Home Novel Keluarga KUSERAHKAN KASIH
JASMIN: MANISKAH MADU?

JASMIN : MANISKAH MADU?

Selepas menelefon Intan, Jasmin berlegar-legar di sekitar KLCC sendirian. Dia berharap Intan dapat menemaninya. Tapi jawapan Intan begitu menghampakannya. Dia tidak kesal dan cuba memahami keadaan Intan. Intan baru pulang dari kerja dan tentunya dia keletihan. Dia faham kerja Intan. Intan bukan seperti dia yang hanya duduk di kerusi empok dan mengarah semua kerja kepada kaki tangan bawahannya. Dia seorang Pengarah Urusan syarikat milik keluarganya. Intan lain. Intan seorang wartawan yang hidupnya mengejar berita. Rezekinya bergantung kepada peristiwa yang menjadi berita. Oleh itu masa itu emas untuk Intan.

Jasmin resah. Dia perlukan sesaorang untuk meluah rasa.Tidak ada yang faham isi hatinya.Hanya Intan yang faham dan tahu. Dan hanya Intan yang banyak menyimpan rahsia perasaannya.Entah kenapa dia begitu percayakan Intan. Walhal, perkenalan mereka belum begitu lama.

Dia mengenali Intan secara tidak sengaja di Amy Beauty Saloon di Ampang Jaya. Kebetulan Intan juga adalah pelanggang tetap salun itu. Dari perkenalan biasa itu, dia dan Intan menjadi akrab. Mereka banyak mengisi masa lapang dan terluang bersama.Dia boleh bercerita dan meluahkan apa saja kepada Intan. Intan akan menjadi pendengar yang baik.

Itu yang disenanginya tentang Intan. Intan pandai bergaul dan menjaga hati kawan. Intan pandai memujuk dan Intan amanah dalam menyimpan rahsia dan jujur berkata-kata.Dia tidak pernah rasa curiga atau rasa cuak ketika meluahkan rasa kepada Intan.

Bosannya. Dia melangkah mengikut rasa hatinya. Deretan butik sudah diselusurinya. Kedai-kedai kasut dan beg tangan yang berjenama juga sudah disinggahinya. Namun tidak ada yang menarik minatnya untuk membeli. Dia hanya melilau membuang masa.

Jasmin berjalan dan terus berjalan.Dia ingin berjalan sehingga kakinya keletihan. Seketika, sedang mata Jasmin masih melilau tiba-tiba dia terpandang sesaorang. Orang yang sangat dikenalinya. Orang yang begitu dekat dengan dirinya. Orang yang begitu hampir dengan hati nuraninya. Orang yang sekian lama menjadi teman tidurnya.

Gementar seluruh tubuhnya. Seakan-akan terhenti pengaliran darahnya ke jantung.Sejuk seram seperti diserang demam malaria. Dia mengetap bibir. Geram dan marah bercampur-baur. Cemburu berselirat dalam hati. Jiwa parah dipanah api dendam yang membara. Dari jauh dia melihat satu kemesraan yang menyakitkan hati.

Sepasang merpati sedang terbang seiringan.Penuh mesra dan penuh kasih sayang. Sekali-sekala nampak mereka ketawa. Lentukan manja kepala si wanita itu ke bahu sang lelaki itu cukup menyesakkan nafas Jasmin. Dia melihatnya dengan mata yang sarat tersembul duka lara yang semakin pedih. Tersayat seluruh hatinya. Berdarah dan pedih…!

“Perempuan sial! Tak sedar diri….perempuan perampas!”Sumpah Jasmin dalam hati. Dia mengetap bibir dengan rapat. Sumpahan itu berulang dan berulang. Dan hatinya terus berdarah dan terluka.

Sumpah itulah yang selalu meniti bibirnya dan memenuhi ruang hatinya sejak lima tahun ini. Sejak Farid mengahwini wanita itu, hatinya sudah tidak bersih lagi.Saban hari dipenuhi dengan sumpah seranah. Saban masa bergelut dengan racun dendam dan kemarahan. Dia tidak mampu menerima kenyataan itu. Dia tidak dapat menghalalkan kehadiran wanita lain dalam hidup Farid. Farid miliknya. Sampai mati pun tidak akan dikongsi dengan orang lain. Kadang-kadang dia hairan. Apa lagi yang kurang pada dirinya?

Dia cuba menilainya. Kalau dari segi rupa,dia rasa dia lebih cantik dan seksi. Walaupun sudah berusia hampir empat puluhan, dia masih bergaya dengan fesyen terkini. Dari segi kedudukan dan pangkat pun begitu juga. Dia wanita korporat yang mempunyai kelulusan universiti luar negeri. Latar belakang keluarganya cukup untuk melengkapkan pakej dirinya. Siapa tidak kenal dengan Datuk Husaini, ayahnya. Seorang lelaki yang menonjol sebagai CEO untuk beberapa buah syarikat multinasional.

Perempuan itu? Hanya seorang kerani di sebuah syarikat swasta. Gajinya tak seberapa. Mungkin sama dengan ansuran bulanan kereta mewah miliknya.Pakaiannya, tak ada class langsung. Berbaju kurung, bertudung lingkup begitu, amat merimaskan. Jasmin mengeluh sendiri. Apalah agaknya yang Farid pandang pada perempuan kampung yang selekeh itu…?

Jasmin mengekori mereka. Dia berdiri agak jauh supaya kehadirannya tidak terkesan oleh sepasang merpati itu.Farid memimpin tangan wanita itu dan masuk ke sebuah pasaraya. Jasmin menahan gelisah. Semuanya tiba-tiba terimbau di ruang mata.

“Min, ini abang kenalkan kawan abang, Azura. Azura, ini isteri abang, Jasmin,”

Dia teringat pertama kali Farid memperkenalkan wanita itu kepadanya. Mereka bersalam dengan senyum ramah. Mereka berbual mesra. Tidak terlintas di hatinya bahawa ada muslihat di sebalik perkenalan itu. Malah dia tidak mengesyaki sedikit pun yang Farid ada affair dengan wanita itu. Dia ingat hubungan mereka hanya hubungan biasa – orang korporat macam Farid tentu mempunyai ramai kawan. Malah dia sudah biasa dengan kawan-kawan Farid. Kawan bisnes lain. Kawan sekelas lain.Kawan sekampung lain. Dan kadang-kadang kawan sepermainan golf pun dikenalkan kepadanya. Jasmin tidak pernah ingin ambil tahu. Jadi, Azura mungkin salah seorang kawan setugas Farid. Dia tidak nampak Azura istimewa sangat, hingga perlu diletakkan rasa cemburu dan curiga terhadapnya.

Tapi dugaannya itu salah. Beberapa bulan selepas itu dia dikejutkan dengan berita yang bagai panah menusuk ke jantung hatinya.

“Min, sorryabang terpaksa berterus terang dengan Min. Abang akan mengahwini Azura, abang harap Min izinkan.” Begitu tenang Farid mengadap mukanya.

“What? You want to marry her? Are you crazy?” Dia seperti tercekik tulang ikan. Duri itu menusuk dada. Pedih dan menyakitkan. Benar-benar dia tertekan.

“Min…,abang sayangkan dia. Abang tak dapat nak lupakan dia. Abang mesti kahwin dengan dia. Min izinkan atau tidak, itu tak penting sangat. Abang mampu berpoligami.”

“Jadi, abang dah putus kata.Min ni abang nak buang ke mana?” Jasmin mula menangis. Dia tidak sanggup berkongsi kasih dengan orang lain setelah sekian lama hidup bersama Farid. Dia tidak biasa hidup berkongsi. Sejak kecil dia tidak berkongsi barang dengan sesiapa mahupun dengan adik beradiknya sendiri. Apa lagi untuk berkongsi suami. Mustahil!

“Min akan tetap berada di sisi abang. Abang tidak akan melepaskan Min. Abang sayang Min dan abang juga sayangkan Azura. Kedua-duanya begitu bermakna dalam hidup abang. Tolonglah Min faham perasaan abang…” Rayu Farid sambil menggenggam tangannya.

Keputusan Farid muktamad dan tidak dapat diubah lagi. Jasmin betul-betul kecewa dengan sikap Farid. Bukan dia tidak melayani Farid dengan baik. Rasanya zahir batin dia memberikan layanan terbaik untuk lelaki itu. Cuma kadang-kadang dia sibuk dengan tugas dan sekali sekala terpaksa turun padang melawat projek, Farid terpaksa ditinggalkan. Kalau projek itu jauh, maka berhari-harilah lamanya dia berada di luar rumah. Tapi, takkan itu nak dijadikan alasan untuk berkahwin lagi. Dia melakukan semuanya demi tugas. Bukan sengaja suka-suka nak tinggalkan rumah. Farid sendiri yang mengizinkan dia bekerja. Semuanya dibuat untuk kepentingan dan masa depan mereka juga. Ah! lelaki tetap lelaki yang tidak puas dengan satu isteri, marahnya dalam hati.

Seperti kata Farid, izin atau tidak dia tetap akan berkahwin. Apa lagi yang mampu Jasmin lakukan selain menandatangani surat izin itu dengan hati yang sebal.Malam pernikahan Farid, dia berendam air mata. Rasanya seperti dalam mimpi sahaja hal itu berlaku. Sepanjang malam Jasmin menangis. Apa lagi bila membayangkan Farid dan Azura begitu ghairah menikmati malam pertama yang romantis.Dia tahu segala langkah dan pujukan Farid di tempat tidur. Lelaki itu memang pandai merayu dan pandai menundukkan nafsu seorang wanita. Itu yang membuatkan dia tak tentu arah. Cemburunya bermula dan pedihnya menikam jiwa. Bukan hanya untuk malam pertama itu, malah untuk malam-malam seterusnya hingga kini setiap kali Farid bermalam di rumah madunya itu…!

Sejam kemudian, Farid dan Azura keluar dari pusat beli belah itu sambil membimbit barang-barang yang dibeli lalu mengisi dalam boot kereta dengan senyum dan keriangan yang menawan. Hati Jasmin semakin rawan. Dia semakin penasaran dengan apa yang disaksikannya.

Tiba-tiba Jasmin keluar dari kereta dan berjalan pantas ke arah Farid. Kemudian dia berdehem beberapa kali untuk menarik perhatian merpati dua sejoli yang sedang sibuk menyusun barang-barang dalam bootkereta.

“Min! Apa Min buat di sini?”Tanya Farid separuh terkejut. Begitu juga dengan Azura. Namun, dia mampu mengawal diri dan berlagak tenang sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Jasmin menepis tangan Azura dengan keras. Farid seperti sedar apa yang akan berlaku. Wajah Jasmin yang masam mencuka mengundang rasa curiga yang menebal. Farid mendekat dan cuba memegang bahunya. Namun Jasmin tetap menepis tangan Farid dengan kasar.

“Min, kenapa ni…? Jangan buat macam ni. Ini tempat awam, malu kalau orang nampak.”

“Biar orang nampak, saya tak peduli!!”Jerit Jasmin dengan mata terbeliak.

“Bertenanglah Min. Jom kita balik,”

“Saya tak nak balik!”

Farid malas nak melayan Jasmin lagi. Dia menarik tangan Azura dan masuk ke kereta. Ketika akan menghidupkan enjin, Jasmin berlari dan membukakan pintu serta menarik Farid keluar.

“Apa lagi yang tak kena Min? Kalau ia pun Min marah, kita selesaikan saja di rumah. Malu dilihat orang…” kata Farid dengan lembut memujuk.

“I tak suka you bawa dia keluar. Itak suka you lebihkan dia.I ni isteri pertama. Dia tu menumpang saja.Kenapa you berikan dia sepenuh perhatian dan you abaikan I ? ”

“Min, Min selalu salah sangka dengan abang. Apa yang abang buat tak pernah kena pada Min. Azura juga isteri abang, dia berhak menerima perhatian dan kasih sayang abang. Selama ini pun abang selalu melebihkan Min dalam segala hal, tapi Azura tidak pernah mengeluh.Sekali-sekala abang bersama Azura macam ni…Min dah bising.” Suara Farid semakin tinggi. Azura menarik tangan Farid. Dia mula bimbang sesuatu yang buruk bakal berlaku. Jasmin seolah-olah sedang mengejutkan harimau yang sedang tidur. Dia keluar dari kereta dan mendekati suaminya.

“Sudahlah bang, kalau Kak Min tak suka abang bawa Zura, tak apalah. Biar Zura balik naik teksi sahaja…” bisik Azura perlahan. Farid merenung ke dalam mata isterinya. Azura selalu mengalah. Itulah yang membuatkan Jasmin besar kepala, bisik Farid.

“Tidak Zura. Abang tak izinkan Zura naik teksi.Abang akan hantar Zura. Abang suami Zura. Abang berhak melindungi dan bertanggung jawab terhadap Zura. Dah, pergi naik. Kita balik sekarang,” tegas Farid. Azura patuh. Dia membuka pintu kereta dan masuk semula dengan wajah gusar dan bimbang.

“Min baliklah dulu. Nanti abang akan balik. Apa-apa hal kita bincang di rumah…” kata Farid sambil masuk ke dalam kereta, menghidupkan enjin dan berlalu dengan laju. Jasmin terkebil-kebil dan hatinya semakin luka. Bermacam caci maki menapak lagi di hati kecilnya.

Dia berjalan menuju ke keretanya dengan air mata yang berhamburan. Enjin kereta dihidupkan dan dia memandu dengan laju tanpa hala tuju. Dia teringat janjinya dengan Intan. Hanya Intan yang mampu mendengar rintihan hatinya ini. Lalu dia memandu menghala ke rumah Intan.

Hampir waktu Isya’ Jasmin sampai di halaman rumah Intan. Intan terpisat-pisat bingung. Tidurnya terganggu. Mimpinya terputus separuh jalan. Dia menguap beberapa kali ketika membuka pintu.

“Masuklah Min. Aku tertidur tadi. Nasib baik kau datang, kalau tidak agaknya sampai pagi aku tertidur di sini,” kata Intan sambil berjalan semula ke ruang tamu. Jasmin cuba bertenang dan duduk dengan selesa. Intan pula terus ke dapur untuk menghidangkan minuman. Ketika dia keluar dengan dua mug nescafe, dilihatnya Jasmin sedang mengesat air mata dengan tisu.

“Ni apa halnya pula ni, malam-malam begini hujan turun,” usik Intan sambil menghulurkan minuman kepada Jasmin.Jasmin senyum hambar ketika menyambut mugdari tangan Intan itu .

“Intan, aku rasa dah tak sanggup lagi menempuhi semua ini. Farid dan betina tu semakin melampau. Lima tahun aku bersabar, sekarang rasanya aku sudah tidak boleh bertahan lama lagi. Makin hari bukan makin baik, tapi tambah pedih. Ada-ada saja yang menyakitkan hati aku,” keluh Jasmin berat.

“Apa yang dah berlaku ni…?” Tanya Intan lembut.

“Aku terserempak dengan mereka di KLCC tadi. Bukan main mesra lagi…” Intan faham dan tahu siapa ‘mereka’ yang dimaksudkan. Dia meneguk minuman panas dengan senyum nipis. Sengaja dia menyembunyikan senyuman itu untuk tidak mengecilkan hati Jasmin. Dalam saat begitu, Jasmin amat sensitif.

“Mereka tu suami isteri. Apa salahnya mereka mesra.Kau pun mesra dengan Faridkan?”

“Tapi, aku tak boleh terima hakikat tu,”

“Min, kau bukan sehari dua dimadukan. Dan hampir lima tahun. Tidakkah dalam masa itu kau mampu mengubat hati kau tu?”

“Bukan saja tidak mampu mengubatinya Intan. Malah semakin lama semakin sakit. Parah sekali. Lukanya tidak pernah berhenti berdarah,”

“Sekarang apa kau nak buat?”

“Aku rasa aku nak ke mahkamah dan membuat permohonan cerai.Lebih baik aku hidup sendiri daripada aku menanggung derita macam ni…” Jasmin merenung lantai. Karpet bulu kambing buatan Turki yang terhampar itu dikuis-kuisnya dengan hujung kaki.

“Tapi, kau kena fikir betul-betul dulu Min. Fikirkan masa depan dan perasaan anak-anak kau. Jangan ikutkan hati marah kau tu.”

“Habis kau masih nak suruh aku sabar? Kau tak rasa apa yang sedang aku rasa. Semua orang pandai cakap supaya aku bersabar. Mereka tidak berada di tempat aku,” sangkal Jasmin dengan cepat.

“Aku faham perasaan kau tu Min. Kau ingat aku tak pernah merasainya. Aku pernah merasakannya. Cuma keadaan kita yang berbeza. Kau merasa sakit kerana merasa cinta kau dikhianati. Dan aku? Aku merasa sakit kerana menyintai suami orang dan dalam masa yang sama aku juga kesakitan kerana hakku diambil orang. Rasanya aku lebih parah dari kau Min. Cuma, aku mampu mengawal diri.” Intan memandang Jasmin. Jasmin tunduk. Dia mati akal untuk meningkah kata-kata Intan. Apa yang Intan katakan semuanya benar belaka.

“Aku lalui semua keperitan ini demi anak-anak. Aku tidak mahu anak-anakku hidup tanpa kasih sayang seorang ayah. Lagipun, aku menyintai suamiku sepenuh hati. Cinta melebihi segalanya Min. Kalau kita menyintai sesaorang, kita akan sanggup melakukan apa saja termasuk berkongsi kasih dengan orang lain,”

“Tapi, sampai bila aku akan mengorbankan diri aku untuk anak-anak. Hubungan kami semakin renggang. Farid terlalu dingin kepadaku, ”

“Aku rasa bukan dia yang membuatkan hubungan kalian dingin. Kau sendiri yang tidak mahu melayaninya macam dulu. Itu salahnya kau,”

“Aku tidak mampu melupakan begitu saja kecurangannya Intan.”

“Kecurangan?”

“Ya, aku setia dengan sepenuh hati. Tapi senang-senang saja dia mengkhianatiku dan berlaku curang terhadapku. Kenapa lelaki macam tu?”

“Tapi, aku rasa dia tidak pernah mengabaikan kau.Dan kecurangannya adalah kecurangan yang halal dan bersih. Kau mahu suami kau terus diburu noda dan dosa? Lebih baik dia bernikah secara halal daripada dia menyimpan perempuan lain dan hidup dengan dosa sepanjang hayat. Min, kita kena banyak bertolak ansur dalam hal ini,”

“Aku tidak mampu menjadi seperti kau Intan. Kau lain. Aku lain.”

“Memang kita lain Min. Tapi keresahan kita adalah sama. Cuma berbeza cara kita menentukan diri kita sebenarnya. Selain dari berkorban untuk anak-anak, kau juga harus menyandarkan diri kepada ketentuan takdir. Kalau Allah mengkehendakinya begitu, tidak ada sebab lagi untuk kita makhlukNya membantah. Oleh itu aku rasa, daripada kau ambil keputusan tergesa-gesa itu, lebih baik kau terima hakikat ini. Kau cuba berbaik-baik dengan madu kau tu. Mungkin ini akan menyenangkan hati Farid,”

“Apa? Kau nak suruh aku berbaik-baik dengan perempuan sial itu? Kau nak aku senangkan hati Farid sedangkan hatiku sendiri tidak pernah senang dengannya?” Jasmin semakin sinis. Intan merenung raut wajah kawannya yang semakin kelat.

“Tidak salah kalau kau berlembut dan memujuk hati kau untuk memikat hati Farid. Kalau kau asyik nak menentang kehendaknya, sampai bila pun dia tidak akan berpaling kepada kau. Lelaki selalunya ego Min. Tapi keegoan itu dapat dicairkan dengan kelembutan dan belaian seorang wanita. Contohnya Azura tu. Mungkin kerana sikap tolak ansur dan lemah lembutnya tu yang mencairkan ego si Farid,” ujar Intan lagi. Jasmin menoleh ke arah Intan dengan cepat.

“Intan Fariha! Kau sekarang memihak aku atau memihak perempuan tu. Kalau kau nak suruh aku berbaik dengan dia, forget it! Sampai mati pun aku tidak akan mengalah dengan perempuan itu….”Jasmin membeliakkan matanya. Intan menggelengkan kepala. Kemudian dengan tersenyum sinis, dia mengadap muka Jasmin.

“Puan Jasmin, tolonglah ketepikan dulu ego kau tu. Cuba mengalah sikit. Tidak salah kalau kita mengalah. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.”

“Tidak. Aku kata tidak, tidak. Aku tidak bersalah. Buat apa aku nak mengalah!” Tengking Jasmin dengan suara meninggi dan marah. Intan tidak mahu mengalah.

“Habis siapa yang salah? Dan kau nak siapa yang mengalah?Farid dan Azura dah mengalah dengan kau. Tapi, kau tetap juga kata mereka tak betul. Aku pun tak faham pendirian kau,” jawab Intan pula. Jasmin diam. Ada secalit kekesalan terkesan di wajahnya. Intan tahu Jasmin marah dan tidak mampu menerima semua kata-katanya itu. Kenyataan itu amat memedihkan jantung hatinya.

“Min, aku cuma memberikan pendapat aku.Kalau kau nak terima, terimalah. Kalau kau rasa ia tak sesuai dengan pendirian kau, lupakan saja. Aku cuma nak tengok kau dan Farid happy, that’s all,” kata Intan akhirnya untuk mententeramkan hati Jasmin. Mendengar itu, perlahan-lahan kemarahan Jasmin reda.

“Intan, maafkan aku kalau aku berkasar dengan kau. Tapi, aku betul-betul buntu….aku sudah hilang semangat untuk meneruskan rumah tangga ini. Setiap saat hatiku diburu rasa cemburu dan geram. Jadi macam mana lagi aku harus hidup dengan Farid,” Jasmin mengeluh perlahan. Tiba-tiba Intan rasa begitu simpati dengan keadaan Jasmin itu.

“Kau sabarlah dulu. Mungkin ada jalan untuk mengembalikan kebahagiaan rumah tangga kau itu.Cuba bertenang dulu….”Pujuk Intan. Lama mereka terdiam sambil melayani fikiran masing-masing.

“Eh!Kau percaya pada bomoh tak?” Tiba-tiba Jasmin menoleh kepada Intan.

“Entahlah. Tapi aku rasa itu mengarut.Kenapa kau tanya?” Tanya Intan pula. Dia rasa sangsi dengan pertanyaan itu. Kalau boleh dia tidak mahu Jasmin terlibat dengan perkara yang bukan-bukan.

“Ada staff aku beritahu di kampungnya ada seorang bomoh terkenal yang boleh mengubat semua penyakit terutama penyakit macam aku ni. Apa pendapat kau kalau aku cuba….”

“Kau nak ubatkan apa?”

“Aku nak buat biar Farid bencikan perempuan itu dan menceraikan dia.Biar Farid kembali kepadaku. Biar hanya aku isterinya, macam dulu. Aku tidak mahu berkongsi lagi Intan,”

“Min, aku tak sangka seorang yang berpendidikan moden macam kau percaya pada benda-benda macam ni. Aku rasa tak baik kau buat macam tu. Berdosa meruntuhkan sebuah masjid. Itu namanya kau melawan kehendak Allah. Jangan Min, aku tak mahu kau menanggung dosa….”

“Ah! dosa itu ada di mana-mana. Dia merampas Farid dari aku, itupun kira berdosa juga,”

“Aku tidak nampak dia merampas Farid dari kau. Aku tengok Farid melebihkan kau dalam semua hal. Dia hanya menumpang kasih Farid. Dan dia pun tak minta keadaan ini berlaku. Mana ada perempuan yang suka berkongsi kasih. Mana ada manusia yang suka pada kesusahan. Tapi dia tidak mampu menolak takdir yang ditentukan kepadanya,” ujar Intan penuh hati-hati.

“Kenapa kau ni suka sangat menyebelahi dia?” Sekali lagi Jasmin melenting. Renungannya tajam. Dadanya tiba-tiba sesak. Dia terasa seperti dikhianati.

“Aku bukan menyebelahi mana-mana pihak Min. Tapi aku berkata mengikut apa yang sebenarnya aku nampak.Aku pun tak kenal sangat dengan Azura tu…” kata Intan dengan wajah kesal. Dia meneguk minuman yang masih berbaki.

“Maafkan aku…..” Kata Jasmin perlahan setelah menyedari ketelanjuran kata-katanya dan perubahan yang jelas di wajah Intan. Mungkin Intan berkecil hati. Itu yang paling membimbangkannya. Dia takut kehilangan seorang kawan yang setia mendengar seperti Intan. Walaupun mempunyai ramai kawan, tapi tidak ada yang sudi mendengar dan sabar macam Intan. Kebanyakan mereka yang lain hanya akan meracuni lagi fikirannya yang sudah kacau bilau. Mereka ibarat jarum yang menyocok pada hati yang sudah sedia terluka. Pedih dan menyakitkan!

“Untuk apa kau nak tunggu lelaki macam tu Min? Kalau aku, aku minta cerai saja.Cari saja jantan lain. Dia ingat, dia saja boleh buat. Kau tu bukannya jenis wanita yang tak laku. Petik jari saja, berderet yang akan datang.Silap-silap haribulan, kau kena interview lelaki yang datang tu!” Kata seorang rakan.

“Lelaki…mereka ingat mereka saja yang boleh buat. Kalau mereka boleh, kita pun boleh!”

“Apa yang kita boleh buat? Kita terikat dengan hukum yang tidak menghalalkan isteri berlaku curang di belakang suami.”

“Kita tak perlu berlaku curang. Kita minta cerai dan kita cari lain yang lebih bagus dari dia!”

“Kalau dapat yang lebih teruk dari yang ada macam mana?”

“Kita cari yang terbaik. Buat apa nak cari yang tak baik,”

“Cakap memang senang. Tapi kita takkan dapat membaca hati orang. Masa belum dapat, jalannya pijat semut pun tak mati. Dah dapat, gajah pun dia boleh pijak. Dia menjadi hantu kepada segala hantu!” Itulah antara kata-kata teman yang tahu kisah yang terjadi padanya. Jasmin mengeluh perlahan. Keresahan dan keharuan yang membekam di dadanya terasa semakin berat dan tidak terbendung.

“Tak apalah Min. Aku faham perasaan kau yang bercelaru tu. Apapun, aku harap kau akan bertindak menggunakan akal yang waras bukan mengikut nafsu. Kalau kau terlampau mengikut nafsu, akhirnya kau akan kecundang juga. Sebab itu aku selalu suruh kau menyerahkan diri kepada Allah. Kuatkan semangat kau dan banyakkan berdoa. Kau akan mendapat ketenangan dan kebahagiaan Min…” Kata Intan dengan bersungguh-sungguh.Jasmin mengeluh dan gelisah. Dengan longlai dia bangun dan minta diri untuk pulang. Intan menghantarnya hingga ke kereta. Tanpa senyum, Jasmin terus memecut keretanya dengan laju. Intan arif dengan perangai Jasmin. Dia tidak suka diajar dan ditegur. Dia tidak suka mengaku kalah. Dan dia tidak suka kalau ada orang yang menentangnya.

Jasmin memandu dengan gelisah yang membekam. Kata-kata Intan bersimpang siur dengan ingatan kemesraan Farid dan Azura yang dilihatnya siang tadi. Lalu sepanjang jalan itu, Jasmin berfikir dan menilai dirinya : Maniskah madu yang sedang dihirupnya ini…?


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.