17
BADLI
menunggu kedatangan seseorang dengan sabar. Menghampiri waktu yang dijanjikan,
dia membaca akhbar yang dibelinya tadi. Baru hendak membaca, bahunya ditepuk
seseorang.
“Mimpi apa kau, Bad?”
“Mimpi ngeri, sama macam kau!”
“Aku percaya.Kalau
tak ngeri, takkan kau cari aku.Kita ni nama saja sedarah daging, tapi hakikatnya kau-kau,
aku-aku,”
“Aku nak kahwin hujung minggu ni,
Lan!”
Azlan ketawa tiba-tiba. Perihal
perkahwinan paling tidak disukai oleh Badli. Tidak suka komitmen katanya suatu
masa dahulu. Tiba-tiba soal yang itu yang mula-mula disampaikan oleh Badli.
Pasti sahaja hal itu kedengaran sumbang di telinganya.
“Datang nak jemput aku lah ni?”
Badli mengangguk sahaja. Jarak
umur satu tahun antaranya dan Azlan nyata tidak langsung mendekatkan mereka.
Kata Azlan, dia suka berseronok dan mempermainkan perempuan. Ya, tidak lama
dahulu, kata-kata Azlan itu benar! Tetapi kini, dia bertekad untuk berubah.
“Hah, perkahwinan anak sulung Tuan
Rosli dan Hajah Fatimah mesti besar-besaran, kan?
“Hakikatnya, majlis tu takkan dihadiri
oleh ahli keluarga kita pun!”
“Kenapa pulak? Kau kena banned dengan ayah jugak ke?”
“Aku? Nasib aku lebih malang lagi dari kau.Sekurang-kurangnya
kau keluar dengan maruah. Aku kena halau dengan ayah.Keluar dari rumah, keluar dari
syarikat!”
“Anak harapan pun kena halau?”
“Anak harapan?Kata
kau saja tu, ayah tak pernah hargai aku pun.Silap aku juga, dengar sangat kata ayah. Kalau dulu
lagi aku keluar, aman damai dah hidup aku,”
“Takkan sebab tu aje kot?”
Badli senyum sahaja. Ada lagi yang mahu dikorek
oleh Azlan rupanya. Padanya, Azlan mungkin tidak berminat dengan apa yang
berlaku dalam hidupnya. Nyata sangkaannya meleset sama sekali.
“Ayah tak bagi aku kahwin dengan
orang yang aku nak jadikan isteri, sebab Dina benci anak angkat umi tu!”
Azlan tersentak. Tiba-tiba, bayang
wajah Atirah muncul dalam mindanya saat itu. Atirahkah yang menjadi pilihan
buaya darat seperti Badli?
“Kau nak kahwin dengan Atirah ke
Bad?”
“Kau kenal Atirah ke, Lan?”
Azlan tidak menjawab lagi. Kalau
tadi, banyak juga soalan yang berputar ligat, menunggu masa untuk ditanya
kepada Badli, namun segalanya mati apabila dia mengetahui apa yang dia
tertinggal selama ini.
“Kau tebuk Atirah jugak ya, Bad?”
“Eh, kenapa lancang sangat mulut
kau ni?! Kau ingat aku jahat sangat ke?”
“Habis tu? Kau baik ke?”
“Aku datang sini bukan nak
bergaduh dengan kau, Lan!”
“Kau dengar baik-baik ya, Bad!
Selama ni kau tidur dengan berapa ramai perempuan? Lepas tu kau nak kahwin
dengan Atirah? Okay! Tapi kalau aku
dapat tahu kau jahanamkan masa depan dia, kau jaga, Bad! Kalau umi dengan ayah
tak mampu kawal kau, biar aku aje yang buat!”
Marah Azlan, tanpa diduga. Badli
langsung tidak menyangka khabar tentang perkahwinannya mengundang marah Azlan,
sehinggakan ada banyak pasang mata menoleh ke arah mereka berdua. Suka atau
tidak, dia harus akur dengan kemarahan adiknya itu.
“Aku dah berubah, Lan!”
“Mulut manusia…Kau buktikan dulu!
Baru aku percaya,”
* * * *
* * * *
SYED
AQID berpuas hati dengan sentuhan akhir Badli. Banglo mewah miliknya kelihatan
ala hotel kini.
“Impressive Mr. Badli...Not only me but the whole family like your touch
so much,”
“It’s not only me, Tuan Syed but the whole group is working hard to
fulfill your wish. If the results suits your wishes, it’s a bonus for us,”
“I like your attitude, Bad! You are very humble but good in leading,”
“But the truth is I am not that good enough, Tuan Syed!”
Syed Aqid ketawa sahaja. Bukan
mudah rupanya mengangkat anak muda itu ke atas. Kerja yang disiapkan itu
katanya hasil usaha bersama. Betul, Badli memang sesuai mendukungi tampuk
kepimpinan bagi apa-apa sahaja organisasi. Pasti pada akhirnya, dia mampu
memajukan apa atau siapa sahaja yang dipimpinnya.
“Come Badli, I want to buy you drink!”
“Owh, I appreciate your kindness a lot Tuan Syed but I can’t make it today
because I’m rushing back to Penang,”
“Penang? If I’m not mistaken your house
is in Pekan Sri Tanjung, right?”
“Not anymore, Tuan Syed…I am a jobless now!”
“Sorry?!”
“A long story, Tuan Syed. Actually, interior is not my field…I am a marine
engineering degree holder before…Perhaps this is the best time for me to move
on…move into my line again,”
Beritahu Badli, serba ringkas.
Sebolehnya, apa yang berlaku di dalam keluarganya tidak sampai ke pengetahuan
orang luar. Sebab itu jika ditanya mengapa, dia rela memberitahu bahawa dia
mahu kembali ke dunia asalnya. Dunia perkapalan, dunia lautan. Bukan dengan
mencanang cerita bahawa dia dan ayahnya tidak lagi sependapat.
“Unbelievable…I guess you are really interior designer, but now I am
wrong…You are fake but honestly, your touch is totally true!”
“You praise me a lot, Tuan Syed!”
“A lot? You deserve to have much more, Badli! Hmm...actually, I know a lot
of shipping people…If you are interested in, why don’t you go and find them?”
Badli menyambut beberapa keping kad nama yang
dihulurkan oleh Syed Aqid. Dia membalasnya dengan senyuman. Padanya, besar erti
mempunyai nama-nama individu yang terlibat dalam industri perkapalan.
“Just mention my name and they will understand!”
“Thank you, Tuan Syed! You helped me so much!”
* * * *
* * * *
AZLAN
merenung komputer di hadapannya. Semenjak semalam, dia tiada hati hendak
menyiapkan kerjanya. Lama tidak menjenguk umi, dia ketinggalan pelbagai perkara
termasuklah mengenai Atirah. Langsung tiada dalam fikirannya bahawa Badli akan
mendekati Atirah kerana dia kenal benar sikap Badli yang hidung belang, mata
keranjang itu. Pantang nampak perempuan cantik lagi seksi, semua akan menjadi
mainannya. Kadang-kadang hairan juga, mengapa dalam sebegitu ramai perempuan
yang ditiduri abangnya, tiada seorang pun yang hamil. Jika ada, pasti Badli
akan belajar bagaimana menjaga maruah perempuan selepas apa yang dilakukan
terhadap mereka.
“Aku dah berubah, Lan!”
Terngiang-ngiang lagi pengakuan
itu di dalam benaknya sehingga kini. Sejauh mana benarnya pengakuan itu, dia
tidak pasti. Apa yang dikesali sehingga kini, bagaimana Atirah yang pemalu itu
mahu menjadi isteri Badli.
Sebenarnya,
dia juga punyai hati terhadap Atirah tetapi belum tiba masanya untuk
berterus-terang lagi. Baru bertemu beberapa kali, dia bimbang jika pertemuan
yang singkat itu akan dijadikan alasan untuk menolak ikatan yang mahu
dijalinkan bersama gadis itu. Tetapi itulah harga yang perlu dibayar akibat
melengah-lengahkan masa. Akhirnya, Atirah akan menjadi kakak iparnya. Sesungguhnya,
biar sejauh manapun hubungannya dengan Badli, namun darah yang mengalir dalam
badan mereka, tetap darah yang sama. Tak akan berubah waima dia meminum racun
sekalipun.
Getaran
dari meja mengejutkan lamunannya. Nama umi muncul dari skrin telefon bimbit
lalu dia terus mengangkatnya.
“Assalammualaikum! Lan apa
khabar?”
“Waalaikumussalam, umi…Lan sihat
seadanya. Umi sihat?”
“Alhamdulillah, hari ni umi dapat
lagi menghirup udara di bumi Allah ni,”
Azlan perasan akan kelainan
kata-kata umi. Ada
sendu dihujung kata-kata itu. Apa agaknya yang berlaku dalam keluarganya sejak
akhir-akhir ini memandangkan hampir empat bulan dia tidak pulang menjenguk umi.
“Kenapa umi? Dina masih dengan
keras kepalanya lagi ke? Atau soal ayah?”
“Bukan hanya Dina, anak-anak umi
semua keras kepala…Entah di mana silap umi sampaikan begini sudahnya,”
Tersentap jantungnya mendengar
luahan rasa ibunya. Luahan seorang ibu
yang mencari kesalahan sendiri atas kedegilan anak-anaknya. Mengerti akan
masalah dalaman ahli keluarganya yang tidak pernah sekata, dia hanya melepaskan
keluhan.
“Lan minta maaf, umi! Lan anak
yang degil,”
“Tak apalah, Lan! Mungkin ada
hikmah yang besar buat umi disebalik kedegilan anak-anak,”
“Umi…”
“Lan, abang Bad nak kahwin hujung
minggu ni…kalau boleh umi nak Lan hadir bagi pihak umi,”
“Err..tapi umi,”
“Kasihankan abang Bad, Lan! Dia
nak kahwin dengan Atirah tapi ayah dengan Dina membangkang habis-habisan. Umi
sendiri pun tak diizinkan ayah ke majlis abang Bad. Kasihan Atirah, sudahlah
yatim piatu, dalam keluarga kita pun dia tak diterima. Entah apa dosanya pada
Dina sampai dibenci begitu sekali. Akhirnya, Badli pun keluar sebab
bersungguh-sungguh hendak memperisterikan Atirah,”
Azlan hilang kata-kata. Buntu
hendak menolak permintaan umi. Walaupun tiada siapa yang tahu akan perasaannya
terhadap Atirah, tetapi itu tidak bermakna dia boleh berpura-pura.
“Umi…Bad ada kursus-”
“Kursus hujung minggu? Azlan, umi
tahu jauhnya hubungan Lan dengan abang Bad macam langit dengan bumi, tapi tak
boleh ke dalam soal ni, Lan mengalah. Apa salahnya bagi sokongan pada abang Bad
supaya dia tidak keseorangan. Apa perasaan Lan kalau Lan di tempat abang Bad?”
Lama dia menyepi sebelum bersetuju
untuk ke majlis akad nikah Badli. Selepas menamatkan perbualan dengan uminya,
Azlan menggosok mukanya berkali-kali. Marah dengan apa yang bakal dilaluinya
hujung minggu nanti. Kesudahannya, dia yang teruk memendam rasa. Sudahlah
terpaksa memendam rasa, terpaksa pula menonton kegembiraan Badli disamping
Atirah.
* * * *
* * * *
“KENAPA
awak muram aje dua tiga hari ni?”
“Entahlah, banyak betul perkara
yang berlaku di luar jangkaan!”
Maisarah duduk di hadapan Azlan
walaupun tidak dipelawa. Sejak tiga tahun bekerja di bawah satu bumbung yang
sama, walaupun bukan di bawah syarikat yang sama, Azlan ramah dengan
kawan-kawannya. Mudah menghulur pertolongan apabila diminta. Tetapi hari ini,
beberapa kali memanggil, namun Azlan langsung tidak menjawab.
“Kalau tak keberatan, apa yang
berlaku di luar jangkaan tu?”
“Apa? Err…awak nak dengar ke
cerita saya, Mai?”
“Apa salahnya,”
“Hmm…Ini mengenai dua dan satu…”
“Dua dan satu? Apa yang dua? Apa
yang satu?”
“Bukan apa…siapa!”
“Hah!”
“Saya dan abang
saya…dua…Atirah…satu!”
Maisarah ketawa. Dari tadi dia
tertanya-tanya juga tetapi kini tidak lagi. Walaupun nampak muram, tetapi Azlan
masih mesra bercerita. Masih cuba
menghiburkan diri.
“Cinta tiga segi ke?”
“Tak ada segi pun…Cinta dua hala,
saya aje yang menyibuk di tengah-tengah!”
“Maksudnya, syok sendiri?”
“Hah? Eh, buruknya bunyi…syok
sendiri,”
Ulang Azlan, perlahan. Dia tersipu
malu pula bila Maisarah berjaya mengungkai separuh dari rahsia hati yang
tiba-tiba terpendam dan tiba-tiba terluah itu.
“Si polan berdua tu nak kahwin dah
hujung minggu ni,”
“Oh…tu yang muram semacam aje tu,
ya?”
“Hmm…mungkin salah saya jugak.
Bila dah terlambat baru nak menyesal,”
“Apa kata awak ikut teori
terkemuka ni?!”
“Teori apa?”
“Redhalah Azlan dengan ujian yang
diberi pada awak…Sesungguhnya apabila awak redha, hilang segala sakit di dada,
tenang rasa di jiwa…Apalah sangat dengan sedikit rasa kecewa berbanding
penderitaan mangsa pelarian yang tempat tinggalnya di bom setiap hari,”
Tersentak dengan nasihat yang
menyusup masuk begitu halus ke dalam saraf telinganya, Azlan kehilangan
kata-kata buat seketika. Tak semena-mena dia malu dengan Maisarah. Apalah
sangat rasa kecewa yang sedang didepaninya hingga sanggup membiarkan orang lain
menjadi beban dengan mendengar kisah yang tidak seberapa itu.
“Terima kasih atas nasihat yang
cukup berkesan…malu saya pada awak,”
“Malu pada saya? Saya sama macam
awak, Azlan…seorang manusia yang seringkali buat kesalahan demi
kesalahan...Patutnya kita berasa malu pada Pencipta kita bila gagal menghadapi
ujian yang diberi dengan sabar, kan?”
Azlan senyap lagi. Terasa diri
kerdil pula bila berbual-bual secara peribadi dengan Maisarah. Banyak lagi yang
belum dipelajari rupanya.
*
* * * * * * *
FAIZAL
menghampiri Firdaus yang menunggunya di tepi pondok pengawal. Memang setiap
kali tamat persekolahan, mereka akan bertemu di situ sebelum sama-sama pulang.
“Abang rindukan along! Abang nak
jumpa along!”
“Abang dah janji dengan angah, kan? Kita tak mahu
susahkan along lagi...Ingat tak?”
“Abang tak kisah tangkap ikan
hari-hari, janji kita hidup macam dulu dengan along,”
Faizal senyap sahaja. Kalau
diikutkan hati, dia tidak mahu langsung menjejakkan kaki ke rumah perlindungan
anak yatim seperti itu tetapi hatinya berasa sakit setiap kali melihat wajah
Atirah. Rasa terkilan dan kecewa kerana menjadi beban kepada seorang gadis yang
hanya berumur lapan belas tahun sedangkan Atirah sepatutnya menikmati waktu
remajanya.
Batu-batu
kecil yang menjadi peneman perjalanan mereka setiap hari disepak beberapa kali
oleh Firdaus. Kemudian, dia berhenti sebelum menyepak sebiji lagi batu kecil
sekuat-kuat hatinya, melepaskan rasa marah yang berbuku di dalam hati. Faizal
menarik beg yang tergalas di bahu Firdaus sebelum menepuk lembut bahu itu.
“Orang lain semua ada keluarga
tapi kita? Kenapa kita kena berpura-pura bencikan along? Kenapa angah? Kenapa
kita tak boleh bebankan along? Kan
kita memang tanggungjawab dia?!”
“Tak boleh, abang…Kita memang tak
boleh bebankan dia…Abang tak simpati pada along ke? Sejak dari umur enam belas
tahun dia jaga kita tiga beradik, tapi apa yang dia ada? Berhenti sekolah?
Kerja? Abang tak cuba
fikir ke macam mana masa depan along nanti bila dia terpaksa mendahulukan kita
lebih dari diri sendiri. Abang tak pernah tengok along makan sisa makanan kita?
Tak pernah?”
Firdaus berhenti berjalan. Dia
duduk mencangkung di hujung pagar sekolah sambil menarik-narik rambutnya. Buntu
memikirkan jalan keluar bagi masalah yang sedang dihadapi.
“Angah janji, bila habis aje
sekolah nanti…kita sama-sama cari along! Tiga tahun aje lagi,”
“Along nak terima kita ke, angah?
Angah tak ingat kita burukkan along macam-macam?!”
Faizal tidak menjawab, sebaliknya
dia duduk seperti Firdaus. Merenung masa depan yang masih kelam. Alangkah
baiknya jika mereka tidak perlu buat keputusan seperti itu. Tetapi dia tidak
tergamak menjadi adik yang mementingkan diri. Jika boleh, dia sendiri yang mahu
gantikan tempat along tetapi dia perlu lakukan sesuatu. Dia perlu belajar
bersungguh-sungguh supaya mereka bertiga tidak perlu hidup daif selama-lamanya.
*
* * * * * * *
“KITA
nak ke mana, ustaz?”
“Kita nak ke Pulau Pinang…Along
Atirah nak kahwin esok, jadi Faizal kena jadi wali pada majlis akadnya,”
“Along nak kahwin…”
Ulangnya perlahan sambil memandang
Firdaus. Perasaan yang tersentak mula dihujani dengan rintik-rintik kesedihan.
Hubungan yang mula renggang terasa kian jauh dengan berita yang disampaikan
oleh Ustaz Izzuddin. Dia membuang pandang ke luar.
“Kenapa diam?”
“Saya layak jadi wali ke ustaz?”
“Apabila kamu sudah baligh, kamu
layak dan seharusnya menjadi wali kepada kakak kamu selepas ayah kamu meninggal
dunia,”
“Tapi saya masih bersekolah,
ustaz!”
“Tiada masalah sama ada kamu masih
bersekolah atau telah bekerja, atau kamu menganggur…Yang penting kamu memenuhi
syarat menjadi wali, iaitu kamu sudah mencapai usia baligh, lelaki, merdeka dan
adil,”
Faizal diam lagi. Kemudian dia
memandang Firdaus yang langsung tidak berkata atau bertanya apa. Adiknya hanya
menunduk apabila mata mereka bertemu.
“Macam mana kalau saya tak mahu
jadi wali, ustaz?”
“Macam mana? Hadis riwayat Bukhari
ada memberitahu mengenai sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud: Apabila disia-siakan amanah itu, maka
nantikanlah saat kehancuran… Ustaz tak mahu menjatuhkan boleh atau tidak
boleh kerana menurut ustaz, hadis tadi sudah cukup untuk kamu dalami maksudnya
sama ada boleh atau tidak boleh-”
Faizal tidak dapat menjawab. Hadis
yang disampaikan oleh Ustaz Izzuddin cukup membuatkan bulu romanya tegak.
Amanah Allah tidak sepatutnya dipersia-siakan oleh hambaNya. Jadi, mahu ringan
atau berat beban yang dipikul, amanah yang tergalas di bahu harus dilaksanakan.
“Wali itu termasuk dalam rukun
perkahwinan menurut Islam, Faizal, Firdaus…Kalau kekurangan salah satu rukun,
maka tidak sahlah perkahwinan itu. Kamu mahu majlis pernikahan kakak kamu
menjadi bahan bualan orang sebab walinya tidak mahu hadir? Perkahwinan itu kan satu ibadah...Perkahwinan
itu juga satu amanah yang perlu kita laksanakan untuk menambah bilangan zuriat.
Takkan kamu nak menghalang ibadah kakak kamu?”
Faizal menarik nafas, dalam-dalam
lalu melepaskannya perlahan-lahan. Sukarnya membuat satu keputusan.
“Saya faham, ustaz…tapi saya minta
satu sahaja. Selepas majlis akad tu, saya nak balik terus ke Baiti Nur Firdaus.
*
* * * * * * *