“Eh,
kenapa Cik Mia duduk kat depan?” soal Shahriman terkejut apabila tersedar Mia
Karmila telah duduk di tempat penumpang di sebelahnya sambil menutup pintu
teksi.
“Tak
apalah, sekarang saya kan sahabat Encik Aiman dan bukan penumpang teksi macam
tempoh hari. Jadi sebagai sahabat, tak sanggup rasanya saya nak jadi macam tuan
besar duduk kat belakang,” ujar Mia Karmila cuba bergurau.
“Hmm...
sudi ke Cik Mia bersahabat dengan pemandu teksi macam saya ni?” soal Shahriman
pula sambil matanya terus menumpu ke arah jalan raya yang agak sibuk sebaik
sahaja teksinya mula meninggalkan halaman rumahnya.
“Kenapa?
Pemandu teksi bukan orang ke?” soal Mia Karmila dengan nada nakal sambil
tertawa kecil.
Mia
Karmila tiba-tiba rasa seronok dapat bergurau dan mengusik Shahriman begitu
sebagaimana yang selalu dia lakukan ketika bergurau dengan Adrian atau
kawan-kawannya yang lain ketika mereka selalu berjumpa sebelum ini.
Shahriman
yang tidak menyangka Mia Karmila berani mengusiknya begitu segera berpaling,
merenung wajah yang polos itu dengan dahi berkerut. Kebetulan teksinya sedang
berhenti di lampu isyarat. Entah apa yang telah memukau hatinya tiba-tiba
Shahriman turut tergelak apabila melihat reaksi nakal Mia Karmila yang melawan
renungannya dengan dahi berkerut juga seolah-olah cuba mencabarnya.
“Hah,
pandai Cik Mia nak kenakan saya, ya?” ujar Shahriman tersenyum mesra.
“Taklah!
Betullah kan apa yang saya tanya. Apa bezanya pemandu teksi dengan orang lain?
Lagipun, saya dah tahu yang Encik Aiman bukan pemandu teksi sepenuh masa tetapi
hanyalah sebagai pekerjaan sambilan untuk memenuhi masa lapang aje sedangkan
kerja Encik Aiman yang sebenar adalah amat mulia, guru agama dan al-Quran. Jadi
apa salahnya kalau saya jadi sahabat Encik Aiman. Atau...” ujar Mia Karmila
tiba-tiba bagaikan agak keberatan untuk meneruskan kata-kata.
Sinar
matanya yang ceria dan riak nakal jelas terbayang di wajah Mia Karmila tadi
bagaikan sudah hilang daripada wajah polos itu.
“Atau
apa, Cik Mia?” soal Shahriman teruja.
“Atau
Encik Aiman yang sebenarnya keberatan untuk menerima saya sebagai sahabat Encik
Aiman. Maklumlah saya ni cuma seorang gadis yang serba kekurangan dalam ilmu
agama jika dibandingkan dengan Encik Aiman,” ujar Mia Karmila sayu.
“Astaghfirullahalazim,
mengapa Cik Mia kata begitu? Saya sikit pun tak pernah menganggap begitu. Bagi
saya, kecil tapak tangan, Stadium Bukit Jalil saya tadahkan kalau Cik Mia sudi
jadi sahabat saya. Cumanya tadi saya tanya begitu sebab khuatir kalau-kalau Cik
Mia malu nak bersahabat dengan saya sebab saya bukan anak orang kaya atau
ternama macam keluarga Cik Mia,” ujar Shahriman menjelaskan apabila perasan
perubahan wajah Mia Karmila yang tiba-tiba itu.
“Jadi,
Encik Aiman sudilah terima saya sebagai sahabat Encik Aiman? Tapi...” Mia
Karmila yang kembali ceria itu tiba-tiba terputus kata-kata sekali lagi.
“Tapi
apa pulak, Cik Mia?” soal Shahriman seolah-olah tidak sabar.
“Tapi
larat ke Encik Aiman nak angkat Stadium Bukit Jalil tu?” soal Mia Karmila
mengusik sambil berpaling memandang Shahriman.
“Oh,
Cik Mia nak cabar sayalah ya? Tak apa, kali ni saya bagi Cik Mia menang, tapi
lain kali belum tentu ya,” ujar Shahriman tertawa kecil.
“Hu...hu...hu...
ada orang dah nak merajuk,” usik Mia Karmila lagi.
“Siapa
yang merajuk?” soal Shahriman.
“Entah!”
“Hmm...
nasib baik anak orang, kalau...”
“Kalau
apa?”
“Tak
ada apa.”
“Huh,
dah pandai nak pekena saya ya?” perli Mia Karmila tersenyum mesra.
“Mestilah.
Cik Mia yang ajar,” balas Shahriman selamba.
“Hmm...
malaslah nak cakap lagi. Asyik-asyik saya aje yang kena.”
Entah
kenapa Mia Karmila rasa semakin seronok bergurau dengan Shahriman. Terasa
jiwanya melambung-lambung keriangan dapat usik-mengusik begitu. Langsung tidak
terasa bosan walaupun perjalanan mereka itu agak terangkak-rangkak kerana jalan
raya yang agak sesak ketika itu.
“Hai,
tadi pandai kata orang merajuk tapi sekarang dia pulak yang merajuk.”
Sempat
Shahriman menjeling ke arah Mia Karmila yang seolah-olah sedang memuncung itu.
Entah bagaimana tiba-tiba sahaja terdengar gelak ketawanya yang mengekek-ngekek
seolah-olah seronok melihat Mia Karmila merajuk begitu.
“Iyalah,
Encik Aiman gelaklah kat saya.” Semakin panjang rajuk Mia Karmila.
Shahriman
terkedu. Tidak menyangka gadis itu agak sensitif hatinya. Terasa kesal di hati
Shahriman kerana terlalu cepat mahu bergurau senda begitu sedangkan dia belum
lagi mengenali hati budi gadis itu.
“Cik
Mia, janganlah memuncung macam tu. Nanti kalau orang kat luar tengok, mereka
ingat saya ni jahat sangat pulak. Suka sakitkan hati perempuan cantik macam Cik
Mia. Tak pasal-pasal pulak orang takut nak naik teksi saya nanti. Kan tak baik
kalau timbul fitnah. Saya bergurau ajelah tadi, kalau Cik Mia terasa hati, saya
mintak maaf,” ucap Shahriman cuba memujuk.
Mia
Karmila pula yang tergamam. Tidak menyangka reaksi gurauannya itu telah disalah
anggap lelaki itu. Walhal hakikatnya Mia Karmila seronok dapat menyakat
Shahriman dengan berpura-pura merajuk begitu dengan harapan lelaki itu akan
mahu terus bergurau senda dengannya.
“Oh,
saya yang sepatutnya mintak maaf pada Encik Aiman kerana saya yang mulakan
tadi. Saya sikit pun tak kecil hati malah saya seronok dapat mengusik Encik
Aiman. Saya tak sangka pulak gurauan kita tadi boleh mendatangkan fitnah.
Maafkan saya,” ucap Mia Karmila sambil memandang ke arah Shahriman dengan
pandangan sayu.
“Jadi
Cik Mia bukanlah betul-betul merajuk tadi? Alhamdulillah, sebenarnya saya risau
kalau saya telah menyakiti hati Cik Mia. Saya pun cuma bergurau aje tadi,” ujar
Shahriman tersenyum lega.
“Usik-usik
bawa bahagia,” bisik Mia Karmila perlahan, turut tersenyum.
“Apa
dia, Cik Mia?” soal Shahriman sambil merenung gadis itu dengan pandangan
keliru.
“Eh,
tak ada apa-apa. Hmm... tak sangka Encik Aiman pun suka bergurau jugak.” Mia
Karmila yang terasa malu dengan ucapan yang tidak disengajakannya itu segera
menjawab dengan harapan Shahriman tidak mendengar kata-katanya itu.
“Bergurau
untuk menghiburkan hati, tak salah di sisi agama. Rasulullah pun suka bergurau
dengan isteri-isteri baginda dan para sahabat. Asalkan jangan keterlaluan
sehingga boleh menyinggung perasaan orang lain atau yang boleh menimbulkan
fitnah, sudahlah,” ujar Shahriman cuba menerangkan.
“Hmm...
untung saya dapat berkenalan dengan Encik Aiman. Banyak ilmu yang saya
pelajari,” balas Mia Karmila dengan nada penuh kesyukuran.
“Itu
dah jadi tanggungjawab saya sebagai sesama Islam untuk saling ingat-mengingati
agar kita tak tersasar dari jalan yang diredai ALLAH ketika mengharungi
kehidupan yang penuh pancaroba ini,” komen Shahriman, ikhlas.
Sempat
Shahriman menjeling ke arah Mia Karmila yang seolah-olah sedang mentafsir apa
yang dikatakannya itu.
Akhirnya
kelihatan Mia Karmila hanya mengangguk-angguk sebagai tanda memahami dan
bersetuju dengan apa yang dikatakan lelaki yang sedang khusyuk menumpukan
perhatiannya terhadap pemanduannya itu.
“Err...
Encik Aiman boleh tolong saya tak?” soal Mia Karmila tiba-tiba setelah mereka
sama-sama terdiam buat seketika.
“Err...
tolong apa? Kalau pasal Cik Mia, bila-bila pun saya sanggup tolong,” jawab
Shahriman terkejut walaupun ada kedengaran nada nakal dalam suaranya, mungkin
ingin mengusik.
“Iyalah
tu. Saya serius ni,” balas Mia Karmila, tahu bahawa lelaki itu sengaja mahu
mengusiknya.
“Okey,
okey, apa dia yang Cik Mia nak saya tolong?” jawab Shahriman segera apabila
melihat Mia Karmila benar-benar serius.
Mia
Karmila termangu sebentar sambil memulas-mulas jari-jemarinya seolah-olah
sedang memikirkan sesuatu. Manakala Shahriman pula terus memerhati reaksi gadis
itu dengan penuh teruja kerana kebetulan teksinya sedang berhenti di lampu isyarat.
“Kat
mana agaknya ada jual kain tudung yang cantik-cantik? Err... maaflah, saya tahu
mungkin Encik Aiman tak tahu sebab tu pakaian perempuan. Tetapi saya nak mintak
tolong Encik Aiman hantarkan saya ke shopping malldi mana saya boleh
cari kain-kain tudung, boleh tak?” soal Mia Karmila.
Shahriman
pula yang tergamam kali ini. Namun berdetik juga hatinya kerana baru tersedar
yang Mia Karmila telah memakai tudung dengan baju kurung yang sopan sejak dia
melihatnya di rumah uminya tadi, berbanding kali terakhir dia bertemu dengan
gadis itu ketika menolong menukarkan tayar keretanya kira-kira tiga minggu lalu
di mana Mia Karmila masih berpakaian seksi tanpa tudung.
Mata
mereka bertembung seketika apabila Mia Karmila berpaling memandang ke arah
lelaki di sebelahnya itu. Shahriman tidak dapat menafikan bahawa Mia Karmila
nampak lebih manis dan ayu dengan pakaian yang sopan begini. Entah kenapa hati
Shahriman tiba-tiba berdebar dan jantungnya bergetaran apabila mata mereka
bertautan. Spontan Shahriman beristighfar dalam hati dan segera berpaling
memandang ke arah jalan raya yang masih sesak tanpa sebarang suara.
Mia
Karmila terus memandang ke arah Shahriman dengan pandangan keliru. Namun dia
tetap sabar menanti jawapan.
“Err...
boleh. Kat depan tu ada sebuah shopping mallyang mungkin ada jual
kain-kain tudung yang macam Cik Mia nak cari. Jadi, kita singgah situ, okey
ke?” cadang Shahriman.
“Hmm...
tak apa ke kalau Encik Aiman hantar dan kemudian tunggu saya kat situ? Petang
nanti Encik Aiman tak ada kelas ke kat Darul Hana?” soal Mia Karmila tiba-tiba
rasa bersalah kerana terpaksa menyusahkan Shahriman.
“Tak
apa, petang ni saya tak ada kelas. Saya cuma ada satu kelas pagi tadi, dan
memang niat saya nak bawak teksi petang ni sebab saya memang freedari
tengah hari sampai malam hari ni,” balas Shahriman cuba meyakinkan.
“Okey,
kalau macam tu bolehlah Encik Aiman turunkan saya dan tunggu sekejap kat shopping
malltu ya.” Kelihatan wajah Mia Karmila kembali berseri-seri keriangan.
“No
problem, dengan syarat...” ujar Shahriman sengaja memutuskan kata-katanya
untuk membuat Mia Karmila teruja.
“Syarat
apa?” soal Mia Karmila.
“Cik
Mia akan terus menutup aurat untuk mencari keredaan ALLAH dan bukannya atas
sebab-sebab lain,” sambung Shahriman.
“Maksud
Encik Aiman?” soal Mia Karmila keliru.
“Cik
Mia kata nak cari tudung, kan?”
“Haah,”
jawab Mia Karmila mengiyakan.
“Kenapa
Cik Mia nak cari tudung?”
“Saya
nak pakai tudung untuk menutup rambut saya. Rambut perempuan adalah sebahagian
daripada aurat. Menutup aurat tu kan perintah ALLAH? Jadi salah ke saya nak
pakai tudung?” soal Mia Karmila.
“Betul,
menutup aurat tu perintah ALLAH tetapi tak kurang jugak ada orang yang menutup
aurat bukan kerana takut perintah ALLAH tetapi sekadar mahu mengambil hati
orang lain supaya tak memandang serong terhadapnya ataupun kerana dipaksa
seseorang yang mahukan dia menutup aurat. Dia melakukan itu bukan dengan
keikhlasan hatinya. Jadi saya harap Cik Mia tak begitu,” jelas Shahriman.
Mia
Karmila terkedu. Tidak tahu apa yang harus dijawab kerana hakikatnya memang dia
mahu memakai tudung kerana baru sahaja dinasihati Hajah Habibah semasa mengaji
tadi.
“Err...
saya tak tahu sama ada apa yang saya lakukan ni betul atau tak. Saya nak
memakai tudung kerana Ustazah Habibah kata orang perempuan yang tak menutup
aurat adalah berdosa. Jadi saya nak pakai tudung kerana nasihat Ustazah Habibah
dan bukannya daripada hati saya sendiri,” ujar Mia Karmila mengakui.
“Oh,
baguslah tu. Maknanya Cik Mia sedar bahawa membuka aurat itu berdosa kerana
melanggar perintah ALLAH. Dan bagi menghindarkan dosa itu maka Cik Mia mahu
memakai tudung. Betulkan begitu?” soal Shahriman ingin kepastian.
“Ya,
saya baru sedar bahawa membuka aurat itu adalah melanggar perintah ALLAH.
Sesiapa yang melanggar perintah ALLAH adalah berdosa. Saya tak nak masuk neraka
dan sebab tu saya nak bertaubat daripada terus berbuat dosa dengan menutup
aurat saya sebagai tanda saya mahu mentaati perintah ALLAH yang selama ini saya
abaikan. Adakah itu dikira saya terpaksa kerana saya memang baru sedar dan mahu
berubah sekarang,” ujar Mia Karmila ragu-ragu.
“Alhamdulillah,
kesedaran yang Cik Mia rasakan sehingga membawa kepada perubahan itu adalah
satu cara yang terbaik sebagai tanda Cik Mia benar-benar ikhlas telah
bertaubat. Moga-moga ALLAH menerima taubat Cik Mia itu dan akan merahmati Cik
Mia selamanya,” ujar Shahriman tersenyum mesra.
Sempat
dia menjeling ke arah gadis yang duduk di sebelahnya itu sebelum dia memarkir
teksi di tempat parkir yang terdapat di kawasan shopping mall yang
dimaksudkan tadi.
“Insya-ALLAH,
amin,” ucap Mia Karmila sambil menyapu muka dengan kedua-dua belah tapak
tangan.
Entah
mengapa hati Shahriman jadi amat tersentuh apabila mendengar keikhlasan dalam nada
suara Mia Karmila itu. Bagai terpukau, Shahriman segera mengangkat kedua-dua
tangan dan kemudian menyapunya ke muka seolah-olah turut mengaminkan doanya
tadi sebelum dia mematikan enjin teksinya.