JASMIN: MANISKAH MADU?
JASMIN :
MANISKAH MADU?
Selepas menelefon Intan, Jasmin berlegar-legar di sekitar KLCC sendirian. Dia
berharap Intan dapat menemaninya. Tapi
jawapan Intan begitu menghampakannya.
Dia tidak kesal dan cuba memahami keadaan Intan. Intan baru pulang dari kerja
dan tentunya dia keletihan. Dia faham
kerja Intan. Intan bukan seperti dia yang hanya duduk di kerusi empok dan mengarah semua kerja kepada kaki tangan
bawahannya. Dia seorang Pengarah Urusan syarikat milik keluarganya. Intan lain.
Intan seorang wartawan yang hidupnya mengejar berita. Rezekinya bergantung
kepada peristiwa yang menjadi berita. Oleh itu masa itu emas untuk Intan.
Jasmin resah. Dia perlukan sesaorang untuk meluah rasa.Tidak ada yang
faham isi hatinya.Hanya Intan yang faham dan tahu. Dan hanya
Intan yang banyak menyimpan rahsia perasaannya.Entah kenapa dia begitu percayakan Intan. Walhal, perkenalan mereka belum
begitu lama.
Dia mengenali Intan secara tidak sengaja di Amy Beauty Saloon di Ampang
Jaya. Kebetulan Intan juga adalah pelanggang tetap salun itu. Dari perkenalan
biasa itu, dia dan Intan menjadi akrab. Mereka banyak mengisi masa lapang dan
terluang bersama.Dia boleh bercerita dan meluahkan apa saja
kepada Intan. Intan akan menjadi pendengar yang baik.
Itu yang disenanginya tentang Intan. Intan pandai bergaul dan menjaga hati
kawan. Intan pandai memujuk dan Intan amanah dalam menyimpan rahsia dan jujur
berkata-kata.Dia tidak pernah rasa curiga atau rasa cuak
ketika meluahkan rasa kepada Intan.
Bosannya. Dia melangkah mengikut rasa hatinya. Deretan butik sudah
diselusurinya. Kedai-kedai kasut dan beg tangan yang berjenama juga sudah
disinggahinya. Namun tidak ada yang menarik minatnya untuk membeli. Dia hanya
melilau membuang masa.
Jasmin berjalan dan terus berjalan.Dia ingin berjalan sehingga kakinya keletihan. Seketika, sedang
mata Jasmin masih melilau tiba-tiba dia terpandang sesaorang. Orang yang sangat
dikenalinya. Orang yang begitu dekat dengan dirinya. Orang yang begitu hampir
dengan hati nuraninya. Orang yang sekian lama menjadi teman tidurnya.
Gementar seluruh tubuhnya. Seakan-akan terhenti pengaliran darahnya
ke jantung.Sejuk seram seperti diserang demam malaria.
Dia mengetap bibir. Geram dan marah bercampur-baur. Cemburu berselirat dalam
hati. Jiwa parah dipanah api dendam yang membara. Dari jauh dia melihat satu
kemesraan yang menyakitkan hati.
Sepasang merpati sedang terbang seiringan.Penuh mesra dan penuh kasih sayang.
Sekali-sekala nampak mereka ketawa. Lentukan manja kepala si wanita itu
ke bahu sang lelaki itu cukup menyesakkan nafas Jasmin. Dia melihatnya dengan
mata yang sarat tersembul duka lara yang semakin pedih. Tersayat seluruh hatinya.
Berdarah dan pedih…!
“Perempuan sial! Tak sedar diri….perempuan perampas!”Sumpah Jasmin dalam hati. Dia mengetap bibir dengan rapat. Sumpahan itu
berulang dan berulang. Dan hatinya terus berdarah dan terluka.
Sumpah itulah yang selalu meniti bibirnya dan memenuhi ruang hatinya sejak
lima tahun ini. Sejak Farid mengahwini wanita itu, hatinya sudah tidak bersih
lagi.Saban hari dipenuhi dengan sumpah seranah.
Saban masa bergelut dengan racun dendam dan kemarahan. Dia tidak mampu menerima
kenyataan itu. Dia tidak dapat menghalalkan kehadiran wanita lain dalam hidup
Farid. Farid miliknya. Sampai mati pun tidak akan dikongsi dengan orang lain. Kadang-kadang dia hairan. Apa lagi yang
kurang pada dirinya?
Dia cuba menilainya. Kalau dari segi rupa,dia rasa dia lebih cantik dan
seksi. Walaupun sudah berusia hampir empat puluhan, dia masih bergaya dengan
fesyen terkini. Dari segi kedudukan dan pangkat pun begitu juga. Dia wanita
korporat yang mempunyai kelulusan universiti luar negeri. Latar belakang
keluarganya cukup untuk melengkapkan pakej dirinya. Siapa tidak kenal dengan
Datuk Husaini, ayahnya. Seorang lelaki yang menonjol sebagai CEO untuk beberapa buah syarikat multinasional.
Perempuan
itu? Hanya seorang kerani di sebuah syarikat swasta. Gajinya tak seberapa.
Mungkin sama dengan ansuran bulanan kereta mewah miliknya.Pakaiannya, tak
ada class langsung. Berbaju kurung, bertudung lingkup begitu, amat
merimaskan. Jasmin mengeluh sendiri. Apalah agaknya yang Farid pandang pada
perempuan kampung yang selekeh itu…?
Jasmin mengekori
mereka. Dia berdiri agak jauh supaya kehadirannya tidak terkesan oleh sepasang
merpati itu.Farid memimpin tangan wanita itu dan masuk ke
sebuah pasaraya. Jasmin menahan gelisah.
Semuanya tiba-tiba terimbau di ruang mata.
“Min,
ini abang kenalkan kawan abang, Azura. Azura,
ini isteri abang, Jasmin,”
Dia teringat pertama kali Farid memperkenalkan
wanita itu kepadanya. Mereka bersalam dengan senyum ramah. Mereka berbual
mesra. Tidak terlintas di hatinya bahawa ada muslihat di sebalik perkenalan
itu. Malah dia tidak mengesyaki sedikit pun yang Farid ada affair dengan
wanita itu. Dia ingat hubungan mereka hanya hubungan biasa – orang korporat
macam Farid tentu mempunyai ramai kawan. Malah dia sudah biasa dengan
kawan-kawan Farid. Kawan bisnes lain. Kawan sekelas lain.Kawan sekampung lain.
Dan kadang-kadang kawan sepermainan golf pun dikenalkan kepadanya. Jasmin tidak
pernah ingin ambil tahu. Jadi, Azura mungkin salah seorang kawan setugas Farid.
Dia tidak nampak Azura istimewa sangat, hingga perlu diletakkan rasa cemburu
dan curiga terhadapnya.
Tapi dugaannya itu salah. Beberapa bulan selepas itu dia dikejutkan dengan
berita yang bagai panah menusuk ke jantung hatinya.
“Min, sorryabang terpaksa berterus terang dengan Min. Abang akan
mengahwini Azura, abang harap Min izinkan.”
Begitu
tenang Farid mengadap mukanya.
“What? You want to marry her? Are
you crazy?” Dia seperti tercekik tulang ikan. Duri itu menusuk dada. Pedih
dan menyakitkan. Benar-benar dia tertekan.
“Min…,abang sayangkan dia. Abang tak dapat nak lupakan dia. Abang
mesti kahwin dengan dia. Min izinkan atau tidak, itu tak penting sangat. Abang
mampu berpoligami.”
“Jadi, abang dah putus kata.Min ni abang
nak buang ke mana?” Jasmin mula menangis. Dia tidak sanggup berkongsi kasih
dengan orang lain setelah sekian lama
hidup bersama Farid. Dia tidak biasa hidup berkongsi. Sejak kecil dia
tidak berkongsi barang dengan sesiapa mahupun dengan adik beradiknya sendiri.
Apa lagi untuk berkongsi suami. Mustahil!
“Min akan tetap berada di sisi abang. Abang tidak akan melepaskan Min.
Abang sayang Min dan abang juga sayangkan Azura. Kedua-duanya begitu bermakna
dalam hidup abang. Tolonglah Min faham perasaan abang…” Rayu Farid sambil
menggenggam tangannya.
Keputusan Farid muktamad dan tidak dapat diubah lagi. Jasmin betul-betul
kecewa dengan sikap Farid. Bukan dia tidak melayani Farid dengan baik. Rasanya
zahir batin dia memberikan layanan terbaik untuk lelaki itu. Cuma kadang-kadang
dia sibuk dengan tugas dan sekali sekala terpaksa turun padang melawat projek,
Farid terpaksa ditinggalkan. Kalau projek itu jauh, maka berhari-harilah
lamanya dia berada di luar rumah. Tapi, takkan itu nak dijadikan alasan untuk
berkahwin lagi. Dia melakukan semuanya demi tugas. Bukan sengaja suka-suka nak
tinggalkan rumah. Farid sendiri yang mengizinkan dia bekerja. Semuanya dibuat
untuk kepentingan dan masa depan mereka juga. Ah! lelaki tetap lelaki yang
tidak puas dengan satu isteri, marahnya dalam hati.
Seperti
kata Farid, izin atau tidak dia tetap akan berkahwin. Apa lagi yang mampu
Jasmin lakukan selain menandatangani surat izin itu dengan hati yang sebal.Malam pernikahan Farid, dia berendam
air mata. Rasanya seperti dalam mimpi sahaja hal itu berlaku. Sepanjang malam Jasmin menangis.
Apa lagi bila membayangkan Farid dan Azura begitu ghairah menikmati malam
pertama yang romantis.Dia tahu segala langkah dan pujukan Farid di
tempat tidur. Lelaki itu memang pandai merayu dan pandai menundukkan nafsu
seorang wanita. Itu yang membuatkan dia tak tentu arah. Cemburunya bermula dan
pedihnya menikam jiwa. Bukan hanya untuk malam pertama itu, malah untuk
malam-malam seterusnya hingga kini setiap kali Farid bermalam di rumah madunya
itu…!
Sejam
kemudian, Farid dan Azura keluar dari pusat beli belah itu sambil membimbit
barang-barang yang dibeli lalu mengisi
dalam boot kereta dengan senyum dan keriangan yang menawan. Hati Jasmin
semakin rawan. Dia semakin penasaran dengan apa yang disaksikannya.
Tiba-tiba
Jasmin keluar dari kereta dan berjalan pantas ke arah Farid. Kemudian dia
berdehem beberapa kali untuk menarik perhatian merpati dua sejoli yang sedang
sibuk menyusun barang-barang dalam bootkereta.
“Min! Apa Min buat di sini?”Tanya Farid separuh terkejut. Begitu juga
dengan Azura. Namun, dia mampu mengawal diri dan berlagak tenang sambil
menghulurkan tangan untuk bersalam. Jasmin menepis tangan Azura dengan keras.
Farid seperti sedar apa yang akan berlaku. Wajah Jasmin yang masam mencuka
mengundang rasa curiga yang menebal. Farid mendekat dan cuba memegang bahunya.
Namun Jasmin tetap menepis tangan Farid dengan kasar.
“Min, kenapa ni…? Jangan buat macam
ni. Ini tempat awam, malu kalau orang nampak.”
“Biar orang nampak, saya tak peduli!!”Jerit Jasmin dengan mata terbeliak.
“Bertenanglah Min. Jom kita balik,”
“Saya tak nak balik!”
Farid malas nak melayan Jasmin lagi. Dia
menarik tangan Azura dan masuk ke kereta. Ketika akan menghidupkan enjin,
Jasmin berlari dan membukakan pintu serta menarik Farid keluar.
“Apa lagi yang tak kena Min? Kalau ia pun Min marah, kita selesaikan saja
di rumah. Malu dilihat orang…” kata Farid dengan lembut memujuk.
“I tak suka you bawa dia keluar. Itak suka you
lebihkan dia.I ni isteri
pertama. Dia tu menumpang saja.Kenapa you berikan dia sepenuh perhatian dan you
abaikan I ? ”
“Min, Min selalu salah sangka dengan abang. Apa yang abang buat tak
pernah kena pada Min. Azura juga isteri abang, dia berhak menerima perhatian
dan kasih sayang abang. Selama ini pun abang selalu melebihkan Min dalam segala
hal, tapi Azura tidak pernah mengeluh.Sekali-sekala
abang bersama Azura macam ni…Min dah bising.” Suara Farid semakin tinggi. Azura menarik tangan Farid. Dia mula bimbang
sesuatu yang buruk bakal berlaku. Jasmin seolah-olah sedang mengejutkan harimau
yang sedang tidur. Dia keluar dari kereta dan mendekati suaminya.
“Sudahlah bang, kalau Kak Min tak suka abang bawa Zura, tak apalah. Biar
Zura balik naik teksi sahaja…” bisik Azura perlahan. Farid merenung ke dalam
mata isterinya. Azura selalu mengalah. Itulah yang membuatkan Jasmin besar kepala,
bisik Farid.
“Tidak Zura. Abang tak izinkan Zura naik teksi.Abang akan hantar Zura. Abang suami Zura. Abang berhak melindungi dan
bertanggung jawab terhadap Zura. Dah, pergi naik. Kita balik sekarang,” tegas
Farid. Azura patuh. Dia membuka pintu kereta dan masuk semula dengan wajah
gusar dan bimbang.
“Min baliklah dulu. Nanti abang akan balik. Apa-apa hal kita bincang di
rumah…” kata Farid sambil masuk ke dalam kereta, menghidupkan enjin dan berlalu
dengan laju. Jasmin terkebil-kebil dan hatinya semakin luka. Bermacam caci maki
menapak lagi di hati kecilnya.
Dia
berjalan menuju ke keretanya dengan air mata yang berhamburan. Enjin kereta dihidupkan
dan dia memandu dengan laju tanpa hala
tuju. Dia teringat janjinya dengan Intan. Hanya Intan yang mampu mendengar
rintihan hatinya ini. Lalu dia memandu menghala ke rumah Intan.
Hampir
waktu Isya’ Jasmin sampai di halaman rumah Intan. Intan terpisat-pisat bingung.
Tidurnya terganggu. Mimpinya terputus separuh jalan. Dia menguap beberapa kali
ketika membuka pintu.
“Masuklah
Min. Aku tertidur tadi. Nasib baik kau datang, kalau tidak agaknya sampai pagi
aku tertidur di sini,” kata Intan sambil berjalan semula ke ruang tamu. Jasmin
cuba bertenang dan duduk dengan selesa. Intan pula terus ke dapur untuk menghidangkan
minuman. Ketika dia keluar dengan dua mug nescafe, dilihatnya Jasmin
sedang mengesat air mata dengan tisu.
“Ni
apa halnya pula ni, malam-malam begini hujan turun,” usik Intan sambil
menghulurkan minuman kepada Jasmin.Jasmin senyum hambar ketika menyambut mugdari tangan Intan
itu .
“Intan, aku rasa dah tak sanggup lagi menempuhi semua ini. Farid
dan betina tu semakin melampau. Lima tahun aku bersabar, sekarang rasanya aku
sudah tidak boleh bertahan lama lagi. Makin hari bukan makin baik, tapi tambah
pedih. Ada-ada saja yang menyakitkan hati aku,” keluh Jasmin berat.
“Apa yang dah berlaku ni…?” Tanya Intan lembut.
“Aku terserempak dengan mereka di KLCC tadi. Bukan main mesra lagi…” Intan
faham dan tahu siapa ‘mereka’ yang dimaksudkan. Dia meneguk minuman panas
dengan senyum nipis. Sengaja dia menyembunyikan senyuman itu untuk tidak
mengecilkan hati Jasmin. Dalam saat begitu, Jasmin amat sensitif.
“Mereka tu suami isteri. Apa salahnya mereka mesra.Kau pun mesra dengan Faridkan?”
“Tapi, aku tak boleh terima hakikat tu,”
“Min, kau bukan sehari dua dimadukan. Dan hampir lima tahun. Tidakkah dalam
masa itu kau mampu mengubat hati kau tu?”
“Bukan saja tidak mampu mengubatinya Intan. Malah semakin lama semakin
sakit. Parah sekali. Lukanya tidak pernah berhenti berdarah,”
“Sekarang apa kau nak buat?”
“Aku rasa aku nak ke mahkamah dan membuat permohonan cerai.Lebih baik aku hidup sendiri daripada aku menanggung derita macam ni…”
Jasmin merenung lantai. Karpet bulu kambing buatan Turki yang terhampar itu dikuis-kuisnya
dengan hujung kaki.
“Tapi, kau kena fikir betul-betul dulu Min. Fikirkan masa depan dan
perasaan anak-anak kau. Jangan ikutkan hati marah kau tu.”
“Habis kau masih nak suruh aku sabar? Kau tak rasa apa yang sedang aku
rasa. Semua orang pandai cakap supaya aku bersabar. Mereka tidak berada di
tempat aku,” sangkal Jasmin dengan cepat.
“Aku faham perasaan kau tu Min. Kau ingat aku tak pernah merasainya. Aku
pernah merasakannya. Cuma keadaan kita yang berbeza. Kau merasa sakit kerana
merasa cinta kau dikhianati. Dan aku? Aku merasa sakit kerana menyintai suami orang dan dalam masa yang sama aku juga
kesakitan kerana hakku diambil orang. Rasanya aku lebih parah dari kau Min.
Cuma, aku mampu mengawal diri.” Intan memandang Jasmin. Jasmin tunduk. Dia mati
akal untuk meningkah kata-kata Intan.
Apa yang Intan katakan semuanya benar belaka.
“Aku lalui semua keperitan ini demi anak-anak. Aku tidak mahu anak-anakku
hidup tanpa kasih sayang seorang ayah. Lagipun, aku menyintai suamiku sepenuh
hati. Cinta melebihi segalanya Min.
Kalau kita menyintai sesaorang, kita akan sanggup melakukan apa saja termasuk
berkongsi kasih dengan orang lain,”
“Tapi, sampai bila aku akan mengorbankan diri aku untuk anak-anak. Hubungan
kami semakin renggang. Farid terlalu dingin kepadaku, ”
“Aku rasa bukan dia yang membuatkan hubungan kalian dingin. Kau sendiri
yang tidak mahu melayaninya macam dulu. Itu salahnya kau,”
“Aku tidak mampu melupakan begitu saja kecurangannya Intan.”
“Kecurangan?”
“Ya, aku setia dengan sepenuh hati. Tapi senang-senang saja dia
mengkhianatiku dan berlaku curang terhadapku. Kenapa lelaki macam tu?”
“Tapi, aku rasa dia tidak pernah mengabaikan kau.Dan kecurangannya adalah kecurangan yang halal dan bersih. Kau mahu suami
kau terus diburu noda dan dosa? Lebih
baik dia bernikah secara halal daripada dia menyimpan perempuan lain dan hidup
dengan dosa sepanjang hayat. Min, kita kena banyak bertolak ansur dalam hal
ini,”
“Aku tidak mampu menjadi seperti kau Intan. Kau lain. Aku lain.”
“Memang kita lain Min. Tapi keresahan kita adalah sama. Cuma berbeza cara
kita menentukan diri kita sebenarnya. Selain dari berkorban untuk anak-anak,
kau juga harus menyandarkan diri kepada ketentuan takdir. Kalau Allah
mengkehendakinya begitu, tidak ada sebab lagi untuk kita makhlukNya membantah.
Oleh itu aku rasa, daripada kau ambil keputusan tergesa-gesa itu, lebih baik
kau terima hakikat ini. Kau cuba berbaik-baik dengan madu kau tu. Mungkin ini
akan menyenangkan hati Farid,”
“Apa? Kau nak suruh aku berbaik-baik dengan perempuan sial itu? Kau nak aku senangkan hati Farid sedangkan
hatiku sendiri tidak pernah senang dengannya?”
Jasmin
semakin sinis. Intan merenung raut wajah kawannya yang semakin kelat.
“Tidak salah kalau kau berlembut dan memujuk hati kau untuk memikat
hati Farid. Kalau kau asyik nak menentang kehendaknya, sampai bila pun dia
tidak akan berpaling kepada kau. Lelaki selalunya ego Min. Tapi keegoan itu
dapat dicairkan dengan kelembutan dan belaian seorang wanita. Contohnya Azura
tu. Mungkin kerana sikap tolak ansur dan lemah lembutnya tu yang mencairkan ego
si Farid,” ujar Intan lagi. Jasmin menoleh ke arah Intan dengan cepat.
“Intan Fariha! Kau sekarang memihak aku atau memihak perempuan tu.
Kalau kau nak suruh aku berbaik dengan dia,
forget it! Sampai mati pun
aku tidak akan mengalah dengan perempuan itu….”Jasmin membeliakkan matanya.
Intan menggelengkan kepala. Kemudian dengan tersenyum sinis, dia mengadap muka
Jasmin.
“Puan Jasmin, tolonglah ketepikan dulu ego kau tu. Cuba mengalah
sikit. Tidak salah kalau kita mengalah. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.”
“Tidak. Aku kata tidak, tidak. Aku tidak bersalah. Buat apa aku nak
mengalah!” Tengking Jasmin dengan suara meninggi dan marah. Intan tidak
mahu mengalah.
“Habis siapa yang salah? Dan kau nak siapa yang mengalah?Farid dan Azura dah mengalah dengan kau. Tapi, kau tetap juga kata mereka
tak betul. Aku pun tak faham pendirian kau,” jawab Intan pula. Jasmin diam. Ada
secalit kekesalan terkesan di wajahnya. Intan tahu Jasmin marah dan tidak mampu
menerima semua kata-katanya itu. Kenyataan itu amat memedihkan jantung
hatinya.
“Min, aku cuma memberikan pendapat aku.Kalau kau nak terima, terimalah. Kalau kau rasa ia tak sesuai dengan
pendirian kau, lupakan saja. Aku cuma nak tengok kau dan Farid happy, that’s
all,” kata Intan akhirnya untuk
mententeramkan hati Jasmin. Mendengar itu, perlahan-lahan kemarahan Jasmin
reda.
“Intan, maafkan aku kalau aku berkasar dengan kau. Tapi, aku betul-betul
buntu….aku sudah hilang semangat untuk meneruskan rumah tangga ini. Setiap saat
hatiku diburu rasa cemburu dan geram. Jadi macam mana lagi aku harus hidup
dengan Farid,” Jasmin mengeluh perlahan. Tiba-tiba Intan rasa begitu simpati dengan
keadaan Jasmin itu.
“Kau sabarlah dulu. Mungkin ada jalan untuk mengembalikan kebahagiaan rumah
tangga kau itu.Cuba bertenang dulu….”Pujuk Intan. Lama mereka terdiam sambil
melayani fikiran masing-masing.
“Eh!Kau percaya pada bomoh tak?” Tiba-tiba Jasmin
menoleh kepada Intan.
“Entahlah. Tapi aku rasa itu mengarut.Kenapa kau tanya?” Tanya Intan pula. Dia rasa sangsi dengan pertanyaan itu.
Kalau boleh dia tidak mahu Jasmin terlibat dengan perkara yang bukan-bukan.
“Ada staff aku beritahu di kampungnya ada seorang bomoh terkenal
yang boleh mengubat semua penyakit terutama penyakit macam aku ni. Apa pendapat
kau kalau aku cuba….”
“Kau nak ubatkan apa?”
“Aku nak buat biar Farid bencikan perempuan itu dan menceraikan dia.Biar Farid kembali kepadaku. Biar hanya aku isterinya, macam dulu. Aku
tidak mahu berkongsi lagi Intan,”
“Min, aku tak sangka seorang yang berpendidikan moden macam kau percaya
pada benda-benda macam ni. Aku rasa tak baik kau buat macam tu. Berdosa
meruntuhkan sebuah masjid. Itu namanya kau melawan kehendak Allah. Jangan Min,
aku tak mahu kau menanggung dosa….”
“Ah! dosa itu ada di mana-mana. Dia merampas Farid dari aku, itupun kira
berdosa juga,”
“Aku tidak nampak dia merampas Farid dari kau. Aku tengok Farid melebihkan
kau dalam semua hal. Dia hanya menumpang kasih Farid. Dan dia pun tak minta
keadaan ini berlaku. Mana ada perempuan yang suka berkongsi kasih. Mana ada
manusia yang suka pada kesusahan. Tapi dia tidak mampu menolak takdir yang
ditentukan kepadanya,” ujar Intan penuh hati-hati.
“Kenapa kau ni suka sangat menyebelahi dia?” Sekali lagi Jasmin melenting.
Renungannya tajam. Dadanya tiba-tiba
sesak. Dia terasa seperti dikhianati.
“Aku bukan menyebelahi mana-mana pihak Min. Tapi aku berkata mengikut apa
yang sebenarnya aku nampak.Aku pun tak kenal sangat dengan Azura tu…”
kata Intan dengan wajah kesal. Dia meneguk minuman yang masih berbaki.
“Maafkan aku…..” Kata Jasmin perlahan setelah menyedari ketelanjuran
kata-katanya dan perubahan yang jelas di wajah Intan. Mungkin Intan berkecil
hati. Itu yang paling membimbangkannya. Dia takut kehilangan seorang kawan yang
setia mendengar seperti Intan. Walaupun mempunyai ramai kawan, tapi tidak
ada yang sudi mendengar dan sabar macam
Intan. Kebanyakan mereka yang lain hanya akan meracuni lagi fikirannya yang
sudah kacau bilau. Mereka ibarat jarum yang menyocok pada hati yang sudah sedia
terluka. Pedih dan menyakitkan!
“Untuk apa kau nak tunggu lelaki macam tu Min? Kalau aku, aku minta cerai
saja.Cari saja jantan lain. Dia ingat, dia saja
boleh buat. Kau tu bukannya jenis wanita yang tak laku. Petik jari saja,
berderet yang akan datang.Silap-silap haribulan, kau kena interview lelaki yang datang
tu!” Kata seorang rakan.
“Lelaki…mereka ingat mereka saja yang boleh buat. Kalau mereka
boleh, kita pun boleh!”
“Apa yang kita boleh buat? Kita terikat dengan hukum yang tidak
menghalalkan isteri berlaku curang di belakang suami.”
“Kita tak perlu berlaku curang. Kita minta cerai dan kita cari lain
yang lebih bagus dari dia!”
“Kalau dapat yang lebih teruk dari yang ada macam mana?”
“Kita cari yang terbaik. Buat apa nak cari yang tak baik,”
“Cakap memang senang. Tapi kita takkan dapat membaca hati orang.
Masa belum dapat, jalannya pijat semut pun tak mati. Dah dapat, gajah pun dia
boleh pijak. Dia menjadi hantu kepada segala hantu!” Itulah antara kata-kata
teman yang tahu kisah yang terjadi padanya. Jasmin mengeluh perlahan. Keresahan
dan keharuan yang membekam di dadanya terasa semakin berat dan tidak
terbendung.
“Tak apalah Min. Aku faham perasaan kau yang bercelaru tu. Apapun,
aku harap kau akan bertindak menggunakan akal yang waras bukan mengikut nafsu.
Kalau kau terlampau mengikut nafsu, akhirnya kau akan kecundang juga. Sebab itu
aku selalu suruh kau menyerahkan diri kepada Allah. Kuatkan semangat kau dan
banyakkan berdoa. Kau akan mendapat ketenangan dan kebahagiaan Min…” Kata Intan
dengan bersungguh-sungguh.Jasmin mengeluh dan gelisah. Dengan longlai
dia bangun dan minta diri untuk pulang. Intan menghantarnya hingga ke kereta.
Tanpa senyum, Jasmin terus memecut keretanya dengan laju. Intan arif dengan
perangai Jasmin. Dia tidak suka diajar dan ditegur. Dia tidak suka mengaku
kalah. Dan dia tidak suka kalau ada orang yang menentangnya.
Jasmin memandu dengan gelisah yang membekam. Kata-kata Intan bersimpang
siur dengan ingatan kemesraan Farid dan Azura yang dilihatnya siang tadi. Lalu
sepanjang jalan itu, Jasmin berfikir dan menilai dirinya : Maniskah madu yang
sedang dihirupnya ini…?
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.