MIAKarmila hanya menjeling ke
arah telefon bimbit yang terletak di atas meja kecil di sisi katil. Dia terus
membiarkan telefon itu berdering-dering. Dia tahu panggilan itu pasti daripada
Adrian.
Sejak
malam tadi Adrian telah beberapa kali menelefonnya. Namun Mia Karmila
membiarkan sahaja panggilan itu. Dia sudah malas mahu mendengar permohonan maaf
serta alasan-alasan mengapa dia dibawa ke kelab itu malam tadi. Jelas terbayang
di matanya bagaimana Adrian cuba menutup sifat playboynya. Mia Karmila
bertekad untuk menjauhkan diri daripada lelaki itu.
“Mia,
janganlah macam ni. Okey, kalau Mia tak nak masuk ke kelab ni, tak apa. Kita
pergi tempat lain ya,” pujuk Adrian ketika Mia Karmila berkeras mahu keluar
meninggalkan kelab malam itu.
“Tak
nak. Mia nak balik sekarang. Andy faham tak? Mia nak balik sekarang!” Suara Mia
Karmila meninggi sambil berjalan laju menuju ke kereta Adrian yang diparkir di
hadapan bangunan kelab malam itu.
“Tapi
Mia, malam kan masih awal lagi. Belum pun pukul 10.00 malam, takkan Mia dah nak
balik? Tak sempat pun kita nak berbual-bual,” ujar Adrian masih cuba
melembutkan suara, mahu memujuk agar Mia Karmila mengubah fikiran.
“Kita
berbual aje kat rumah Mia. Dah tentu-tentu selamat,” balas Mia Karmila tegas.
Tanpa
memandang Adrian, Mia Karmila segera membuka pintu lalu melabuhkan punggung di
tempat duduk penumpang sebaik sahaja Adrian membuka kunci pintu kereta.
“Kat
rumah Mia?” soal Adrian terkejut.
“Yalah,
kat rumah Mia. Kenapa?” soal Mia Karmila kembali seolah-olah mencabar.
“Nanti
apa pulak kata mama dan papa Mia, sebab kita berdua-duaan kat rumah Mia
malam-malam begini,” ujar Adrian gusar.
“Apa
pulak kita berdua-duaan aje kat rumah Mia? Adik Mia, Khairil ada kat rumah, Pak
Manap dengan Mak Kiah pun ada kat rumah, Bibik Lela pun ada kat rumah. Jadi
siapa kata kita berdua aje? Lagi senang kalau kat rumah. Kalau Andy lapar boleh
suruh Mak Kiah masak apa-apa untuk kita nanti,” ujar Mia Karmila dengan nada
tegang.
Sememangnya
Mia Karmila berasa lebih selesa kalau dia dan Adrian bertemu di rumahnya. Itu
lebih selamat. Dia yakin Adrian tidak akan berani melakukan perkara yang tidak
senonoh terhadapnya kerana Pak Manap dan Mak Kiah ada bersama.
Suami
isteri yang bekerja sebagai pemandu dan tukang masak serta turut tinggal di
banglo mewah itu tidak akan membiarkan anak majikannya bersama lelaki lain
tanpa pengawasan mereka.
Dato’
Kamal dan Datin Mariam telah menyerahkan tugas pengawasan keselamatan Mia
Karmila dan Khairil kepada Pak Manap serta Mak Kiah. Sedang mereka pula
sentiasa sibuk dengan urusan masing-masing. Malah, hakikatnya memang Mia
Karmila dan Khairil lebih mesra dan manja dengan Pak Manap dan Mak Kiah kerana
kedua-dua lelaki dan wanita itulah yang telah menjaga dan mendidik kedua-dua
beradik itu sejak kecil, tambahan pula apabila satu-satunya anak kedua-dua
suami isteri itu meninggal dunia ketika masih kecil dahulu.
“Andy
malulah kalau kat rumah Mia. Lagipun tak ada privacykita nak enjoy,”
ujar Adrian memberi alasan.
“Apa
maksud Andy?” soal Mia Karmila membeliakkan mata.
Adrian
terkedu. Dia telah terlepas kata hingga menimbulkan syak dalam diri Mia
Karmila.
“It’s
not what you think, dear. I just missed you so much,” ujar Adrian cuba
membetulkan kata-katanya tadi sambil tangan kirinya cuba mencapai jari-jemari
Mia Karmila.
Dengan
keras Mia Karmila menepis tangan Adrian itu sehingga membuatkan Adrian terkejut
dan hampir-hampir sahaja tangan kanannya terlepas stereng kereta yang sedang
dipandunya. Nasib baik Adrian masih dapat mengawal sterengnya dengan segera.
Adrian menarik nafas dalam-dalam bagaikan lega apabila dapat mengawal kembali
pemanduannya.
“Andy
jangan nak cuba tipu Mia lagi! Mia tahu apa niat Andy yang sebenar! Berapa kali
Mia dah beritahu Andy, Mia tak suka benda-benda tak senonoh tu! Sekarang,
hantar Mia balik!” jerit Mia Karmila, melepaskan geram.
“Tapi
Mia, Andy bukan nak buat perkara tak baik pada Mia. Andy cuma nak habiskan masa
bersama-sama Mia malam ni kerana Andy rindu sangat pada Mia. Please trust
me, honey,” rayu Adrian sambil merenung Mia Karmila dengan renungan sayu
ketika kereta berhenti di lampu isyarat.
“No!
I don’t trust you anymore!” jawab Mia Karmila meninggi.
“Kenapa,
Mia? Kenapa Mia dah banyak berubah sekarang? Sejak kita rapat dan selalu keluar
bersama beberapa bulan lalu, Mia tak pernah macam ni pada Andy,” soal Adrian berkerut
dahi.
“Sebab
sebelum ni Mia ingatkan Andy benar-benar jujur nak berkawan dengan Mia. Tapi
apabila Andy dah pandai buat tak senonoh pada Mia masa kat pesta hari jadi
Johana hari tu, Mia tahu apa niat Andy yang sebenar. You got the wrong guy,
man!” balas Mia Karmila sambil memandang keluar bagaikan meluat dengan sikap
playboyAdrian.
Adrian
terkedu lagi. Tidak menyangka Mia Karmila masih mengungkit peristiwa itu.
“Tapi
Andy memang benar-benar sayang pada Mia. Andy tak bohong,” ujar Adrian cuba
membela diri.
“Huh!
Kalau betul Andy sayang pada Mia, mengapa nak bawa Mia ke tempat yang tak
senonoh tadi tu? Banyak lagi tempat yang sesuai kalau sekadar nak makan-makan
atau minum-minum. Mia tahu Andy ada niat lain,” ujar Mia Karmila seolah-olah
sengaja mencabar kejujuran Adrian.
“Tapi
Mia, sebenarnya Andy sendiri tak tahu tempat tu macam tu. Kawan Andy yang
cadangkan kelab tu pada Andy sebab dia kata dia selalu bawa clientsdia
ke situ. Percayalah pada Andy, Mia,” ujar Adrian tidak putus asa memujuk.
“Hmm...
susah dah Mia nak percaya pada Andy. Walaupun Andy tengok Mia agak sosial
tetapi jangan ingat Mia tak kisah pasal maruah diri Mia. Jadi sebelum Mia
beritahu mama atau papa kelakuan Andy yang sebenar, lebih baik Andy hantar Mia
balik sekarang. Mia tahu papa dengan mama pasti akan kecewa kalau dia tahu
mengapa Mia tak nak lagi keluar dengan Andy,” ujar Mia Karmila seolah-olah
mengugut supaya lelaki itu segera mahu menghantarnya pulang.
“Mia,
janganlah perkara kecil macam ni pun Mia nak beritahu papa dan mama Mia. Andy
tak nak kedua-dua ibu bapa kita bersengketa sebab perkara kecil ni. Lagipun
Andy masih sayangkan Mia dan nak selalu bersama Mia.” Suara Adrian lirih, penuh
mengharap.
“Huh!
Apa-apa pun Mia nak balik sekarang. Kalau Andy tak nak hantar, berhentikan Mia
kat sini, Mia boleh balik sendiri!” dengus Mia Karmila sambil cuba membuka
pintu kereta Adrian yang masih meluncur laju.
“Okey,
Okey, Andy hantar Mia balik sekarang!”
Adrian
yang perasan akan reaksi nekad Mia Karmila itu terus jadi cemas. Dia segera
memperlahankan kereta dan membelok mencari jalan menuju ke rumah Mia Karmila.
“Mia,
Andy mintak maaf atas apa pun yang telah Andy lakukan pada Mia. Tapi tu semua
disebabkan Andy benar-benar sayang pada Mia. Jadi Andy harap sangat Mia maafkan
Andy dan takkan putuskan hubungan kita. Please honey, I still need you,”
pujuk Adrian tidak putus asa.
Dia
sempat menarik lengan Mia Karmila untuk menarik perhatian gadis itu sebelum Mia
Karmila membuka pintu untuk keluar sebaik sahaja Adrian memberhentikan kereta
di hadapan pintu pagar rumah Mia Karmila.
“Mia
tak nak dengar apa-apa! Terima kasih kerana hantar Mia balik dan selamat
malam!” ujar Mia Karmila tegas sambil menarik lengannya yang dipegang Andy,
lalu segera keluar dari kereta dan terus masuk ke dalam rumah tanpa mahu lagi
berpaling atau memandang ke arah Adrian.
Mia
Karmila menarik nafas lega apabila kedengaran enjin kereta Andy mengaum
meninggalkan rumah banglo mewah itu tidak lama kemudian.
“Cik
Mia.”
Khayalan Mia Karmila terbang apabila terdengar
suara Bibik Lela mengetuk pintu bilik. Mia Karmila segera menarik nafas
dalam-dalam sambil melepaskan keluhan kecil seolah-olah menyesali segala apa
yang telah terjadi antara dia dan Adrian.