Home Novel Keluarga KUSERAHKAN KASIH
JASMIN: MENCARI PELANGI CINTA

Jasmin tidak mengendahkan nasihat Intan. Cadangan Mariam untuk berjumpa Bomoh Joyah segera dipersetujuinya tanpa rasa cuak. Nafsu telah mengatasi akalnya. Keinginan untuk melihat Farid dan Azura bercerai menjadi matlamat hati yang memuncak.

Untuk itu dia terpaksa berbohong kepada Farid dan anak-anak bahawa dia akan ke out station selama dua hari. Farid tidak banyak menyoalnya, kerana selama ini pun dia selalu meninggalkan rumah demi tugas. Farid sudah terbiasa ditinggalkan. Apa lagi sekarang selepas hadirnya Azura, Farid seperti tidak kisah langsung ketika ditinggalkan. Farid seperti tidak rindu lagi padanya. Itu yang membuatkan azam Jasmin semakin kuat untuk ‘mengenakan’ Farid.

Dia mahu Farid ceraikan Azura. Dia mahu seluruh cinta dan perhatian Farid tertumpu hanya untuk dia seorang saja. Kata Mariam, bomoh itu handal dan sudah banyak kes sepertinya yang berjaya diselesaikan. Jasmin ingin mencubanya. Kalau sebelum ini dia kurang percaya pada bomoh, kali ini dia mengubah pendirian dan pemikirannya.

Tengah hari itu dia sudah sampai ke kampung Mariam. Dan selepas makan tengah hari, Jasmin dibawa ke rumah bomoh yang bernama Mak Joyah yang letaknya tidak jauh dari rumah Mariam. Mereka dijemput naik dan duduk bersimpuh di tikar mengkuang di ruang tamu rumah itu. Orang tua itu menggulung rokok daun sambil mulutnya mengunyah sirih. Jasmin tidak biasa dengan keadaan itu. Dia tidak biasa melihat orang makan sirih. Tekaknya naik loya bila orang tua itu meludahkan air sirih ke dalam sebuah tin Milo yang khas diletakkan di hadapannya. Jasmin menoleh ke arah lain. Tidak sanggup dia melihatnya.

Semua hajat dan hasrat kedatangannya dicurahkan.Mak Joyah mengangguk seakan-akan faham. Matanya merenung Jasmin dari atas ke bawah. Kemudian dia pejamkan mata dan dahinya berkerut-kerut.

“Berat sakitnya ni…..”

“Kenapa mak cik?” Tanya Jasmin tak sabar. Orang tua itu berkerut lagi.

“Badan anak ni banyak penyakatnya, disakat dengan berbagai ilmu. Orang di sebelah sana tu bukan calang-calang orang. Suami anak ni, dah banyak termakan banyak benda kotor sebab tulah dia sayang sangat pada yang di sana tu! Tak apa, kalau dia boleh buat kita pun boleh,” janji Mak Joyah bersemangat sambil meludahkan lagi air sirihnya. Sekali lagi Jasmin rasa loya. Hampir saja terburai isi perutnya di saat itu. Namun dia menarik nafas panjang dan cuba bertahan.

“Tolonglah mak cik.Saya dah buntu sangat ni.Tak tahu apa nak buat. Saya mahu suami saya balik kepada saya macam dulu. Saya mahu dia ceraikan perempuan itu. Saya sudah tidak boleh bersabar lagi…..” Jasmin merayu.

“Jangan bimbang, Mak Yah akan buat. Ada bawa gambarnya tak?”

Jasmin mengeluarkan gambar Farid dan Azura dari dalam beg tangannya. Setelah dua keping gambar itu berada di tangannya, Mak Joyah mengasapkannya di atas asap kemenyan yang sudah tersedia di tempat bara.

“Malam ini Mak Yah akan kerjakan yang dua orang ni. Sekarang Mak Yah nak bersihkan diri kamu tu dulu. Banyak sangat sial majal dalam diri kamu ni…” Wanita separuh abad itu bangkit dan berjalan ke sebuah bilik di hadapan mereka. Seketika dia keluar dengan sehelai kain kuning lalu menghamparkannya dan memberi isyarat supaya Jasmin duduk di atasnya.

Asal mula tatkala mula

Minta pulang pulih seperti sediakala

Kejut jaga tatkala lena

Apa alamat apa tanda apa bala

Hei…! Petala langit petala bumi

Angin digerak semangat diangkat

Bertitih asal usul jiwa pusaka

Pusaka ayah pusaka bonda

Minta pulih minta beredar

Semua sakit pening jiwa lara

Sial majal semua lalu

seperti sirih pulang ke gagang

seperti keris pulang ke sarung.

Itulah sebahagian jampi serapah dan mentera yang sempat ditangkap maksudnya oleh Jasmin. Yang selebihnya tidak difahaminya. Kemudian Mak Joyah mengurut-ngurut belakang Jasmin dengan menteranya itu. Setelah tiga kali dia berhenti dan memusingkan pula badan Jasmin. Kemudian mereka berhadapan muka. Bau sirih melalui pernafasan orang tua itu hampir membuatkan Jasmin termuntah. Dia menahan nafasnya sebaik mungkin supaya tidak tercium bau sirih yang memualkan itu.

Kemudian Mak Joyah mengambil sebotol air yang memang telah tersedia di sebelahnya. Dia menjampi air itu dan memberikan kepada Jasmin.

“Ambil air ini, campurkan dengan sebaldi air lain. Pukul dua belas malam nanti kau mandilah dengan air ini.” Jasmin mengambil air itu. Kemudian tujuh biji limau purut dan tujuh jenis bunga pula dijampi. Limau dan bunga itu untuk mandian tepat jam dua belas malam selama tiga malam.

“Jangan susah hati, sekali kena saja habis dia!”Ucap Mak Joyah dengan begitu yakin. Jasmin pula mula tertarik dengan kata-kata orang tua itu.

“Mak cik yakin ke mereka akan bercerai?” Tanya Jasmin menduga.

“Jangan bimbang. Kalau kes ni dah sampai ke tangan mak cik biasanya tak sampai dua minggu nanti bercerailah mereka,” jawap orang tua itu. Nada suaranya penuh angkuh dan sombong. Namun Jasmin riang dan tersenyum mendengarnya. Selama ini dia tidak pernah yakin pada bomoh, tapi hari ini bukan setakat yakin, malah dia percaya seratus peratus pada kenyataan yang tidak pasti itu.

Selepas dua hari di kampung Mariam, akhirnya Jasmin pulang ke Kuala Lumpur dengan hati berbunga riang. Barang-barang yang dibawa dari rumah Mak Joyah disembunyikan dalam almari pakaiannya. Dia tidak mahu Farid tahu apa yang sedang diusahakannya. Bunga dan limau yang sudah siap dijampi di letakkan di bilik air. Sekejap lagi dia akan mandi bunga dan berlangir limau untuk mencukupkan syarat yang diberikan. Seketul kemenyan diletakkan di muka pintu rumah, supaya Farid melangkahnya setiap pagi dan petang. Kata Mak Joyah, kalau Farid sudah melangkahnya dia tidak akan melangkah ke tempat lain lagi. Hati dan perasaannya akan melekat di rumah itu.

Jasmin mandi sambil menyanyi-nyanyi. Malam ini kalau Farid ‘berkehendak’kan layanannya dia akan melayan Farid dengan hati senang. Dia tidak akan menolak permintaan Farid. Dia akan melayannya sebagaimana mereka baru kawin dulu. Itu janjinya. Kemudian dia senyum lagi. Air bunga yang sudah dicampur dengan perahan limau purut di gosok-gosokkan ke badannya. Kulitnya masih tegang dan licin. Setiap hari dia memanjakan kulitnya itu dengan losyen pelembut kulit. Sebulan sekali pula dia akan ke salun untuk mandi susu dan sauna. Dia rasa, dia masih mampu melayan kehendak batin Farid dengan baik. Farid tak perlukan wanita lain. Dia masih sihat dan masih mampu. Dia belum menopaus lagi…

“Mama, ada call!”Laung anak sulungnya Faizul.Jasmin mempercepatkan mandinya dan mencapai tuala lalu keluar dengan tergesa-gesa. Faizul sudah menyambungkan panggilan itu ke biliknya. Dia mengangkat gagang telefon dan melekapkan ke telinganya.

“Min, abang ni…bila Min balik?”

“Baru saja bang. Abang kat mana ni ?” Tanya Jasmin sengaja melunakkan suaranya untuk memikat hati Farid.

“Abang masih kat office lagi. Ni ha, abang nak beritahu Min abang tak dapat balik malam ni. Abang terpaksa balik ke rumah Zura. Ibu dan ayahnya baru sampai dari kampung. Tak sedap pulak kalau tak jengah. Besok abang balik. Okey Min ya, bye!” Farid meletakkan gagang sebelum sempat Jasmin menyoal apa-apa.

Jasmin terkebil-kebil. Rasa hampa dan kecewa mencengkam teluk rasa. Langkah pertamanya telah gagal. Sial! Makiannya semakin memberat di dada. Dengan longlai dia menyarungkan baju dan turun ke bawah untuk menemui anak-anaknya.

Di meja makan, Mak Inah sudah pun menyiapkan makan malam untuk mereka. Jasmin memang lapar, tapi seleranya hilang sama sekali. Kata-kata Farid tadi telah mengenyangkannya.

“Puan tak makan?” Tanya Mak Inah dengan hormat. Dia takut melihat muka masam majikannya itu.

“Tak apalah Mak Inah. Saya dah kenyang. Suruh saja budak-budak tu makan,” jawap Jasmin lemah. Mak Inah memanggil Faizul dan adik-adiknya untuk makan. Tanpa disuruh Faizah, Fazwan dan Fazlina bangun mendahului abangnya. Mak Inah pula mendukung Faiz yang baru berusia tiga tahun itu. Anak itu terlalu manja dengan Mak Inah daripada dengan Jasmin sendiri.

“Eh! Ada sotong goreng berlada. Macam kat rumah ummi ya bang, ” kata Fazlina kepada abangnya Faizul. Faizul dan yang lain-lainnya mengangguk. Mereka berebut untuk mencedok masakan itu. Jasmin tersentak dengan kata-kata Fazlina.

“Ummi mana ni?” Jasmin membeliakkan matanya dengan marah. Dia memandang anak-anaknya satu persatu dan akhir sekali kepada Mak Inah.Mak Inah tunduk diam. Wanita itu tidak berani berkata apa-apa. Namun, Jasmin tahu Mak Inah tahu apa maksud kata-kata anaknya tadi.

Mak Inah diam membatu. Tidak berani bertentang mata dengan majikannya. Memang dia sudah beberapa kali dibawa ke rumah Azura. Dan dia suka sekali dengan pekerti isteri muda majikannya itu. Lembut dan pengasih.

“Ibu Zura. Kat sana kan mama, ada seorang adik yang sangat comel. Kata babah itu juga adik Ina. Ibu tu baik tau ma. Dia masakkan kami masakan yang best-best.Seronok kat sana,” jawab Fazlina. Walaupun baru berusia lima tahun, tapi kepetahannya mengalahkan kakaknya Faizah yang sudah berusia sembilan tahun. Jasmin mengetap bibir dengan geram. Dia meneliti wajah anak-anaknya satu persatu.

“O…kamu semua ke sana ya? Berapa kali mama cakap, mama tak suka kamu semua ke sana. Berani kamu engkari perintah mama ya!?”

“Bukan salah kami. Babah yang bawa kami ke sana,” Faizul yang sulung cuba membetulkan keadaan. Dia tak sanggup melihat kemarahan mamanya. Adik-adiknya tidak boleh menjadi sasaran kemarahan itu.

Jasmin terdiam. Betul juga kata Faizul itu. Kalau Farid tidak membawanya tentu budak-budak itu tak tahu nak ke sana. Dia semakin terluka. Mula-mula Farid, kini anak-anaknya yang dituba dengan kasih Azura.Mereka sudah pandai memuja dan memuji wanita itu di hadapannya. Sungguh licik dan licin sekali wanita itu merampas kasih suami dan anak-anak darinya. Dadanya mula panas. Jiwanya mula memberontak. Kalau Farid ada, dia akan melepaskan geramnya kepada lelaki itu. Dia tidak mahu kehilangan kasih anak-anaknya, setelah dia hampir kehilangan kasih Farid.

Malam itu Jasmin tidur beralas api cemburu dan geram. Bayangan wajah Farid dan kemesraannya Azura menghantui fikirannya hingga dia tidak mampu melelapkan matanya sampai pagi. Dia menghitung nasib duka yang menimpa dirinya. Dia mengira dirinya paling malang dan tidak berguna lagi.

Keesokannya ketika Jasmin sampai ke pejabat, dia cuba mengelak dari bertembung dengan Mariam. Dia tidak mahu Mariam tahu kegagalannya menjerat Farid malam tadi.

Mariam pula tidak berani menegur bosnya bila melihat wajah muram wanita itu sejak sampai di pejabat. Dia tahu mood Jasmin tak baik hari itu. Sarang tabuan jangan dijolok. Harimau yang tidur jangan dikejut. Mariam membuat kerjanya tanpa sepatah kata!

Pukul dua belas tengah hari, tanpa disangka-sangka Jasmin menerima panggilan telefon dari Farid yang mengajaknya makan tengah hari bersama. Hati yang kecewa sedikit terubat. Sudah lama mereka tidak makan bersama. Apa mimpi Farid mengajaknya? Adakah mentera Mak Joyah sudah mengena?

Suasana di Restoren Delima agak sibuk kerana waktu makan tengah hari sudah tiba. Ramai kaki tangan kerajaan dan swasta yang bekerja di sekitar restoren itu mengambil peluang untuk mengisi perut.

“Dah lama abang sampai?” Tanya Jasmin cuba berlagak mesra, ketika didapati Farid sudah sedia menunggunya di sebuah meja.

“Baru saja. Min nak makan apa?” Tanya Farid pula setelah Jasmin duduk.

“Apa-apalah bang,” kata Jasmin dengan senyum. Farid memanggil pelayan dan membuat pesanan dua pinggan nasi beriani dan dua gelas fresh orange.

“Apa mimpi abang ajak Min makan ni?” Jasmin saja menduga.

“Saja abang nak makan dengan Min. Dah lama kita tak makan tengah hari bersama macam ni. Yalah kita sama-sama sibuk. Ada saja appoinmentdengan client.Hari ini abang free, abang ajaklah Min keluar makan. Min tak suka?,” tanya Farid dengan senyum serta merenung tepat ke mata Jasmin. Dengan cepat Jasmin menggelengkan kepala dan tersenyum dengan senang.Tiba-tiba dia merasakan ada satu kelainan pada cara renungan Farid kali ini. Dia terasa kasih yang dulu manis dan syahdu kini menjalar dalam diri dengan kerinduan yang mendalam. Inikah namanya cinta?

Setelah pesanan makanan sampai, Jasmin makan dengan penuh selera.Dia baru teringat bahawa malam tadi dia tidak menjamah makanan dan pagi tadi pula dia malas nak bersarapan.

“Malam ni abang balik tak?”

“Eh baliklah. Tak kan tak balik…”

“Manalah tahu. Kot dah lupa nak balik. Maklumlah…” Jasmin tidak menghabiskan kata-katanya. Dia sengaja cuba menggoda Farid.

“Apa Min cakap ni. Abang tak pernah lupakan Min. Min tu yang saja nak jauhkan diri dari abang. Bila tidur, Min suka letak bantal peluk di tengah-tengah. Seolah-olah abang kahwin dengan bantal tu!” Jawap Farid dengan ketawa. Jasmin mencubit Farid.

“Eh! Ada ketam terlepas dari menu!” Sekali lagi ketawa pecah berderai. Dada Jasmin mula rasa lapang. Sah! Jampi Mak Joyah telah menjadi. Itu belum lagi Farid melangkah kemenyan yang diletakkan di muka pintu. Senyum Jasmin semakin lebar. Dia rasa kemenangan akan bersamanya tidak lama lagi. Dan dia benar-benar teruja!

Dia melilau mencari Mariam ketika sampai di office. Dia nak sampaikan berita gembira ini kepada Mariam. Dia nak ucapkan terima kasih kerana susah payah Mariam membawanya berjumpa Mak Joyah.

“Baguslah tu puan. Saya tumpang gembira. Mudah-mudahan puan akan berjaya,” jawab Mariam setelah Jasmin menceritakan semuanya.

“Saya gembira sangat Yam. Terima kasih pada awak. Saya dah dapat rasakan perubahannya yang mendadak. Tiba-tiba dia menjadi begitu mesra dengan saya,” ujar Jasmin dengan mata yang bercahaya. Senyumnya memekar di bibir.

Seperti yang sudah dirancang dalam hatinya, malam itu Jasmin melayan Farid dengan penuh rela dan mesra. Dalam remang lampu tidur, dia tersenyum puas mendengar dengkuran kecil Farid.

Begitulah berlaku dalam masa dua minggu itu. Apa yang Jasmin harapkan hampir berlaku. Farid banyak menghabiskan masa di rumahnya bersama anak-anak. Malah Farid langsung tidak pulang ke rumah Azura lagi. Jasmin rasa cahaya kemenangan sedang memancar ke arahnya.Dendam kesumatnya terhadap Azura hampir berbalas. Senyumnya saban hari saban melebar. Namun…

“Min, abang kena balik ke rumah Zura. Dah hampir dua minggu abang tidak ke sana. Tadi Zura telefon, si Hana demam. Zura dah bawa pergi klinik, tapi tak baik juga. Mungkin Hana rindukan abang…” Ujar Farid selepas makan malam bersama Jasmin dan anak-anak. Hati Jasmin tiba-tiba cuak. Wajahnya berubah masam.

“Alah…itu hanya alasan saja.Abang janganlah bimbang sangat. Budak tu tak apa-apa. Bukan anak yang rindu, tapi maknya yang dah gatal,” jawap Jasmin dengan sinis. Kata-kata Jasmin membuatkan hati Farid rasa kurang senang.

“Kenapa Min cakap macam tu?”

“Kenapa pula? Salahkah?” Jasmin meneliti wajah suaminya.

“Min tak patut cakap Zura macam tu, dia tu sabar dan bertolak ansur orangnya. Apa yang abang buat padanya dia tidak pernah merungut. Hana pula terlalu rapat dengan abang. Abang patut balik untuk tengok mereka. Mereka tu tetap tanggung jawab abang.Sama dengan Min dan anak-anak di sini.”

Wajah Jasmin masam mencuka. Payah untuk dia menerima bahawa mentera Mak Joyah gagal mengikis ingatan Farid kepada bini mudanya itu seratus peratus. Cemburu dan sakit hatinya kembali mencengkam rasa.

Ketika Farid meninggalkannya, dia tidak menoleh pun ke arah Farid. Hatinya kembali berdarah. Luka yang baru nak mengering, kini bernanah semula. Baru dia bercadang dan menyimpan hajat untuk memberi kata putus kepada Farid supaya membuat pilihan dan perhitungan kasih antara dia dan Azura. Kini sebaliknya pula berlaku. Farid telah hilang di sebalik sepi malam. Farid sudah kembali kepada isterinya…

“Tak apalah, hari ini aku gagal. Esok belum tahu lagi. Aku akan cari bomoh yang lebih handal. Aku akan bayar berapa pun harganya. Wang bukan segalanya. Kau jaga Farid!” Itu bisikan iblis yang mula memujuk hati nubarinya.

“Mak Inah!” Laungnya kepada pembantu rumah yang sudah sekian lama bekerja dengan setia itu. Sunyi. Tiada jawapan. Tiada juga derapan kaki wanita seperuh umur itu. Hatinya bertambah geram.

“Mak Inah! Mak Inah!!” Laungnya lagi. Tidak lama kemudian, baru dia nampak kelibat wanita itu berlari-lari ke arahnya.

“Mak Inah ke mana? Pekak ke? Saya panggil berkali-kali…!”

“Minta maaf puan, Mak Inah di bilik tadi. Mak Inah tengah solat Isya’,” jawap wanita itu dengan wajah ketakutan dan terkejut. Jasmin terdiam. Dia mula rasa bersalah kerana melepaskan geram dan kemarahannya kepada pembantu rumah yang setia itu.

Akhirnya dia bangun dan meninggalkan wanita itu. Mak Inah pula terkebil-kebil kerana tidak tahu kenapa dia dipanggil. Namun, dia tidak sedikit pun berkecil hati kerana sudah faham benar dengan angin satu badan majikannya itu. Dia sudah lali dengan jerit pekik Jasmin. Semuanya terpaksa ditelan demi mencari rezeki untuk menyambung kehidupannya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.