“Mia, papa tengok Mia ni asyik
tengok TV aje. Bila Mia nak mula kerja?” tanya Dato’ Kamal apabila melihat anak
gadisnya sedang khusyuk menonton televisyen di ruang rehat keluarga ketika
Dato’ Kamal baru balik dari bermain golf tengah hari itu.
“Oh,
papa. Hmm... keputusan periksa belum dapat lagi, macam mana Mia nak kerja?”
balas Mia sambil melempar senyuman manja kepada Dato’ Kamal yang sedang
memerhatikannya.
“Nak
tunggu keputusan periksa apanya? Mia bukan nak mintak kerja kat syarikat orang
lain. Pergi aje dulu, tengok-tengok pejabat dan belajar sikit-sikit daripada
pegawai yang ada kat sana. Sekurang-kurangnya ada jugak benda yang Mia dah
belajar sebelum papa beri Mia jawatan yang tetap nanti. Ni duduk kat rumah
asyik menghadap TV aje, takkan tak puas-puas lagi Mia nak berehat?” komen Dato’
Kamal sambil melabuhkan punggung di sofa bersebelahan Mia Karmila.
“Err...
nantilah, papa. Berilah Mia seminggu dua lagi. Mia nak habiskan dulu projek
yang Mia tengah buat sekarang,” pujuk Mia Karmila dengan nada manja.
“Hah? Projek apa yang Mia sedang buat tu?”
soal Dato’ Kamal terkejut.
“Projek
belajar mengumpul saham,” jawab Mia Karmila perlahan, cuba meniru ungkapan
Ustaz Azhar di dalam ceramahnya yang didengar di dalam Youtube.
“Hai,
sejak bila pulak anak papa ni pandai main saham? Dari mana Mia dapat duit beli
saham tu?” soal Dato’ Kamal ragu.
“Saham
yang Mia buat ni tak banyak pakai modal, jadi tak perlu duit,” jawab Mia
Karmila seolah-olah seronok dapat membuat papanya terus berteka-teki.
“Mana
ada saham yang tak perlu duit? Mia jangan berani-berani nak main jual beli
saham pakai kontrak atas angin tu. Mia jangan mudah sangat percaya pada
spekulasi pasaran. Dibuatnya saham tu tiba-tiba merudum sebelum sempat Mia jual,
karang tak pasal-pasal Mia tanggung kerugian,” komen Dato’ Kamal bimbang dengan
kebolehan anak gadisnya itu.
“Saham
yang Mia buat ni bukan pakai spekulasi tetapi memang benar-benar boleh
dipercayai. Janganlah papa bimbang kerana ia pasti akan memberi keuntungan
kepada kita nanti,” ujar Mia Karmila yakin, seolah-olah mahu papanya memberi
sepenuh sokongan terhadap projeknya itu.
“Hei,
saham apa yang Mia beli tu sampai beriya-iya benar yakin akan keuntungannya?
Syarikat tempatan ke syarikat antarabangsa?” usik Dato’ Kamal dengan nada
sinis.
“Antarabangsa,
sebab saham tu ada kat seluruh dunia,” jawab Mia Karmila sambil tersenyum
bagaikan sengaja mahu papanya terus keliru.
“Hah?
Saham antarabangsa? Mia, Mia jangan cuba-cuba main dengan pasaran saham kalau
Mia belum betul-betul faham selok-beloknya. Papa tak nak Mia terperangkap
dengan spekulasi yang belum tentu tu. Kalau apa-apa jadi nanti, papa tak nak
tanggung kerugian Mia tau. Siapa yang ajar dan ajak Mia main-main saham ni?”
soal Dato’ Kamal terkejut.
“Papa
jangan bimbang. Mia jamin saham Mia ni takkan rugi.”
“Siapa
ajar Mia dan kat mana Mia bukak akaun saham tu?” soal Dato’ Kamal dengan nada
tegang.
“Ada
yang Mia belajar secara on-linedan ada jugak yang Mia belajar dan buat
kat rumah ni aje,” balas Mia selamba, semakin dalam teka-tekinya pada papanya.
“Hah?
Mia belajar main saham secara on-line?Apa yang Mia buat sebenarnya ni?
Kenapa tak tanya papa kalau Mia nak sangat belajar pasal saham-saham ni? Sebab
tulah papa suruh Mia pergi pejabat dulu dan kat sana nanti Mia boleh belajar
macam-macam pasal perniagaan termasuklah jual beli saham ni,” saran Dato’
Kamal, semakin bingung memikirkan tindak-tanduk anak gadisnya itu.
“Tapi
saham yang Mia belajar ni tak ada kat syarikat papa,” jawab Mia Karmila
mendatar.
“Saham
apa sebenarnya yang Mia main ni? Kat bahagian akaun syarikat papa tu ada satu
unit yang mengurus hal ehwal pelaburan syarikat. Kat situ Mia boleh belajar
macam mana nak jual beli saham yang betul dan menguntungkan. Jadi kenapa Mia
masih tak nak mula kerja sekarang?” soal Dato’ Kamal dengan mata membulat.
“Kat
syarikat papa tu ada ke jual beli saham akhirat?” tanya Mia Karmila sambil
menegakkan badan yang tadinya bersandar di sofa. Dia bagaikan sengaja mahu
merungkai teka-teki yang berselirat di fikiran papanya.
“Saham
akhirat? Apa maksud Mia?” soal Dato’ Kamal masih dengan matanya yang membulat,
bagaikan tidak senang dengan soalan Mia Karmila itu.
“Iyalah,
kat syarikat papa tu ada ke ustazah atau ustaz yang boleh ajar Mia mengaji
al-Quran dan mendalami hukum-hukum agama, tentang perlaksanaan ibadah solat
yang betul dan ibadah-ibadah yang lain tu? Itulah saham akhirat yang Mia sedang
balajar,” ujar Mia Karmila perlahan.
Dato’
Kamal tergamam. Ditenungnya wajah manis anak gadisnya itu dengan mata yang
tidak berkelip seolah-olah cuba mencari sesuatu daripada wajah itu.
Tiba-tiba
hati Dato’ Kamal berdetik sendu. Terasa amat berdosa kerana lalai di dalam
memberikan didikan agama yang sepatutnya kepada kedua-dua anak-anaknya. Malah
dia dan isterinya juga sering lalai di dalam melaksanakan tanggungjawab yang
wajib terhadap ALLAH yang Esa kerana terlalu mengejar kekayaan dunia. Dato’
Kamal benar-benar rasa terpukul dengan kata-kata Mia Karmila itu. Dia menarik
nafas dalam-dalam dan kemudian terdengar keluhan yang amat berat terlontar
daripada kerongkongnya.
“Papa,
ampunkan dan maafkan Mia,” ucap Mia Karmila segera bangun lalu berteleku di
hadapan papanya seolah-olah memohon simpati apabila melihat papanya mengeluh.
Dia
pasti papanya amat kecewa dengan tindakannya yang lebih mengutamakan pengajian
agama daripada bekerja di syarikat papanya.
“Untuk
apa?” soal Dato’ Kamal keliru.
“Kerana
sorokkan perkara ni daripada papa. Mia belajar mengaji tanpa restu papa dan
mama,” ujar Mia Karmila sambil mencapai kedua-dua tangan Dato’ Kamal dan
mencium telapak tangan itu dengan penuh syahdu.
Hati
Dato’ Kamal bertambah tersentuh dengan reaksi anak gadisnya itu. Bagaikan
dipukau, Dato’ Kamal segera menarik bahu Mia Karmila lalu mencium ubun-ubun
anaknya itu dengan penuh kasih sayang.
“Mia
tak salah. Papa yang bersalah kerana tak beri didikan agama yang sewajarnya
pada Mia dan Khai. Papa bangga kerana Mia pandai berusaha sendiri untuk mencari
saham akhirat tu,” balas Dato’ Kamal dengan nada sendu.
“Jadi
papa tak marah Mia?”
“Mengapa
mesti papa marah? Mia buat perkara yang baik, bukannya perkara yang salah.
Err... dengan siapa belajar mengaji?” soal Dato’ Kamal ingin tahu.
Mia
Karmila merenung wajah papanya dengan pandangan yang sayu. Masih berbelah
bahagi sama ada harus memberitahu perkara yang sebenar atau tidak kerana
khuatir papanya mungkin tidak senang dengan penglibatan Mak Kiah di dalam
perkara itu.
“Kenapa,
Mia? Siapa yang ajar Mia mengaji?” soal Dato’ Kamal sekali lagi apabila melihat
Mia Karmila hanya membisu.
“Mia
harap papa tak marah orang tu kalau Mia beritahu siapa yang ajar Mia mengaji,”
pohon Mia dengan nada sayu.
“Macam
papa cakap tadi, mengapa papa harus marah kalau perkara tu baik?” ujar Dato’
Kamal seolah-olah memberi janji.
Mia
Karmila menarik nafas panjang.
“Mak
Kiah yang ajar Mia mengaji. Mia nak mengaji dengan ustazah atau ustaz yang
berkelayakan tetapi Mia tak cukup duit untuk bayar ustazah tu. Jadi, sebab
tulah Mak Kiah yang ajar Mia sekarang,” ujar Mia Karmila perlahan.
Dato’
Kamal tergamam sekali lagi sambil matanya terus membulat memandang tepat ke
wajah Mia Karmila yang kelihatan resah. Oh, terlalu banyak jasa kedua-dua suami
isteri itu di dalam mendidik anak-anakku selama ini, sedangkan aku dan Mariam
hanya sibuk mencari kepentingan dunia, bisik hati kecil Dato’ Kamal sendu.
“Papa,
tolong jangan marah Mak Kiah. Dia tak salah, Mia yang suruh dia ajar Mia,” ujar
Mia Karmila segera memegang lengan papanya, seolah-olah merayu.
“Kenapa
Mia cakap macam tu?” soal Dato’ Kamal, hairan.
“Mia
tak nak papa marah Mak Kiah macam papa marah dia semasa dia dan Pak Manap nak
ajar Mia dan Khai baca Iqra’ ketika kami masih sekolah dulu sebab papa dan mama
tak nak kami ponteng kelas swimmingdan kelas piano. Tapi sekarang Mia
dah tamat belajar, jadi Mia harap papa takkan marah Mak Kiah kerana Mia tak
perlu ponteng mana-mana kelas lain,” ujar Mia Karmila terus memohon simpati sambil
merenung Dato’ Kamal.
“Mia
ingat papa akan marah Mak Kiah ke?” soal Dato’ Kamal kesal kerana tidak
menyangka sehingga begitu sekali anggapan buruk anak gadisnya itu terhadapnya.
“Mia
tahu papa marah sebab Mia tengok mata papa yang dah membulat itu. Tapi, macam
yang Mia kata tadi, semua tu bukan salah Mak Kiah, jadi Mia harap sangat papa
jangan marah Mak Kiah. Mia sayang Mak Kiah,” rayu Mia Karmila dengan nada
sendu.
Hati
Dato’ Kamal tiba-tiba tersentuh dengan ucapan anak gadisnya itu. Terdetik juga
rasa cemburu di hatinya apabila anak gadisnya itu beriya-iya benar mahu
melindungi dan menyayangi tukang masak mereka. Lalu terfikir juga di hati Dato’
Kamal, adakah anak-anaknya juga akan melindungi dan membela dia sebegitu
sekiranya sesuatu perkara berlaku ke atasnya? Hati Dato’ Kamal bertambah sendu.
Namun
Dato’ Kamal tetap bersyukur kerana daripada penglihatan mata kasarnya,
kedua-dua anaknya, Mia Karmila dan Khairil membesar dengan akhlak yang baik dan
Dato’ Kamal juga yakin bahawa Mia Karmila adalah seorang gadis yang pandai
menjaga maruah diri walaupun dia dan isterinya tidak pernah menitikberatkan
didikan agama kepada anak-anaknya. Mereka hanya memberi kemewahan zahir kepada
kedua-dua anak mereka itu tetapi tidak daripada segi kemewahan iman.
Ya
ALLAH, ampunkanlah segala dosa-dosaku di atas kelalaianku ini kerana aku
terlalu taksub terhadap kemewahan dunia yang telah KAU anugerahkan kepadaku.
Namun aku amat bersyukur kepada-MU, kerana KAU masih sayang pada kami
sekeluarga dan memelihara anak-anakku daripada segala kejahatan dan maksiat.
Ampunkanlah aku, ya ALLAH, doa Dato’ Kamal dalam hati.
“Oh,
janganlah Mia bimbang. Papa takkan marah Mak Kiah,” balas Dato’ Kamal sambil
mengelus lembut bahu anak gadisnya seolah-olah memberi keyakinan.
Hakikatnya
Dato’ Kamal amat terhutang budi kepada Mak Kiah dan Pak Manap kerana kedua-dua
suami isteri itulah yang telah membantunya mendidik Mia Karmila dan Khairil
dengan baik selama ini.
“Jadi,
papa benarkan Mia terus belajar mengaji?” soal Mia Karmila dengan mata yang
bercahaya.
“Boleh,”
jawab Dato’ Kamal sambil turut tersenyum.
“Kalau
macam tu...” Mia bagaikan teragak-agak untuk meneruskan kata-katanya.
“Kalau
apa?” soal Dato’ Kamal.
“Kalau...kalau
macam tu, boleh tak papa beri Mia duit lebih supaya Mia boleh suruh Pak Manap
cari ustazah yang berkelayakan untuk ajar Mia mengaji al-Quran dan jugak
lain-lain hukum-hakam Islam yang perlu Mia pelajari?” pinta Mia Karmila manja.
Dato’
Kamal merenung seketika wajah Mia Karmila yang manis itu, seolah-olah cuba
mentafsir apa yang ada di fikiran gadis itu dengan senyuman yang terus terukir
di bibirnya, sebelum dia mengangguk tanda bersetuju dengan apa yang dipinta
anak kesayangannya itu.
“Oh,
terima kasih papa. Sayang papa,” ucap Mia Karmila sambil memeluk Dato’ Kamal
dengan penuh kegembiraan.
“Tapi...”
Tiba-tiba Mia Karmila bagaikan tersedar sesuatu.
“Tapi
apa lagi ni, sayang?” soal Dato’ Kamal hairan.
“Macam
mana dengan mama? Dia setuju ke kalau Mia pergi mengaji?” soal Mia Karmila
berkerut dahi.
“Hmm...
kalau papa dah beri, mama mesti ikut aje. Mia janganlah bimbang pasal tu. Tapi
mana mama? Dari tadi papa tak nampak mama pun?” soal Dato’ Kamal seolah-olah
baru tersedar yang isterinya tiada bersama mereka ketika itu.
“Mama
dah pergi kelab. Tadi mama tunggu jugak papa untuk makan tengah hari sama-sama,
tapi bila papa balik lambat dari main golf, kami makan bertiga aje. Lepas tu
Mia dengar Puan Sri ada telefon mama, ajak jumpa kat kelab. Mereka ada latihan
poco-poco katanya,” jawab Mia Karmila.
“Hisy
mama kamu ni tak habis-habis dengan kumpulan poco-poconya tu. Hmm... tak
apalah, kalau macam tu biar papa pergi mandi dan berehat sebab malam nanti papa
ada jamuan makan dengan clientspulak. Err... kalau Mia dah dapat
ustazah ataupun ustaz yang nak mengajar Mia tu, Mia beritahu papa ya, sebab
papa pun nak jumpa dia jugak. Pasal duit tu, nanti papa suruh Rita masukkan
lebih dalam akaun bank Mia mulai bulan ni,” ujar Dato’ Kamal sambil bangun
untuk ke bilik.
“Terima
kasih banyak-banyak, papa. Nanti Mia akan ingatkan jugak Kak Rita, setiausaha
papa tu tentang duit tambahan tu ya,” balas Mia Karmila dengan senyuman
meleret.
Dia berasa seronok apabila papanya telah bersetuju
untuk membiayai bayaran untuk mengaji al-Quran dan mendalami hukum-hakam Islam.