21
“CANTIKNYA
suasana malam di sini!”
“Tahu pun…hari tu jual mahal
sangat! Dahlah tiket dengan penginapan ada orang taja,”
Balas Badli, mengambil tempat di atas kerusi
rehat yang tersedia di luar penginapan mereka. Bintang-bintang bertebaran,
menghiasi dada langit. Walaupun tidak menikmati erti bulan madu sepenuhnya,
namun dia bersyukur kerana sedikit demi sedikit Atirah sudah mula menunjukkan
perubahan sikap dengannya. Sekurang-kurangnya Atirah tidak marah-marah lagi
seperti sebelumnya.
“Saya suka tengok cara hidup
penduduk kampung ni…baik, ramah!”
“Sebab tu pepatah Melayu kata jauh
perjalanan, luas pemandangan,”
“Pepatah tu sesuailah untuk orang
senang macam awak,”
Badli tidak menjawab. Tiada niat
di hati untuk mencuit petala hati isterinya yang paling dalam, tapi kadang kala
butir bicaranya tergelincir juga dari landasan.
“Lusa kita berangkat balik, ya?”
“Lusa?”
“Hmm…kenapa, tak puas ke?”
“Tak sangka tempat ni
mendamaikan…Hilang rasa susah di hati,”
“Eh, susah hati? Banyak sangat ke
masalahnya?”
“Rindu pada adik-adik, Bad!”
Luahnya, perlahan. Terkenang akan
adik yang berdua itu memang mengundang sayu. Entah mengapa, adik-adik sendiri
membelakangkannya sedangkan selama ini mereka begitu akrab, saling membantu
sesama sendiri.
“Kita akan jenguk adik-adik bila
peluang mengizinkan. Jangan bimbang! Saya tak akan abaikan adik-adik Atirah
kerana adik-adik Atirah adik-adik saya juga,”
“Janji!”
“Janji…”
Balas Badli, menggenggam tangan
isterinya biar sekejap cuma. Dugaannya tepat, sekejap sahaja, Atirah menarik
kembali tangannya dari genggaman Badli. Nafasnya dilepas berat. Berapa lama
lagi agaknya masa yang diperlukan Atirah untuk menerima dirinya dengan sepenuh
hati.
*
* * * * * * *
FAIZAL
merenung slip keputusan peperiksaan yang baru diterima pagi tadi. 8A, 1D! Huruf
D nampak cacat pada slip itu! Kecewa dan sedih silih berganti. Walau sudah
diusahakan sebaik mungkin, namun keputusan peperiksaannya masih belum
memberangsangkan. Memang diakui, dia lemah dalam Bahasa Inggeris tetapi dia
tidak pernah berputus asas. Saki baki masa yang ada sebelum peperiksaan pun,
dia masih bertemu dengan guru, bertanyakan tentang Bahasa Inggeris. Mungkin
rezeki tidak berpihak padanya kali ini. Banyak soalan yang tidak difahami
ketika dia sedang berjuang tempoh hari. Faizal mengeluh panjang. Dia merenung
kipas yang berputar ligat. Bilah-bilah usang itu dikira berkali-kali.Ada
peluang lagikah buatnya untuk masuk ke aliran Sains sedangkan keputusannya
tidak seberapa? Adakah dia masih punyai harapan untuk menakluki hari depan
sedangkandia bukan siapa-siapa?
“Angah, jom kita riadah!”
“Abang pergilah, angah pening
kepalalah,”
“Ke angah sedih lagi pasal
keputusan periksa?”
“Tak, angah pening kepala, abang
pergilah main dulu! Nanti bila dah okay, angah pergi padang, ya?”
“Okay!”
Jawab Firdaus, lantas menapak
keluar dari asrama mereka. Faizal kembali berbaring. Tangan disilangkan di atas
dahi sedang minda ligat mengerah andaian.
Andai masa bisa diputar, pasti dia
akan bersungguh-sungguh menghadapi peperiksaan. Andai masa bisa diputar, akan
dipastikan segala kelengkapan sempurna sebelum berjuang. Andai misi
perjuangannya berjaya, pasti kini dia tersenyum gembira. Andai...
“Faizal!”
“Kenapa di sini?”
Soal Ustaz Izzuddin. Faizal
bingkas bangun apabila disapa begitu. Dia turun dari katilnya di tingkat atas
lalu mendekati Ustaz Izzuddin.
“Saya…saya pening, ustaz!”
Jawabnya, gugup. Tidak berani
menentang pandang wajah warden asramanya, dia hanya tunduk sambil bermain
dengan jari-jemarinya.
“Pening memikirkan keputusan
periksa?”
“Mmm,”
“Apa lagi yang dirunsingkan,
Faizal? Belum cukup dengan apa yang ada, ya?”
“Bahasa Inggeris saya, D saja,
ustaz!”
“Tak apa, Faizal…jika diizinkan,
Faizal ada banyak lagi masa nak memperbaiki apa yang kurang,”
“Tapi saya nak masuk kelas Sains,
ustaz!”
“Iya…ustaz faham perasaan kamu. Setiap insan
punya cita-citanya sendiri, tapi sejauh mana pula dia berikhtiar untuk memenuhi
cita-citanya? Mungkin ini ujian buat Faizal...Jadi, untuk hal yang sedikit ini,
redhalah...”
Faizal merenung kakinya pula.
Nasihat Ustaz Izzuddin belum mampu mengikis segala kekusutan yang melekat kuat
di tepian mindanya.
“Saya bimbang, ustaz...Ini sajalah
harapan yang saya ada. Sejak dulu lagi saya bercita-cita nak jadi doktor, tapi
keputusan saya ni tak bagus, ustaz...Macam mana saya nak capai cita-cita saya
ni?”
“Faizal, kita sebagai hamba,
sangat perlukan Allah...Dari langit hingga ke bumi, udara yang kita hirup,
malah rasa gembira sekali pun semua kurniaan Allah. Faizal fikir semula, adakah
huruf-huruf yang tercatat dalam slip keputusan Faizal itu hasil dari jerih
payah Faizal? Kalau tidak kerana kurniaan Allah, minda yang satu itu pun tidak
dapat berfikir, apatah lagi hendak menggerakkan tangan untuk menulis
jawapan...walau bagaimanapun keadaannya, sebagai hamba, janganlah kita
mengkufuri dengan nikmat Allah. Merungut itu pun satu tanda kufur akan nikmat
Allah. Selagi diberi keizinan, usahalah...Jika diberi ujian, tabahlah
menghadapinya...”
“Ada satu rahsia dalam ayat 7, surah Ibrahim,
iaitu, “Dan ketika TuhanMu memaklumkan:
‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu
dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya, azabKu amat pedih’.”
“Maksudnya ustaz?”
“Orang-orang yang bersyukur, tidak
mengeluh dengan apa yang diberi kepada mereka, maka Allah akan gandakan lagi
apa yang telah diberi. Jika Faizal punyai sedikit harta dan berilmu tetapi
Faizal bersyukur dengan apa yang Faizal miliki, InsyaAllah, janji Allah nikmat
itu akan berganda, tetapi kalau Faizal kufur dengan apa yang diterima, sentiasa
berasa tamak, bersedialah dengan azab yang disediakan buat hamba-hamba ini,”
Jelas Ustaz Izzudin dengan panjang
lebarnya. Faizal melihat kedua-dua belah tangannya. Bulu roma yang tegak
berdiri cukup menggambarkan betapa takutnya dia akan azab yang disebut oleh
Ustaz Izzuddin. Mungkin tiba masanya untuk redha dan menerima ujian yang diberi
supaya hatinya juga bertambah tenang.
“Memang saya tak bersyukur,
ustaz!”
*
* * * * * * *
“AWAK
nak air?”
“Boleh juga,”
Jawab Badli, ringkas. Mereka baru
tiba setelah hampir seminggu meninggalkan kondominium itu. Badli menarik dua
buah beg beroda sedang Atirah mengambil minuman buatnya.
“Airnya, Bad!”
“Mmm, terima kasih!”
Badli duduk di birai sofa,
menikmati air yang masuk melalui halkum. Seluruh tubuh berasa nyaman dek
kehausan itu walaupun hanya beberapa teguk air yang dapat diminum dalam satu
nafas.
“Sedap air mineral ni, kan?”
“Nyanyuk ke apa awak ni?”
Balas Atirah, sinis. Dia mahu
ketawa tetapi ditahannya tawa itu lalu dia bingkas bangun menuju ke dapur
setelah mengambil gelas air yang dihulurkan oleh Badli.
“Nak ketawa tapi ditahan-tahan.
Jarang jumpa insan penjeruk rasa ni. Entah apalah dosa ketawa dengan suami
sendiri,”
Atirah tidak menjawab walaupun dia
mendengar soalan itu sayup-sayup. Tangannya leka mencuci gelas lalu membilasnya
dengan air bersih.
Baginya,
hal seperti itu bukan isu kerana dia memang begitu sejak dahulu lagi. Dia
begitu kerana persekitarannya dan sifat itu dibawa hingga kini, hingga menjadi
teguran Badli.
Selesai
tugasan kecil di dapur, Atirah mengambil tempat di atas sofa. Dia membongkok
lalu mengambil keratan akhbar yang disimpan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Bertemu dengan apa yang dicari, wajahnya berbuah senyuman.
“Kertas apa tu?”
“Iklan...permohonan untuk SPM
tahun depan, calon persendirian...saya ingat saya nak daftar, boleh kan?”
“SPM? Atirah belum ambil SPM ke?”
“Belum...dulu belum berpeluang,”
“Jadinya Atirah ada sijil PMR
aje?”
“Kenapa? Tak percaya ke?”
Soalnya, ingin melihat reaksi
Badli mengenai dirinya. Walaupun baru sepuluh hari mengahwini lelaki itu, namun
keraguan mengenai niat lelaki itu memperisterikannya tetap ada. Jika Badli juga
mencelanya, dia tidak kisah kerana dia sudah biasa menghadapinya.
“Dah berapa lama Atirah berhenti
sekolah?”
“Dah tiga tahun. Mesti awak
menyesal kan
kahwin dengan saya?”
“Menyesal? Menyesal untuk apa?”
“Menyesal sebab isteri tak ada
pendidikan!”
Badli mengeluh perlahan. Atirah
suka benar menduganya. Bukan soal pendidikan yang menjadi isunya kerana dia
tahu latar belakang Atirah walaupun serba sedikit. Jika dia tidak bersedia
dengan hal itu, pasti bukan Atirah yang dipilih sebagai calon isterinya.
“Tak ada masalah untuk saya…tapi
saya pulangkan pada tuan punya badan…Menyesal atau tidak punya pendidikan
setakat itu,”
“Saya tak mahu menyesal, saya dah
bertekad nak sambung belajar semula,”
“Boleh….dengan syarat, bila dah
belajar nanti, semua keperluan suami tak diabaikan. Kalau Atirah tak boleh
seimbangkan hal ini, saya tarik balik kebenaran ni,”
Pesan Badli, tegas. Dia bangun
lalu meninggalkan Atirah bersendirian di ruang tamu. Tiada niat di hati untuk
menghalang Atirah menyambung pelajarannya, malah dia kagum dengan pendirian
isterinya cuma dia mahu Atirah memikirkan keputusannya dengan baik sebelum
bertindak.
*
* * * * * * *
“ALHAMDULILLAH!”
Ucapnya, bersyukur dengan berita
yang baru diterimanya. Dia berjaya mengisi pos sebagai Jurutera Marin di
Syarikat Perkapalan Sri Bungah. Kereta pacuan empat rodanya terus dipandu
membelah laluan sibuk menghala ke Jalan Bukit Gambir. Dia berjanji untuk
mengambil semula Atirah di Jabatan Pelajaran Negeri selepas setengah jam.
Hampir dua puluh minit memandu, dia tiba di pintu utama jabatan itu. Seperti
yang dijanjikan, Atirah menanti di pondok jaga. Melihat kelibat kereta
barangkali, Atirah segera mendekati lalu masuk ke dalam perut kereta.
“Macam mana?”
“Mmm, kena isi borang dalam bulan
Mac nanti,”
Jawab Atirah. Teringat akan
perbualan bersama pegawai yang memberi borang bersamanya pagi tadi, statusnya
disoal apabila melihat inai yang merah dijari. Pelbagai soalan diutara buatnya
tentang niat hendak mengambil peperiksaan tambah pula dia berkahwin pada usia
yang sangat muda. Usia mentah menurut pegawai itu.
“Bulan Mac? Ada tiga bulan lagi…nampaknya banyak yang
Atirah kena belajar mulai sekarang…Tambah pula saya dah dapat kerja. Lusa kena
lapor diri,”
“Awak dapat kerja baru? Kerja
apa?”
“Jurutera Marin…Atirah kena
bersedia, sebab kerja ni mungkin perlukan saya di laut selama sembilan bulan,
paling lama,”
“Tak apa, saya tak kisah!”
“Tak kisah? Atirah ni tak sayang
saya ke?”
Tanya Badli, cuba menduga
isi hati isterinya. Atirah tidak menjawab malah dia pura-pura tidak mendengar
soalan yang diutarakan buatnya. Lagi lama Badli di luar, lagi tenang perasaannya
malah dia lebih suka jika dibiarkan bersendirian menjalani hari-hari depannya.
Tanpa diduga pacuan empat roda itu berhenti mengejut di bahu jalan. Berkerut
dahinya memandang wajah Badli di sebelah.
“Atirah tak sayang saya, ya?”
“Awak berhenti kereta semata-mata
nak tanya hal tu?”
“Kenapa? Tak boleh?”
“Boleh!”
“Kalau boleh, jawablah soalan saya
tadi!”
“Nak berkahwin perlu sayang
semata-mata ke? Macam mana kalau sayang tapi tak percaya? Sayang tapi menipu,
sayang tapi tak ikhlas?”
“Oh, jadi Atirah yang mana satu?
Sayang tapi menipu atau sayang tapi tak ikhlas?
“Awak pulak yang mana? Sayang tapi
tak percaya?”
“Saya sayang dan ingin
disayangi…tak boleh ke awak bagi yang itu?”
Bisik Badli, merapatkan dirinya
sedikit demi sedikit. Atirah yang kelemasan dihimpit oleh tubuh sasa itu
menolak Badli sepenuh tenaganya. Sakit hatinya diperlakukan seperti itu oleh
Badli.
Badli pula hanya senyap tetapi tangannya
bingkas menghidupkan kembali enjin kereta. Keras betul hati isterinya. Hari
silih berganti sedang dia asyik bersabar dengan sikap Atirah yang jarang mahu
menghormatinya sebagai suami.
“Kita hanya ada satu sama lain
saja, Atirah!”
Badli mengingatkan sebelum memandu
laju, hinggakan tayar kereta berdesing kuat. Terhidu juga bau hangit tayar
kereta, dan dia pasti bau hangit itu datangnya dari pacuan empat roda milik
Badli.
“Nak ke mana bawa kereta laju-laju
ni?”
“Balik!”
*
* * * * * * *
“DINA
akan ketuai bahagian kewangan syarikat. Kalau ada apa yang Dina tak tahu, Dina
boleh tanya staf lain yang dah lama dalam syarikat kita ni, ya?”
“Tanya staf lain? No way, ayah!”
“Kenapa?”
“Mulai hari ni, Dina yang jaga
gaji staf syarikat ni. Jatuhlah air muka Dina kalau tanya pada kuli!”
“Hmm, suka hati Dina lah…buatlah
apa yang patut. Kalau tak faham, tanya ayah, ya?”
“Okay!”
Jawab Dina sambil senyum. Dia
duduk di atas kerusi sambil mengetuk meja beberapa kali, tanda senang hati.
Rasa tidak sabar untuk menguruskan syarikat ayah membuak-buak dalam dirinya.
Bukan semua orang bertuah dapat menguruskan sebuah syarikat pada usia muda
sepertinya.
“Jom, ayah kenalkan dengan staf bawahan Dina!”
“Tak mahulah, ayah! Dina nak rehat
kejap. Penat tau bangun pagi!”
“Kata nak jadi bos…kena bangun
pagilah,”
Usik Tuan Rosli. Dia senang
melihat wajah puterinya nan satu itu bersamanya setiap hari. Semenjak lahir
lagi, memang anak itu dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Tidak ada
sesiapa, hatta ibu yang melahirkan sekali boleh menjentik anak kesayangannya
itu. Melihat senyuman anak itu, hati dipalit bahagia.
“OkayDina, ayah keluar dululah, ya?”
“Okay, ayah! Daa,”
Dina menghantar langkah ayahnya
dengan senyuman. Kemudian, dia membelek fail kewangan syarikat. Angka terkini
menarik minatnya. Dalam fikiran telah tersenarai beberapa rencana untuk
menstrukturkan semula kewangan syarikat. Dan langkah pertama, dia akan membuat
satu memo mengenai gaji pekerja.
*
* * * * * * *
“SIAPA secretary jabatan kewangan? I nak jumpa sekarang,”
Jerit Dina dari muka pintu.
Matanya liar mencari sasaran yang dimaksudkan. Beberapa orang staf yang sedang
menjalankan tugas, masing-masing saling berpandangan sebelum bangun seorang
wanita lalu berjalan menghampirinya.
“Saya! Ada yang saya boleh bantu cik?”
“Hmm, I nak youbuat satu memo
mengenai gaji baru staf!”
“Gaji baru staf? Naik gaji ke
cik?”
“Naik gaji…youni kuat bermimpi, ya?
Okay, lets start with the first one, gaji akan dibayar mengikut banyak hari
bekerja. Satu hari tak datang, satu hari gaji dipotong. Second, jika staf mengambil cuti sakit lebih dari satu hari
berturut-turut dalam sebulan, gajinya akan dipotong sebanyak lapan puluh
ringgit pada bulan itu. Ketiga, tuntutan kewangan hanya boleh dibuat selepas
dua bulan dari tarikh invois. Keempat, bonus tahunan hanya akan diberi pada
pekerja yang mempunyai rekod kedatangan penuh. Kelima, kita akan buat potongan
gaji pada staf yang mempunyai masalah disiplin seperti menggunakan internet
untuk kepentingan peribadi…Sekarang zaman IT,
semua ada akaun facebook, twitter, jadi jika tertangkap, lima
puluh ringgit akan ditolak dari gaji staf pada bulan itu. Denda ini termasuklah
untuk mereka yang ada masalah seperti suka bersembang hingga melengah-lengahkan
kerja,”
“Jadi berhati-hati dengan apa yang awak semua
buat di pejabat ini. Mungkin dengan Tuan Rosli, staf boleh pijak kepala tapi
tidak dengan I, okay!”
Tambah Dina lagi terhadap
penerangannya yang panjang lebar. Dalam kepalanya terbayang kemajuan syarikat
yang bakal menjadi kenyataan jika semua staf bekerjasama dengan arahan yang
telah ditetapkan.
“You ni kenapa? Apa yang Iberitahu
tadi, you catat ke tidak?”
“Err…ya…ya…saya dengar! Tapi Cik
Dina betul-betul nak laksanakan peraturan baru ni ke?”
“Kenapa you tanya?”
“Err…saya rasa mesti ramai yang
tak puas hati nanti,”
Luah Linda, jujur. Selama lima tahun bekerja di
bawah Firma Extra Box Design,kebajikan
pekerja sangat diutamakan. Pengarah Firma tidak pernah lokek dengan keuntungan
yang diperolehi apatah lagi berkira dengan cuti atau bonus pekerja.
“Ramai atau you saja yang tak puas hati? I
baru suruh you catat…belum draf atau
umum pun lagi! But who cares…since I’m
the daughter of firm director, they have to listen to me. Don’t forget to tell
them that I’m going to ensure that this draft will get through my dad!”
Beritahu Dina dengan angkuh.
Setiausaha jabatan kewangan itu di pandang dari atas hingga ke bawah. Dari
hujung rambut hingga ke hujung kaki.
“Outdated!”
Luahnya, sinis. Telinga Linda
sempat menangkap sindiran lantas perasaannya menjadi panas tiba-tiba. Terasa
merah menyala mukanya menahan malu walaupun sindiran itu tidak ditujukan secara
nyata untuknya, tetapi dia tahu. Dia faham lirikan mata itu memandangnya.