“Aiman?” Bagaikan berbisik, spontan nama itu terlontar
daripada bibir Mia Karmila.
Ya
ALLAH, sesungguhnya KAU yang Maha Berkuasa dan Maha mengasihani. KAU telah
memakbulkan doaku untuk bertemu dengan orang yang sentiasa kurindui ini, bisik
hati kecil Mia Karmila. Hatinya bergetaran melihat senyuman Shahriman apabila
lelaki itu tersenyum mesra ke arah Hajah Habibah yang juga sedang tersenyum
menyambut lelaki itu.
“Assalamualaikum,
umi. Eh, ni Cik Mia Karmila, kan?” tegur Shahriman yang sudah berdiri hampir dengan
Hajah Habibah baru menyedari ada seorang gadis yang berdiri di belakang uminya,
dengan nada terperanjat.
Shahriman
langsung tidak menyangka gadis yang bertudung litup dan berbaju kurung itu
adalah gadis yang pernah dilihatnya begitu seksi beberapa minggu yang lalu.
Hati Shahriman tiba-tiba rasa tersentuh apabila melihat gadis yang dikatakan
walidnya sedang belajar mengaji dan tafsir al-Quran serta selok-belok agama
daripada uminya adalah Mia Karmila.
Oh,
manisnya kamu Mia dengan pakaian yang sopan begitu. Ya ALLAH, adakah KAU
sengaja menduga hatiku dengan mempertemukan kami lagi pada hari ini? Aku amat
bersyukur kepada-MU kerana telah mengurniakan hidayah-MU kepada gadis manis
ini, bisik hati kecil Shahriman.
“Waalaikumussalam.
Eh, Aiman dah kenal dengan Mia ke?” soal Hajah Habibah terkejut apabila melihat
anak lelakinya itu telah mengenali Mia Karmila sebelum sempat dia
memperkenalkan mereka.
“Dia
pernah naik teksi Aiman dulu,” balas Shahriman dengan nada ceria sambil
menyambut tangan Hajah Habibah dan mencium tangan itu.
Mia
Karmila yang tergamam sejak tadi hanya mampu menelan liur dan cuba mengukir
senyuman mesra ke arah anak dan ibu itu.
Patutlah
Aiman seorang yang warak kerana ibunya adalah seorang guru agama. Bertuahnya
ustazah mendapat anak yang soleh seperti Aiman. Bolehkah aku menjadi anak yang
solehah? Tapi bagaimana dengan mama dan papaku? Tiba-tiba hati Mia Karmila
menjadi sendu tidak keruan memikirkan gaya hidup ibu bapanya yang
terang-terangan lalai akan perintah ALLAH.
“Kenapa,
Mia? Mia tak nak Aiman yang hantar Mia ke?” soal Hajah Habibah apabila terlihat
wajah Mia Karmila yang tiba-tiba kelihatan sedih dan sayu.
Dia
menyangka Mia Karmila tidak mahu menaiki teksi yang dipandu Shahriman.
Lidah
Mia Karmila bagaikan kelu apabila anak matanya bertembung dengan anak mata
Shahriman yang kebetulan sedang memandang ke arahnya dengan pandangan hairan.
Akhirnya dengan perlahan-lahan Mia Karmila menggeleng tanpa sebarang suara.
“Kenapa
Aiman yang bawak teksi? Mana walid?” soal Hajah Habibah hairan.
“Walid
tengah berbincang dengan pegawai dari pejabat zakat yang datang melawat ke
pusat tahfiz tu. Jadi dia mintak tolong Aiman bawa teksi tu sekejap sebab
kebetulan Aiman tak ada kelas pagi ni,” jawab Shahriman berhati-hati agar Mia
Karmila tidak menganggapnya sengaja mahu mengambil kesempatan untuk bertemunya
walaupun hakikatnya dia tidak tahu bahawa Mia Karmila yang perlu dihantarnya.
Walidnya tidak memberitahu siapakah nama gadis yang perlu dihantarnya itu.
“Err...
tak apalah, ustazah. Saya tak kisah kalau Encik Aiman yang hantar saya sebab
saya dah pernah naik teksinya. Jadi tak payah lagi saya nak susah-susah
tunjukkan jalan sebab Encik Aiman dah tahu rumah saya. Cuma...” ujar Mia
Karmila bagaikan hilang kata-kata apabila matanya bertembung lagi dengan mata
Shahriman untuk kedua kalinya.
“Cuma
apa, Mia?” soal Hajah Habibah.
“Saya
tak sangka yang Encik Aiman ni anak ustazah. Beruntung betul Encik Aiman ada
ibu yang pandai ilmu agama. Alangkah seronoknya saya kalau mama dan papa saya
boleh mengajar sendiri tentang hal ehwal agama ni pada saya dan adik saya,”
balas Mia Karmila dengan nada terkilan. Dia tetap cuba melempar senyuman manis
kepada lelaki yang berdiri di hadapannya itu.
“Alhamdulillah,
kerana ALLAH telah memilih saya untuk menjadi anak ummi dan walid yang telah
mendidik saya dengan baik,” ujar Shahriman sambil memaut bahu Hajah Habibah.
“Mia,
siapa pun ibu bapa kita, kita wajib bangga dan sayang pada mereka kerana tanpa
mereka kita takkan dapat melihat dunia ni. Mia pun apa kurangnya? Ustazah pasti
ibu bapa Mia sangat baik orangnya, kalau tak takkanlah mereka benarkan Mia
datang sini untuk belajar mengaji dengan ustazah,” ujar Hajah Habibah sambil
tersenyum mesra dan mengelus lembut lengan Mia Karmila.
Mia
Karmila hanya mengangguk.
“Hmm...
jadi Cik Mia nak balik sekarang ke?” tanya Shahriman apabila melihat Mia
Karmila sekali lagi hanya mengangguk tanpa suara.
“Err...
Encik Aiman nak cepat ke? Tadi Encik Aiman ada sebut pasal kelas, kan? Kelas
apa tu? Encik Aiman masih belajar lagi ke? Kalau Encik Aiman nak cepat, eloklah
kita bertolak sekarang,” soal Mia Karmila bertalu-talu apabila tiba-tiba
teringat kata-kata Shahriman tadi.
Shahriman
yang kebetulan sedang memandang ke arah uminya hanya tersenyum nakal
seolah-olah seronok membiarkan Mia Karmila terus terteka-teki siapakah dia
sebenarnya. Manakala Hajah Habibah pula jadi tersentuh apabila melihat wajah
Mia Karmila yang begitu polos dan jelas terbayang keterujaannya di dalam
mencari jawapan kepada soalan-soalannya.
“Mia,
Aiman ni sebenarnya salah seorang guru al-Quran dan tafsir kat Pusat Tahfiz
Darul Hana yang dikendalikan suami ustazah.”
“Habis,
teksi tu?” pintas Mia Karmila sebelum sempat Hajah Habibah menjelaskan
segalanya.
“Teksi
tu kepunyaan walid. Tetapi disebabkan walid selalu sibuk dengan Pusat Tahfiz
Darul Hana tu, jadi saya ataupun kawan saya yang jugak guru kat pusat tu yang
selalu bawa teksi ni kalau kami tak ada kelas. Buat tambah-tambah duit poket.
Boleh jugak bantu-bantu anak-anak yatim yang ada kat pusat tahfiz tu,” jawab
Shahriman tersenyum.
Mia
Karmila merenung wajah tenang Shahriman dengan penuh kekaguman.
“Oh,
iya ke? Kalau begitu memang rezeki sayalah dapat naik teksi yang Encik Aiman
bawak malam tu. Kalau tak mungkin saya masih sesat dan tak tahu betapa
pentingnya mencari saham akhirat ni,” ujar Mia Karmila.
“Itulah
kuasa ALLAH, Cik Mia. ALLAH akan sentiasa menganugerahkan hidayah-NYA kepada
sesiapa yang kehendaki dan Cik Mia adalah hamba-NYA yang beruntung kerana telah
mendapat hidayah-NYA ketika usia masih remaja,” komen Shahriman pula sambil
membalas renungan Mia Karmila dengan senyuman mesra.
“Alhamdulillah,
terima kasih jugak pada Encik Aiman yang telah membantu membuka pintu hati saya
dengan nasihat-nasihat Encik Aiman tempoh hari. Tak tahulah macam mana saya nak
balas segala jasa baik Encik Aiman tu,” balas Mia Karmila sayu sambil menunduk,
cuba mengalihkan pandangan daripada terus bertembung dengan anak mata lelaki
itu.
Mia
Karmila tidak tahu mengapa hatinya bergetar setiap kali mata mereka bertaut.
Senyuman yang sentiasa terukir di bibir Shahriman benar-benar menggetarkan
jantungnya. Mia Karmila bagaikan lemas menahan debaran yang bergelodak dalam
hatinya ketika itu.
“Oh,
jadi orang yang Mia kata telah menolong Mia semasa Mia kesusahan dan beri
nasihat pada Mia dulu adalah Aiman ya?” sampuk Hajah Habibah sambil turut
tersenyum mesra apabila melihat Mia Karmila dan Shahriman membisu seketika.
Shahriman
yang bagaikan seronok memerhatikan reaksi Mia Karmila terus tersenyum mesra
tanpa sebarang komen. Manakala Mia Karmila yang perasan gelagat Shahriman hanya
mampu mengangguk perlahan-lahan. Dia tidak berani memandang Shahriman, takut
gelora di hatinya dapat dikesan lelaki itu.
“Macam
yang Aiman kata tadi, itulah kekuasaan ALLAH, Mia. DIA yang Maha Mengetahui
segala apa yang diaturkan-NYA. Oleh sebab itu kita tak boleh kecewa jika
ditimpa musibah kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya. Macam kes Mia ni, Mia
ditimpa kesusahan dan sebab tu dapat jumpa Aiman. Dengan perjumpaan tu pulak
hati Mia telah mendapat hidayah daripada ALLAH. Bukankah itu hikmah namanya?”
nasihat Hajah Habibah dengan nada keibuan yang penuh kasih sayang.
“Betul,
ustazah. Saya amat bersyukur dapat naik teksi Encik Aiman malam tu. Memang
benar kata Encik Aiman, ALLAH masih sayangkan saya, sebab tu DIA pertemukan
saya dengan Encik Aiman,” ucap Mia Karmila penuh kesyukuran sambil
meramas-ramas jari-jemarinya.
“Alhamdulillah.
Hmm... kalau dah tak ada apa-apa lagi, saya rasa eloklah saya hantarkan Cik Mia
balik sekarang. Nanti kalau lambat-lambat takut risau pulak ibu bapa Cik Mia
nanti,” cadang Shahriman apabila melihat Mia Karmila yang disangkanya sudah
agak keletihan itu.
“Hmm...
boleh jugak. Kalau begitu saya mintak diri dulu, ustazah. Esok pagi saya datang
lagi. Doakan keselamatan saya selalu ya, ustazah. Assalamualaikum,” balas Mia
Karmila lalu bersalaman dan mencium tangan Hajah Habibah.
“Aiman
pergi dulu, umi. Assalamualaikum,” ucap Shahriman sambil turut menyalami dan
mencium tangan uminya sebaik sahaja Mia Karmila melepaskan tangan wanita itu.
“Waalaikumussalam. Pandu baik-baik ya, Aiman,”
balas Hajah Habibah sambil melambai tangan pada Mia Karmila sebelum gadis itu
memasuki perut teksi.