11
FAIZAL
termenung di jendela tingkap. Selama hampir seminggu ini dia dan Firdaus cuba
menyesuaikan diri tinggal di tempat baru. Tanpa pengetahuan Atirah, dia dan
Faizal secara diam-diam pergi mencari perlindungan di rumah anak yatim. Simpati
pada nasib kakak yang tiada kesudahan, akhirnya dia dan Firdaus membuat
keputusan untuk pergi. Dengan keputusan itu, diharap kakaknya dapat menjalani
kehidupan yang lebih baik tanpa sebarang bebanan. Bukan tidak rasa bersalah
kerana pergi tanpa meningggalkan sebarang berita tetapi apakan daya, padanya,
itu yang terbaik buat mereka bertiga.
“Kenapa angah?”
“Entah bagaimana agaknya keadaan
along sekarang ni?”
“Angah menyesal ke?”
“Kita tak ada pilihan, abang,”
“Tapi abang rindukan rumah kita,
rindukan along,”
Beritahu Firdaus, jujur.
Sesungguhnya, walaupun dia juga ingin melihat kakaknya hidup lebih terurus,
namun dia rindu sekali pada wajah Atirah. Selama ini, pada Atirahlah dia dan
abangnya bergantung hidup sedangkan Atirah sendiri mengorbankan seluruh
kehidupannya buat dia dan abangnya, juga pada arwah Aiman.
“Angah harap abang berpegang pada
janji. Walaupun payah, kita kena cuba juga, demi along,”
Menitis air mata Firdaus ketika
Faizal menuntut janjinya. Jika diikutkan hati, dia tidak mahu melakukannya. Tak
ingin sama sekali, tetapi apakan daya. Dia juga ingin melihat kakaknya hidup
bahagia tanpa bebanan.
“Abang
ada angah. Kita di sini tak bermakna kita melupai along. Satu masa nanti, bila
kita dah boleh berdikari, kita akan cari along sampai jumpa. Tapi angah tahu,
dalam masa terdekat ni along akan jumpa kita cuma angah mahu abang kotakan
janji.Walau susah
macam manapun, kita tak akan berpatah balik,”
*
* * * * * * *
SESUDAH
menziarahi kubur arwah Hajah Asmah, Atirah mengayuh perlahan basikal tuanya
menuju ke sekolah Faizal dan Firdaus yang terletak kira-kira 15 kilometer dari
rumah mereka. Selain menunggu perkembangan dari pihak polis yang tidak pernah
kunjung tiba, dia berusaha juga ke sana
ke mari untuk mencari adik-adiknya. Ketika tiba di pondok pengawal, dia ditahan
pula oleh pengawal keselamatan yang bertugas.
“Cik nak ke mana?”
“Saya nak jumpa cikgu Ashraf. Ada hal penting,”
“Kat sini semua orang beritahu ada
hal penting nak masuk ke dalam…Cik mungkin orang yang kesejuta beritahu benda
yang sama,”
Tersentap Atirah mendengar
sindiran pengawal keselamatan itu. Penampilannya mengundang marah orangkah?
Mengapa setiap kali dia ke mana-mana hanya sindiran yang diterima? Dia
sebaiknya cuba
menjawab soalan tanpa sebarang prasangka tetapi yang selalu diterima semula
ialah komen dan sindiran yang menyakitkan hati.
“Kalau boleh saya nak jumpa Cikgu
Ashraf hari ni juga…mustahak sangat encik, tolonglah!”
Tidak peduli akan sindiran itu,
dia merayu lagi.
“Awak ni nampak muda lagi, macam
budak tak sekolah aje…Nak jumpa Cikgu Ashraf buat apa? Ada hutang dengan dia ke? Takkan awak tak
tahu yang dia dah bertunang?”
“Saya tak peduli tentang urusan
peribadi dia...Saya ke sini kerana urusan persekolahan adik-adik saya. Saya
nampak macam hantu pun tak berkudis buat saya, janji saya dapat jumpa Cikgu
Ashraf,”
Tegasnya lagi. Hanya kerana dia
mahu bertemu dengan Cikgu Ashraf, jika tidak sudah lama dia memberi pelajaran
kepada pengawal keselamatan itu. Bengkak hatinya mendengar sindiran tidak
berasas pengawal keselamatan itu. Adakah dia dibayar gaji untuk mengutil semua
rahsia peribadi kakitangan di sekolah itu?
“Tak boleh jumpa Cikgu Ashraf
sekarang…Dia tengah mengajar. Lepas waktu sekolah nanti baru boleh jumpa,”
“Tak apa…saya tunggu,”
“Tak boleh tunggu sini…Nak tunggu,
tunggu di luar!”
Atirah tidak menjawab, sebaliknya
dia terus memusingkan basikalnya menuju ke luar pagar sekolah. Ada sebuah pondok menunggu bas di situ, lalu dia
menongkat basikalnya dan duduk menunggu di situ. Seingatnya, dia keluar awal
pagi menuju ke kubur arwah Hajah Asmah. Terik mentari pun belum menyengat
tubuhnya, mungkin ketika itu baru pukul sepuluh pagi. Anak-anak remaja yang
dari tadinya jarang kelihatan di sekitar kawasan sekolah mula memenuhi
perkarangan sekolah. Tajam juga matanya mencari, kalau-kalau kelibat adiknya
yang berdua itu ada di sekitar kawasan sekolah, biar pun hanya mencari dari
jauh. Akhirnya, dia hanya mampu menghela nafas panjang-panjang.
Masa
terus berlalu, dan dia hanya menyedarinya ketika dilihat ramai pelajar mula
keluar dari pintu sekolah. Dicari juga kelibat adiknya yang berdua itu, mana
tahu ada di celahan pelajar yang mula keluar dari kawasan sekolah. Lama
mencari, akhirnya Atirah bangun mendapatkan semula pengawal keselamatan yang
hanya duduk di pondok keselamatan sekolah sambil bergelak ketawa dengan
beberapa orang pelajar perempuan.
“Minta maaf encik, saya nak
berjumpa dengan Cikgu Ashraf, boleh?”
“Eh, dia ni lagi! Tak ada, tak
ada! Cikgu Ashraf dah balik. Kalau nak jumpa dengan dia kena buat temujanji
dulu. Kalau tak, tak boleh jumpa!”
“Pagi tadi encik kata saya boleh
jumpa dia selepas waktu persekolahan….Lepas waktu sekolah, encik kata kena buat
temujanji pula…Saya menunggu dari pagi tadi, encik!”
“Saya kata tak boleh, tak
bolehlah! Awak ni tak faham bahasa ke? Ingat senang-senang orang luar boleh
masuk ke dalam? Kata urusan sekolah adik-adik, entah-entah urusan hati tergadai
body, tak?”
Sinis pengawal itu disambut gelak
kecil pelajar-pelajar perempuan yang bersembang dengan pengawal itu. Hatinya
yang memang sedia sakit dengan layanan yang diberi sejak pagi tadi bertambah
parah rasanya. Wahai hati, bersabarlah!
“Saya memang tak faham bahasa…Saya
tak belajar tinggi macam encik…Encik sekolah tinggi, kan? Berapa tingkat? Sepuluh tingkat?
Seratus tingkat? Sebab terlalu cerdik, encik pun mohon kerja sini, kan? Dah dapat kerja
bukan buat kerja tapi duduk berkipas sambil tergelak-gelak dengan anak dara
orang,”
“Oi, mulut!”
“Apa hal ni?”
* * * *
* * * *
ATIRAH
memandang ke arah lain ketika Pengetua Sekolah Menengah Sri Tanjung memberi
nasihat kepada pengawal keselamatan sekolah itu mengenai layanan buruk yang
diberi terhadap pelanggan sekolah itu. Sebelum beredar, sempat juga pengawal
keselamatan itu merenung tajam ke arahnya, seakan berdendam.
“Sebenarnya dah dua kali saya
terima aduan mengenai pengawal keselamatan yang seorang ni…cuma kebetulan ia
berlaku depan mata, nak bertindak berdasarkan cakap-cakap orang sebelum ni,
saya kira tak adil untuk orang yang diadu….”
Beritahu pengetua yang bernama
Abdul Rahman itu sebaik sahaja pengawal keselamatan yang tidak bernama itu
keluar dari biliknya. Atirah tidak menjawab sebaliknya dia hanya berkira di
dalam hati tentang keperibadian lelaki separuh abad itu. Bicaranya yang tenang,
senyuman yang terukir di bibir, sekurang-kurangnya itu petanda bahawa dia bisa
membantu Atirah, setidak-tidaknya dengan membenarkannya bertemu dengan Cikgu
Ashraf.
“Katanya cik nak berjumpa dengan
Cikgu Ashraf?”
“Betul, saya ada hal penting
tentang adik-adik saya…Dah seminggu adik-adik saya tak balik ke rumah. Sebab tu
saya ke sini, kalau-kalau adik-adik saya masih ke sekolah,”
“Seminggu tak balik? Cik dah buat
laporan polis?”
“Dah tapi belum ada apa-apa
perkembangan…”
“Saya cuba panggilkan Cikgu Ashraf…itu
pun kalau dia belum balik lagi,”
Beritahu Encik Abdul Rahman sambil
menekan butang di telefon bimbitnya. Tidak lama kemudian, terdengar bicara
antara sang pemanggil dan penjawab panggilan.
“Nampaknya pihak sekolah belum
dapat membantu cik buat masa ni, tambahan pula pelajar yang dimaksudkan belum
hadir ke sekolah beberapa hari ini. Cikgu Ashraf pun dah pulang ke rumahnya,”
Hampa. Dia menerima jawapan yang
diberi oleh pengetua itu dengan perasaan yang sangat hampa. Kalau adik-adiknya
masih ke sekolah, dapat juga diikhtiarkan sesuatu untuk menjejaki mereka.
“Minta maaf cik kerana belum dapat
membantu tapi saya beri jaminan bahawa pihak sekolah akan mencuba seboleh yang
mungkin untuk membantu cik dalam hal ni…InsyaAllah, kalau ada sebarang berita
mengenai mereka, saya sendiri akan maklumkan kepada cik,”
“Terima kasih banyak, encik,”
“Sama-sama,”
Atirah bangun lalu beredar dari
bilik itu. Perlahan dia menuruni tangga blok yang menempatkan warga pentadbiran
Sekolah Menengah Seri Tanjung. Dia hanya mengikut kaki melangkah kerana begitu
penat dengan penantian yang begitu lama tetapi tidak membuahkan hasil itu.
“Dasar perempuan kabaret! Suka
bermuka-muka,”
Atirah memandang wajah pengawal
keselamatan yang berdiri di tepi pagar. Malas hendak memanjangkan sengketa, dia
meneruskan langkahnya tanpa sebarang kata sehinggalah tiba di perhentian bas,
tempat dia meninggalkan basikal tuanya.
Ketika
baru mengayuh basikal, dia terasa seperti membawa beban. Apabila ditoleh ke
belakang, mencari punca yang tidak kena, dia melihat tayar basikalnya kempis.
Mindanya pantas terbayang wajah pengawal keselamatan yang berdiri di tepi pagar
sebentar tadi. Hatinya cukup kuat mengatakan bahawa pengawal keselamatan itu
yang memancitkan tayar basikalnya. Ketika dia menoleh ke belakang, wajah itu
menghulur senyuman mengejek sambil mengangkat tangan melambainya. Tanpa reaksi,
dia turun dari basikal lalu mengheretnya perlahan-lahan walaupun jarak sekolah
itu hampir 15 kilometer dari rumah.
* * * *
* * *
PAGI
itu Faizal dan Firdaus mengikut warden mereka, Ustaz Izzuddin menuju ke Sekolah
Menengah Sri Tanjung. Urusan persekolahan mereka mesti diselesaikan secepat
mungkin memandangkan sudah lebih seminggu mereka tidak menghadirkan diri ke
sekolah. Sudah lama Ustaz Izzuddin memujuk mereka berdua untuk menyelesaikan
masalah yang sengaja mereka cipta tetapi mereka enggan kerana belum bersedia.
Akhirnya, pagi ini mereka berada semula di
pekan Sri Tanjung. Pekan yang menyaksikan mereka bergelut untuk membesar. Pekan
yang menyimpan segala macam memori luka semenjak mereka kecil lagi.
“Betul sekolah ni sekolah kamu?”
Tanya Ustaz Izzuddin, menyentap
khayalan Faizal. Kemudian, dia hanya mengangguk sebelum mereka semua turun dari
kereta. Tahu arah mana yang patut dihalanya, mereka tiba di pejabat beberapa
minit kemudian.
“Assalammualaikum!”
“Waalaikumussalam…Hah, ni
orang-orang yang mengemparkan sekolah dah sampai!”
Faizal hanya tunduk mendengar
serangan tiba-tiba dari guru kelasnya, Cikgu Ashraf yang kebetulan berada di
pejabat ketika itu. Firdaus merapati abangnya manakala Ustaz Izzuddin pula
mendekati Cikgu Ashraf, menghulurkan tangan untuk berjabat salam.
“Saya Izzuddin dari Baiti Nur
Firdaus…Saya mencari Cikgu Ashraf dan Cikgu Assyura…Kalau boleh nak bertemu empat
mata dengan pengetua sekali,”
“Kalau mencari memang
berjumpalah…saya Cikgu Ashraf. Jemput duduk dulu… Saya cuba tengok
kalau pengetua dan HEP ada kelapangan sekarang,”
Tidak lama ditinggalkan di ruangan
tamu pejabat, Cikgu Ashraf kembali mendapatkan mereka.
“Nampak sihat awak berdua ni, ye?”
Kuat suara guru itu bertanya. Ada nada sinis dalam
pertanyaan itu. Faizal tidak menjawab. Firdaus apatah lagi. Malu sebenarnya
dengan apa yang telah mereka lakukan tetapi mungkin inilah bayaran yang
terpaksa mereka tanggung untuk mendapatkan apa yang mereka berdua mahu.
Kehidupan sempurna buat Atirah, kakak kesayangan mereka dunia akhirat.
“Encik Izzuddin, pengetua
menjemput encik ke biliknya. Rasanya lebih elok kita berbincang di bilik
pengetua,”
“Baiklah, mari!”
* * * *
* * * *
“KAMI
nak tukar sekolah, cikgu,”
Beritahu Faizal, perlahan. Ada getaran di hujung
suaranya. Sesungguhnya dia sangat takut melalui saat itu. Takut untuk
menyatakan kebenaran yang sangat pahit. Tidak mahu memilih jalan itu sebenarnya
tetapi tiada pilihan dirasakan buat mereka berdua.
“Kenapa kamu nak tukar sekolah?”
“Kami sekarang tinggal di Baiti
Nur Firdaus, cikgu. Letaknya 50 kilometer dari pekan Sri Tanjung. Kami tak
mampu mengharungi perjalanan jarak jauh setiap hari tanpa pengangkutan,”
“Oh, begitu…tapi cikgu nak tahu,
kalau kamu tinggal di Baiti Nur Firdaus, kenapa ada pihak yang mengaku sebagai
kakak kamu datang ke sekolah, bertanya tentang kamu berdua yang tak pulang ke
rumah selama seminggu?”
Mereka berdua terus tunduk
mendengar soalan Cikgu Ashraf. Firdaus mula menggigil. Penghawa dingin yang
tadinya berasa nyaman terasa seperti tidak berfungsi. Panas. Peluh mengalir
keluar dari celahan rambutnya. Kakinya pula menggeletar tanpa henti.
“Err…errr…kami tak tinggal lagi
dengan kakak, cikgu,”
“Tak tinggal lagi dengan kakak?
Kalau tak tinggal lagi dengan kakak, cuba kamu beritahu pada cikgu
kenapa dia perlu menunggu untuk berjumpa dengan cikgu dari pagi hingga ke
petang dua hari lepas hanya untuk beritahu yang kamu tidak pulang ke rumah selama
seminggu? Kenapa dia tak datang jumpa cikgu untuk tukarkan kamu terus ke
sekolah lain?”
Senyap. Suasana sepi dengan soalan
yang tidak mampu dijawab terus oleh dua beradik itu.
Ustaz Izzuddin, pengetua dan
Penolong Kanan HEP hanya mendengar dari jauh. Mereka sepakat mahu menyerahkan
hal itu kepada Cikgu Ashraf sebelum masuk campur.
“Cikgu Rahman, saya minta izin
cikgu untuk ke rumah dua beradik ni. Pada saya, kes dua beradik ni serius.
Sebelum buat sebarang keputusan, saya rasa elok kita semua jumpa kakaknya,”
“Elok benar tu Cikgu Ashraf! Saya
pun nak ke sana
juga. Biar kita selesaikan hal ni bersama. Macam mana, Encik Izzuddin?”
“Yang elok, moleklah kita
segerakan,”
“Kami tak mahu ikut!”
Tolak Faizal, kuat suara yang
dilontarnya.
“Cikgu tak beri kamu sebarang
pilihan, jadi kamu kena ikut!”
*
* * * * * * *
DIA
masih termenung di jendela. Tidak tahu apa yang patut dilakukannya kerana dia
sendiri sudah berputus harap. Terasa seperti tiada gunanya lagi dia menjalani
kehidupan yang sangat sukar itu.
“Kakak tak beri kami
makan…kadang-kadang kami teguk air masak untuk alas perut. Siang malam kena
tolongnya buat kerja rumah...Siapa yang boleh tahan, cikgu?”
Tersentap saat mendengar luahan
angah di hadapan beberapa orang guru sekolahnya. Atirah langsung membisu. Tidak
dapat ditangkis serangan bisa yang langsung tidak diduga datang dari adiknya
sendiri. Selama ini mereka jarang merungut, malah sentiasa sedia membantu
tetapi dalam diam, rupanya bantuan yang mereka beri itu telah berubah menjadi
nanah yang telah merebak dan tidak mampu untuk sembuh lagi.
“Kami tak tahan, cikgu…Kami dah
tak tahan hendak tinggal bersama kakak lagi…orang lain balik sekolah ada
peluang belajar tapi kami kena buat macam-macam kerja untuk hidup,”
“Sampai jumpa makanan tepi jalan
pun, kadang-kadang kami dipanggil pencuri, dipukul, dimarah…tapi kakak? Kakak
tak boleh buat apa-apa untuk melindungi kami. Janji kakak untuk jaga saya dan
abang pada arwah mak dan ayah hanya tinggal janji,”
Firdaus yang mulanya menyepi juga
menokok.
“Angah
nak jadi doktor! Boleh along tunaikan? Abang nak jadi jurutera! Macam mana
Along nak tunaikan cita-cita kami kalau along tak mampu nak uruskan pelajaran
kami pun.Cuba cikgu ke dapur, cikgu tengok apa
yang dia sediakan untuk kami kalau betul dia mahu kami berdua pulang ke rumah!”
“Along bukan yang terbaik buat
adik-adik. Betul, along tak mampu beri apa yang adik-adik mahu. Along tak mampu
lindungi adik-adik, cuma ingatlah, di rumah ini, tempat ini, walau di mana
adik-adik berada, maafkan along kerana menjadi kakak adik-adik dunia dan
akhirat. Encik, cikgu-cikgu, silakan! Jika itu yang mereka mahu, saya izinkan
abang dan angah pergi,”
Cukup setakat itu. Dia tidak mampu
menyingkap lagi episod semalam. Hatinya robek mengenang saat perpisahan yang
harus dilaluinya. Sendu. Dia hendak menangis, mahu menangis sepuasnya dengan
apa yang berlaku tetapi matanya degil, tidak mahu mengeluarkan walau setitik
pun air mata.
“Atirah!”
Sapa seseorang, lembut. Lama dia
tidak mendengar lembut suara itu menyapa. Lama. Dia menoleh dan mendapatkan
Hajah Fatimah dan anaknya, Badli yang sudah berdiri di muka pintu.
“Kenapa Tirah termenung? Umi minta
maaf sebab lama tak menjenguk Tirah. Umi ada urusan keluarga di Sabah. Apa perkembangan adik-adik? Ada berita dari polis?”
“Tirah dah jumpa adik-adik, umi!”
“Iya? Alhamdulillah, akhirnya doa
kita dimakbulkan, Tirah. Mana adik-adik? Umi nak jumpa adik-adik,”
Atirah sekadar senyum, tetapi
senyuman itu tiada nyawa. Kemudian, perlahan-lahan senyuman itu mati.
“Tak ada, umi. Adik-adik tak mahu tinggal
dengan Atirah lagi. Kata mereka Tirah tak mampu jaga mereka, tak mampu beri apa
yang mereka mahu,”
“Hah?”
“Astaghfirullahhalazim…”
Umi beristighfar, perlahan.
“Habis ke mana mereka sekarang? Ke
mana mereka pergi selama ni?”
Atirah tidak menjawab soalan Badli
secepatnya. Hajah Fatimah memandang wajah kusam seorang kakak. Sebagai seorang
ibu dia faham apa yang dirasakan oleh anak gadis itu. Akhirnya Atirah memeluk
dirinya, tetapi gadis itu tidak menangis. Seingatnya wajah itu tidak pernah
menitiskan air mata di hadapannya. Yang selalu dilihatnya hanya wajah muram,
wajah tegang, wajah tenang dan senyuman yang jarang-jarang.
“Mereka sekarang tinggal di Baiti
Nur Firdaus…rumah perlindungan untuk anak-anak yatim piatu,”
“Tirah merelakan?”
“Apa lagi yang Tirah boleh buat,
umi?Tirah tak mahu berpisah dengan adik-adik. Sepenuh hati Tirah
sayangkan adik-adik tapi adik-adik tak mahukan Tirah lagi umi,”
* * * * * * * *