Home Novel Keluarga KUSERAHKAN KASIH
INTAN: SEDANGKAN PANTAI LAGI BERUBAH

Berpoligami tidak lagi menjadi perkara asing bagi masyarakat Islam di Malaysia hari ini. Walaupun ada segelintir wanita yang menentang sekeras-kerasnya hal ini dari berlaku, namun dengan segala tipu helah dan kecerdikan suami poligami tetap berlaku.

Samada rela atau tidak wanita yang bergelar isteri mesti menerimanya kerana itulah suratan yang sudah tertulis untuknya. Namun, suamikah yang bersalah jika hati mula merindui wanita lain sedang di rumah ada isteri dan anak yang berderet ?

“Suami yang bosan dengan keadaan isteri yang kusut masai, kuat berleter dan malas dalam melakukan hubungan seks dengan suami atau acuh tak acuh dalam melayan kehendak zahir batin suami, biasanya lebih terdedah kepada dunia poligami. Dalam satu kajian, sebab-sebab ini lebih tinggi peratusnya dari sebab-sebab yang lain,” kata Tuan Haji Amin, Pengarah Hal Ehwal Keluarga Islam, Selangor.

Begitulah nasib para suami di Malaysia. Mereka terabai dan diabai oleh isteri sendiri yang sibuk dengan kerjaya atau anak-anak. Suami yang malang mencari jalan keluar bersama wanita lain melalui poligami. Isteri lebih malang kerana menangisi nasib yang mencabar maruah sendiri…!

Itulah sebahagian dari isi kandungan rencana ‘POLIGAMI – KELOPAK KASIH YANG TERSIAT’ keluaran September 2007 majalah BICARA KASIH. Seperti yang diduga, ianya telah mendapat sambutan yang cukup hangat dari pembaca. Hari pertama ia berada di pasaran, telefon di meja Intan berdering tak henti-henti.Naik lenguh Intan menjawapnya.

“Tak sangka Puan Intan ni pro-poligami. Belum pernah saya tahu dalam sejarah poligami di Malaysia, ada wanita yang menyokongnya,” kata seorang pemanggil lelaki yang mengenalkan dirinya Zack dari Kuala Lumpur.

“Siapa kata saya menyokong?”

“Tulisan puan membuktikannya. Puan seolah-olah menyalahkan wanita kerana mengabaikan tanggung jawab di rumah kerana pentingkan kerjaya. Dan tips yang puan berikan untuk mengembalikan kasih suami, seolah-olah memang suami-suami kehilangan perhatian isteri menyebabkan mereka menyerong ke tempat lain.”

“Itu pendapat awak. Saya menulis berdasarkan kajian yang saya buat melalui temubual dengan para suami. Bukan pendapat saya, tapi pendapat kebanyakan suami. Bagaimanapun, rencana itu terbahagi kepada dua bahagian. Bulan ini kami siarkan bahagian pertama, yang melibatkan hukum dan sebab berlakunya poligami. Dari segi hukum memang poligami tidak salah. Tapi jangan lupa, ada syarat dan caranya.Itu yang lelaki selalu abaikan. Berkahwin dua tiga mereka ikut sunnah Rasulullah, tapi memberikan tanggung jawab yang adil mereka tidak ikut pun cara Rasulullah,” kata Intan meningkah. Zack ketawa. Namun, Intan tahu lelaki itu sudah terkena. Ketawa lelaki mengandungi seribu makna.

“Terima kasih kerana puan begitu faham perasaan lelaki masa kini,”

“Saya memang faham, tapi jangan lupa membaca bahagian kedua rencana saya tu. Dan jangan pula Encik Zack melenting selepas membacanya,” kata Intan sebelum meletakkan gagang. Gagang telefon diletakkan semula di tempatnya. Namun tidak lama, telefon itu berdering semula. Intan terus mengangkatnya. Dia tahu itu mesti panggilan untuknya.

“Puan Intan? Pandai sungguh puan menyokong poligami. Puan tak rasa macam mana perasaan kami yang terlibat dengannya. Puan ni memang tak ada perasaan langsung. Sanggup puan menyalahkan wanita sebagai penyebab poligami? Tak terfikirkah puan, bahawa kaum kita sedang dianiaya dan diperlakukan sewenang-wenangya? Inilah yang selalu dikatakan, hancurnya hidup seorang wanita adalah kerana wanita juga. Puanlah orangnya yang cuba menghancurkan imej dan martabat kaum wanita!”Seorang wanita terus ‘menyerangnya’ tanpa sempat memberi salam. Dia senyum. Dia tidak mahu mudah melatah. Dia membiarkan saja perempuan itu melatah dan menghamburkan kemarahannya.

“Saya tidak mahu kata apa. Puan bacalah sambungan artikel itu seterusnya,” Intan meletakkan gagang. Kemudian dia tersenyum. Betul kata pujangga, pena seorang pengarang lebih tajam dari sebilah pedang. Kini dia rasa ramai yang sedang merana kesakitan dengan tikaman pedang tulisannya.

Betulkah poligami itu amat menyakitkan wanita dan menyenangkan lelaki? Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Dan kenapakah Allah memilih orang-orang tertentu untuk meletakkan takdirNya?

“Intan, saya rasa telahan saya mengenai isu ini benar. Saya rasa perlu ada satu ruangan khas untuk mengupas hal ini. Apa kata kalau awak menjadi penulis tetap untuk ruangan yang khas ini. Kita namakan ruangan : KELOPAK KASIH YANG TERSIAT,” kata Encik Helmi selepas melihat perkembangan positif yang sedang berlaku kepada ruangan baru itu.

“Tapi…apa yang nak saya tuliskan?”

“Awak jelajah seluruh tempat dan cari kes-kes poligami. Interview mereka mengenai pengalaman peribadi atau bagi peluang pembaca membuat pengakuan peribadi samada melalui telefon ataupun e-mail dan surat. Setiap bulan satu pengakuan akan disiarkan. Awak tentukan mana yang menarik. Saya rasa tentu rating pembaca akan bertambah lagi terutama pembaca wanita. Apa pendapat awak Intan?”

“Macam menyeronokkan bunyinya. Kalau macam tu, saya cuba,”

“Saya tidak mahu awak cuba. Ini skop tetap awak. Mulai sekarang, awak kena cari bahan yang sesuai. Bulan Oktober kita siarkan bahagian kedua. Kemudian kita buat nota kaki kepada semua pembaca yang mempunyai pengalaman berpoligami dan yang ingin berkongsi kisah dengan pembaca, boleh menghubungi kita,” kata Encik Helmi. Intan angguk perlahan. Tugas baru ini seperti mencabar kebolehannya. Ketika termangu-mangu berfikir itu, Nora menyentuh bahunya.

“Aku kan dah kata, kau sesuai untuk skop dan ruangan itu. Hanya kau Intan. Kerana kau yang melaluinya. Sekurang-kurangnya kau mampu menyelami perasaan pembaca,” ujar Nora. Intan cuba angguk. Ada juga kebenarannya kata-kata sahabatnya itu.

“Hujung minggu ni kau nak ke mana?” Tanya Nora setelah mendapati Intan terkulat-kulat menggigit hujung pen. Dia tahu kotak fikiran Intan sedang ligat bekerja.

“Hmm..rasanya tidak ke mana-mana. Kenapa?”

“Aku nak balik kampung. Kau nak ikut?”

“Apa mimpi kau kali ni?”

“Kenapa?”

“Biasanya kau tak pernah ajak aku balik ke kampung kau tu. Malah tak pernah cerita pun pasal keindahan dan keunikan kampung kau tu. Aku hanya tahu kau ni orang Perak. Perak kat mana tu, sikit pun teman tak tahu. Kat Parit ke..kat Dinding ke tak pernah kome cakap. Apa kome dah nak akhiri zaman janda ke.. ?” Usik Intan dengan loghat Perak. Nora ketawa, tercuit hatinya dengan gurauan Intan itu.

“Aku tunggu putera raja,”

“Hoi! Mana ada Cinderella seorang janda….”Jawab Intan dengan ketawa panjang. Nora ikut ketawa.

“Kau ikut sajalah. Mungkin kau boleh dapat cerita untuk ruangan baru kau tu…!” Kata Nora sambil berlalu meninggalkan Intan yang masih belum habis ketawa.

“Nanti aku minta izin datuk dulu!” Laung Intan kerana Nora sudah agak jauh darinya. Nora melambaikan tangan tanda setuju. Dia tahu sahabatnya itu tidak akan melangkah ke mana-mana tanpa izin Datuk Amar Kamarul. Intan seorang isteri yang taat. Nora kagum dengan pendirian Intan. Walaupun dia sering tersisih dari ‘keadilan’ pemerintahan Datuk Amar Kamarul, Intan tetap setia dan taat. Nora sendiri tidak sekuat Intan.

“Kak Intan! Ada call untuk kakak!” Laung Wati, gadis receptionist yang kecil molek itu. Intan kembali ke mejanya. Dia mengangkat gagang telefon.

“Assalamualaikum, Intan bercakap.Boleh saya tolong cik…”

“Walaikummussalam. Intan, ni aku ni…”

“Siapa?”

“Salina.”

“Salina….Cikgu Salina?”

“Ya. Cikgu Salina bt Ibrahim. Kau apa khabar?”

“Alhamdulillah, aku baik-baik saja. Ya Allah! Suara kau lain sangat, itu yang aku tak cam tu. Kau di mana ni?”

“Aku masih di Pulau Pinang. Aku dah baca artikel kau tu. Aku rasa kau tak adil dalam menentukan nasib kaum kita. Kau seolah meletakkan seluruh kelemahan kepada wanita. Hukum memang menghalalkan poligami. Tapi, hukum juga menentang poligami yang menyeksa wanita. Kau percaya lelaki berkahwin dua tiga atas dasar kemampuan diri mereka. Dari segi harta benda memang mungkin mereka mampu. Tapi dari segi keadilan menguruskan isteri-isteri…mereka menipu!” Suara Salina di hujung talian tiba-tiba tegang dan meninggi. Intan rasa ada kemarahan bergumpal dalam suara itu. Lalu dia terpaksa menggunakan cara yang terbaik untuk meredakan kemarahan itu. Api yang sedang marak tidak boleh disimbah dengan minyak. Sebaliknya ia harus disimbah dengan ais yang sejuk dan dingin.Kalau pun ia tidak mati, sekurang-kurangnya ia tidak merebak.

“Sali….sabar dulu. Jangan ikutkan hati kau tu. Aku tidak menyokong lelaki. Memang lelaki selalu benar dalam menentukan keputusan berpoligami. Lelaki memang berhak jika dia memenuhi syarat.Tapi, hak wanita juga tetap ada. Kau bacalah sambungan rencana itu bulan depan ni. Nanti kau tahu juga kesimpulan dari tulisanku itu. Ok, kita lupakan seketika tentang artikel itu. Macam mana keadaan kau sekarang? Masih mengajar di sekolah yang dulu?” Tanya Intan cuba mengalihkan perhatian Salina.

“Tidak. Aku sudah lama berhenti. Atas permintaan suami. Aku menjadi suri rumah sepenuh masa sejak beberapa tahun terakhir ini,”

“Zarul macam mana?”

“Itulah yang menekan perasaanku sekarang…”

“Kenapa pula? Orang sebaik Zarul, tidak mungkin terlibat dengan poligami. Aku kenal Zarul. Sejak kita masih di universiti, aku sudah kenal kamu berdua. Zarul orangnya penyayang dan penuh tanggung jawab,”

“Itu dulu Intan. Kini semuanya sudah berubah….”

“Apa maksud kau ni…?”

“Zarul sudah pandai main kayu tiga. Zarul sekarang bukan Zarul yang setia lagi. Dia mul a berubah Intan….berubah…” Tiba-tiba kedengaran suara Salina yang sebak. Dia menangis. Intan serba salah. Jika Salina berada di hadapannya, tentu dia boleh memeluk dan memujuknya. Tapi, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang terpisah jauh. Perbualan dan tangisan melalui corong telefon tidak mampu menjanjikan apa-apa reaksi fizikal selain gamitan simpati di nubari Intan.

“Sabarlah…aku tidak menyangka ini akan berlaku,” pujuk Intan perlahan. Hanya itu yang termampu dibuatnya.

“Aku akan ke KL minggu depan. Kalau kau ada masa aku teringin sangat nak berjumpa kau Intan. Ada banyak cerita yang akan kau tahu,”

“Baiklah, untuk kau aku akan luangkan masa aku. Aku akan tunggu kau. Sementara itu, kau bersabarlah dan berdoa pada Allah agar semuanya selamat,”

“Terima kasih Intan. Untuk sementara ni hanya kau yang tahu hal ini. Aku minta maaf kerana setelah sekian lama kita tidak berhubungan, kau terpaksa mendengar aku menangis..”

“Itu tak jadi masalah. Aku tetap aku yang dulu walaupun kehidupan kita sudah berubah. Kalau kau ada masalah, aku masih sedia membantu,”

“Sekali lagi terima kasih aku ucapkan. Aku malu pada kau Intan. Aku juga malu pada keluarga dan teman-teman yang lain. Selama ini aku begitu berbangga dengan Zarul. Aku agung-agungkan kebaikannya lebih dari segalanya. Rupanya…begini jadinya…”

“Sudahlah. Kita hanya manusia biasa. Sedangkan pantai lagi berubah, inikan pula hati lelaki seperti Zarul.”

Salina meletakkan gagang dengan janji akan bertemu Intan minggu hadapan. Intan duduk termangu. Rupanya masih ramai wanita di luar sana yang teronta-ronta mencari tempat meluah rasa. Salina misalnya. Dia tidak menyangka sama sekali, Salina juga sedang bergelut dengan detik sukar bagi seorang isteri ketika hadirnya orang ketiga.

Zarul yang dikenalinya adalah seorang lelaki yang terlalu baik. Sepanjang yang dia tahu, Zarul bukan saja berpangkat besar, malah juga mempunyai keperibadian yang tinggi. Tidak sombong dan tidak meninggi diri. Sesiapa saja akan senang bila bergaul dengannya. Mereka suami isteri memang pasangan yang cukup sepadan. Rupa paras, pendidikan dan sifat yang seiras dan sepadan. Kenapa Zarul berubah ?

“Saya mencintai dia sepenuh hati Intan. Tidak akan ada wanita lain yang wujud di hati saya melainkan dia. Salina akan tetap kekal di hati dan jiwa saya sampai ke akhir hayat. Cinta saya akan utuh seutuhnya. Tidak akan berubah walau sekuat mana badai yang melanda.” Intan masih ingat kata-kata Zarul semasa di kampus. Masa itu cincin berlian tanda ikatan pertunangan sudah pun tersarung di jari Salina. Zarul yang minta semuanya dicepatkan. Dia tahu Salina mahasiswi yang mempunyai saham yang tinggi.Dia takut Salina dikebas orang. Walhal, keluarga Zarul tidak begitu menyukai Salina.Alasan mereka kedudukan keluarga Salina dan keluarga mereka tidak sama. Namun Zarul tidak peduli. Zarul tetap dengan keputusannya. Jika keluarganya tidak mahu menghantar rombongan meminang Salina, Zarul akan serahkan tugas itu kepada orang lain.

Lalu dengan berat hati, keluarga terpaksa akur dan mengikut kehendak Zarul. Pertunangan mereka tidak lama. Sepatutnya dua tahun. Tapi selepas masing-masing graduated dan mempunyai pekerjaan, jangka masa itu disingkatkan. Semuanya kerana Zarul takut kehilangan Salina. Zarul bimbang Salina berubah. Dia tahu setelah menjadi guru, Salina akan mempunyai lebih ramai peminat. Setiap kali dia mendengar orang memuji Salina, hatinya bergetar. Dia tidak tahan mendengar lelaki lain memuji kecantikan, kebaikan dan keluhuran budi Salina.Zarul kuat cemburu. Kata orang cemburu tandanya kasih dan cinta begitu mendalam. Akhirnya mereka telah disatukan dalam majlis perkahwinan yang meriah. Belum ada majlis semeriah itu berlangsung di kampung Salina pada masa itu.

Tapi, kenapa kini lain pula ceritanya. Apa salah Salina hingga Zarul sanggup menggadai kasih dan cintanya? Keinginan untuk tahu akhirnya memenuhi ruang hatinya. Tidak sabar rasanya menanti hari yang dijanjikan.

Sepanjang malam itu Intan masih tidak mampu melupakan kesedihan yang diluahkan Salina siang tadi. Dia mengumpulkan seluruh simpatinya kepada Salina. Dalam bermenung-menung itu, pintu rumah diketuk beberapa kali. Intan berjalan ke pintu. Dia tahu siapa yang datang.

“Apa khabar sayang?” Tegur Datuk Amar Kamarul, ketika Intan membuka pintu. Intan segera mencium tangan suaminya. Dan sebagai balasan, Datuk Amar Kamarul menghadiahkan sebuah ciuman di dahi dan pipinya. Hatinya berbunga riang.

“Sayang tak keluar ke malam ni?”

“Kita tunggu tuanku tiba,”

“Tak ada assignment penting?”

“Ada. Terlalu penting, ”

“Dengan siapa? Apa topiknya?”

“Dengan Datuk Amar Kamarul. Kupasan mengenai sistem poligami yang tidak teratur di Malaysia,” jawab Intan dengan senyum manja. Datuk Amar Kamarul tahu isterinya bergurau. Dengan cepat dia cuba mencapai tangan Intan. Intan melarikan diri. Datuk Amar Kamarul mengejarnya. Intan tidak mahu mengalah. Dia berlari di sekeliling ruang tamu. Mereka kejar mengejar. Mesra dan ceria. Hingga akhirnya tangan Intan dapat ditangkap juga. Datuk Amar Kamarul memeluk Intan seeratnya. Kemudian dia membelai hujung rambut isterinya yang terjuntai di dahi.

“Maafkan abang sayang. Abang selalu mengabaikan sayang,” Datuk Amar Kamarul berbisik dengan suara perlahan. Seperti ada rasa kesal yang menebal di lubuk hatinya. Dia mengabaikan tugasnya sebagai suami dan ayah. Dia tidak pernah berlaku adil pada Intan dan anak-anaknya. Namun, dia hanya setakat sedar, tapi tidak mampu mengubah keadaan. Rasa bersalah begitu mencengkam jiwanya sejak akhir-akhir ini. Alangkah banyak dosanya terhadap Intan. Intan membalas pelukan suaminya. Dia seakan mendapat kekuatan baru setiap kali suaminya muncul di depannya. Dia seakan-akan berteduh di bawah satu rimbunan kasih yang begitu segar. Dia seperti sedang berenang di lautan madu yang manis dan lazat sekali.

“Abang dah makan?” Tiba-tiba Intan cuba mengalihkan suasana. Dia tahu jika dia tidak mengalihkan topik, air matanya akan mengalir. Dia tidak mahu pertemuan yang sekali-sekala itu dirembeskan dengan air mata yang begitu murah nilainya.

“Belum sayang. Apa kata kalau kita keluar makan. Dah lama abang tak belanja Intan makan. Hm..Intan nak makan di mana?” Tanya Datuk Amar Kamarul.

“Mana-mana sajalah bang. Intan tak kisah,”

“Warung mamak,”

“Boleh, asalkan halal.”

“Intan tak malu?”

“Apanya yang nak dimalukan?”

“Penulis dan wartawan terkenal makan di warung mamak,”

“Apa kurangnya abang? Usahawan, dermawan, cendikiawan dan seorang Datuk, makan di warung. Kedekut sangat nampaknya,” Balas Intan sambil menarik misai suaminya. Datuk Amar Kamarul ketawa terbahak-bahak. Lega hatinya setiap kali bersama Intan. Intan yang pandai bergurau, pandai berlawan cakap dan manja. Walaupun perkahwinan mereka sudah terikat begitu lama, namun dia tidak pernah merasa jemu atau bosan ketika bersama Intan.

“Oklah Intan menang. Abang selalu kalah. Intan isteri abang ni memang pakar dalam hal bahas membahas. Intan nak makan apa?”

“Hm…apa kata kita makan roti nan dan ayam tandoori?”

“Sayang, mana ada menu macam tu di warung?”

“Tak ada ke ?” Tanya Intan berpura-pura hairan. Kemudian mereka ketawa mengekek.

“Kalau macam tu, kita makan sup sajalah,”

Akhirnya mereka keluar setelah Intan bersiap seadanya. Mereka makan di Warung Osman yang terkenal menjual anika jenis sup di hujung jalan itu. Sambil makan sambil bergurau. Bagi Intan itulah saat yang paling berharga baginya. Semua kisah dan peristiwa sepanjang minggu diluahkan untuk mendapat komen suami.

“Abang dah agak.Intan akan mendapat banyak feed back dari tulisan Intan itu,”

“Betul bang. Ada macam-macam feed-back yang Intan terima. Ada pujian, ada kejian. Semuanya dengan alasan yang berbeza,”

“Tapi abang risau kalau-kalau Intan diancam oleh pembaca,”

“Bang, Malaysia ni negara yang bertamaddun. Pembaca kita lebih rasional dan berpelajaran. Lagipun, Intan tidak menulis benda yang salah.”

“Memang tidak salah. Tapi isu ini isu paling sensitif.Ia seperti isu saham yang jatuh menjunam bagi sesetengah orang. Isu ini paling sensitif untuk kaum wanita. Mereka sanggup bermakian, bergaduh, bertumbuk dan ada yang sudah ada kes bunuh semata-mata kerana suami kahwin lain,”

“Itulah yang cuba Intan dedahkan. Intan mahu kaum wanita mempunyai maruah yang tinggi walaupun berdepan dengan masalah segetir itu. Pergaduhan hanya akan menjatuhkan imej dan maruah wanita di mata masyarakat,”

“Intan ingat semua orang macam Intan,?”

“Mungkin kami tidak sama. Tapi kekuatan dalaman wanita perlu berada di tempat yang sama. Hanya iman dan taqwa yang mampu membentuk kekuatan itu,”

“Intan memang seorang yang baik dan sabar..”Datuk Amar Kamarul memuji dengan perlahan.

“Tidak. Intan bukan idola yang baik. Intan juga ada kelemahan. Intan mahu wanita kuat dan tabah. Jika lemah, kita sendiri akan teraniaya. Tapi kekuatan yang mesti ada ialah kekuatan yang berlandaskan jalan yang betul,” kata Intan sambil menghirup sup di hadapannya. Datuk Amar Kamarul terdiam. Dia tidak mahu menyambung topik itu lagi. Dia bimbang akan tersasar lebih jauh. Jika itu berlaku, bermakna batang hidung sendiri yang kena.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.