Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 1 ~Tak Mengapa, Sayang

KILAT yang berdentum di luar sana masih jelas kedengaran.Ada kalanya, pancaran cahayanya menakutkan. Tingkap yang tidak ditutup dengan kemas sudah mula memainkan peranannnya secara automatik.Tidak perlu dipaksa kerana ia bisa terbuka dan tertutup dengan sendiri hingga mengganggu khayalannya. Atirah mengangkat wajah lalu melemparkan pandangan ke arah adik-adiknya yang leka menyiapkan tugasan sekolah mereka. Buat beberapa ketika, rasa kasih disulami rasa simpati meresap hingga ke segenap ruang dirinya. Sudah tiga tahun hidup mereka seperti itu. Sejak pemergian arwah emak dan ayahnya ke Rahmatullah, tugas menjaga adik-adik dan tanggungjawab mencari sesuap nasi, tergalas dibahunya.

Dia tidak kisah melakukan semua itu walaupun usianya terlalu muda untuk menggalas amanah itu. Pada usia lapan belas tahun, dia rela menempuh jalan yang berliku demi adik-adiknya.

“Along, adik laparlah,”

Panggilan si kecil itu mematikan lamunannya. Sejenak, wajah si bongsu itu dipandangnya buat beberapa ketika sebelum dia menghadiahkan senyuman buat Aiman.

“Adik dah lapar, ya?Kita tunggu angah dengan abang siapkan kerja sekolah dulu, ya? Lepas tu kita makan,”

Putusnya, kemudian. Belum sempat dia mendengar jawapan Aiman, satu dentuman yang kuat kedengaran dekat dengan kawasan rumah mereka.Empat beradik itu saling berpandangan. Lama mereka begitu tanpa sebarang kata. Atirah yang tidak begitu selesa dengan keadaan itu segera bangun dan mengunci tingkap yang berdekatan dengannya.

“Angah dengan abang ada banyak kerja lagi ke?”

“Sikit lagi along...”

“Angah pun dah nak siap ni, along,”

“Adik boleh tuggu kejap, kan? Along hidangkan makanan, kejap lagi kita makan ye,”

“Adik tolong along, boleh tak?”

Atirah yang baru hendak melangkah ke dapur, menoleh ke arah adiknya. Sebuah senyuman dilempar buat si bongsu itu.

“Baiknya hati adik along ni, terima kasih,”

“Adik sayang along,”

Langkahnya terhenti buat kali yang kedua. Ungkapan yang tulus ikhlas itu menyusup masuk, tajam menikam kalbunya hingga air mata bertakung di lopak matanya. Tapi cukup setakat itu.Dia tidak akan membenarkan air matanya tumpah dengan begitu mudah.

“Along pun sayang adik, along sayang angah dan abang jugak,”

“Kita makan ya, along?Adik nak makan, nak cepat besar!Nanti adik boleh tolong along.Kita cari duit banyak-banyak, ya. Kita lawan dengan Pak Samad tu! Biar padan muka dia. Dia selalu marah adik, angah dengan abang,”

Angan si kecil itu membuatkan bayang lelaki tua yang selalu memusuhi adik-adiknya terpapar dilayar matanya. Bukan sekali dua, malah sudah acapkali lelaki tua itu memalukan dirinya dan adik-adik.

“Adik ni banyak cakap lah. Tadi kata nak tolong along,”

“Nak tolong along lah ni!”

“Habis tu? Nak tunggu apa lagi? Cepatlah, abang dengan angah dah lapar ni,”

Usik Firdaus sambil menjegilkan matanya ke arah Aiman, si bongsu yang berusia lapan tahun itu. Atirah hanya menggelengkan kepala. Dia kenal benar dengan sikap Firdaus kerana adiknya yang kedua itu lebih suka mengusik Aiman berbanding Faizal. Tidak menunggu lama, dia terus menuruni tangga kayu itu lalu menuju ke dapur.

“Abang nak cepat, abang ambik sendiri lah!”

* * * * * * *

RINTIK peluh yang laju menuruni pipinya diseka dengan hujung lengan baju. Petang-petang begitu, setelah pulang dari kedai Ah Sang, tempat dia mencari rezeki, dia lebih suka menghabiskan masa di belakang rumahnya. Tanah sekangkang kera itu tidak dibazirkan begitu sahaja tetapi telah dimanfaatkan sepenuhnya dengan beberapa jenis tanaman seperti ubi kayu, keledek, jagung, kacang botol dan lada. Walaupun mereka sekeluarga hidup serba kekurangan tetapi sekurang-kurangnya, hasil tanaman itu membantu mereka. Cukuplah sekadar untuk sara diri dan keluarga. Untuk menjual tanaman itu kepada orang kampung, dia tahu benar reaksi mereka yang sangat membenci ahli keluarganya itu.

Tidak tahu mengapa, sejak kembalinya arwah emak dan ayahnya ke Rahmatullah, hidup Atirah dan adik-adiknya disisihkan terus oleh penduduk kampung Seri Tanjung. Pelbagai cacian dan hinaan dilemparkan kepada mereka sekeluarga hinggakan jika berlaku kecurian atau apa sahaja kejadian buruk di kampung itu, Atirah dan adik-adiknya dahulu yang akan dituduh sebagai punca kejadian buruk itu. Dan di antara mereka semua, hanya seorang insan sahaja yang berhati mulia. Hajah Asmah yang tinggal berseorangan tidak jauh dari masjid kampung Seri Tanjung itulah yang sering membantu dan bertanya khabar. Pada wanita itu jugalah, dia dan adik-adiknya menumpang kasih.

Rumput-rumput nakal yang tumbuh di sepanjang beberapa batas tanaman itu telah dikumpulkan di satu tempat. Sebentar tadi, dia sudah siap membersihkan halaman rumah dengan bantuan Aiman. Adik bongsunya itu rajin membantunya sejak kebelakangan ini. Apa sahaja yang dibuatnya, Aiman seringkali mahu membantu.

“Angah, abang, adik!”

“Angah!”

“Abang!”

Panggilannya tidak bersahut. Atirah menggeleng sambil membawa cangkul dan menyandarkan cangkul itu ke pokok cempedak yang teguh berdiri di sebelah rumahnya. Kemudian, dia mengelilingi teratak buruk itu beberapa kali, untuk mencari kelibat adik-adiknya.

“Angah!”

“Angah, adik! Mana pulak budak bertiga ni pergi?Tadi elok aje ada di sini,”

Katanya, cukup untuk didengari oleh diri sendiri.Penat mengelilingi rumah itu, dia melepaskan penat lalu duduk di atas tangga.

“Along, adik dah balik!”

Dari jauh, suara Aiman menarik perhatiannya. Dia hanya tersenyum sambil memanjat kesyukuran di dalam hatinya. Firdaus dan Faizal juga ada bersama Aiman tetapi mereka berada jauh di belakang. Si kecil itu berlari mendapatkan Atirah yang masih menanti di atas tangga.

“Adik pergi mana ni? Dah lewat petang baru nak balik,”

“Adik pergi rumah Makcik Asmah tadi.Dia kirim jemput nangka. Nah!Makcik Asmah kirim salam pada Along,”

Atirah menyambut bungkusan plastik yang diserahkan oleh Aiman perlahan-lahan lalu meletakkan bungkusan tersebut di anak tangga yang lebih atas. Rambut Aiman diusap dengan penuh kasih sayang.

“Adik ada cakap terima kasih pada Makcik Asmah?”

“Ada!”

“Hmm, lain kali kalau nak pergi mana-mana, bagitahu along dulu, ya,”

Pesan Atirah, seperti selalu. Matanya terus melekat pada Faizal dan Firdaus yang baru berdiri di hadapannya.

“Lain kali kalau nak pergi mana-mana bagitahu lah along dulu,”

“Ala, lecehlah along ni...Kita orang pergi rumah Makcik Asmah aje, bukan pergi mana-mana pun!”

Jawab Firdaus, mengerutkan keningnya.Adiknya itu memang begitu, orangnya sedikit agresif.Dia lebih suka mempertahankan dirinya berbanding adik dan abangnya.

“Along tahulah abang, adik dengan angah pergi rumah Makcik Asmah. Along cuma nak ingatkan. Nanti kalau ada apa-apa hal, senang along nak cari. Bukan abang tak tahu, orang kampung bukan suka sangat dengan keluarga kita yang serba miskin ni,”

“Along tu yang baik hati sangat! Apa yang orang kata, along buat senyap aje,”

Atirah tidak terus menjawab. Dia sedar tentang perkara yang dibangkitkan oleh adiknya namun apalah daya yang ada padanya. Dia tidak punya harta, apatah lagi kuasa. Lalu bagaimana dia mahu menutup hinaan orang kampung terhadap dia dan adik-adiknya sedangkan mereka tidak punya apa-apa?

“Abang, kita ni orang miskin. Abang kena ingat selalu tu!”

“Hina ke jadi orang miskin, along?”

Soal Firdaus, lalu meninggalkan dia di situ bersama-sama dengan pertanyaan yang terbiar tanpa jawapan. Atirah hanya melepaskan nafasnya, perlahan-lahan. Umur empat belas tahun bukan penghalang bagi Firdaus untuk berfikir sekritikal itu.

* * * * * * *

BASIKAL tua itu diheretnya perlahan-lahan. Nasibnya tidak begitu baik kerana tayar basikalnya bocor. Perjalanan pulang ke rumah dari kedai Ah Sang yang sepatutnya hanya mengambil masa selama dua puluh minit sudah berlarutan. Di kiri kanan lorong kecil itu hanya dipagari dengan semak samun. Beberapa meter lagi, dia akan melalui rumah Hajah Asmah. Rumah kayu milik wanita berhati mulia itu sentiasa nampak menarik dengan pelbagai jenis pokok bunga menghiasi halaman rumahnya.

“Atirah!”

Panggilan itu mengalih minda sedarnya ke arah tuan empunya suara. Sekejap sahaja, dia sudah melintasi rumah Hajah Asmah dan seperti selalunya, dia akan menghadiahkan sebuah senyuman untuk Hajah Asmah.

“Kenapa dengan basikal tu, Tirah? Tayar pancit ke?”

Soal Hajah Asmah sambil mendekati Atirah dengan penyapu lidi masih berada di tangannya. Atirah segera menongkat basikalnya di bahu lorong kecil itu lalu menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Hajah Asmah yang sudah dianggap sebagai keluarga sendiri.

“Entahlah makcik, hari ni dia buat hal pulak. Tayar bocor masa lalu depan balai raya tadi,”

“Bocor? Di depan balai raya? Jauhlah kamu heret basikal ni?”

Atirah hanya tersenyum mendengar soalan yang bertubi keluar dari mulut Hajah Asmah. Sifat keibuan wanita yang berusia lebih dari separuh abad itu sentiasa mekar walaupun anak-anak tidak berada di sisi.

“Tak sedar pun masa berlalu, makcik.Tahu-tahu dah nak sampai rumah pun,”

Jawab Atirah, lembut. Hajah Asmah hanya menguntum senyum. Dengan lembut, bahunya digosok oleh Hajah Asmah.

“Tirah mesti penat, kan? Singgahlah rumah makcik dulu, kita minum petang dulu, ya?”

“Terima kasih, makcik. Tirah bukan tak mahu singgah tapi dah lewat sangat ni. Adik-adik mesti risaukan Tirah,”

Tolak Atirah dengan lembut. Memang pada saat dan ketika itu, hanya wajah adik-adik yang terbayang di layar matanya. Pasti mereka ternanti-nanti akan kepulangannya.

“Tak apalah kalau macam tu, tapi Tirah tolong makcik, ya? Tolong bawakan ubi rebus ni untuk adik-adik, ya?”

“Makcik, janganlah susahkan diri!”

Balas Atirah, menolak. Dia segan sebenarnya hendak menerima buah tangan dari Hajah Asmah lagi Tidak ada jawapan dari Hajah Asmah melainkan tangannya yang digenggam mesra. Ada senyuman terukir di bibir tua wanita itu.

“Tolong makcik ya, Tirah?”

Tidak terdaya lagi hendak menolak, Atirah mengangguk sahaja walaupun dia tidak inginkan begitu. Terlalu banyak bantuan yang telah dihulur oleh Hajah Asmah hinggakan perasaannya kian terbeban. Menerima bantuan Hajah Asmah setiap kali ibarat menambah berat yang dipikul oleh wanita tua sedangkan dia sepatutnya cuba meringankan tanggungan itu.

* * * * * * *

SELESAI menyiapkan hidangan tengahari, Atirah menyiapkan dirinya ala kadar untuk ke kedai runcit Ah Sang, tempat dia mencari rezeki selama tiga tahun ini. Semalam, angah telah menampal tayar basikalnya yang bocor, jika tidak, pasti dia terpaksa berjalan kaki untuk ke kedai Ah Sang yang terletak kira-kira empat batu jaraknya dari rumah mereka. Atirah berdiri di pintu rumah, mencari kelibat adik-adiknya di tempat mereka selalu berkumpul, namun hampa.

“Angah, Abang, Aiman! Naik cepat, kita makan...Along dah nak pergi dah ni,”

Laungnya sambil menuruni anak tangga. Hari minggu seperti itu, selain menjerat burung di pinggir hutan, adik-adiknya suka menangkap ikan di sungai yang terletak di belakang rumah mereka. Tetapi setelah dicari, kelibat adik-adiknya masih tidak kelihatan.

“Angah, abang, adik!!”

“Ish...mana pulak budak-budak ni pergi? Kita nak cepat ni,”

Rungutnya sendirian. Atirah melepaskan nafas namun kakinya terus menyusun langkah, mencari kelibat adik-adiknya. Gelak ketawa riang menampar telinganya, membuatkan dahinya berkerut seribu. Atirah menggeleng apabila matanya menangkap kelibat adik-adiknya yang bertiga itu sedang asyik melakukan sesuatu.

“Angah, bawak adik-adik balik! Balik makan dulu. Along dah nak pergi kedai Ah Sang dah ni,”

Laung Atirah dari belakang. Faizal memanjangkan lehernya, memandang ke arahnya apabila namanya disebut. Tanpa membantah, Faizal mencuit bahu adik-adiknya dan mereka bertiga meninggalkan kerja mereka sebentar tadi. Aiman berlari mendahului abang-abangnya lalu mendakap Atirah. Sebuah senyuman dihadiahkan buat si bongsu itu sambil tangannya mengusap lembut rambut Aiman.

“Buat apa tadi? Along panggil, tak seorang pun menyahut?”

“Kita orang tengah buat jerat tadi, ingat nak tangkap ayam hutan kejap lagi,”

Firdaus terus memberitahu. Ketika itu mereka berempat sedang jalan beriringan menuju ke teratak buruk mereka.

“Along bukan nak halang tapi kalau boleh, janganlah pergi jauh-jauh sangat. Bahaya kalau masuk dalam hutan tu,”

“Kalau termasuk kat tanah orang kampung, lagi tak elok, boleh buat orang marah,”

Pesannya lagi. Nasihat seperti itu memang tidak pernah lekang dari bibirnya kerana dia bimbang adik-adiknya terlupa yang mereka sekeluarga tidak disukai oleh penduduk kampung itu. Maklum sahaja, anak-anak yang membesar tanpa ibu dan ayah, pasti sahaja dianggap buruk budi pekertinya walaupun hakikatnya tidak seperti itu.

“Ala, bosanlah along. Asyik duduk kat sini aje. Dah berapa tahun dah macam ni... sekali sekala abang nak jugak main bola kat padang nu,”

“Ha’ah lah along....Adik pun nak main bola jugak!”

“Adik nak main bola? Adik pandai main bola ke?”

Usiknya sambil mencuit dagu Aiman.

“Adik pandailah!”

Bela si kecil itu sambil memuncungkan bibirnya. Atirah ketawa kecil melihat reaksi adiknya itu. Ketika sampai di tangga rumah, Atirah mengambil air dari tempayan yang terletak di tepi tangga. Aiman mendahului abang-abangnya, menghulurkan kakinya untuk dibasahkan.

“Boleh tak along?”

Tanya Firdaus ketika sudah berada di hadapannya. Atirah tidak menjawab, sebaliknya dia terus menjirus kaki adik-adiknya dan akhir sekali, dia melakukan perkara yang sama pada kakinya sendiri. Semenjak arwah emak dan ayahnya meninggal dunia, dia yang bertanggungjawab menjaga dan membesarkan adik-adiknya tetapi permintaan adik-adiknya itu, kedengaran kecil di telinganya namun ia begitu berat untuk ditunaikan. Bukan niat hendak menyekat kebebasan adik-adiknya namun kelibat mereka berempat tidak pernah disenangi oleh penduduk kampung itu. Sebab itu dia lebih suka mengelak dari mengubati.

“Angah, jangan bawa adik-adik main jauh. Kalau nak main jugak, main dekat sini aje. Kalau pergi jauh-jauh, rumah ni tak ada orang nak jaga,”

“Siapa nak masuk rumah kita ni, along? Rumah pun nak roboh, buruk, letak dekat hutan pulak tu, kalau ada orang tengok rumah kita ni, mesti orang ingat rumah hantu!”

Sinis sahaja Firdaus menuturkan pandangannya terhadap teratak buruk mereka. Atirah pula tidak mampu menangkis serangan adiknya itu, lalu dia segera menyibukkan diri dengan menyenduk nasi ke dalam pinggan adik-adiknya.

“Kau ni, Firdaus! Melampaulah! Cili mulut tu karang, baru tahu,”

Baru kini Angah bersuara. Memang antara mereka berempat, angah lebih suka mendiamkan diri. Selalunya, angah menurut kata dan jarang membantah.

“Apa? Betullah!”

“Rumah hantu pun, rumah engkau jugak!”

“Sudahlah tu, kita makan. Tak baik bertekak depan rezeki...adik, baca doa,”

Arahnya, meleraikan pertengkaran kecil antara Firdaus dan Faizal.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.