MiaKarmila
mendengus geram apabila telefon bimbitnya terus berdering ketika dia sedang
khusyuk membaca Surah al-Waqi’ah di dalam bilik usai Solat Maghrib berjemaah
bersama mama dan papanya sebentar tadi.
Dia
sedang berusaha mengamalkan untuk membaca sekurang-kurangnya satu surah setiap
malam sebagaimana yang disarankan Ustazah Habibah. Deringan telefon yang
membingitkan telinganya itu benar-benar telah mengganggu konsentrasinya.
Mia
Karmila segera mencapai telefon untuk melihat siapakah yang menelefonnya pada
waktu-waktu begitu. Hatinya bertambah sebal apabila terlihat nama Adrian
terpapar di skrin. Spontan jari Mia Karmila menekan butang ‘reject’ dan
kemudian mematikan telefon bimbit itu kerana tidak mahu konsentrasinya membaca
al-Quran terganggu.
Mia
Karmila tahu Adrian pasti akan cuba menghubunginya lagi selagi panggilannya
tidak dijawab. Sejak petang tadi, sudah tiga kali Adrian menelefonnya tetapi
Mia Karmila agak keberatan untuk menjawab. Dia yakin, pasti lelaki itu mahu
bertanya tentang penampilannya yang dilihat ketika di restoran tengah hari
tadi.
Hakikatnya
Mia Karmila masih belum bersedia untuk berbicara tentang perubahan
penampilannya dengan sesiapa pun, kerana apa yang penting bagi Mia Karmila
sekarang adalah untuk memujuk mamanya supaya terus merestui perubahan yang
sedang Mia Karmila cuba terapkan di dalam keluarga mereka.
Setelah
usai menunaikan Solat Isyak, Mia Karmila tiba-tiba teruja untuk mencuba tudung
dan jubah yang baru dibelinya siang tadi. Dia bercadang untuk memakainya esok
ketika ke rumah Ustazah Habibah.
Puas
Mia Karmila meneleng-neleng dan melenggok-lenggokkan badannya di hadapan
cermin, cuba menggayakan jubah dan tudung yang sepadan.
“Cik
Mia pasti nampak cantik dan manis kalau pakai jubah tu.”
Tiba-tiba
Mia Karmila bagaikan terdengar suara mersik Shahriman seolah-olah berbisik di
telinganya. Dia segera berpaling mencari tuan punya suara itu.
Oh,
aku berkhayal rupanya, bisik hati Mia Karmila setelah menyedari dirinya sedang
berseorangan di dalam bilik itu. Entah mengapa hati Mia Karmila tiba-tiba rasa
bergetaran dan amat rindu untuk menatap wajah Shahriman yang sentiasa tenang
dengan senyumannya. Mia Karmila berpaling memandang cermin, cuba membetulkan
tudungnya tetapi dia jadi agak terkejut apabila seolah-olah terpandang
Shahriman sedang merenungnya dari dalam cermin itu.
Oh,
mengapakah wajah itu yang menjelma? Gila bayangkah aku? Bisik hati Mia
Karmila keliru. Bagaikan dipukau, Mia Karmila segera mencapai telefon bimbit
dan menghidupkan kembali setelah dimatikannya ketika tidak mahu diganggu Adrian
selepas maghrib tadi.
Hmm...
nasib baik aku sempat mintak nombor telefon dia tadi, bisik hati kecil Mia
Karmila keriangan sambil jarinya terus menekan nombor telefon bimbit Shahriman
dari dalam ‘contact list’ nya.
“Assalamualaikum.”
Kedengaran suara mersik Shahriman memberi salam setelah beberapa saat Mia
Karmila menunggu panggilannya dijawab.
Mia
Karmila tergamam. Lidahnya bagaikan kelu apabila terdengar suara yang bagaikan
berjaya menggoncang jantungnya itu. Denyutan jantungnya bertambah laju sehingga
membuat kerongkongnya bagaikan tersumbat untuk bersuara.
“Assalamualaikum.
Helo, nak cakap dengan siapa?” tanya Shahriman hairan apabila tidak terdengar
sebarang suara di hujung talian.
“Helo,
siapa ni?” Kedengaran Shahriman terus bertanya dengan nada agak prihatin
apabila telefon di hujung talian masih senyap.
“Wa...waalaikumussalam,
ustaz.” Akhirnya terdengar suara yang agak bergetar menjawab salam.
Mia
Karmila tiada pilihan lain tetapi terpaksa menguatkan hatinya untuk segera
bersuara kerana khuatir Shahriman mungkin akan memutuskan talian sekiranya
tiada jawapan dari hujung talian.
“Oh,
Cik Mia ke? Kenapa senyap aje tadi?” soal Shahriman mesra.
“Err...
maaf saya tak sengaja tertekan nombor ni tadi,” ujar Mia Karmila cuba
berselindung.
“Tak
apa. Saya pun tengah free sekarang, jadi panggilan Cik Mia ni tak
mengganggu apa-apa pun,” ujar Shahriman. Kemesraan suaranya masih jelas
kedengaran.
“Tapi
macam mana Ustaz Aiman tahu saya yang panggil?” soal Mia Karmila terkejut.
Seingat
Mia Karmila, dia belum pun lagi mengenalkan diri sejak tadi dan dia juga tidak
pernah memberi nombor telefonnya pada Shahriman, jadi sudah pasti lelaki itu
tidak tahu itu nombor telefonnya. Tetapi bagaimana dia boleh tahu aku yang
memanggil? Hati kecil Mia Karmila bertanya, hairan.
“Hmm...
suara perempuan yang pernah berbicara dengan saya, takkan saya boleh lupa,”
ujar Shahriman bagaikan sengaja mahu mengusik.
“Tapi
saya pasti ramai perempuan lain yang pernah berbicara dengan Ustaz Aiman.
Mungkin jugak suara salah seorang daripada mereka tu boleh menyerupai suara
saya,” ujar Mia Karmila cuba menduga kerana agak teruja dengan nada suara
Shahriman yang jelas kedengaran nakal mengusiknya.
“Betul,
saya tak nafikan bahawa memang saya pernah berbicara dengan ramai perempuan
lain dan dah dengar berbagai-bagai gaya dan nada suara perempuan, tetapi suara
yang satu ni tak sama dengan suara-suara yang lain tu,” ujar Shahriman semakin
seronok mengusik.
“Maksud
Ustaz Aiman?”
“Suara
Cik Mia lain daripada yang lain. Sebab tu saya mudah kenal.”
“Betul
ke tu? Atau Ustaz Aiman saja nak kenakan saya?” ujar Mia Karmila tertawa kecil.
“Nak
kenakan apa pulak? Dalam telefon cuma boleh dengar suara aje, jadi macam mana
nak kenakan? Lainlah kalau sedang berdepan mata, boleh jugak kenakan Cik Mia
lagi macam siang tadi. Kali ni pekena ayam panggang ke atau pun kambing panggang
ke, best jugak kan?” usik Shahriman tertawa riang.
“Wah,
nampaknya Ustaz Aiman memang betul-betul nak pekena saya ya? Nasib baik hari
dah malam, kalau tak...”
“Kalau
tak, apa?” soal Shahriman seolah-olah mencabar.
“Sekarang
jugak saya keluar dan bawa Ustaz Aiman pekena kambing panggang. Saya nak tengok
banyak mana sangat yang Ustaz Aiman larat nak makan,” ujar Mia Karmila semakin
seronok membalas gurauan Shahriman.
“Tapi
esok kan masih ada untuk kita,” komen Shahriman, mesra.
Mia
Karmila tergamam. Tidak menyangka Shahriman akan berkata begitu kepadanya.
Spontan terbayang wajah Shahriman yang tampan dan tenang di tubir matanya. Hati
Mia Karmila melambung-lambung keriangan.
“Betul
esok masih ada untuk kita tetapi nyawa kita belum tentu masih ada sampai esok,”
balas Mia Karmila mengikut rentak Shahriman.
Hakikatnya
Mia Karmila benar-benar terasa amat gembira apabila mendengar suara Shahriman
yang begitu jelas seronok berbicara dengannya. Rasa malu yang membelenggu
hatinya awal-awal tadi bagaikan sudah terbang jauh. Yang tinggal dalam hatinya
sekarang hanyalah rasa bahagia dan syukur di atas reaksi Shahriman yang bagai
membayangkan bahawa lelaki itu juga sememangnya sentiasa menunggu-nunggu
panggilan daripadanya.
Shahriman
juga bagaikan terkedu mendengar kata-kata Mia Karmila. Tidak menyangka gadis
yang pertama kali dilihatnya sebagai seorang gadis yang sosial tetapi kini
telah sentiasa mengaitkan kekuasaan ALLAH di dalam setiap tutur katanya. Hati
Shahriman benar-benar syahdu terhadap perubahan drastik Mia Karmila.
Tiba-tiba
terbayang di tubir matanya wajah ayu yang seolah-olah sedang tersenyum manis
kepadanya. Hati muda Shahriman bergetaran tidak menentu. Keinginan untuk terus
mendekati gadis itu bagaikan membuak-buak. Bunga-bunga rindu bagaikan mula
berkembang dalam hati kedua-dua teruna dara itu.
“Wah,
tak sangka Cik Mia boleh bermadah bagaikan seorang pujangga. Amat menusuk kalbu
saya. Tak terlawanlah saya dibuatnya,” puji Shahriman.
“Alhamdulillah,
tu semua adalah anugerah ALLAH pada saya. Mungkin ALLAH kesian tengok saya
selalu kena perli dengan Ustaz Aiman,” balas Mia Karmila sambil tertawa kecil.
“Eh,
bila pulak saya perli Cik Mia? Tak betul ke semua apa yang saya katakan? Tak
baik tau, Cik Mia tuduh saya macam tu,” bidas Shahriman dengan nada yang lirih
seolah-olah merajuk.
“Hu...hu...hu...
tak sangka ada orang merajuk malam ni. Jangan sampai tak boleh tidur pulak
nanti, dahlah,” ujar Mia Karmila tertawa terkekeh-kekeh. Dia tahu Shahriman
sengaja mengusiknya.
“Hmm...
sesekali nak merajuk, apa salahnya.”
“Jadi,
betullah Ustaz Aiman merajuk?”
“Kenapa?
Kalau saya merajuk, Cik Mia tak nak pujuk ke?” soal Shahriman bagaikan tidak
percaya kata-kata itu boleh terlontar daripada bibirnya.
Sekali
lagi Mia Karmila tergamam. Kata-kata Shahriman itu benar-benar berjaya mencuit
naluri kewanitaannya. Rasa rindu untuk menatap wajah yang tampan dan tenang itu
terus membuak-buak, mendebarkan hatinya.
Oh,
tak sangka kau seorang yang begitu romantis. Alangkah indahnya hidup ini kalau
aku mendapat seorang suami yang soleh sepertimu, bisik hati kecil Mia Karmila.
Kelopak cinta bagaikan mula memekar dalam hatinya.
“Cik
Mia? Cik Mia masih di situ ke?” Kedengaran suara Shahriman di hujung talian.
Bimbang apabila Mia Karmila terus menyepi seketika.
“Ya...ya..
err... saya masih kat sini. Maaf saya terlepas telefon ni sekejap jadi tak
berapa nak dengar apa yang Ustaz Aiman cakap,” ujar Mia Karmila gugup, cuba
menyorokkan hatinya yang sentiasa bergetaran. Dia tidak tahu apa yang harus
dijawab.
“Oh,
iya ke? Cik Mia sedang buat apa yang sampai boleh terlepas telefon? Kalau Cik
Mia sedang sibuk, saya mintak maaf kerana terus berbicara tadi walaupun Cik Mia
kata tersalah tekan nombor saya tadi,” ujar Shahriman dengan agak terkilan.
Namun
Shahriman berasa lega apabila Mia Karmila mengatakan yang dia tidak berapa
dengar apa yang dikatakannya tadi. Entah mengapa tiba-tiba Shahriman terasa
malu pada diri sendiri kerana begitu berani bergurau dengan Mia Karmila yang
dia sendiri tidak tahu apakah anggapan gadis itu padanya. Terasa gelombang
rindu yang begelodak dalam hatinya mendayu sayu.
Oh,
adakah aku aje yang syok sendiri sedangkan dia langsung tak mempunyai apa-apa
perasaan pun terhadapku, bisik hati kecil Shahriman.
“Eh,
tak apa. Saya tak sibuk pun, cuma tangan saya ni agak licin sikit sebab baru
lepas sapu krim muka tadi. Sebenarnya saya...” Mia Karmila bagaikan keberatan
untuk meneruskan kata-katanya.
“Sebenarnya
apa, Cik Mia?” soal Shahriman tidak sabar.
“Sa...
saya seronok dapat berbual dengan Ustaz Aiman macam sekarang, cuma...” Sekali
lagi Mia Karmila terhenti kerana tidak tahu bagaimana mahu menyatakan apa yang
difikirkannya.
“Cuma
apa? Beritahulah saya, jangan segan-segan. Saya sedia mendengarnya,” ujar
Shahriman.
“Err...
sa...saya rasa kita ni terlalu formal.”
“Maksudnya?”
“Ustaz
Aiman ada cakap pagi tadi yang Ustaz Aiman sudi terima saya sebagai sahabat
Ustaz Aiman, kan?” soal Mia Karmila.
“Ya,
memang saya lebih daripada bersedia untuk jadi sahabat Cik Mia. Kenapa? Cik Mia
masih ragu keikhlasan saya itu ke?” soal Shahriman khuatir.
“Saya
tak pernah meragui keikhlasan Ustaz Aiman.”
“Habis
tu, apa yang Cik Mia maksudkan?”
“Sebagai
sahabat, saya rasa kurang selesa kalau kita terlalu formal begini. Boleh tak
Ustaz Aiman tak payah ber‘cik-cik’
dengan saya? Panggil aje saya Mia ataupun apa-apa nama yang Ustaz Aiman rasa
selesa,” pinta Mia Karmila.
“Oh,
pasal tu ke? Saya ingatkan apalah tadi sampai risau saya dibuatnya. Tapi betul
ke Cik Mia nak saya panggil Cik Mia dengan panggilan yang saya suka?” soal
Shahriman minta kepastian.
“Ya,
kenapa? Ustaz Aiman tak percaya?”
“Bukan
tak percaya tetapi saya seronok sangat sebab diberi penghormatan begitu.
Sesuatu yang saya belum pernah terima daripada seorang gadis manis macam Cik
Mia,” ujar Shahriman sambil tertawa riang.
“Hah,
tu masih lagi ber‘cik-cik’ tu pasal apa?” sergah Mia Karmila, namun jelas
kedengaran nada nakal dalam suaranya.
“Hmm...
baiklah tuan puteri. Mulai sekarang saya akan panggil tuan puteri dengan nama
Humairah. Boleh?” soal Shahriman tertawa kecil.
Segera terbayang di mata Shahriman senyuman manis yang
sentiasa terukir di wajah yang polos dan ayu itu. Hati Shahriman akan terus
bergetaran setiap kali wajah itu muncul di tubir matanya. Manakala di hujung
talian, Mia Karmila tersentak kerana keliru kenapa Shahriman memberinya nama
baru begitu.