Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,362
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 22

Masuk di pejabat, Adrian segera menyandarkan tubuh ke kerusi sambil memejam mata bagaikan mahu melepaskan lelah kerana kepenatan melayan kerenah kawan-kawannya ketika keluar makan tengah hari tadi.

Sebenarnya dia masih terkejut dengan perubahan penampilan Mia Karmila yang baru pertama kali dilihatnya tadi. Dia bagaikan tidak percaya Mia Karmila boleh berubah begitu drastik. Malah, lelaki dan perempuan yang makan bersama gadis itu juga tidak dia kenali atau lihat sebelum ini.

Lelaki yang baik untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya. Tiba-tiba terngiang-ngiang kata-kata Rashid di telinga Adrian. Spontan Adrian menegakkan badan seolah-olah terkejut sambil menarik nafas panjang. Oh, tidak baikkah aku maka Mia tak nak berdamping denganku lagi? Bisik hati kecil Adrian.

“Helo.”

Tanpa sempat melihat siapakah pemanggilnya, keras sahaja kedengaran suara Adrian menjawab telefon bimbitnya yang tiba-tiba berdering dan mengganggu ketenteramannya.

“Hai, handsome. Kenapa garang sangat ni?” Kedengaran suara manja Zetty di hujung talian.

“Oh ya, Zetty. Sorry, tak sangka you yang telefon. Ada apa?”

Masih kedengaran ketegangan suara Adrian walaupun dia cuba mengendurkannya.

“Alah, takkanlah tak boleh kalau I nak telefon you,” jawab Zetty masih dengan gaya suara yang sengaja dimanjakan.

“Tak adalah, tapi sekarang kan waktu pejabat. Jadi I agak sibuk sikit. Lagipun selama ni tak pernah you saja-saja telefon I waktu pejabat macam ni,” komen Adrian, malas mahu melayan kerenah Zetty yang jelas kedengaran mengada-ngada itu.

“Memang I pun tak suka nak ganggu you ketika bekerja, tapi I ada perkara penting nak beritahu you. Itu pun kalau you nak tahulah,” getus Zetty seolah-olah merajuk.

“Hah, apa dia yang you nak beritahu tu? Cakaplah.”

Kedengaran suara Adrian yang bagaikan terpaksa untuk mendengar apa yang ingin dikatakan Zetty.

“Hmm... kalau you dah sibuk sangat, tak apalah. Lain kali ajelah I beritahu you,” ujar Zetty bagaikan sengaja bertarik tali.

“Suka hati youlah. Kalau you tak nak beritahu sekarang, I rasa tandanya perkara tu tak penting sama ada pada I atau pada you,” balas Adrian pula, acuh tak acuh. Dia mahu segera menamatkan perbualan itu.

“Okey, kalau you dah kata begitu. Cuma I nak ingatkan you supaya jangan pulak tercari-cari I untuk hiburkan you kalau you dah tak dapat nak jumpa Mia lagi nanti,” ujar Zetty sinis, sengaja mahu menduga.

“Kenapa you cakap macam tu? Apa kena-mengena Mia dengan apa yang you nak beritahu I ni?” soal Adrian keliru.

“Sajalah I nak ingatkan you sebab I tak naklah you hanya nak jumpa I bila you dah tak dapat nak enjoydengan dia nanti. Tapi dengan keadaan dia sekarang, I rasa memang susah you nak dapat enjoydengan dia,” ujar Zetty dengan maksud penuh tersirat.

“Apa maksud you, Zetty?”

“I ternampak Mia tadi.”

“Ternampak Mia? Kat mana?” soal Adrian tiba-tiba teruja.

“Masa dia melintas jalan kat depan shopping mall.”

“Dia nampak you?”

“Tak. Dia tak perasan langsung pun I ada dalam kereta ketika dia melintas kat lampu isyarat tu sebab dia tengah asyik berbual dengan kawannya,” jawab Zetty seolah-olah mahu membakar perasaan Adrian.

“Kawan lelaki ke perempuan?” soal Adrian tiba-tiba terbayang betapa gembiranya Mia Karmila bersama kawan-kawannya ketika makan di restoran tengah hari tadi sehingga tidak perasan kehadiran Adrian di situ.

Rasa cemburu tiba-tiba membuak-buak dalam hati Adrian. Namun dia membiarkan sahaja agar Zetty menerangkan segalanya. Dia juga tidak menyangka yang Zetty telah terlihat Mia Karmila.

“Yang I nampak tu, dia beriringan dengan perempuan tetapi ada seorang lelaki yang segak bergaya mengekori mereka.”

Entah mengapa Zetty tiba-tiba rasa amat bersalah terhadap Mia Karmila kalau dia tidak menerangkan perkara yang sebenar apa yang dilihatnya tadi. Walaupun hati Zetty tetap berasa cemburu apabila Mia Karmila berjaya memikat cinta Adrian namun sebagai kawan yang pernah baik dengannya, Zetty tidak sampai hati mahu memfitnah Mia Karmila. Tambahan selepas peristiwa yang pernah menimpa kawan mereka Zila, beberapa tahun lalu, Zetty tahu Mia Karmila adalah seorang sahabat yang jujur.

“Jadi, apa yang you nak beritahu I?” pancing Adrian seolah-olah sengaja mahu melihat kejujuran Zetty terhadap sahabatnya itu.

“Tak adalah penting sangat. Cuma I rasa tentu you tak percaya kalau I kata Mia dah banyak berubah sekarang.”

“Berubah yang macam mana?”

“Dia bukan lagi Mia yang seksi.”

“Maksud you?” soal Adrian terus menduga.

“Dia dah bertudung sekarang,” ujar Zetty terus terang.

Terbayang di tubir mata Adrian, wajah polos Mia Karmila yang bertudung litup tetapi tetap kelihatan manis dan ayu. Senyuman yang terukir di bibir Mia Karmila tetap boleh membuatkan hati Adrian bergetaran ketika melihatnya tadi.

“Jadi, apa salahnya dia bertudung? Memang ramai perempuan Melayu yang bertudung sekarang. Tak ada apa yang pelik pun. Lagipun, I dah tahu pasal Mia pakai tudung tu,” komen Adrian seolah-olah tidak ambil pusing perkara yang disampaikan Zetty itu.

“Oh, iya ke? Hmm... kalau macam tu, sorrylah sebab ganggu you. I ingatkan you tak tahu lagi. Tak sangka pulak rupanya you dah jumpa Mia sejak dia dah bertudung ni,” balas Zetty dengan nada terkilan.

“Kenapa you kata macam tu? I tak boleh ke berjumpa dengan perempuan bertudung?” soal Adrian seolah-olah memerli.

“Bukan tak boleh, cumanya...” Zetty bagaikan keberatan untuk meneruskan kata-kata.

“Cumanya apa?” cabar Adrian.

“Nak ke lagi Mia temankan you ke tempat-tempat yang you selalu pergi enjoydengan kawan- kawan you tu?” sindir Zetty.

Adrian terkedu dengan sindiran Zetty itu. Terasa tercabar benar kelelakiannya jika Zetty tahu yang Mia Karmila telah lama tidak keluar dengannya.

“I takkan bawak Mia ke tempat yang sebegitu,” ujar Adrian. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia harus berkata begitu.

“Kenapa?”

It’s none of your business dan I rasa tak perlu untuk I beritahu you apa sebabnya kerana hubungan I dengan Mia tak ada sangkut paut dengan you!” ujar Adrian seolah-olah bosan dengan soalan Zetty yang agak menekan.

“Ya, it’s none of my business. I faham. Sepatutnya I tak perlu beritahu you langsung pasal Mia sejak awal tadi. Anyway, sorry sebab telah ganggu you yang sedang sibuk bekerja. Bye!”

Kedengaran Zetty membalas dengan nada terkilan seolah-olah merajuk. Namun riak dendam jelas kedengaran dalam suaranya itu. Egonya telah mula menguasai hatinya apabila sedar Adrian bagaikan tidak senang dengan tindakannya berbicara tentang Mia Karmila. Rasa cemburu dalam hati Zetty terus membuak-buak, lalu dia segera memutuskan talian sebelum sempat Adrian berkata apa-apa.

Adrian terus memandang telefon bimbit yang masih dipegang dengan pandangan kosong. Entah mengapa tiba-tiba Adrian terasa betapa rendahnya maruah dirinya apabila Mia Karmila bagaikan tidak langsung berasa kesal jika tidak dapat bersamanya. Bagaikan dirinya tidak mempunyai harga langsung di mata gadis itu.

Adrian menggaru-garu kepala yang tidak gatal sambil menarik nafas panjang. Dia buntu memikirkan perhubungannya dengan Mia Karmila yang semakin renggang itu. Oh, aku takkan lepaskan dia. Aku mesti dapatkan dia walau dengan apa cara sekalipun, bisik hati kecil Adrian terus memasang tekad.

Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.