Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 18

18

“AKU terima nikah akan Atirah binti Hamidon dengan mas kahwin sebanyak lima ribu ringgit tunai!”

Jawab Badli, sekali lafaz. Usai lafaz akad, kadi membacakan doa.

Ya Allah Ya Tuhan kami, dengan barakah dan inayah daripadaMu, kedua-dua mempelai ini telah selamat diijabkabulkan pada pagi yang berbahagia ini, maka Engkau berkatilah pasangan ini dan Engkau suburkanlah perasaan kasih sayang dan lemah lembut antara mereka berdua. Ya Allah, sesungguhnya pasangan ini telah mengikut sunnah NabiMu Muhammad S.A.W, maka tunjukkanlah kepada mereka jalan ketaqwaan dan petunjukMu. Panjangkanlah umur kedua mempelai ini di dalam kesenangan, kebahagiaan, kegembiraan yang berkekalan dan hati yang lapang.

Ya Allah, Engkau jadikanlah kedua-duanya qanaah yakni merasa cukup dengan apa yang Engkau rezekikan dan sentiasa memelihara rumah tangga mereka. Kurniakanlah mereka kesabaran dan ketenangan di dalam menghadapi segala cubaan hidup berumah tangga yang penuh pancaroba, lebih-lebih lagi di akhir zaman ini. Rezekikanlah kepada mereka zuriat yang soleh dan solehah serta taat kepada kedua ibu bapanya.

Ya Allah, sempurnakanlah nikmat-nikmatMu dan luaskanlah rezeki kedua-dua mempelai ini, peliharakanlah kedua-duanya dari akhlak-akhlak yang buruk hasil bisikan jin dan syaitan yang sentiasa cemburu terhadap anak Adam yang mendirikan rumah tangga.

Ya Allah, limpahkanlah kepada pasangan suami isteri ini cinta yang Engkau jadikan pengikat rindu Rasulullah S.A.W dan Khadijah, yang Engkau jadikan mata air kasih sayang Saidina Ali kw dan Saidatina Fatimah ra, yang engkau jadikan penghias keluarga NabiMu yang suci.

Ya Allah, kami memohon redhaMu, satukanlah keduanya sebagai suami isteri yang saling mencintai di kala dekat, saling menjaga kehormatan di kala jauh, saling menghibur di kala duka, saling mengingatkan di kala bahagia, saling mendoakan dalam kebaikan dan ketaqwaan, saling menyempurnakan dalam beribadat kepadaMu.

Ya Allah, satukanlah keduanya dalam inayah dan barakahMu. Semoga menjadi Nur ibadah yang mendambakan rahmatMu,”

Tidak semena-mena Badli menumpahkan air mata apabila Ustaz Abdul Halim selesai membacakan doa selepas akad nikah bersama terjemahannya. Syahdu, seribu makna yang terkandung di dalam itu mengajaknya menginsafi diri. Bermula detik ini, tanggungjawab sebagai seorang suami tergalas dibahunya.

Badli menoleh ke arah Atirah yang manis dalam busana pengantin berwarna perak. Inilah isteri yang akan dibimbingnya sehingga ke hujung nyawa! Sebuah senyuman dihadiahkan buat Atirah, gadis yang telah bergelar isteri saat sahnya lafaz akad sebentar tadi. Badli berdiri dalam keadaan melutut di hadapan Atirah, kemudian menyentuh ubun-ubun isterinya itu, lembut.

Ya Allah, aku memohon kepadaMu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya dan aku berlindung kepadaMu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya,”

Doa itu dibacanya dalam hati ketika tangannya masih memegang ubun-ubun isterinya. Kemudian, dia mencium dahi isterinya seikhlas hatinya sebelum menyarungkan cincin berlian pada jari manis isterinya.

“Tahniah, Bad!”

Bisik Hakim selesai majlis akad itu. Inilah pertama kali melihat wajah isteri Badli yang menjadi tanda tanyanya buat sekian lama.

“Thank you for coming, Kim!”

* * * * * * * *

“ABANG! Angah!”

Panggil Atirah, kuat ketika melihat kelibat dua beradik itu menghampiri sebuah van yang membawa mereka sebelumnya. Dia meninggalkan majlis lalu mengejar dua beradik itu.

“Abang dengan angah nak ke mana?”

“Balik!”

“Abang dengan angah benci sangat ke dengan along?”

“Abang dah jalankan tanggungjawab abang…Harapnya along tak ganggu kami lepas ni!”

“Duduk dengan along, ya? Kita mulakan hidup baru sama-sama,”

Atirah cuba memujuk buat sekian kalinya. Dia tidak pernah berputus asa walaupun peluangnya tipis untuk merebut kembali kasih adik-adik. Tidak, biar diri sudah bergelar isteri orang.

“Kami tak hairan dengan hidup baru along…Tolonglah jauh dari kami. Apa yang pernah kami harungi sebelum ni belum boleh dilupakan lagi,”

Bidas Firdaus lalu terus menarik tangan Faizal masuk ke dalam van. Izzuddin memandang sikap tiga beradik itu dari jauh sebelum mendekati Atirah yang berdiri di tengah panas kerana mengejar adik-adiknya.

“Hati yang sedang panas belum tentu mudah untuk disejukkan. Apa kata Atirah beri ruang pada adik-adik untuk berfikir dengan lebih mendalam tentang elok tak eloknya perbuatan mereka pada Atirah. InsyaAllah, saya ada membantu mereka. Kalau ada yang perlu disampaikan, InsyaAllah, saya akan sampaikan pada Atirah…Yang penting, tetamu di dalam harus dimuliakan. Itu tuntutan agama!”

“Ustaz tolong saya, ya…Saya bingung bila adik-adik bermasam muka dengan saya. Marah saya tak sudah-sudah sedangkan selama ni mereka begitu dekat dengan saya,”

“InsyaAllah…saya akan bantu setakat yang saya mampu...Kalau Atirah ada kelapangan masa, ajaklah suami datang menjenguk adik-adik…Kalau kena caranya, insyaAllah mudahlah hati yang panas kembali sejuk,”

“Terima kasih, ustaz!”

Izzuddin membalas ucapan salam itu di dalam hati. Dia menyedekahkan sebuah senyuman buat pengantin baru itu sebelum menghidupkan enjin lalu menuju ke destinasi asal mereka.

* * * * * * * *

“TERIMA kasih!”

Ucap Badli seraya memeluk Atirah dari belakang. Sebuah kucupan hinggap di belakang telinga isterinya. Atirah yang kerimasan dipeluk tiba-tiba cuba melepaskan diri dari pelukan suaminya lalu duduk di atas sofa.

“Terima kasih untuk apa?”

“Terima kasih pada Atirah sebab sudi jadi isteri saya,”

“Alah, jadi isteri aje...Bukan apa pun,”

Badli senyap tiba-tiba. Dia cuba menyelami apa yang terkandung di sebalik kata-kata itu. Benarkah Atirah yang menjawabnya, atau ada insan lain di samping mereka berdua malam itu? Mungkin Atirah bukan insan romantis sepertinya lalu dia menarik tangan Atirah sebelum mengucupnya.

“Awak ni kenapa?”

“Kenapa?”

Terkejut dengan soalan yang dilontar Atirah, Badli bertanya kembali.

“Yalah, kenapa? Sekejap cium, sekejap peluk...Tak rimas ke?”

“Rimas? Itu kan salah satu cara suami isteri bercinta,”

“Bercinta? Ee…peliklah bunyinya…suami isteri…bercinta…ish!”

Dengus Atirah, membuatkan Badli tersentap sekali lagi. Adakah umur yang menyebabkan Atirah mengeluarkan komen yang mencarik sedikit perasaannya sebagai suami? Atau Atirah terlupa bahawa kehidupannya kini sudah berubah?

Badli senyum sendirian. Dibuang segala perasaan tidak enak yang baru bertandang itu sejauh-jauhnya. Dia sudah berjanji pada diri untuk berubah, selayak dengan gelaran yang baru disandangnya ketika ini. Entah mengapa, terjemahan doa yang dibaca oleh jurunikah itu melekat kuat di dalam jiwanya, lalu pada hari ini buat pertama kalinya dia berjaya menunaikan sembahyang cukup lima waktu sehari semalam. Indahnya perasaan yang sedang dirasai hanya Allah sahaja yang tahu.

“Atirah tak ingat ni…kita dah kahwin, Atirah. Apa yang salahnya bercinta dengan isteri sendiri? Lagipun kita tak ada kesempatan bercinta sebelum berkahwin dulu, kan?”

“Ya Allah, kami memohon redhaMu, satukanlah keduanya sebagai suami isteri yang saling mencintai di kala dekat, saling menjaga kehormatan di kala jauh, saling menghibur di kala duka, saling mengingatkan di kala bahagia, saling mendoakan dalam kebaikan dan ketaqwaan, saling menyempurnakan dalam beribadat kepadaMu,”

Badli mengingatkan Atirah melalui doa selepas akad nikah siang tadi. Atirah tidak menjawab sebaliknya dia berasa semakin rimas dengan Badli yang langsung tidak mahu berenggang darinya. Dia bangun lalu menuju ke bahagian dapur, meminum segelas air masak untuk melegakan tekak sekurang-kurangnya. Badli dibiarkan bersendirian di ruang tamu.

Selain kekok dengan status baru, dia sebenarnya tidak tahu bagaimana cara hendak melayan Badli dari sisi seorang isteri. Sudahlah mereka jarang berbual sebelum ini, hanya semenjak dia setuju untuk berkahwin sahaja keadaan mula berubah, tapi apabila ia berubah lagi dalam tempoh waktu yang sangat singkat, dia jadi tidak tentu hala, gelisah dan rimas.

“Hai, minum air seorang aje! Tak sudi buat air untuk suami?”

“Air masak aje ni…Takkan tak boleh ambil sendiri? Hilang tangan ke sejak kahwin ni?”

“Ada, tapi nak bermanja dengan isteri!”

“Ee…tolonglah!”

Bentak Atirah lalu meninggalkan Badli sendirian di dapur sekali lagi. Kali ini dia terus masuk ke bilik tidur, menutup suis lampu sebelum mencampakkan dirinya ke atas katil.

* * * * * * * *

ATIRAH membuka matanya perlahan-lahan. Berkali-kali dia mengedipkan matanya, melihat jam di sisi katil. Sudah sampai waktu untuk menunaikan solat subuh. Dia bagun dengan cermat tetapi perutnya terasa berat. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati tangan Badli yang berada di atas perutnya sedang lelaki itu masih lena tidur di sebelahnya. Sejak bila agaknya lelaki itu tidur di sebelahnya? Seingatnya, berkali-kali dia cuba memejamkan mata yang degil malam tadi. Sehingga pukul dua belas malam dia masih belum melelapkan mata, tetapi dia terjaga pagi dalam keadaan yang sangat asing. Teringat kembali detik akad nikah semalam, dia hanya menggeleng. Terlupa bahawa lelaki itu sudah bergelar suaminya. Perlahan-lahan dia mengalihkan tangan lelaki itu.

“Selamat pagi, sayang!”

Atirah berpaling ketika suara yang masih serak itu menyapanya. Tidak sempat menjawab, tangannya ditarik hinggakan dia terjatuh di atas dada Badli. Sebuah kucupan hinggap di pipinya, sebuah lagi dan berkali-kali hingga dia berasa rimas, lalu cuba keluar dari rangkulan erat Badli.

“Lepaslah, saya nak solat ni!”

“Tak mahu lepas!”

“Awak nak tanggung dosa halang saya solat?”

Soalan itu membuatkan Badli melonggarkan rangkulannya lalu Atirah berjaya melepaskan diri sekali lagi. Kaki dan tangan Badli silih berganti menghentak tilam empuk itu sebagai tanda protes sebelum dia sendiri bangun, menunggu giliran untuk mengambil wudhu selepas Atirah.

“Atirah sombong dengan suami sendiri, kenapa?”

“Saya sombong?”

Tanya Atirah sebaik selesai melipat telekung dan sejadah. Kemudian, dia menyangkut kedua-duanya pada rak kayu.

“Mmm, setiap kali didekati, mesti nak mengelak,”

“Mesti ke mendekati dengan cara yang sama setiap kali?”

“Kenapa? Tak boleh ke saya nak mendekati isteri saya dengan cara yang sama setiap kali? Kita dah kahwin, kan?”

“Itu saja alasannya? Sebab kahwin? Habis orang berkahwin ni tak ada tanggungjawab lain ke selain mendekati suami atau suami mendekati isteri?”

Berkerut kening Badli mendengar soalan yang dikira salah satu cara untuk mengelak dari rapat dengannya. Semalam dia masuk ke bilik dengan perasaan yang agak kecewa apabila mendapati Atirah telah tidur. Dia fikir Atirah mungkin masuk ke bilik untuk membersihkan diri tetapi sebaliknya. Kini, bila Atirah membangkit soalan itu, naluri lelakinya seakan dapat menghidu sesuatu. Atirah masih belum bersedia untuk digauli. Tanpa menunggu bicara lanjut dari suaminya, Atirah keluar dari bilik itu sekali lagi. Dia bercadang hendak menyediakan sarapan pagi sebelum perutnya menggelegak kelaparan.

* * * * * * * *

HAKIM menunggu di dalam kereta. Dari jauh dia dapat melihat Badli berjalan menuju ke arahnya. Tidak menunggu pelawaan, Badli sudahpun masuk ke dalam perut keretanya.

“Wah, pengantin baru! Aku suka tengok muka kau. Macam kerang busuk, tersengih-sengih dari jauh. Mentang-mentanglah dalam moodbulan madu!”

“Kenapa terburu-buru nak jumpa aku kat sini?”

“Nah…ni hadiah kau! Aku nak balik ni. Nak ke Johor terus. Kalau tak sebab kau, taklah kelam kabut macam ni,”

Giat Hakim. Badli ketawa sahaja. Kalau boleh dielakkan, dia tidak kisah ditempatkan di Johor tetapi kerana Dina, kerana ayah, dia membuang segala-galanya.

“Thank you, dude!”

You are most welcome.Semalam aku dapat tengok isteri kau buat pertama kali. Patutlah sayang sangat! Cantik!”

“Cantik tak menjamin apa-apa, Kim! Yang penting aku nakkan kebahagiaan...dunia akhirat. Cerita-cerita lama aku dah buang jauh-jauh. Aku nak mulakan hidup baru sama dengan bermulanya status aku sekarang,”

“Baguslah tapi yang aku peliknya macam mana Dina dengan ayah kau sakit hati sangat kau nak kahwin dengan dia?”

“Dina kan! Kalau dia dah tak suka, jangan harap ayah aku nak suka! Eh, dahlah! Malas aku nak ingat cerita lama,”

Balas Badli, pantas. Sebelum cerita itu diungkit lagi, lebih baik dia menamatkannya terlebih dahulu. Hakim ketawa sebelum menghidupkan enjin kereta.

“Aku balik dulu, Bad! Jangan nakal-nakal, ya! Kau tu dah jadi suami orang…Tapi kalau kau masih nak hang out, just call me, anytime, anywhere,

“Ah, tak ada maknanya! Anytime, anywherekonon…yang penting, kalau ada orang cari aku, kata saja aku dah mati!”

“Serius?!”

“Lebih dari serius!”

Sambut Badli sebelum keluar dari kereta Hakim. Rakannya itu hanya ketawa sebelum memecut keretanya, membelah laluan menuju ke arah selatan barangkali. Badli berjalan untuk kembali ke kondominiumnya apabila kereta sahabatnya hilang dari pandangan. Sebuah sampul surat berwarna coklat dibukanya dengan cermat sambil berjalan. Tiket penerbangan beserta penginapan di Pulau Mabul, Sabah.

“Memang kasanova Malaya! Thanks, dude!

Badli pantas menaip mesej ringkas lalu dihantar ke nombor telefon bimbit Hakim. Teringatkan memori bersama Hakim di Pulau Mabul ketika sama-sama belajar dahulu, dia tersenyum senang. Tunggu Mabul!

* * * * * * * *

“LUSA kita berangkat ke Sabah ya, Tirah!”

“Sabah? Tak cukup jauh lagi ke kita sekarang ni?”

Tanya Atirah, tidak senang dengan cerita Badli. Sejak dua tiga minggu kebelakangan ini, hidupnya tidak ubah seperti pelarian, di campak ke sana sini.

“Atirah ni pening agaknya, kita nak berbulan madu…bukan nak berpindah,”

Beritahu Badli, berterus terang. Tangan yang sedang melipat pakaian mati pergerakan tiba-tiba, degup jantung yang mulanya lancar, bergetar dengan lebih pantas. Dia mengangkat wajah lalu menentang pandang Badli.

“Mmm…bulan madu? Tak boleh ke kalau tak pergi?”

“Boleh kalau pilihan tu kita yang buat, tapi tiket ni kawan saya yang hadiahkan. Sekali dengan penginapan! Takkan kita nak buang hadiah yang orang bagi, kan? Lagipun mahal tiket ni,”

Badli yang dapat menghidu perasaan Atirah memberi penjelasan lagi. Sebahagian besar dari dirinya ingin berada di sana bersama isterinya tetapi sebahagian kecil lagi seakan mahu mengalah dengan riak wajah Atirah yang langsung tidak tahu menipu itu.

“Mmm,”

“Kenapa Atirah keberatan bila sebut pasal bulan madu?”

“Keberatan?”

“Mmm…nampak sangat pada muka tu! Apa yang Atirah takutkan? Takut bercampur dengan suami sendiri? Atirah tahu kan Atirah belum tunaikan tanggungjawab batin untuk saya?”

“Err...”

“Nak kata bendera merah, boleh solat lima kali sehari. Apa alasannya, Atirah sayang?”

Tanya Badli, sambil mengangkat dagunya. Atirah memaling mukanya cepat-cepat ke arah lain. Terasa bahang panas membakar seluruh tubuhnya ketika itu.

Dia mahu berkahwin untuk memulakan sisi hidup baru yang bersih dari tohmahan tetapi untuk bersama dengan seorang lelaki yang bergelar suami, seerat-erat hubungan, dia belum bersedia dan tidak mahu memikirkannya buat masa ini. Tambah pula, Badli baru dikenalinya dua hari yang lalu, semenjak mereka bergelar suami isteri. Sebelum ini dia hanya mengenali nama dan rupa lelaki itu sahaja, lantas dia tidak bisa mendekati lelaki itu seperti sepatutnya.

“Ya, apa yang saya tertinggal?”

“Bad, saya…”

“Saya?”

“Saya belum bersedia,”

“Belum bersedia? Atirah dah bersetuju untuk berkahwin, maksudnya Atirah dah bersedia untuk menerima dan memberi segala-galanya. Tiada yang tidak untuk suami selagi ia tak membelakangkan agama, kan? Tambah pula kalau suami meminta haknya, Atirah tak patut menolak, kan?”

“Bad, saya baru kenal awak dua tiga hari ni…bagilah saya peluang mengenali awak dengan lebih dekat dulu. Banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya sejak akhir-akhir ni…Bukan mudah saya nak lupakan semua, apatah lagi nak bergembira,”

Badli menghela nafas panjang. Teringat akan zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu. Mungkin itu hukuman buatnya atas dosa-dosa yang lalu hinggakan isteri yang sah dinikahi tidak sudi digauli. Apakah dia harus menunggu atau menggunakan sepenuhnya kuasa sebagai seorang suami? Adakah jika dia bersabar sedikit, akhirnya hati Atirah akan menjadi lembut nanti? Atau Atirah sebenarnya tiada perasaan terhadapnya tetapi menerimanya sebagai suami kerana keadaan memaksa?

“Okay,”

Dia membalas sepatah, lalu bangun meninggalkan Atirah bersendirian di kamar peraduan mereka. Sesungguhnya, hati kecilnya mengharapkan kebahagiaan berpanjangan dengan Atirah walaupun Atirah kerap benar mengecewakannya sejak pernikahan mereka dua hari yang lepas.

“Expect the unexpected!”

Luahnya perlahan sebelum menuju ke balkoni luar lalu membuang segala rasa kecewa yang menyesakkan dadanya di situ.

* * * * * * * *

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.