INTAN: SEDANGKAN PANTAI LAGI BERUBAH
Berpoligami
tidak lagi menjadi perkara asing bagi masyarakat Islam di Malaysia hari ini.
Walaupun ada segelintir wanita yang menentang sekeras-kerasnya hal ini dari
berlaku, namun dengan segala tipu helah dan kecerdikan suami poligami tetap
berlaku.
Samada
rela atau tidak wanita yang bergelar isteri mesti menerimanya kerana itulah
suratan yang sudah tertulis untuknya. Namun, suamikah yang bersalah jika hati
mula merindui wanita lain sedang di rumah ada isteri dan anak yang berderet ?
“Suami
yang bosan dengan keadaan isteri yang kusut masai, kuat berleter dan malas
dalam melakukan hubungan seks dengan suami atau acuh tak acuh dalam melayan
kehendak zahir batin suami, biasanya lebih terdedah kepada dunia poligami.
Dalam satu kajian, sebab-sebab ini lebih tinggi peratusnya dari sebab-sebab
yang lain,” kata Tuan Haji Amin, Pengarah Hal Ehwal Keluarga Islam, Selangor.
Begitulah
nasib para suami di Malaysia. Mereka terabai dan diabai oleh isteri sendiri
yang sibuk dengan kerjaya atau anak-anak. Suami yang malang mencari jalan
keluar bersama wanita lain melalui poligami. Isteri lebih malang kerana
menangisi nasib yang mencabar maruah sendiri…!
Itulah
sebahagian dari isi kandungan rencana ‘POLIGAMI – KELOPAK KASIH YANG TERSIAT’
keluaran September 2007 majalah BICARA
KASIH. Seperti yang diduga, ianya telah mendapat sambutan yang cukup hangat
dari pembaca. Hari pertama ia berada di pasaran, telefon di meja Intan
berdering tak henti-henti.Naik
lenguh Intan menjawapnya.
“Tak
sangka Puan Intan ni pro-poligami. Belum pernah saya tahu dalam sejarah
poligami di Malaysia, ada wanita yang menyokongnya,” kata seorang pemanggil
lelaki yang mengenalkan dirinya Zack dari Kuala Lumpur.
“Siapa
kata saya menyokong?”
“Tulisan
puan membuktikannya. Puan seolah-olah menyalahkan wanita kerana mengabaikan
tanggung jawab di rumah kerana pentingkan kerjaya. Dan tips yang puan berikan
untuk mengembalikan kasih suami, seolah-olah memang suami-suami kehilangan
perhatian isteri menyebabkan mereka menyerong ke tempat lain.”
“Itu
pendapat awak. Saya menulis berdasarkan kajian yang saya buat melalui temubual
dengan para suami. Bukan pendapat saya, tapi pendapat kebanyakan suami.
Bagaimanapun, rencana itu terbahagi kepada dua bahagian. Bulan ini kami siarkan
bahagian pertama, yang melibatkan hukum dan sebab berlakunya poligami. Dari
segi hukum memang poligami tidak salah. Tapi jangan lupa, ada syarat dan
caranya.Itu yang lelaki selalu abaikan. Berkahwin dua tiga mereka ikut sunnah
Rasulullah, tapi memberikan tanggung jawab yang adil mereka tidak ikut pun cara Rasulullah,” kata Intan meningkah. Zack
ketawa. Namun, Intan tahu lelaki itu sudah terkena. Ketawa lelaki mengandungi
seribu makna.
“Terima
kasih kerana puan begitu faham perasaan lelaki masa kini,”
“Saya
memang faham, tapi jangan lupa membaca bahagian kedua rencana saya tu. Dan
jangan pula Encik Zack melenting selepas membacanya,” kata Intan sebelum
meletakkan gagang. Gagang telefon diletakkan semula di tempatnya. Namun tidak
lama, telefon itu berdering semula. Intan terus mengangkatnya. Dia tahu itu
mesti panggilan untuknya.
“Puan
Intan? Pandai sungguh puan menyokong poligami. Puan tak rasa macam mana
perasaan kami yang terlibat dengannya. Puan ni memang tak ada perasaan
langsung. Sanggup puan menyalahkan wanita sebagai penyebab poligami? Tak
terfikirkah puan, bahawa kaum kita sedang dianiaya dan diperlakukan
sewenang-wenangya? Inilah yang selalu dikatakan, hancurnya hidup seorang wanita
adalah kerana wanita juga. Puanlah orangnya yang cuba menghancurkan imej dan
martabat kaum wanita!”Seorang
wanita terus ‘menyerangnya’ tanpa sempat memberi salam. Dia senyum. Dia tidak
mahu mudah melatah. Dia membiarkan saja perempuan itu melatah dan menghamburkan
kemarahannya.
“Saya
tidak mahu kata apa. Puan bacalah sambungan artikel itu seterusnya,” Intan
meletakkan gagang. Kemudian dia tersenyum. Betul kata pujangga, pena seorang
pengarang lebih tajam dari sebilah pedang. Kini dia rasa ramai yang sedang
merana kesakitan dengan tikaman pedang tulisannya.
Betulkah
poligami itu amat menyakitkan wanita dan menyenangkan lelaki? Siapakah yang
harus dipersalahkan dalam hal ini? Dan kenapakah Allah memilih orang-orang
tertentu untuk meletakkan takdirNya?
“Intan,
saya rasa telahan saya mengenai isu ini benar. Saya rasa perlu ada satu ruangan
khas untuk mengupas hal ini. Apa kata
kalau awak menjadi penulis tetap untuk ruangan yang khas ini. Kita namakan
ruangan : KELOPAK KASIH YANG TERSIAT,” kata Encik Helmi selepas melihat
perkembangan positif yang sedang berlaku kepada ruangan baru itu.
“Tapi…apa yang nak saya tuliskan?”
“Awak jelajah seluruh tempat dan cari kes-kes
poligami. Interview mereka mengenai pengalaman peribadi atau bagi
peluang pembaca membuat pengakuan peribadi samada melalui telefon ataupun e-mail
dan surat. Setiap bulan satu pengakuan akan disiarkan. Awak tentukan mana
yang menarik. Saya rasa tentu rating pembaca akan bertambah lagi
terutama pembaca wanita. Apa pendapat awak Intan?”
“Macam menyeronokkan bunyinya. Kalau macam tu,
saya cuba,”
“Saya tidak mahu awak cuba. Ini skop tetap
awak. Mulai sekarang, awak kena cari bahan yang sesuai. Bulan Oktober kita
siarkan bahagian kedua. Kemudian kita
buat nota kaki kepada semua pembaca yang mempunyai pengalaman
berpoligami dan yang ingin berkongsi kisah dengan pembaca, boleh menghubungi
kita,” kata Encik Helmi. Intan angguk perlahan. Tugas baru ini seperti mencabar
kebolehannya. Ketika termangu-mangu berfikir itu, Nora menyentuh bahunya.
“Aku kan dah kata, kau sesuai untuk skop dan
ruangan itu. Hanya kau Intan. Kerana kau yang melaluinya. Sekurang-kurangnya
kau mampu menyelami perasaan pembaca,” ujar Nora. Intan cuba angguk. Ada juga kebenarannya kata-kata
sahabatnya itu.
“Hujung minggu ni kau nak ke mana?”
Tanya Nora setelah mendapati Intan terkulat-kulat menggigit hujung pen. Dia
tahu kotak fikiran Intan sedang ligat bekerja.
“Hmm..rasanya tidak ke mana-mana. Kenapa?”
“Aku nak balik kampung. Kau nak ikut?”
“Apa mimpi kau kali ni?”
“Kenapa?”
“Biasanya kau tak pernah ajak aku balik ke
kampung kau tu. Malah tak pernah cerita pun pasal keindahan dan keunikan
kampung kau tu. Aku hanya tahu kau ni orang Perak. Perak kat mana tu, sikit pun
teman tak tahu. Kat Parit ke..kat Dinding ke tak pernah kome cakap. Apa kome
dah nak akhiri zaman janda ke.. ?” Usik
Intan dengan loghat Perak. Nora ketawa,
tercuit hatinya dengan gurauan Intan itu.
“Aku
tunggu putera raja,”
“Hoi!
Mana ada Cinderella seorang
janda….”Jawab Intan dengan ketawa panjang. Nora ikut ketawa.
“Kau
ikut sajalah. Mungkin kau boleh dapat cerita untuk ruangan baru kau tu…!” Kata
Nora sambil berlalu meninggalkan Intan yang masih belum habis ketawa.
“Nanti
aku minta izin datuk dulu!” Laung Intan kerana Nora sudah agak jauh darinya.
Nora melambaikan tangan tanda setuju. Dia tahu sahabatnya itu tidak akan
melangkah ke mana-mana tanpa izin Datuk Amar Kamarul. Intan seorang isteri yang
taat. Nora kagum dengan pendirian Intan. Walaupun dia sering tersisih dari ‘keadilan’
pemerintahan Datuk Amar Kamarul, Intan tetap setia dan taat. Nora sendiri tidak
sekuat Intan.
“Kak
Intan! Ada call untuk kakak!” Laung Wati, gadis receptionist yang
kecil molek itu. Intan kembali ke mejanya. Dia mengangkat gagang telefon.
“Assalamualaikum,
Intan bercakap.Boleh saya
tolong cik…”
“Walaikummussalam.
Intan, ni aku ni…”
“Siapa?”
“Salina.”
“Salina….Cikgu
Salina?”
“Ya.
Cikgu Salina bt Ibrahim. Kau apa khabar?”
“Alhamdulillah,
aku baik-baik saja. Ya Allah! Suara kau lain sangat, itu yang aku tak cam tu.
Kau di mana ni?”
“Aku
masih di Pulau Pinang. Aku dah baca artikel kau tu. Aku rasa kau tak adil dalam
menentukan nasib kaum kita. Kau seolah meletakkan seluruh kelemahan kepada
wanita. Hukum memang menghalalkan poligami. Tapi, hukum juga menentang poligami
yang menyeksa wanita. Kau percaya lelaki berkahwin dua tiga atas dasar
kemampuan diri mereka. Dari segi harta benda memang mungkin mereka mampu. Tapi
dari segi keadilan menguruskan isteri-isteri…mereka menipu!” Suara Salina di
hujung talian tiba-tiba tegang dan meninggi. Intan rasa ada kemarahan bergumpal
dalam suara itu. Lalu dia terpaksa menggunakan cara yang terbaik untuk
meredakan kemarahan itu. Api yang sedang marak tidak boleh disimbah dengan
minyak. Sebaliknya ia harus disimbah dengan ais yang sejuk dan dingin.Kalau pun ia tidak mati,
sekurang-kurangnya ia tidak merebak.
“Sali….sabar
dulu. Jangan ikutkan hati kau tu. Aku tidak menyokong lelaki. Memang lelaki
selalu benar dalam menentukan keputusan berpoligami. Lelaki memang berhak jika
dia memenuhi syarat.Tapi,
hak wanita juga tetap ada. Kau bacalah sambungan rencana itu bulan depan ni.
Nanti kau tahu juga kesimpulan dari tulisanku itu. Ok, kita lupakan seketika
tentang artikel itu. Macam mana keadaan kau sekarang? Masih mengajar di sekolah
yang dulu?” Tanya Intan cuba mengalihkan perhatian Salina.
“Tidak.
Aku sudah lama berhenti. Atas permintaan suami. Aku menjadi suri rumah sepenuh
masa sejak beberapa tahun terakhir ini,”
“Zarul
macam mana?”
“Itulah
yang menekan perasaanku sekarang…”
“Kenapa pula? Orang sebaik Zarul, tidak mungkin
terlibat dengan poligami. Aku kenal Zarul. Sejak kita masih di universiti, aku
sudah kenal kamu berdua. Zarul orangnya penyayang dan penuh tanggung jawab,”
“Itu dulu Intan. Kini semuanya sudah berubah….”
“Apa
maksud kau ni…?”
“Zarul
sudah pandai main kayu tiga. Zarul sekarang bukan Zarul yang setia lagi. Dia
mul a berubah Intan….berubah…” Tiba-tiba
kedengaran suara Salina yang sebak. Dia menangis. Intan serba salah. Jika
Salina berada di hadapannya, tentu dia boleh memeluk dan memujuknya. Tapi,
Kuala Lumpur dan Pulau Pinang terpisah jauh. Perbualan dan tangisan melalui
corong telefon tidak mampu menjanjikan apa-apa reaksi fizikal selain gamitan
simpati di nubari Intan.
“Sabarlah…aku
tidak menyangka ini akan berlaku,” pujuk Intan perlahan. Hanya itu yang
termampu dibuatnya.
“Aku
akan ke KL minggu depan. Kalau kau ada masa aku teringin sangat nak berjumpa
kau Intan. Ada banyak cerita yang akan kau tahu,”
“Baiklah,
untuk kau aku akan luangkan masa aku. Aku akan tunggu kau. Sementara itu, kau
bersabarlah dan berdoa pada Allah agar semuanya selamat,”
“Terima
kasih Intan. Untuk sementara ni hanya kau yang tahu hal ini. Aku minta maaf
kerana setelah sekian lama kita tidak berhubungan, kau terpaksa mendengar aku menangis..”
“Itu
tak jadi masalah. Aku tetap aku yang dulu walaupun kehidupan kita sudah
berubah. Kalau kau ada masalah, aku masih sedia membantu,”
“Sekali
lagi terima kasih aku ucapkan. Aku malu pada kau Intan. Aku juga malu pada
keluarga dan teman-teman yang lain. Selama ini aku begitu berbangga dengan
Zarul. Aku agung-agungkan kebaikannya lebih dari segalanya. Rupanya…begini
jadinya…”
“Sudahlah.
Kita hanya manusia biasa. Sedangkan pantai lagi berubah, inikan pula hati
lelaki seperti Zarul.”
Salina
meletakkan gagang dengan janji akan bertemu Intan minggu hadapan. Intan duduk
termangu. Rupanya masih ramai wanita di luar sana yang teronta-ronta mencari
tempat meluah rasa. Salina misalnya. Dia tidak menyangka sama sekali, Salina
juga sedang bergelut dengan detik sukar bagi seorang isteri ketika hadirnya
orang ketiga.
Zarul yang dikenalinya adalah seorang lelaki yang terlalu baik.
Sepanjang yang dia tahu, Zarul bukan saja berpangkat besar, malah juga
mempunyai keperibadian yang tinggi. Tidak sombong dan tidak meninggi diri.
Sesiapa saja akan senang bila bergaul dengannya. Mereka suami isteri memang
pasangan yang cukup sepadan. Rupa paras, pendidikan dan sifat yang seiras dan
sepadan. Kenapa Zarul berubah ?
“Saya
mencintai dia sepenuh hati Intan. Tidak akan ada wanita lain yang wujud di hati
saya melainkan dia. Salina akan tetap kekal di hati dan jiwa saya sampai ke
akhir hayat. Cinta saya akan utuh seutuhnya. Tidak akan berubah walau sekuat
mana badai yang melanda.” Intan masih ingat kata-kata Zarul semasa di kampus.
Masa itu cincin berlian tanda ikatan pertunangan sudah pun tersarung di jari
Salina. Zarul yang minta semuanya dicepatkan. Dia tahu Salina mahasiswi yang
mempunyai saham yang tinggi.Dia takut Salina dikebas orang. Walhal, keluarga Zarul tidak begitu menyukai
Salina.Alasan mereka
kedudukan keluarga Salina dan keluarga mereka tidak sama. Namun Zarul tidak
peduli. Zarul tetap dengan keputusannya. Jika keluarganya tidak mahu menghantar
rombongan meminang Salina, Zarul akan serahkan tugas itu kepada orang lain.
Lalu
dengan berat hati, keluarga terpaksa akur dan mengikut kehendak Zarul.
Pertunangan mereka tidak lama. Sepatutnya dua tahun. Tapi selepas masing-masing
graduated dan mempunyai pekerjaan, jangka masa itu disingkatkan.
Semuanya kerana Zarul takut kehilangan Salina. Zarul bimbang Salina berubah.
Dia tahu setelah menjadi guru, Salina akan mempunyai lebih ramai peminat.
Setiap kali dia mendengar orang memuji Salina, hatinya bergetar. Dia tidak
tahan mendengar lelaki lain memuji kecantikan, kebaikan dan keluhuran budi
Salina.Zarul kuat cemburu. Kata
orang cemburu tandanya kasih dan cinta begitu mendalam. Akhirnya mereka telah
disatukan dalam majlis perkahwinan yang meriah. Belum ada majlis semeriah itu
berlangsung di kampung Salina pada masa itu.
Tapi,
kenapa kini lain pula ceritanya. Apa salah Salina hingga Zarul sanggup
menggadai kasih dan cintanya? Keinginan untuk tahu akhirnya memenuhi ruang
hatinya. Tidak sabar rasanya menanti hari yang dijanjikan.
Sepanjang
malam itu Intan masih tidak mampu melupakan kesedihan yang diluahkan Salina
siang tadi. Dia mengumpulkan seluruh simpatinya kepada Salina. Dalam
bermenung-menung itu, pintu rumah diketuk beberapa kali. Intan berjalan ke
pintu. Dia tahu siapa yang datang.
“Apa
khabar sayang?” Tegur Datuk Amar Kamarul, ketika Intan membuka pintu. Intan
segera mencium tangan suaminya. Dan sebagai balasan, Datuk Amar Kamarul
menghadiahkan sebuah ciuman di dahi dan pipinya. Hatinya berbunga riang.
“Sayang
tak keluar ke malam ni?”
“Kita
tunggu tuanku tiba,”
“Tak ada assignment penting?”
“Ada. Terlalu penting, ”
“Dengan siapa? Apa topiknya?”
“Dengan
Datuk Amar Kamarul. Kupasan mengenai sistem poligami yang tidak teratur di
Malaysia,” jawab Intan dengan senyum manja. Datuk Amar Kamarul tahu isterinya
bergurau. Dengan cepat dia cuba mencapai tangan Intan. Intan melarikan diri.
Datuk Amar Kamarul mengejarnya. Intan tidak mahu mengalah. Dia berlari di
sekeliling ruang tamu. Mereka kejar mengejar. Mesra dan ceria. Hingga akhirnya
tangan Intan dapat ditangkap juga. Datuk Amar Kamarul memeluk Intan seeratnya.
Kemudian dia membelai hujung rambut isterinya yang terjuntai di dahi.
“Maafkan
abang sayang. Abang selalu mengabaikan sayang,” Datuk Amar Kamarul berbisik
dengan suara perlahan. Seperti ada rasa kesal yang menebal di lubuk hatinya.
Dia mengabaikan tugasnya sebagai suami dan ayah. Dia tidak pernah berlaku adil
pada Intan dan anak-anaknya. Namun, dia hanya setakat sedar, tapi tidak mampu
mengubah keadaan. Rasa bersalah begitu mencengkam jiwanya sejak akhir-akhir
ini. Alangkah banyak dosanya terhadap Intan. Intan membalas pelukan suaminya.
Dia seakan mendapat kekuatan baru setiap kali suaminya muncul di depannya. Dia
seakan-akan berteduh di bawah satu rimbunan kasih yang begitu segar. Dia
seperti sedang berenang di lautan madu yang manis dan lazat sekali.
“Abang
dah makan?” Tiba-tiba Intan cuba mengalihkan suasana. Dia tahu jika dia tidak
mengalihkan topik, air matanya akan mengalir. Dia tidak mahu pertemuan yang
sekali-sekala itu dirembeskan dengan air mata yang begitu murah nilainya.
“Belum sayang. Apa kata kalau kita keluar
makan. Dah lama abang tak belanja Intan makan. Hm..Intan nak makan di mana?”
Tanya Datuk Amar Kamarul.
“Mana-mana sajalah bang. Intan tak kisah,”
“Warung mamak,”
“Boleh, asalkan halal.”
“Intan tak malu?”
“Apanya yang nak dimalukan?”
“Penulis dan wartawan terkenal makan di warung
mamak,”
“Apa kurangnya abang? Usahawan, dermawan,
cendikiawan dan seorang Datuk, makan di warung. Kedekut sangat nampaknya,”
Balas Intan sambil menarik misai suaminya. Datuk Amar Kamarul ketawa
terbahak-bahak. Lega hatinya setiap kali bersama Intan. Intan yang pandai
bergurau, pandai berlawan cakap dan manja. Walaupun perkahwinan mereka sudah
terikat begitu lama, namun dia tidak pernah merasa jemu atau bosan ketika
bersama Intan.
“Oklah Intan menang. Abang selalu kalah. Intan
isteri abang ni memang pakar dalam hal bahas membahas. Intan nak makan apa?”
“Hm…apa kata kita makan roti nan dan ayam
tandoori?”
“Sayang,
mana ada menu macam tu di warung?”
“Tak
ada ke ?” Tanya Intan berpura-pura hairan. Kemudian mereka ketawa mengekek.
“Kalau
macam tu, kita makan sup sajalah,”
Akhirnya mereka keluar setelah
Intan bersiap seadanya. Mereka makan di Warung Osman yang terkenal menjual
anika jenis sup di hujung jalan itu. Sambil makan sambil bergurau. Bagi Intan
itulah saat yang paling berharga baginya. Semua kisah dan peristiwa sepanjang
minggu diluahkan untuk mendapat komen suami.
“Abang
dah agak.Intan akan mendapat banyak feed back dari tulisan Intan itu,”
“Betul bang. Ada macam-macam feed-back yang Intan terima. Ada pujian, ada kejian. Semuanya dengan alasan
yang berbeza,”
“Tapi
abang risau kalau-kalau Intan diancam oleh pembaca,”
“Bang,
Malaysia ni negara yang bertamaddun. Pembaca kita lebih rasional dan
berpelajaran. Lagipun, Intan tidak menulis benda yang salah.”
“Memang
tidak salah. Tapi isu ini isu paling sensitif.Ia seperti isu saham yang jatuh menjunam bagi
sesetengah orang. Isu ini paling sensitif untuk kaum wanita. Mereka sanggup
bermakian, bergaduh, bertumbuk dan ada yang sudah ada kes bunuh semata-mata
kerana suami kahwin lain,”
“Itulah
yang cuba Intan dedahkan. Intan mahu kaum wanita mempunyai maruah yang tinggi
walaupun berdepan dengan masalah segetir itu. Pergaduhan hanya akan menjatuhkan
imej dan maruah wanita di mata masyarakat,”
“Intan
ingat semua orang macam Intan,?”
“Mungkin
kami tidak sama. Tapi kekuatan dalaman wanita perlu berada di tempat yang sama.
Hanya iman dan taqwa yang mampu membentuk kekuatan itu,”
“Intan
memang seorang yang baik dan sabar..”Datuk Amar Kamarul memuji dengan perlahan.
“Tidak.
Intan bukan idola yang baik. Intan juga ada kelemahan. Intan mahu wanita kuat
dan tabah. Jika lemah, kita sendiri akan teraniaya. Tapi kekuatan yang mesti
ada ialah kekuatan yang berlandaskan jalan yang betul,” kata Intan sambil
menghirup sup di hadapannya. Datuk Amar Kamarul terdiam. Dia tidak mahu
menyambung topik itu lagi. Dia bimbang akan tersasar lebih jauh. Jika itu
berlaku, bermakna batang hidung sendiri yang kena.
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.