Home Novel Keluarga KUSERAHKAN KASIH
KELOPAK KASIH YANG TERSIAT (BHG 2)

Pukul 5-30 petang, semua staff bersiap untuk meninggalkan pejabat. Ada yang akan terus pulang ke rumah, ada pula yang mempunyai agenda tersendiri samada dengan keluarga atau rakan-rakan. Tidak kurang juga yang tidak mampu mengelak tugas, terpaksa meneruskan assignmentyang diberi demi mengejar deadline yang mendekat.

Intan masih di mejanya. Masih banyak yang perlu disiapkan.

“Belum siap ke Puan Intan oi!” Tegur Nora yang sudah menyandang begnya.

“Tinggal sikit saja lagi. Mungkin sekejap lagi siaplah.”

“Kalau macam tu, aku balik dululah. Ada kawan aku tunggu di bawah tu,”

“Kawan lelaki ke kawan perempuan?” Tanya Intan tanpa menoleh.

“Aku mana ada kawan lelaki. Malas! Lelaki semuanya penipu dan pembohong!”

“Hai..tak sunyi ke hidup sendirian…?” Intan cuba berjenaka.

“Lebih baik hidup sendirian dari menumpang kasih suami orang ,” balas Nora dengan ketawa.Intan terdiam. Hajatnya untuk mengenakan Nora tidak tercapai. Sebaliknya dia pula yang terkena. Sindiran Nora itu membuatkan dia terdiam dan menyengih sambil melambaikan tangan. Dalam senyum dia keliru. Benarkah hidup ini sepi tanpa lelaki? Atau kehadiran lelaki hanya mengundang bala?

Setengah jam kemudian, ‘POLIGAMI- KELOPAK KASIH YANG TERSIAT ’ sudah siap secara keseluruhannya. Intan terus on-linekan artikel itu kepada Encik Helmi. Dia menarik nafas lega. Harap-harap tidak ada yang tersilap lagi. Dan harap-harap skop itu mampu menarik minat pembaca.

Usai semuanya. Intan berkemas untuk pulang. Dia membelek jam di tangannya, pukul 6-45 petang. Dia lalu mencapai beg dan berjalan keluar dari pejabat menuju ke kereta dengan tenang. Kemudian dia memandu keretanya dengan penuh hati-hati. Kuala Lumpur dan kesesakannya memang amat membosankan. Kebosanan itu kalau tidak mampu dikawal akan menjadi punca tekanan yang amat kuat. Dan tekanan itu pula akan menjadi sebuah kengerian kepada penduduk bandar yang hidup mengejar masa.

Lagu-lagu nyanyian penyanyi Alleycats menemaninya sepanjang perjalanan itu. Dia menghayati lagu-lagu yang irama dan liriknya cukup menyentuh rasa itu. Sekali-sekala dia ikut menyanyi.

Sekuntum mawar merah sebuah puisi

Untuk gadis pilihan

Oo..o..o…

Telefon berdering. Intan mengecilkan volume kaset yang terpasang. Dia mencapai telefon bimbitnya dan melihat nombor yang tertera. Kemudian menekan butang ‘yes’ untuk menjawab panggilan. Suara Jasmin bergema di hujung telinga.

“Hello Intan, aku ni. Kau di mana ni?”

On the way balik rumah.Kau kat mana?”

“Aku di KLCC ni. Boring sangat. Boleh aku jumpa kau sekejap?”

“Datanglah ke rumah aku,” jawab Intan.

“Alah…malaslah. Kau datanglah ke sini Intan. Kita makan malam bersama,”

“Minta maaflah Min, aku tak boleh ke sana.Tak ada izin untuk keluar rumah hari ini.”

“Telefonlah datuk kau tu. Minta izin,” rengek Jasmin bersungguh.

“Sebenarnya aku tak ada mood nak keluar hari ini. Aku penat. Seharian aku tak rehat langsung. Kalau kau nak jumpa aku, datanglah ke rumah. Kau tahulah rumah aku bukannya ada sesiapa. Kita boleh melepak sampai pagi. Dapat sembang sambil baring-baring. Kalau kau nak tidur rumah aku pun tak boleh, tak ada masalah,”

“Nanti aku fikirkan dulu. I’ll call you back, bye!”

Talian putus. Intan senyum. Jasmin, seorang wanita korporat yang berjaya dan mampu menyaingi lelaki dalam dunia perniagaan. Namun dalam meniti kehidupan sebagai wanita, Jasmin satu kapal dengannya. Mereka berdua berada di dunia yang sama, dunia poligami!

Betul kata Nora. Kalau ditubuhkan persatuan poligami seMalaysia, dia tentu akan dilantik menjadi pengerusinya. Pertama, kerana dia sendiri melalui pengalaman itu. Kedua, kerana kebanyakan teman-teman di sekelilingnya adalah orang-orang yang terlibat dengan poligami. Dia sering dijadikan pakar rujuk untuk ketika mereka dilanda masalah dalam rumah tangga. Intan sendiri hairan. Kenapa rakan-rakan yang mempunyai masalah dalam rumah tangga mencarinya sebagai penasihat. Baik yang sudah dimadukan atau yang belum dimadukan, semua mencarinya. Seolah-olah dia pandai sangat memberi nasihat.

Beberapa bulan lepas, Kak Zaiton jiran lamanya semasa di Kampung Baru menelefon dengan suara cemas merayu. Wanita yang sebaya dengan kakak sulungnya di kampung, minta Intan datang segera.Mustahak katanya. Dengan tergesa Intan pergi ke rumah Kak Zaiton.Sampai di sana, dia tidak disambut dengan tawa riang macam selalu.Sebaliknya oleh raungan dan tangisan wanita itu.

“Abang kamu Intan….”

“Kenapa dengan Abang Mud?”

“Dia sudah berubah laku. Dari muda tidak pernah buat hal.Dah tua-tua ni baru nak menggatal. Lelaki, macam mana kita jaga dan belai pun tetap akan buat perangai,”

“Apa yang sebenarnya berlaku kak?”

“Dia berkepit dengan perempuan Indon. Siang malam tak ingat rumah tangga. Bila akak tanya, dia melenting marah. Anak-anak tak boleh tersilap sikit, dimaki hamun sesuka hati.Dulu dia tak macam ni Intan. Dia jarang berkasar dengan kami,”

“Kak, sabarlah. Mungkin itu semua fitnah orang…” pujuk Intan. Dia tidak mahu Kak Zaiton cepat melatah. Dalam dunia ada bermacam cara orang mahu menyakiti hati orang lain. Umpat keji dan kutuk mengutuk dan laga melaga seperti perkara yang biasa saja dalam masyarakat hari ini.

“Bukan fitnah lagi Intan. Akak sendiri dah pergi jumpa perempuan tu. Dia dah mengaku. Mereka sedang merancang nak kahwin dalam masa terdekat ini. Ya Allah! Intan…tak sedar diri betul orang tua tu…!” Kak Zaiton mengesat air matanya yang berderai laju.

“Tolonglah Intan…tolonglah….apa yang akak nak buat ni.?” Rayu Kak Zaiton. Intan mengeluh lemah. Apakah yang mampu ditolongnya. Siapalah dia dalam menangani masalah rumah tangga orang lain.

“Apa yang boleh saya tolong kak?”

“Tolonglah nasihatkan abang kamu tu.Dia tu dah tua Intan.Beberapa bulan lagi nak pencen. Perempuan tu cuma inginkan duit dia saja. Sekarang ni pun, dia dah pandai keluarkan duit simpanan di bank tanpa pengetahuan akak. Itulah simpanan kami untuk hari tua Intan. Akak takut dia lupa diri,”

“Siapalah saya ni nak nasihatkan dia kak.Silap-silap dia kata saya ni memandai-mandai pula. Suka campur urusan orang lain. Saya ni orang luar. Lebih elok kalau akak berbincang dengan keluarga abang Mud dan keluarga akak. Mungkin mereka lebih berhak untuk menegur. Dalam masa yang sama, akak kena banyak sabar. Kalau akak menangis macam ni, tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya akan menambahkan lagi masalah yang ada. Akak akan jatuh sakit nanti. Tenangkan hati kak. Banyakkan berdoa dan bersembahyang. Minta pada Allah agar diberikan petunjuk, ” pujuk Intan. Kak Zaiton semakin histeria dengan kata-kata Intan itu. Dia menangis mengongoi-ngongoi macam anak kecil kehilangan ibu.

Begitulah nasib wanita.Tangisan adalah teman akrab. Air mata adalah rakan karib. Setiap kali berdepan dengan masalah, tangisan yang tiba dulu sebelum yang lainnya. Namun, tangisan itu kadang-kadang tidak mampu menyekat hajat yang sudah melekat di hati suami. Kalau mereka kata nak kahwin, menangis macam mana pun suami tetap nekad. Kalau tidak secara terang, dia akan buat secara gelap. Mereka akan bernikah secara senyap-senyap. Lepas itu bermulalah episod ‘bohong sunat’ yang berpanjangan.

Hati lelaki bernama suami tidak sama dengan hati wanita bernama isteri.

Begitulah apa yang terjadi kepada Kak Zaiton dan Abang Mud. Wanita yang setia susah senang bersama dari muda hingga ke tua itu, akhirnya dimadukan juga. Seminggu Kak Zaiton terlantar di hospital kerana terkejut. Kurus kering badannya kerana melayan derita hati. Namun, Abang Mud yang baru menikah itu terus ketawa bahagia dengan isteri barunya seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Berseri wajahnya bersama semangat muda. Ibarat kambing tua yang baru mendapat rumput muda, hilang semua sakit giginya!

Kini airmata Kak Zaiton dah kering.Dia dah tak menangis lagi. Sebaliknya dia mencari kekuatan dirinya sendiri. Intan yang syorkan dia menghadiri sessi kaunseling yang dianjurkan oleh sebuah badan pertubuhan wanita.

“Akak tak mahu menangis lagi. Buat apa kita menangis dan merintih sedangkan mereka bahagia dengan hilai ketawa. Akak kurus kering, mereka gemok gedempol. Sekarang akak nak mulakan hidup baru dengan anak cucu. Abang Mud…biarlah dia. Sekurang-kurangnya ada orang baru yang menjaga makan minumnya. Dapatlah akak menziarahi anak-anak dan tinggal lama sikit dengan mereka,”

“Baguslah macam tu kak.Jangan akhiri hidup ini dengan airmata. Kita masih ada jalan yang panjang sementara menanti hari mati. Ibarat kata orang, jangan mati sebelum mati. Bagaimanapun, akak masih isteri Abang Mud. Akak kena minta izin walau ke mana akak nak pergi. Hukum tetap hukum kak,”

“Itu akak tahu. Akak dah cakap dengan dia. Dia kata, akak boleh pergi ke mana yang akak suka asal akak tidak menyalahi undang-undang dan hukum. Sebenarnya dia lagi suka kalau akak tak ada Intan. Senang dia nak duduk di sana siang malam di sana tanpa perlu fikirkan akak…”

Itulah sekelumit peristiwa yang sering berlaku kepada wanita. Intan juga wanita. Jadi dia faham perasaan seorang wanita lain. Dia faham perasaan Datin Rosnah ketika Datuk Amar Kamarul mengambil keputusan untuk mengahwininya. Dia dapat rasakan sesak nafas dan kencangnya jantung Datin Rosnah ketika itu. Tidak mustahil sampai kini namanya menjadi racun kepada Datin Rosnah dan keluarganya.

Dia juga dapat rasakan keperitan sakitnya bila hak kita diambil orang. Dia sudah merasakannya ketika Datuk Amar mengambil keputusan menambah bilangan yang sedia ada. Dari satu jadi dua. Dan dari dua kini jadi tiga….Dia merasakannya.

Betulkah kata orang, musnahnya seorang wanita dek wanita juga? Dan betulkah wanita yang bermadu itu musnah hidupnya? Entahlah. Lain orang lain pendapatnya. Bagi Intan, dia rasa wanita itu bukan musnah kerana bermadu. Musnahnya wanita itu kerana sikapnya sendiri. Sikap yang negatif terhadap kehidupan dan pemikiran yang pesimis terhadap masa depan. Bulan yang terang sekali pun, kalau dirasakan gelap akan gelaplah ia. Dia menganggap setiap rasa dan kata-kata yang berdetik di dalam hati itu adalah doa. Kalau kita asyik memikirkan derita, maka deritalah kita selamanya. Semuanya terletak pada persepsi sendiri. Orang lain tidak akan mampu menolong kita selain kita sendiri.

“Jadi kau mahu wanita itu sentiasa senyum walaupun suaminya mengepit perempuan lain? Kau mahu mereka ketawa walaupun suami sudah membelah kasih?”

“Senyum bukan semestinya kita merelakan. Tapi lebih baik senyum daripada meraung-raung. Kerana itu hanya akan menjatuhkan martabat kita sebagai wanita. Apa kata kalau kita berbincang dengan penuh toleransi dan cuba memahami keadaan dan mengkaji sebab ianya berlaku. Bukankah baik kalau kita tidak meletakkan semua kesalahan kepada orang lain. Kadang-kadang kaum kita juga ada silapnya. Dan kesilapan itu memberi lorong kepada suami untuk mencari cinta baru,” kata Intan perlahan.

“Aku kurang faham dengan cara pemikiran kau Intan. Terlalu sabar dan terlalu hambar..” Itu kata Nora. Mungkin kenyataan Nora itu benar. Tapi itulah dirinya. Apa yang penting baginya ialah dia tidak melanggar hukum Allah mengenai poligami dan telah menjalankan hak dan tanggung jawab yang terbaik sebagai isteri. Berhubung dengan hal ini Allah telah berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang maksudnya : “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ( Allah ) ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan mesra tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir,”


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.