ros berjalan ke arah pintu dapur.
“Kenapa
dengan atuk dan cucu tu mak?” tegur Marni ketika Nek Ros melintasi tempat itu.
“Atuk
buat lawak. Cucunya lurus bendul. Poyo!” jawab Nek Ros sambil mencebik. Dia
menyambung langkah. Namun beberapa langkah sahaja, langkahnya terhenti.
“Mak!”
Nurlisa menjerit dengan ketawa.
“Kenapa?”
Nek Ros menoleh.
“Mak
pandai cakap poyo! Itu bahasa budak remaja. Mana mak belajar ni?” tanya Nurlisa
di celah ketawa.
“Ya
ke? Mak baca novel. Mak dengar budak-budak kat taman tu cakap.”
“Mak
ni...” kata Marni menantunya, juga dengan ketawa.
Nek
Ros segera masuk ke dapur. Dia membuka peti sejuk dan mencapai sebuah jag yang sudah dibancuh jus
buah-buahan.
Ketika
Nek Ros keluar membawa jag itu, kelihatan Atuk Jay dan Haziq masih berkejaran
berebut bola. Mereka ketawa dan kelihatan sangat riang. Tiba-tiba muncul iri
dalam hati Nek Ros.
“Haziq,
boleh nenek main sama?” tanya Nek Ros ketika Haziq sedang menggelecek bola dari
kaki Atuk Jay. Haziq berhenti. Dengan terkejut dia menoleh.
“Nenek
pandai main bola ke?” tanya Haziq.
“Eh,
atuk tak cakap ke dengan Haziq?” tanya Nek Ros pula.
“Nenek
dulu main bola untuk wakil sekolah ke peringkat negeri.”
“Ya
ke atuk?”
Atuk
Jay mengangguk dengan senyuman. Kemudian dia mengenyit mata kepada Nek Ros.
Mereka saling berbalas kenyitan dan senyuman.
“Wah!
Kenapa selama ini Haziq tak tahu?”
“Sebab
nenek tak nak tunjuk terror dengan
Haziq. Nenek tak nak Haziq kalah dan menangis,” jawab Nek Ros, masih tersenyum.
“Jom
kita main sama-sama. Ziq nak tengok cara nenek main. Kalau okey, bolehlah nenek
jadi coach pasukan Ziq nanti.” Giliran Haziq pula tersengih-sengih.
Serta merta dia berlari sambil menggelecek bola kecil yang ada di kakinya.
Suasana
semakin gamat. Nek Ros, Atuk Jay dan Haziq berebut-rebut bola.
“Ya
ALLAH, mak!” laung Nurlisa sambil melambaikan tangan.
Ketika
itu Ainun Najwa dan Hana Humaira muncul dengan ketawa juga. Mereka bersorak dan
bertepuk tangan, memberi sokongan kepada Nek Ros yang sedang lincah berlari
mengejar bola dari kaki Atuk Jay.
“Wah!
Pandainya nenek!” jerit Hana Humaira sambil menutup mulut, menahan ketawa.
“Kejar
nek! Kejar nek!” Ainun Najwa pula bersorak sambil melompat-lompat.
Keriuhan
itu membuatkan Pati Lakhsmi menjengah dari pagar rumahnya. Tiba-tiba dia
teringin untuk ikut bersama-sama dalam
pesta keluarga jiran dan sahabat baiknya itu. Dengan tongkat, dia berjalan ke
arah rumah Nek Ros.
“Wah,
meriahnya! Ros! Jay! Apa awak buat ni?” jerit Pati Lakshmi, menyeringai ketawa.
“Pati,
nenek dan atuk main bola. Pati nak main juga?” tanya Ainun Najwa sambil
memimpin Pati Lakshmi dengan mesra.
“Najwa,
pati sakit kaki. Kalau tak, nak juga pati lari kejar bola tu,” jawab Pati
Lakhsmi.
“Lakshmi!
Marilah. Letak tongkat awak tu kat tepi tu sekejap. Nanti ambil balik!” Atuk
Jay melaung kuat.
Pati
Lakhsmi membalas ajakan itu dengan senyuman. Hatinya tumpang gembira melihat
sahabatnya berbahagia dengan cucu-cucunya.
Tidak
lama, mereka berhenti. Semua menyerbut ke arah jag minuman yang ada. Nek Ros
segera duduk di sebelah Pati Lakshmi.
“Saya
nampak awak gembira sangat lepas Jay balik. Wajah awak dah merah. Saya suka
tengok. Awak makin cantik, Ros.” Pati Lakshmi berkata jujur. Namun,
kata-katanya itu disambut dengan ketawa mengilai Nek Ros.
“Tak
percaya?” tanya Pati Lakshmi.
“Awak
puji saya macamlah saya ni gadis remaja. Mana ada lawanya lagi,” jawab Nek Ros.
“Tapi
memang benar awak cantik, Ros.”
Nek
Ros menepuk bahu Pati Lakshmi dengan mesra. Ketika itu kedengaran suara Nurlisa
dan Marni riuh memanggil anak
masing-masing masuk mandi kerana azan maghrib akan dilaungkan bila-bila masa
sahaja.
Atuk
Jay juga sudah hilang bersama Haziq. Mungkin sudah masuk dan mandi.
“Ros,
saya ada hal nak minta tolong awak,” kata Pati Lakshmi, menarik tangan Nek Ros.
“Ada
apa? Katakan saja. Jangan awak nak malu dengan saya.”
“Boleh
tak esok awak bawa saya keluar bersiar-siar. Kita berdua saja. Dah lama kita
tak keluar berdua. Saya ingat, kali terakhir kita keluar ialah masa Murthy
masih ada. Awak temankan saya pergi shopping untuk deepavali. Dah
beberapa tahun...lama dah.”
“Baiklah.
Nanti saya minta izin dengan Jay dulu ya. Saya rasa tak ada masalah. Dia tentu
suka kalau awak nak keluar dari sarang
awak tu. Kami memang dah lama nak bawa awak berjalan-jalan. Tapi, sebab awak
selalu tutup diri awak tu dari bercampur dunia luar kami pun tak berani,” kata Nek
Ros. Tangan Pati Lakhsmi digenggam erat.
Pati
Lakhsmi bangun. Dia mencapai tongkatnya.
“Dah
nak masuk waktu awak sembahyang. Saya balik dulu. Jangan lupa, esok pagi kita keluar
berdua,” kata Pati Lakhsmi lagi. Bibirnya menguntum senyuman. Sangat manis di mata
Nek Ros.
Nek Ros
menghantar langkah sahabatnya itu dengan mata senang. Kalau Pati Lakhsmi sudah mahu
keluar berjalan-jalan, itu adalah berita yang sangat baik. Maknanya dia sudah mampu
melupakan kesedihannya.
Mungkin
akan ada sinar baru dalam kamus hidup wanita
itu.