Home Novel Keluarga KUSERAHKAN KASIH
INTAN: KELOPAK KASIH YANG TERSIAT

INTAN : KELOPAK KASIH YANG TERSIAT

Intan tekun menaip. Artikel mengenai poligami perlu disiapkan segera untuk keluaran bulan September. Tidak boleh tidak, hari ini mesti siap. Jika tidak, dia terpaksa berdepan dengan kemarahan Encik Helmi, Ketua Pengarang majalah BICARA KASIH. Akan banyaklah nanti soal jawab yang harus dilaluinya. Rungutan lelaki setengah abad itu bukan saja akan menerjah gegendang telinganya, bahkan akan berjangkit ke telinga orang lain juga. Ia seperti virus yang menular dan berjangkit. Kasihan rakan taulan yang ada di sekelilingnya, kerana dia mereka juga akan terkena getahnya nanti.

Bahan penulisan yang berkaitan sudah ada di tangannya. Semua sudah lengkap. Selama beberapa hari dia mencari orang-orang yang sesuai untuk ditemuramah. Artikel mengenai poligami bukan artikel yang mudah. Ia membabitkan masalah hukum hakam agama.Jadi semuanya kena teliti. Tersilap tulis, bermakna dia melanggar hukum Tuhan. Hukum tidak mengharamkan suami beristeri lebih dari satu jika ada kemampuan dan ada alasan yang manasabah. Hanya manusia yang bernama wanita sering menolak kemungkinan terlaksananya hukum itu. Tapi mereka juga tidak menolak tanpa sebab. Mereka mempunyai alasan yang boleh dipakai akal. Mereka ada kelogikan untuk tidak berkongsi kasih.

“Kita akan cuba untuk bulan September. Jika ada sambutan pembaca, kita akan teruskan dan jadikannya sebagai ruangan tetap. Rasanya awak yang paling sesuai untuk menyiapkan artikel ini Intan.”

“Kenapa saya? Bukankah masih ramai wartawan wanita lain yang lebih berpengalaman?”

“Semuanya sudah ada assignment sendiri. Malah jadual mereka sudah padat sendat untuk beberapa bulan ini. Hanya awak yang masih kosong. Dan saya rasa ia memang sesuai sangat,” ujar Encik Helmi dengan kerlingan mata dan senyum sinis. Sakit juga hati Intan dengan senyuman itu. Namun dia terpaksa menerimanya, sebagaimana dia menerima tugas yang diberikan itu.

Mahu tak mahu dia terpaksa juga menerima tugas itu. Nak kata berat tu memang tidaklah berat sangat kerana sebelum ini pun ada bermacam assignmentyang lebih berat sudah dibuatnya. Cuma kali ini, isu yang diberi agak sensitif dan melibatkan sentimen peribadinya sebagai wanita juga sebagai isteri.

“Kena sungguhlah skop tu dengan kau Intan. Sekurang-kurangnya kau boleh lepaskan geram dan sakit hati kau tu nanti,” kata Nora rakan setugasnya ketika Intan menyebut assignment barunya itu.

“Lepaskan geram? Apa pula?” Intan terpinga-pinga.

“Janganlah berlindung di sebalik daun sehelai Puan Intan oi !.Bukan kami tak tahu siapa Intan Fariha sebenarnya!” Nora ketawa mengekek. Seperti ada sesuatu yang menggeletek hatinya.

“Apa yang kau tahu?” Intan sengaja menduga.

“Kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu,” usik Nora lagi dengan ketawa sinis.

Ring…Ring…telefon bimbitnya berdering.Dia mengambil telefon itu. Dari nombor yang tertera dia tahu siapa pemanggilnya. Intan bangun dan meninggalkan monitor sebentar. Rasanya tidak selesa berbual di hadapan tugas yang belum selesai itu. Dia menjawab panggilan sambil berjalan ke ruang rehat dan mencapai sebiji gelas lalu menuangkan air.

“Sayang dah makan?”

“Belum,”

“Kenapa belum keluar makan lagi.Kan dah dekat pukul 2.00 petang ni. Nanti perut tu masuk angin, kena gastrik pula nanti.”

“Kerja banyak. Rasa tak selera nak makan. Artikel tu mesti siap hari ini. ”

“Kerja tu kerja juga. Tapi tak kan makan pun bertangguh. Sayang tengah siapkan artikel apa kali ini?”

“Mengenai poligami.”

“Poligami?”

“Ya…mengenai poligami. Kenapa? Salahkah?”

Kedengaran suara ketawa yang parau di hujung talian. Namun Intan faham. Dalam ketawa ada resah yang mendesah. Dalam ketawa ada bimbang yang menjelang. Ada gelisah yang tak kunjung padam.

“Salah tu tidak. Tapi…teruklah kaum lelaki kena hentam nanti.”

“Kenapa pula?”

“Jika penulisnya wanita. Biasanya dia akan memihak kepada kaumnya. Tengok sajalah di mana-mana forum dan seminar mengenai poligami yang disertai wanita, suasananya sama. Mereka jadikan majlis begitu untuk menghentam lelaki. Malah ada yang mencipta formula untuk menentang poligami. Formula satu isteri = satu suami misalnya, itu semua idea kaum wanita,”

Intan ketawa. Tiba-tiba dia rasa geli hati dengan ketakutan di sebalik suara itu. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh sipemanggil. Dia tahu keluh kesah yang ada di dada lelaki itu. Dia faham sangat dengan sikapnya. Apa yang tersirat di sebalik yang tersurat dimakluminya sangat-sangat. Malah yang berselirat di sebalik fikiran dan perasaannya juga cukup difahami..

“Kenapa? Abang takut Intan hentam abang?”

“Takut tu tidak. Tapi…abang mahu sayang adil dalam menentukan pandangan. Tidak semua lelaki yang berpoligami itu bersalah dan perlu dihukum. Banyak sebab ianya berlaku. Dan sebab yang paling utama sekali ialah takdir. Jika takdir sudah menentukan, mengelak macam mana pun ia tetap akan terjadi. Tapi jika tidak tertulis di Loh Mahfuz, bercinta dan intim macam mana pun tetap tidak akan kahwin,”

“Abang nak Intan tuliskan pendapat abang ini?”

“Tak payahlah, Intan tak perlu tulis. Nanti nama abang glamour hingga seentero dunia. Payah pula abang nak balas surat-surat peminat,” suara ketawa bergema lagi. Mereka sama-sama ketawa.

“Sebenarnya Intan dah siapkan semua bahannya. Dah interview beberapa orang yang pakar dan banyak terlibat dalam soal ini. Hanya tinggal nak taip saja,”

“Siapa yang dah Intan interview?”

“Tuan Haji Amin, Pengarah Hal Ehwal Keluarga Islam Selangor, Puan Hanom Kesturi Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Malaysia, Dr.Mohdi Hamdan Pakar Motivasi tersohor serta sesaorang yang sudah lama melalui kehidupan berpoligami,”

“Siapa?”

“Intan Fariha isteri kepada Datuk Amar Kamarul,” jawab Intan selamba. Suara hilaian berkumandang di hujung talian. Senang dan damai. Semua stress yang dialaminya sejak pagi tadi terlerai sudah. Kebuntuan fikiran ikut terburai. Ilham membuak secara tiba-tiba. Keanehan itu dikaguminya.

“Baiklah datuk. Malam ni datuk balik tak?” Tiba-tiba Intan mengubah topik dan serentak itu menghentikan ketawa di hujung talian. Panggilan ‘datuk’ biasa digunakan sebagai gurauan. Itulah sedikit sebanyak asam garam yang memesrai hubungan mereka selama ini.

“Hmm…malam ni abang ada personal meeting dengan Datuk Jamain di Grand Continental. Mungkin tak balik. Esok pagi kita bersarapan di tempat biasa,”

Meeting nak tambah quotake?” Intan menduga.

“Merepeklah Intan ni, banyak lagi kerja lain yang abang boleh buat…”

“Manalah tahu. Qoutayang ada belum penuh lagi ni. Itu sunnah bang. Tak baik mengabaikan sunah.”

“Abang tahu isteri abang ni orang baik.Oklah sayang, abang ada kerja ni. Sayang habiskan menaip artikel tu. Nanti boss mengamuk pula! Bye sayang….” Si pemanggil memutuskan talian.

“Bye…” Suara Intan tersekat di kerongkong. Tiba-tiba dia rasa sedih dan keliru dengna perasaannya sendiri.Ada kepiluan di matanya. Dia menutup flip telefonnya dan berjalan semula ke mejanya.Ketika itu dia berselisih dengan Nora.

“Intan…aku ada idea yang baik untuk kau,” kata Nora dengan senyum.

“Apa dia?”

“Rasanya baik kau suruh Datuk Amar kau tu, buat satu office di sini supaya senang kau orang jumpa setiap saat. Tak adalah nak rindu-rinduan macam ni…” Nora ketawa. Intan mencubit lengan Nora dan meninggalkannya dengan ketawa. Betulkah dia rindu ?

Intan kembali menyambung kerjanya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.