Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 16

16

BADLI mengemas semua barang-barang peribadi miliknya. Semuanya dimasukkan ke dalam kotak yang diambil dari stor pejabat. Tidak mahu berhutang walau sesen pun dengan syarikat, dia memasukkan sepuluh ringgit ke dalam tabung kebajikan syarikat untuk beberapa kotak buangan itu.

“Kau serius nak berhenti, Bad?”

“Kau nampak aku tengah kemas barang, kan?”

“Aku hairanlah Bad…kau bertelagah apa dengan ayah kau sampai kena halau ni?”

“Aku nak kahwin!”

“Apa?”

“Aku nak kahwin! Do not repeat that question!

Pesannya, tegas. Hakim dapat menghidu ketegangan dalam diri Badli kerana Badli bukan manusia yang mudah melatah. Berputus asa jauh sekali dari sifatnya.

“Dengan siapa? Sejak bila? Hei, Bad! Kau serius ke? Kena jampi ke apa kau ni?”

Hakim duduk di atas bucu meja sahabatnya itu. Terkejut dengan apa yang diluahkan oleh Badli, dia bagai sebuah pistol, memuntahkan pelbagai soalan tidak henti-henti.

“Hari ni saja, ada lima puluh kali kau tanya aku serius ke tak! Muka aku macam badut ke? Kau tengok muka aku, ada rasa nak gelak tak?”

“Janganlah tegang sangat, babe! Aku tak pernah tengok kau marah macam ni…Dahlah membabitkan hal yang kau tak pernah fikir pun seumur hidup. Kau nak kahwin dengan siapa ni? Sampai bertegang urat dengan ayah sendiri,”

“Kau datang ke majlis akad aku nanti ye, Hakim. My mother also couldn’t get permission to attend my akad ceremony. Aku tak ada sesiapa lagi dah sekarang ni! Ayah tak bagi aku balik rumah dah,”

“Hah! Nekadnya kau, Bad! Hal yang serius macam ni, apa kata kalau kau pertimbangkan semula keputusan kau. Minta maaf dengan ayah kau,”

“Pertimbangkan semula? Minta maaf?! Aku rela keluar rumah lagi dari minta maaf dengan ayah. Untuk apa aku minta maaf? Ayah cuma panggilan dari kecil, aku pun tak tahu apa sebenarnya peranan dia sebagai ayah. Patutlah Azlan keluar rumah dulu lagi! Aku saja yang bodoh!”

Badli meletakkan sebahagian kotak yang telah siap dikemas di sebelah kerusi tetamu. Foto ketika hari graduasi ditatapnya seketika. Dahulu, dia hampir menjadi jurutera marin tetapi disebabkan ayah, dia mengorbankan cita-citanya sejak kecil. Syarikat yang hampir lumpuh itu dibangunkan dengan susah payah selama tiga tahun, dan kini, apabila empayarnya mula melebar, dia disisihkan dengan begitu mudah.

“Aku tak tahu apa sebenarnya masalah kau dengan Tuan Rosli. Sama ada hal perkahwinan atau ada hal yang lain. Rupanya dalam senyap banyak juga hal kau yang aku tak tahu. Patutlah sejak akhir-akhir ni kau selalu menghilangkan diri,”

“Masalah keluarga aku tolak ke tepi.Cuma aku mohon sangat jasa kau, tolong ambil alih dua projek aku yang in progress tu secara rasmi. Tapi jangan risau, walaupun tak lagi bekerja dalam syarikat tu, aku akan tolong kau dari belakang.Macam mana pun aku akan uruskan segala-galanya sampai siap,”

“Badli! Badli! Nekadnya kau! Tak sangka aku,”

“Rupa aku pelbagai, Kim! Jangan lupa datang ke majlis akad aku nanti, ya!”

Hakim mengangguk. Dia kemudian membantu Badli mengangkat barang-barang yang telah siap dikemas hingga tiba di kereta sahabatnya itu.

“Good luck, Bad!”

Ucap Hakim sambil memeluk erat sahabat lama yang dikenali sejak mula-mula menjejakkan kaki menara gading.

“Nampaknya kau kena bersiap ke Johor ni!”

Usik Badli, masih lagi ketawa. Hakim turut ketawa walaupun rasa simpati lebih tebal ketika itu. Badli dibuang keluarga sedang dia masih bekerja dalam syarikat keluarga sahabatnya itu. Pasti sukar buat Badli dengan apa yang berlaku.

* * * * * * * *

BADLI terus memeluk Hajah Fatimah ketika wajah tua itu muncul dari belakang kaunter. Hari-hari yang bakal dilalui pasti sukar selepas ini kerana jalan yang dipilih ditentang habis-habisan oleh ayahnya.

“Umi dah ada pembantu?”

“Dah ada beberapa orang yang datang bertanyakan kerja, cuma umi saja yang belum buat keputusan,”

“Umi kena jaga diri baik-baik, ya. Jangan biarkan Dina pijak kepala umi lagi lepas ni!”

“Ayah cakap apa pada Bad?”

Badli senyum sahaja mendengar soalan Hajah Fatimah. Dia duduk di atas sofa tetamu, begitu juga dengan Hajah Fatimah. Kusut benar raut wajah anaknya itu.

“Tak ada apa yang penting, umi. Cuma Bad takkan balik lagi ke rumah tu,”

“Badli!”

“Umi jangan risau, walau ke mana pun Bad pergi, Bad akan selalu jenguk umi, ya?”

“Umi tak sangka begini kesudahan anak-anak umi, semua ambil keputusan untuk keluar dari rumah,”

“Ayah tak bagi umi ke majlis akad Bad dengan Atirah!”

Hajah Fatimah terus senyap apabila Badli bercerita tentang keputusan ayah mengenai perkahwinannya. Kisah Badli mengingatkannya akan kisah perkahwinannya tiga puluh tiga tahun yang lepas.

“Kenapa anak-anak umi mesti berpecah, Bad?”

“Bad dah tak ada rasa hormat pada ayah, umi! Lagipun Bad sakit hati dengan perangai Dina yang selalu campur urusan Bad, selalu nak menang. Bad tak boleh tengok muka dia lagi, umi! Daripada bergaduh hari-hari, lebih baiklah Bad keluar. Tambah pulak ayah dengan Dina tak mahu terima Atirah,”

“Umi dah tua, Bad! Umi nak tengok keluarga kita bersatu, aman, harmoni, bukan saling membenci, terutama pada ayah. Walau buruk macam mana pun ayah, dia tetap ayah Bad,”

Badli termenung seketika. Kata-kata umi tiada salahnya tetapi hati yang pernah lembut suatu ketika dahulu mulai menjadi keras, mulai menjadi batu. Alangkah indah andai ayah juga mahu memahami. Tidak menimbangkan sesuatu hanya bersandarkan kata-kata anak kesayangannya.

“Betul ke keputusan Bad nak mengahwini Atirah? Bad tak menyesal?”

“Kenapa, umi? Umi macam tak setuju saja? Umi pun tak sudi terima Atirah dalam keluarga kita?”

“Bad kena faham betul-betul. Walaupun umi sayang Atirah macam umi sayang anak sendiri, tapi itu tak bermaksud umi menyokong semua tindakan Bad terutama bila ayah marah Bad habis-habisan mengahwini Atirah. Restu ibu bapa tu penting, Bad…Umi tak mahu nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.Keluarga dah ditinggalkan, rumah tangga haru-biru,”

“Maksudnya umi pun tak setuju?”

* * * * * * * *

SEMUA pakaian dan barang peribadi yang difikirkan penting telah siap dikemas. Semuanya sudah dimasukkan ke dalam bonet kereta. Mungkin itu kali terakhir dia menjejakkan kaki ke dalam rumah itu. Rumah yang didiami oleh sebuah keluarga yang porak-peranda. Keretakan secara senyap itulah yang menyebabkan dia juga mengambil keputusan untuk keluar, mencari nafas sendiri untuk meneruskan hidup. Mungkin itu kesilapannya yang paling besar kerana tidak berdikari dari awal.

“Ayah halau abang Bad, kan?”

“Kau sibuk kenapa?”

“Eh, yang halau abang tu ayah…bukan Dina…yang abang Bad nak marah sangat dengan Dina ni kenapa?”

“Tak payah berpura-puralah…benci aku! Patutlah Lan pun keluar dari rumah ni, rupanya dia pun benci tengok muka kau!”

Beritahunya, jujur meluahkan kemarahan. Dia tidak mahu memendam lagi kebencian pada Irdina. Hajah Fatimah yang baru selesai menunaikan solat Asar, mendekati anak-anaknya.

“Cukuplah Irdina…Tak puas lagi ke? Kenapa nak disakitkan lagi hati abang tu? Badli tu abang kandung Irdina, bukan orang luar…dari dulu Dina tak pernah nak hormatkan abang-abang Dina. Jangan besar kepala sangat! Jangan sampai esok kena melutut nak minta maaf. Ingat, hidup kita ni tak ubah macam bola…sekejap di atas, sekejap di bawah!”

“Melutut? Oh, no! Melutut hanya sesuai untuk orang buangan saja, umi...Dahlah, malas nak layan umi dengan abang, buat sakit hati saja...tanya elok-elok pun kena marah jugak,”

Kata Dina lalu meninggalkan abang dan emaknya. Hanya ayah yang sentiasa menyokong setiap keputusannya selama ini sedangkan dua orang abang dan emaknya sentiasa membantah. Sebab itu dia tidak betah berbaik dengan mereka bertiga.

“Umi jaga diri dan kesihatan ya! Bad mungkin dah tak macan dulu dapat teman umi selalu,”

“Jangan khuatirkan umi...Bad nak tinggal di mana lepas ni?”

“Tak tahu lagi…rasa macam nak merantau...mungkin ke KL, mungkin ke Penang,”

“Doa umi sentiasa bersama Bad,”

“Terima kasih, tolong doakan juga kebahagiaan rumah tangga Bad,”

Hajah Fatimah hanya membalas dengan senyuman. Tidak mampu untuknya menjawab lebih dari itu kerana bimbang air matanya tumpah di hadapan anak yang bakal meninggalkannya. Tidak menanti jawapan dari uminya, Badli terus memeluk Hajah Fatimah.

* * * * * * * *

“ALONG nak ajak adik dan abang ikut along,”

Jelasnya ketika Faizal dan Firdaus menghampirinya. Tiada senyuman dari raut wajah dua beradik itu untuk menyambut kedatangannya ke situ.

“Kami tak mahu ikut along!”

“Kami tak mahu hidup susah macam along…abang dengan angah dah penat hidup susah!”

Beritahu Firdaus, kuat. Badli yang menanti dari jauh juga dapat mendengarnya dengan jelas. Baginya, belum sampai masa untuknya mencampuri urusan keluarga Atirah.

“Busuk sangat ke along di mata abang dengan angah?”

“Kenapa along tak tanya diri along sendiri? Mana janji along pada emak dan ayah? Mana janji along nak jaga angah dengan abang? Kami dah penat ikat perut bertahun-tahun. Along tak ingat dulu kita empat beradik? Sebab along tak mampu bawa Aiman berubat, Aiman dah mati! Along lupa tu? Atau along nak kami ikut along supaya kami pun mati macam Aiman mati,”

“Kenapa abang dengan angah cakap macam tu pada along? Selama ni along yang jaga abang dengan angah, kan? Takkan secepat tu rasa hormat pada kakak hilang?”

Badli yang dari tadi hanya mendengar mula mendekati tiga beradik itu. Mungkin dia bukan penasihat terbaik tapi dia tidak mahu Atirah juga menerima nasib yang sama dengan dirinya, dibuang keluarga.

“Abang cakap senanglah…Kami yang merasa, kami yang menanggung! Selama ni kalau tak kami yang cari ikan, kalau tak kami yang cari pucuk-pucuk tepi jalan tu, abang ingat kami dapat hidup macam hari ni? Nak harapkan along? Apa yang along tahu? Abang, angah…kenapa balik lewat ni? Lain kali, kalau nak keluar beritahu along dulu ye?”

Ejek Firdaus, mengimbau kembali kenangan ketika bersama. Saat itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa pedih hatinya kerana terpaksa melukakan hati Atirah. Rindu? Jika tidak kerana perjanjian dengan Faizal, sudah lama dia memeluk dan menangis di dalam dakapan Atirah. Dia rindu dengan Atirah. Kerinduan yang sangat dalam tetapi perlu dikuburkan demi kebaikan Atirah.

“Betul adik, along yang salah! Tapi tolonglah beri along satu peluang lagi supaya kita dapat bersama macam dulu…Along rindukan adik-adik!”

“Sudahlah along. Along dah besar, boleh pilih hidup sendiri.Kami pun dah pilih kehidupan kami. Dan pilihan kami, kami takkan patah balik untuk hidup macam dulu, hidup yang penuh kegelapan, penuh ketakutan.Kami nak masuk ke dalam, dah sampai masa untuk minum petang. Assalammualaikum!”

Atirah tunduk. Tidak mampu melihat saat kaki-kaki itu melangkah meninggalkannya. Jika diberi pilihan, dia juga mahukan kehidupan sempurna, dia juga inginkan kesenangan tetapi bukan semudah itu mendapat apa yang dihajati. Jika ditanya kenapa dikorbankan usia remaja begitu sahaja, adik-adiklah jawapannya!

* * * * * * * *

SEPANJANG perjalanan itu, tidak banyak perbualan antara dirinya dan Badli. Menjalani beberapa hari kebelakangan ini dengan pelbagai kesusahan tidak menjadikan dirinya seorang yang ramah. Tetapi dia hairan tentang Badli. Selama ini lelaki itu riuh bertanya atau bercerita tetapi hari ini riak wajah lelaki itu nampak tegang sahaja.

“Kita cuma ada satu sama lain saja…Saya ada Tirah, Tirah ada saya,”

Jelas Badli, seakan mengerti apa yang bermain di fikiran Atirah. Banyak yang bermain di mindanya.

“Keluarga awak tak dapat terima saya, kan?”

“Saya pun tak diterima juga,”

“Kenapa awak nekad, Bad?”

“Bila sampai satu tahap, tak ada siapa pun yang dapat mengubah keputusan yang kita buat,”

Jelas Badli. Dia cuba mencari kata-kata terbaik untuk diterangkan kepada Atirah. Jika diberitahu kebenaran, bimbang Atirah terluka tetapi dalam keadaan kedua-dua mereka menjadi buangan keluarga, dia tidak pasti penerimaan Atirah tentang hal itu.

“Umi tak dapat hadir majlis akad kita nanti,”

“Umi pun marah jugak?”

“Tak, tapi tempat umi di sisi suaminya,”

Seakan faham dengan apa yang disampaikan oleh Badli, Atirah kembali menyepi. Dia sebenarnya tidak tahu perasaan yang bagaimana harus ditonjolkan untuk perkahwinan yang bakal ditempuhinya nanti. Melihat Badli, rasa sayang dan cinta masih belum hadir, lalu bagaimana alam itu nanti? Dapatkah dia melalui alam itu nanti dengan perasaan yang penuh pura-pura. Perasaan ingin mempergunakan sebenarnya. Mempergunakan supaya dia tidak lagi dipandang rendah selepas ini, tambahan pula Badli ada karisma yang boleh memayunginya kelak.

“Kenapa tengok saya?”

“Hah...err...bila pulak saya tengok awak?”

“Tak sabar, ya?”

“Tak sabar?”

“Iyalah, tak sabar nak mencintai dan dicintai,”

“Ish, karut!”

Tolaknya, cepat. Badli menyambutnya dengan tawa yang meletus kecil. Jika tadi lelaki itu banyak mendiamkan diri, kini angin lelaki itu telah berubah. Sesekali keriuhan tercetus gara-gara usikan Badli.

* * * * * * * *

KALI pertama menjejakkan diri di dalam kondominium sewaan Badli itu, Atirah menghamparkan rasa kagum dengan hiasan dalamannya yang ringkas tetapi sungguh moden. Teringat akan rumah yang ditinggalkan di kampung. Jika dibandingkan dengan kondominium itu, seribu kali ganda bezanya. Di rumah itu, yang ada hanya tikar mengkuang yang menjadi alas tidur dia dan adik-adiknya. Di dapur pula, hanya ada dapur arang. Barang harian seperti garam dan gula hanya diletakkan di atas para. Pinggan pula hanya dilapik dengan plastik. Itupun diletakkan di atas lantai sahaja.

“Saya minta maaf ya, Atirah…hanya setakat ini yang mampu saya sediakan untuk kita,”

“Minta maaf? Awak ni biar betul? Semua dah lengkap, cukup selesa,”

Badli ketawa sahaja. Dia tahu kenapa Atirah memberi reaksi seperti itu. Atirah tidak pernah merasai keselesaan dan kesenangan. Tiada apa yang ada di rumah usang gadis itu, hatta bekalan air dan elektrik sekalipun. Kehidupan yang sangat daif dan menyentuh hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

“Saya pun sedang mencari kerja yang sesuai…kalau ada rezeki, adalah yang akan berubah nanti…Jom kita pusing rumah. Ada apa yang tak tahu boleh saya tunjukkan,”

Pelawa Badli, menarik tangannya.

“Kalau tak tarik tangan saya, tak boleh ke?”

Badli ketawa lagi, lalu melepaskan tangannya sebelum memeluk pinggangnya pula. Atirah memandangnya, meminta jawapan.

“Dah biasa!”

“Dah biasa? Dah biasa menggatal?”

“Dah biasa peluk umi,”

Usik Badli, bersahaja. Atirah yang geram, cepat-cepat meleraikan pegangan Badli di pinggangnya sebelum menolak lelaki itu supaya jauh darinya. Seperti selalu, hanya ketawa lelaki itu yang kedengaran.

“Garangnya!”

So, ni bilik utama...Suis semua ada dekat sini. Kita tengok apa yang akan berlaku...okay...ni suis aircond...Bila Atirah masuk bilik ni, onkan suisnya. Tekan butang ni, nak sejuk, nak panas, Atirah kena adjust pada remote control ni ya...Kalau nak tutup suis, tekan saja butang ni,”

Beritahu Badli panjang lebar, sambil mendemonstrasikan cara penggunaan alat kawalan jauh. Atirah mendengar sambil cuba mengingat fungsi butang-butang kecil pada alat kawalan jauh itu.

“Nah, cuba!”

“Hah?”

“Cubalah, nanti saya nak tinggalkan Atirah seorang susah pulak kalau tak belajar awal-awal,”

“Nak tinggalkan?”

“Kenapa? Tak sanggup berpisah ke? Sabarlah sayang, hujung minggu ni saja,”

“Tak sanggup berpisah? Mimpi ke apa awak ni? Nak pergi, pergilah…berbulan bertahun pun tak apa!”

“Aik?!”

* * * * * * * *

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.