Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,394
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 26

“Humairah?Kenapa pulak Humairah?” soal Mia Karmila terkejut.

Kedengaran Shahriman terus tertawa kecil di hujung talian sebelum menarik nafas panjang seolah-olah cuba mencari idea untuk menjawab pertanyaan itu.

“Humairah adalah nama panggilan manja Rasulullah kepada isterinya, Aishah. Humairah bererti ‘pipi yang merah’. Jadi saya suka nak panggil Cik Mia dengan nama Humairah macam Rasulullah memanggil isterinya, Aishah. Boleh, kan?”

Entah untuk keberapa kalinya Mia Karmila tergamam ketika mendengar kata-kata Shahriman malam itu. Dia benar-benar tidak menyangka sehingga sejauh itu Shahriman mahu bergurau dengannya.

“Ustaz Aiman saja nak mengusik saya, kan?” soal Mia Karmila, dengan suara yang cuba distabilkan menahan hatinya yang sedang bergetaran.

“Apa pulak nak mengusik? Dah Cik Mia kata saya boleh panggil Cik Mia dengan apa-apa nama pun yang saya suka, maka saya nak panggil Cik Mia sebagai Humairah. Cik Mia tak nak?” soal Shahriman.

“Bukan tak nak. Malah saya rasa seronok sangat. Tapi... errr... tak apalah! Suka hatilah apa pun Ustaz Aiman nak panggil saya, asal aje yang baik-baik,” ujar Mia Karmila akur.

“Alhamdulillah, seronok saya mendengarnya. Hmm... jadi mulai sekarang saya dah boleh panggil Mia ataupun Humairah, kan?” soal Shahriman menduga.

“Suka hatilah. Kalau nak panggil saya sayang pun boleh,” jawab Mia Karmila nakal.

Entah mengapa Mia Karmila tiba-tiba jadi begitu teruja untuk membalas gurauan Shahriman. Kemesraan yang ditunjukkan Shahriman benar-benar berkesan di hatinya.

“Oh, iya ke? Kalau saya panggil sayang, tak ada orang marah ke?” soal Shahriman.

“Bagi saya, tak adalah. Tapi bagi Ustaz Aiman, saya tak tahulah pulak. Ada orang akan marah ke?” Sengaja Mia Karmila membalikkan soalan itu pada Shahriman, ingin menduga sejauh mana lelaki itu berani bergurau dengannya.

“Wah, Mia dah pandai perangkap saya ya?” uajr Shahriman terkekeh-kekeh di hujung talian.

Dia dapat bayangakn senyuman dan lirikan mata Shahriman yang menggoda sedang mengusiknya. Mia Karmila turut tersenyum sendirian.

“Siapa yang perangkap siapa? Tapi, saya tak kisahlah. Apa-apa hal pun Ustaz Aiman jawablah sendiri kalau ada orang yang marah,” balas Mia Karmila selamba.

“Sebab tak ada siapa yang nak marah saya, maka saya berani nak panggil Mia dengan panggilan Humairah. Nak ambil sunah Rasul,” ujar Shahriman selamba.

“Jadi sekarang nama saya ialah Mia Karmila Humairah. Betul, kan?”

“Mia Karmila yang berpipi merah,” usik Shahriman nakal.

“Terima kasih kerana telah memberi saya nama baru yang cantik. Harap-harap tak adalah perempuan lain yang kenal Ustaz Aiman ada nama macam saya. Kalau ada, takut Ustaz Aiman keliru pulak bila nak panggil saya nanti,” balas Mia Karmila terus tertawa kecil sengaja memerli Shahriman.

Mia Karmila terdengar Shahriman ketawa kecil di hujung talian. Apalah agaknya yang membuatkan Aiman seronok sangat tu? Mia Karmila terus berfikir.

“Mia jangan risau kerana saya belum pernah panggil nama Humairah pada perempuan lain yang saya kenal. Jadi saya takkan keliru,” ujar Shahriman sengaja menekankan suaranya seolah-olah cuba meyakinkan.

“Alhamdulillah, lega rasanya,” balas Mia Karmila sambil menarik nafas lega.

“Lega kenapa?” soal Shahriman keliru.

“Lega dapat jadi sahabat Ustaz Aiman yang takkan mudah dilupai,” jawab Mia Karmila.

“Insya-ALLAH, semoga persahabatan kita kekal abadi. Hmm... Humairah tak mengantuk lagi ke? Dah dekat pukul 10.00 ni?” tanya Shahriman prihatin.

“Err... saya selalu tidur lewat.”

“Buat apa tidur lewat-lewat?”

“Macam-macam nak buat!”

“Dah malam-malam pun masih banyak macam-macam nak buat?”

“Biasalah orang perempuan.”

“Boleh kongsi tak? Nak jugak nak tahu, kot-kot boleh bantu.”

“Mana boleh beritahu, tu rahsia perempuan,” jawab Mia Karmila sambil tertawa terkekeh-kekeh.

“Oh, lupa pulak saya yang orang perempuan ni banyak rahsia. Tapi apa-apa hal pun, Humairah jangan lupa buat Solat Witir sebelum tidur. Jadi sekiranya Humairah tak terjaga untuk Solat Tahajud atau qiamulail tengah malam, sekurang-kurangnya Humairah dah melakukan Solat Witir untuk malam itu,” pesan Shahriman.

Entah mengapa hati Shahriman begitu mengharapkan agar hubungannya dengan Mia Karmila bukan hanya sebagai sahabat. Dia tidak tahu mengapa dia mengharap begitu. Dan sebab itu jugalah Shahriman mahu membimbing Mia Karmila untuk benar-benar menjadi seorang wanita yang solehah.

“Err... wajib ke kita Solat Witir setiap malam?” soal Mia Karmila keliru.

“Ia tak wajib tetapi sunat yang diberatkan ataupun yang dipanggil sunat muakkad. Telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah pernah bersabda kepadanya bahawa tiga perkara yang harus Abu Hurairah lakukan ialah Solat Witir sebelum tidur, puasa tiga hari setiap bulan dan Solat Dhuha. Hadis ni boleh kita ambil sebagai Rasulullah amat suka pada orang yang mengerjakan ketiga-tiga perkara itu walaupun ia hanyalah sunat. Sebab tulah saya sarankan Mia buat Solat Witir setiap malam dan bukannya hanya ketika bulan Ramadan aje, sebagai mengikut sunnah Rasul,” jawab Shahriman panjang lebar.

“Oh, saya tak tahu pun Solat Witir tu kena buat tiap-tiap malam. Saya hanya pernah dengar semasa mengikut kawan-kawan Solat Tarawih pada bulan Ramadan masa kat kampus dulu. Hmm... banyak lagi rupanya yang saya masih belum tahu,” keluh Mia Karmila kesal akan kejahilan yang masih membelenggu dirinya.

“Jangan mengeluh, Humairah. Humairah sepatutnya bersyukur kerana ALLAH telah memberi hidayah dan taufiknya untuk Humairah menuntut ilmu agama. Bukan semua orang boleh dapat hidayah daripada ALLAH tu. Jadi saya harap sangat agar Humairah teruskan mendalami agama dengan sentiasa menghadiri kelas-kelas agama dan majlis ilmu. Hmm... esok Humairah datang belajar kat rumah umi tak?” tanya Shahriman tiba-tiba.

“Insya-ALLAH. Kenapa Ustaz Aiman tanya?” soal Mia Karmila hairan.

Adakah dia merinduiku sebagaimana aku sering merinduinya? Bisik hati kecil Mia Karmila bertanya sendirian namun terus berharap ia akan menjadi kenyataan.

“Kalau Humairah datang esok, Humairah mintaklah umi ajar pasal Solat Witir dan Solat Dhuha tu. Lagi cepat Humairah belajar, lagi cepat Humairah boleh lakukannya,” balas Shahriman beri perangsang.

“Hmm... betul jugak cadangan Ustaz Aiman tu. Insya-ALLAH, saya akan mintak Ustazah Habibah ajar saya pasal solat tu selepas mengaji al-Quran esok. Err... esok Ustaz Aiman ada kelas kat Darul Hana ke?” soal Mia Karmila mahu merisik.

“Kalau ada kenapa? Humairah nak belajar kat Darul Hana ke?” soal Shahriman sengaja mengusik.

“Tak adalah. Mana saya layak nak belajar kat Darul Hana tu. Baca Quran pun masih terangkak-rangkak, macam mana nak hafal dan jadi tahfiz macam dia orang tu. Buat gelak pelajar-pelajar lain aje,” ujar Mia Karmila merendah diri.

“Alah, mereka tu pun dulu merangkak-rangkak macam Humairah jugak. Tapi berkat usaha dan niat ikhlas mereka, maka mereka boleh hafal berjuzuk-juzuk macam sekarang. Lagipun kat Darul Hana bukan aje belajar tahfiz tetapi ada jugak kelas-kelas agama yang lain termasuk tafsir al-Quran. Sebab tulah kita ambil Ustazah Rodhiah untuk mengajar ilmu Fiqh kepada pelajar-pelajar mendalami hukum-hukum agama Islam yang lain,” jelas Shahriman.

“Oh, iya ke? Tapi...”

“Tapi apa, Humairah?”

“Saya malulah sebab umur saya jauh lebih tua daripada mereka semua. Kalau saya belajar dengan Ustaz Aiman aje, boleh tak?” soal Mia Karmila sengaja menduga.

“Boleh, tak jadi masalah. Tapi kena ada syarat,” ujar Shahriman dengan nada nakal.

“Apa syaratnya?” soal Mia Karmila teruja.

Sementara di hujung talian terdengar desah nafas Shahriman seolah-olah sedang bergetar kencang.

“Err... tak ada apalah. Saja saya nak usik Humairah. Humairah teruskanlah belajar dengan umi kerana itu adalah lebih baik daripada belajar dengan saya aje. Bila-bila ada kelapangan nanti saya akan turut sama dengan umi untuk mengajar Humairah. Kalau kita bertiga lebih baik daripada kita berdua aje. Takut timbul fitnah pulak nanti,” jawab Shahriman lembut.

“Hmm... saya setuju dengan apa yang Ustaz Aiman katakan tu. Jadi, esok Ustaz Aiman ada kat rumah atau kat Darul Hana?” soal Mia Karmila merisik sekali lagi.

Entah kenapa hati Mia Karmila bagaikan tidak sabar untuk menatap wajah yang tenang dan tampan itu secara dekat. Tidak puas rasanya hanya berbual melalui telefon. Terbayang-bayang senyuman Shahriman di tubir mata. Tanpa Mia Karmila sedari, terlontar keluhan kecil daripada mulutnya ketika menahan hatinya daripada terus bergelora setiap kali terbayangkan wajah tampan Shahriman.

Namun cepat-cepat Mia Karmila beristighfar dalam hati. Cuba menyedar dirinya bahawa Shahriman adalah lelaki yang beriman dan tidak mungkin akan terpikat dengan gadis yang jahil ilmu agama sepertinya. Mia Karmila jadi sendu tiba-tiba.

Previous: BAB 25
Next: BAB 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.