Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,673
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 9

Mia Karmila terus memandu pulang ke rumah dengan hati yang berbunga keriangan. Tidak diduga, dia bertemu lagi dengan Shahriman. Dia benar-benar tidak menyangka bahawa Shahriman adalah seorang anak muda yang tampan dan bergaya. Malah gayanya langsung tidak menggambarkan yang dia adalah seorang pemandu teksi.

Pada pengamatannya, umur Shahriman dalam lingkungan lewat 20-an. Tetapi mengapa dia bekerja sebagai pemandu teksi? Sedangkan gaya dan perwatakannya seolah-olah dia seorang yang terpelajar.

Mungkin sebab itulah dia berada di karnival jualan buku itu. Ia menggambarkan Shahriman seorang yang meminati buku dan bahan bacaan. Mengapa ya? Hati kecil Mia Karmila terus berfikir kehairanan.

Hatinya kembali bergetar ketika membayangkan senyuman Shahriman yang begitu manis. Perwatakannya yang tenang dan ramah itu benar-benar menyenangkan matanya saat memandang. Entah kenapa, tiba-tiba hati Mia Karmila bagaikan meronta-ronta untuk bertemu lagi dengan Shahriman.

Oh, kenapa aku tak mintak nombor telefon dia tadi? Macam mana aku nak jumpa dia lagi? Hati kecil Mia Karmila berbisik kesal.

Tumpuan Mia Karmila terganggu ketika hendak memarkir kereta apabila telefon bimbit berbunyi. Setelah mematikan enjin, dia segera menjawab panggilan itu tanpa melihat pemanggilnya.

“Helo...”

“Hai, Mia. Mia telefon Andy tadi ya? Sorry, Andy tengah meeting dengan clients sebab tu tak dapat nak jawab telefon Mia. Kenapa, sayang?” soal Adrian di hujung talian.

“Oh, Andy. Tak ada apalah, semuanya dah okey,” jawab Mia Karmila cuba menceriakan suaranya.

“Kenapa? Apa yang dah okey? Mia, you tak apa-apa kan?” soal Adrian bimbang.

“Tak. Tak ada apa-apa. Mia baru sampai rumah ni,” ujar Mia Karmila.

“Oh, baru sampai rumah. Mia pergi mana tadi? Kenapa Mia telefon Andy?” soal Adrian masih bimbang dengan panggilan telefon Mia Karmila tadi.

Terdetik juga rasa kesal di hati kerana tidak dapat menjawab panggilan telefon Mia Karmila. Dia khuatir Mia Karmila akan terus merajuk dan menjauhkan diri daripadanya.

Sejak peristiwa malam minggu tempoh hari, sehingga ke hari ini Mia Karmila masih keberatan untuk keluar dengannya. Pelbagai alasan yang diberikan gadis itu setiap kali Adrian cuba mengajak keluar makan malam atau berhibur.

“Err... Mia pergi ke karnival jualan buku Karangkraf kat Shah Alam, tetapi tiba-tiba tayar kereta pancit. Mia tak tahu apa nak buat. Mia cuba telefon papa tetapi papa pun tak jawab. Sebab tulah Mia telefon Andy, kalau-kalau Andy boleh tolong. Anyway, sorrylah kalau panggilan Mia tadi ganggu Andy sedang mesyuarat,” ujar Mia Karmila dengan nada kesal. Dia khuatir Adrian tidak berapa selesa andai terganggu begitu.

No. No. Not at all! Mia tak ganggu Andy pun cuma waktu tu Andy sedang pengerusikan mesyuarat. Tak manis pulak kalau Andy berhenti dan jawab panggilan telefon Mia. Andy harap Mia tak marah pada Andy sebab tak dapat jawab panggilan Mia. Anyway, macam mana tayar kereta Mia? Siapa yang tolong Mia?” soal Adrian prihatin.

“Alhamdulillah, Mia bersyukur sebab ALLAH masih sayangkan Mia. Ada seorang pemandu teksi yang baik hati yang telah tolong tukarkan tayar kereta Mia tu dan sekarang Mia dah selamat sampai kat rumah,” balas Mia Karmila.

Adrian tergamam. Sejak bila Mia begitu lancar menyebut alhamdulillah serta menyebut nama ALLAH di dalam perbualannya? Dia tak pernah begitu sebelum ini. Apa yang membuatkan dirinya berubah? Bisik Adrian dalam hati.

“Oh, iya ke? Jadi sekarang Mia nak Andy datang jumpa Mia ke?” soal Adrian.

Perasaan rindunya untuk berjumpa dengan Mia Karmila sudah membuak-buak. Gadis itu benar-benar bagai merpati, boleh didekati tetapi segera menghindar apabila disentuh.

“Err... tak apalah, tak payah. Jangan susahkan diri Andy. Mia dah sampai rumah pun. Biarlah Pak Manap aje yang uruskan nanti,” jawab Mia Karmila spontan.

Dia tidak mahu menyusahkan Adrian. Tambahan lagi tiba-tiba dia berasa serba salah untuk berhadapan dengan lelaki itu. Fikirannya masih terbayangkan senyuman Shahriman yang amat menyenangkan hatinya itu.

“Betul ke Mia tak nak Andy pergi jumpa Mia sekarang?”

“Ya, Andy kan tengah kerja sekarang, jadi Mia tak nak susahkan Andy pulak. Lagipun dah tak ada apa yang nak dirisaukan lagi. I’m safely home now,” kata Mia Karmila cuba meriangkan nada suaranya dengan tertawa kecil.

“Hmm... okeylah kalau Mia dah kata begitu. Tapi, boleh tak Andy datang ambil Mia malam nanti? Dah lama kita tak minum-minum sambil berkaraoke. Rindu pulak rasanya,” ajak Adrian.

Mia Karmila terdiam seketika. Tidak tahu sama ada mahu keluar dengan Adrian atau tidak malam nanti. Perasaan bimbang terhadap perbuatan Adrian ke atas dirinya masih membelenggu fikiran.

“Macam mana, Mia? Boleh ke?” soal Adrian tidak sabar.

“Hmm... kita minum-minum aje ya. Lepas tu kita balik awal sebab Mia tak boleh tidur lewat-lewat sekarang. Mia akan mudah sakit kepala,” jawab Mia Karmila bersetuju tetapi dengan bersyarat, sekadar tidak mahu Adrian terasa yang dia telah mula tawar hati untuk selalu bersama lelaki itu.

“Okey, agreed. Jadi pukul berapa Andy boleh datang ambil Mia?” tanya Adrian gembira.

Jangan lupa solat dan sujud syukur. Semoga Cik Mia akan sentiasa dikasihi ALLAH.

Tiba-tiba Mia Karmila bagaikan terdengar suara mersik Shahriman mengingatkannya. Dia terkedu. Hatinya tiba-tiba bergetaran apabila wajah yang tenang dan tampan itu bagaikan memenuhi ruang tubir matanya.

“Err... lepas pukul 8.45 malam boleh tak? Sebab waktu Isyak malam nanti masuk pukul 8.30 malam. Elok kita Solat Isyak dulu sebelum pergi,” ujar Mia Karmila bagaikan tidak sedar bagaimana ucapan itu boleh terlontar daripada mulutnya.

Sekali lagi Adrian tergamam mendengar jawapan Mia Karmila. Sejak bila pulak minah ni rajin bersolat? Soal Adrian dalam hati bagaikan tidak percaya. Selama dia mengenali Mia Karmila, jarang benar dia mendengar gadis itu begitu menjaga solatnya.

“Hmm... okey, Andy tak kisah pukul berapa pun asalkan dapat jumpa Mia malam ni. Kalau macam tu Andy datang ambil Mia pukul 8.50 malam, boleh?” cadang Adrian.

“Okey. See you then,” balas Mia Karmila selamba, bagaikan tidak sabar mahu memutuskan talian. 

“Mia...”

Mia Karmila yang mahu memutuskan talian agak terkejut apabila masih mendengar suara Adrian memanggil namanya.

“Ya.

“Betul ya, Mia akan tunggu Andy dan keluar dengan Andy malam ni?” soal Adrian seolah-olah meragui janji Mia Karmila.

“Kenapa Andy tanya macam tu?” soal Mia Karmila hairan.

Adrian terkedu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan walaupun hakikatnya dia risau dengan perubahan sikap Mia Karmila. Gadis itu seolah-olah mahu membataskan pergaulan sosialnya.

“Tak. Tak ada apa-apa. Mungkin sebab Andy rindu sangat pada Mia sebab dah lama kita tak keluar bersama, jadi Andy risau kalau Mia akan berubah fikiran,” ujar Adrian berterus terang.

“Hmm... don’t worry. I’ll keep my words this time,” janji Mia Karmila.

Good, tak sabar rasanya nak tunggu malam nanti,” ujar Adrian menghembus nafas lega.

“Sabar tu separuh daripada iman. Kita harus sabar dalam apa jua perkara dalam mencari keredaan dan kasih sayang ALLAH,” ujar Mia Karmila tanpa disedari.

Dia sendiri tidak tahu mengapa harus berkata begitu kepada Adrian. Tapi apa yang dia pasti ialah ungkapan itu diucap Ustaz Azhar Idrus dalam ceramah yang didengarinya melalui Youtube. Ia amat menyentuh hatinya. Mia Karmila mahu berkongsi ungkapan itu bersama orang lain yang belum mendengar ceramah itu. Dia yakin Adrian belum pernah mendengarnya.

Terbayang lagi di tubir mata Mia Karmila wajah Shahriman yang seolah-olah turut tersenyum riang mendengar ungkapan yang disebutnya itu. Hati Mia Karmila tiba-tiba bergetaran setiap kali terbayangkan senyuman yang menawan itu.

Oh, alangkah seronoknya kalau Shahriman yang merinduiku dan bukannya Andy. Hati kecil Mia Karmila seolah-olah mengharap walaupun hakikatnya dia tahu bahawa itu adalah mustahil. Lebih-lebih lagi dia tidak tahu sama ada mereka akan bertemu lagi ataupun tidak.

Entah untuk keberapa kalinya Adrian tergamam tengah hari itu apabila mendengar kata-kata Mia Karmila yang tidak pernah diduga.

Wah, dah mengalahkan ustazah pulak minah ni mengajar aku, bisik hati kecil Adrian bagaikan hendak tergelak.

“Baiklah, ustazah. Saya faham,” jawab Adrian dengan nada nakal, seolah-olah sengaja mahu mengejek.

“Alhamdulillah, kalau Andy dah faham. Okeylah, kita jumpa nanti,” balas Mia Karmila dengan nada sinis sebelum memutuskan talian. Sindiran Adrian itu dirasakan jengkel.

Adrian terkejut kerana talian telah terputus sebelum sempat dia menjawab kata-kata Mia Karmila. Dia hanya mampu menelan liur sambil terus memerhati telefon bimbit yang masih ada di tangan dengan seribu macam persoalan.

Previous: Bab 1 - 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.