Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 10

10

ATIRAH hanya melihat dari jauh. Sejak kembalinya Hajah Asmah ke rahmatullah maghrib tadi, tidak habis-habis dia dimaki hamun oleh ahli keluarga Hajah Asmah. Maki hamun itu belum lagi datang dari penduduk kampung Sri Tanjung. Ketika mereka semua berkumpul di dalam rumah untuk bacaan tahlil, dia hanya mengikuti bacaan itu dari bawah pokok rambutan. Air matanya sudah lama kering, bertahun dahulu air matanya telah mati untuk cacian dan maki hamun penduduk kampung itu.

“Apa kau buat kat sini perempuan sial?Jangan-jangan kau yang racun Hajah sampai mati!”

“Mati sesuai untuk orang yang berperut boroi dan tak berperikemanusiaan macam Pak Samad, untuk orang yang mulia macam Hajah Asmah, saya doakan dia ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.”

“Celaka budak ni, memang anak kalau tak beribu ayah...buruk benar perangainya,”

“Insaflah Pak Samad, di atas sana ada jenazah yang menunggu masa untuk dikebumikan, Pak Samad tak ambil iktibar ke, sekurang-kurangnya bersedekah doa pada yang sudah pergi? Atau mungkin Pak Samad tak kisah dimaki hamun juga pada hari Pak Samad menjadi jenazah nanti,”

Lancar dia membalas serangan mulut orang tua berhati busuk seperti Pak Samad itu. Biar tiada sekuman perkara pun yang menjadi pokoknya, Pak Samad akan tetap mencari pasal dengannya setiap kali bersua muka.

“Budak bodoh nak berkhutbah...kau ingat aku seram dengan kata-kata kau? Cari adik-adik kau dulu. Jangan sampai kau menangis air mata darah...menyesal sebab berlagak pandai dengan aku,”

“Cari adik-adik? Sedang elok...kalau terjadi sesuatu pada adik-adik saya, Pak Samad orang pertama yang saya cari!”

Garang dia memberi peringatan. Atirah bergegas meninggalkan rumah Hajah Asmah. Amaran Pak Samad membuatkan kerisauannya pada adik-adik yang masih belum menampakkan wajah menjelma semula. Walaupun dia ingin menatap wajah Hajah Asmah yang banyak berjasa kepada keluarganya buat kali terakhir, terpaksa dipendam juga keinginan itu apabila penduduk Sri Tanjung mula berkumpul di situ.

* * * * * * *

ATIRAH menunggu di dalam kegelapan dengan perasaan gundah-gulana. Ke mana adik-adiknya pergi? Walaupun malam sudah menginjak ke pagi, berdikit-dikit hari berganti, kelibat adik-adiknya masih belum kelihatan lagi. Sudah puas dicari sekeliling kampung, namun yang dicari itu tiada juga kelibatnya. Hairan kerana tidak pernah begitu jadinya. Marahlah bergantang-gantang kepada Faizal dan Firdaus, akhirnya si adik yang memohon maaf, namun untuk pergi tidak kembali tidak pernah lagi mencatat sejarah buatnya.

Perasaan sedih kerana ditinggalkan oleh arwah masih belum hilang malah berganda pula dengan ‘kehilangan’adik-adiknya. Sudahlah tidak dapat menatap wajah arwah buat kali terakhir, wajah adik-adik pengubat hati juga tiba-tiba hilang dari pandangan.

“Assalammualaikum,”

Seakan terdengar sayup satu suara memberi salam, Atirah mengerutkan keningnya. Mustahil ada yang mencari keluarganya pada hening pagi itu.

“Assalammualaikum,”

Sekali lagi sapaan itu mengusik gegendang telinganya, malah kali ini ia diikuti dengan bunyi ketukan pada daun pintu. Bingkas, dia segera bangun lalu menuju ke arah pintu. Antara yakin dan keliru, dia membuka juga daun pintu itu.

“Umi!”

Dia hampir menjerit apabila melihat wajah Hajah Fatimah berada di anak tangga yang paling atas. Walaupun hati meronta ingin melakukannya, namun, seakan mengerti akan perasaannya, umi segera memeluknya erat-erat.

“Entah kenapa umi rasa resah, bimbang, gusar. Agaknya Atirah perlukan umi...Sebab tu umi rasa serba tak kena. Bila umi ke rumah Hajah Asmah, baru umi tahu apa yang berlaku sebenarnya,”

* * * * * * * *

“BAD tak percaya umi sanggup susahkan diri umi semata-mata kerana seorang gadis yang tak ada kaitan dengan darah daging umi..Bad rasa dengan Bad dan adik-adik pun umi tak begini,”

Tegur Badli yang hanya mengikuti perjalanan malam semalam dengan beribu soalan yang sangat sarat di dalam kepalanya. Atirah sudah tertidur agaknya. Sejak sejam yang lalu, Hajah Fatimah tidak henti-henti mengelus lembut rambut gadis yang bernama Atirah itu. Hajah Fatimah tidak segera menjawab, menoleh pun tidak pada anak teruna yang telah dikerah untuk membawanya ke sini dengan tiba-tiba. Bukan hanya Badli, dia sendiri tidak mengerti akan perasaan keibuannya pada Atirah. Mengapa Atirah juga masih belum ditemui jawapannya sehingga kini.

“Jujur Bad...umi sendiri tak mengerti kenapa begitu besarnya rasa kasih umi pada Atirah...Mungkin Allah ‘menggerakkan’ hati umi untuk menjaga anak yang penuh dengan kesulitan ini. Kalau kita tak ke sini, Atirah bagaimana, Bad? Boleh Bad bayangkan apa akan jadi kalau Bad berada di tempat Atirah?”

Soal Hajah Fatimah pula kepada anaknya. Badli hanya bersandar pada dinding usang rumah itu. Tidak terjawab pula dia dengan soalan umi. Sebenarnya dia tidak pernah membayangkan langsung berada di tempat gadis itu. Kehidupannya sangat selesa sejak kecil. Bayangan yang umi soalkan padanya itu tidak pernah langsung terlintas di layar mindanya. Akhirnya dia hanya menjungkit bahu, memerhati gadis itu dari hujung kepala hingga ke hujung kaki.

“Bad membandingkan kasih sayang yang umi bagi pada Bad dan adik-adik tapi Bad sedar tak umi sendiri tak pernah berasa disayangi dan dihargai oleh anak-anak umi sendiri,”

“Sampai umi rasa lebih baik umi hidup di rumah usang ini dengan anak-anak yang tidak terbela daripada umi hidup dalam rumah agam, tanpa kasih dari suami dan anak-anak,”

Tajam, menghiris kata-kata umi buatnya. Pantas dia menundukkan muka, tidak tahu apa yang patut disua buat penyejuk hati umi. Sejenak dia membayangkan wajah ahli keluarganya seorang demi seorang.

Umi, seorang wanita penenang hati, memberi sepenuh kasih sayang buat mereka sekeluarga. Tidak pernah sekali pun dia melihat umi dengan wajah masam mencuka. Ayah, baginya, ayah di rumah dan ayah di pejabat tidak ada sekuman beza pun, seorang ketua yang sangat tegas, tidak pernah memberi muka kepada sesiapapun untuk menentangnya melainkan Dina seorang. Dina bisa mencairkan marah ayah. Kerana Dina juga ayah mampu melakukan segala-galanya. Rasanya, tidak pernah pun dia melihat ayah menghormati dan menghargai umi sebagai insan yang sentiasa berada di sampingnya. Err, betulkah? Azlan, adiknya itu sangat susah untuk diduga. Jarak umur antara mereka hanya setahun tetapi mereka tidak rapat walaupun jarang berselisih pendapat. Baginya, antara mereka bertiga, Azlan sangat menghormati dan menyayangi umi. Dia keluar dari rumah pun kerana marahkan ayah yang menangkan Dina walaupun Dina biadap dengan umi. Dia pula? Ah, dunianya hanya inginkan hiburan dan wanita. Selain dari itu, tiada apa lagi yang difikirkan olehnya. Dia tidak pernah terbeban dengan sebarang persoalan atau kesulitan. Semua yang dimahukan sudah berada dalam genggamannya. Sebab itu soalan umi tidak dapat dijawabnya kerana tiada sekelumit rasa untuk memikirkannya.

* * * * * * * *

“UMI rasa lebih baik kita buat laporan polis...dah lebih 24 jam ni adik-adik belum balik,”

Atirah hanya mendiamkan diri. Terasa berat sungguh masalah yang sedang dihadapinya ketika itu. Bersama umi dan Badli, sudah beberapa kali mereka mengelilingi kampung dan kawasan pekan Sri Tanjung namun kelibat adik-adiknya yang berdua itu cukup sukar untuk dicari.

“Tirah dengarlah nasihat umi tu...kita tak cukup tenaga nak mencari adik-adik Tirah...kita serahkan pada polis pasal adik-adik Tirah dan dalam masa yang sama kita cari mereka juga,”

Badli mencelah apabila dia melihat wajah yang suram itu masih menyepi. Entah mengapa dia sanggup pula menemani umi sehari dua ini sedangkan bukan sikapnya membantu orang yang tidak dikenali, malah jika dikenali sekalipun, belum tentu dia akan membantu.

“Atirah, dengar kata umi ye...kita buat laporan polis?”

Akhirnya dia hanya mengangguk. Mungkin itu yang terbaik buat dirinya kerana selain ingin menyelesaikan masalah itu, dia tidak mahu lagi menyusahkan keluarga umi yang sangat banyak membantu dirinya dan adik-adik selama ini.

* * * * * * * *

BADLI hanya memandang telefon bimbit yang tak berhenti menyanyi sejak setengah jam yang lalu. Nama Nadia tertera pada skrin telefonnya. Mungkin mahu mendapat kepastian mengenai percutian mereka di Tioman esok. Lama telefon itu berdering dan akhirnya, ia mati sendiri. Tidak lama, ia berbunyi kembali.

“Hello Nad, Idalam meeting ni,”

I don’t think we can make it this week lah honey, I busy…tapi kalau you boleh bersabar...I will make sure kita ke Phuket nanti. You can keep my words, honey....Betul...Okay, bye for now,

“Tak percaya aku,”

‘Tak percaya apa?”

“Kau sanggup cancel honeymoon minggu ni...rezeki tu!”

“Entahlah Hakim…mungkin umi lebih perlukan aku sekarang ni,”

“Atau ada sesuatu yang aku tak tahu,”

“Ha-ha…aku tak ada mood nak melayan gedik perempuan minggu ni,”

Jelas Badli, malas. Dia mengambil briefcase lalu keluar meninggalkan Hakim bersendirian di situ.

“Oi, malam ni?”

“Malam ni cancel!”

Ketika dia melangkah beberapa tapak keluar dari ruangan biliknya, terdengar suara ayah memanggilnya.

“Kau nak ke mana, Bad?”

“Nak balik rumah, rasa macam tak sihat aje,”

“Emm, sebelum tu ayah nak jumpa kau kejap,”

Badli terus mengikut langkah ayahnya tanpa sebarang suara. Selepas seminggu berada di Itali, itulah hari pertama mereka bersua. Bukan di rumah tetapi di pejabat. Ruangan pejabat yang besar itu cukup selesa buat seorang pemilik syarikat seperti ayahnya. Walaupun tidak bergelar datuk, tetapi itu bukan masalah untuk ayah melebarkan empayar perniagaannya.

“Kau ke mana dengan umi dua tiga hari lepas?”

“Cerita yang panjang ayah…Bad pendekkan, kami pergi menolong orang yang memerlukan pertolongan,”

“Sejak bila kau ambil kisah pasal orang lain ni, Bad?”

“Sejak bila? Teruk sangat ke Bad ni, ayah? Bad mungkin tak peduli pasal orang lain, tapi umi tu satu-satunya ibu Bad, ayah!”

Balasnya, cuba memberitahu kebenaran. Walaupun dia tidak berminat untuk menilai sejauh mana ketegangan secara senyap antara umi dan ayah tetapi sebagai seorang anak, dia dapat merasakannya. Mungkin dia bukan anak yang terbaik untuk bercerita mengenai hal itu tetapi sesekali dia terpanggil juga untuk membuka cerita itu.

“Bad tak tahu apa pendapat ayah mengenai umi, kerana sebagai anak, Bad tak layak menilainya…Cuma Bad harap ayah lebih percayakan dan hargai umi lebih dari orang lain,”

“Kau tak perlu ajar ayah, Bad! Kau mentah lagi, tak tahu apa-apa mengenai perkahwinan…Kau tak tahu lagi mengenai tanggungjawab sebagai ketua keluarga,”

“Ayah tak salah sikit pun pasal Bad, that’s why I’m talking about my responsibility as a son toumi…Bad mungkin tak layak bercerita perihal perkahwinan tapi Bad tau apa yang Bad perlu buat sebagai anak,”

“Kalau ayah tak ada apa-apa nak dibincangkan lagi dengan Bad, Bad nak minta izin balik awal hari ni, ayah,”

Badli terus bangun tanpa menunggu reaksi dari ayah. Jarang sebenarnya mereka berdua berkomunikasi secara berdua selama tiga puluh tahun ini. Ayah tidak pernah peduli akan semua perkara yang dilakukannya, melainkan jika perkara itu bersangkut dengan Dina atau perkara itu berkait dengan perihal syarikat.

Perbualan antara anak dan ayah tidak pernah berlaku dalam hidupnya. Semenjak kecil, dia tidak pernah meminta dari ayah. Apa yang dimahukannya hanya diutarakan kepada umi jika dia tidak mampu melakukannya sendirian. Umi yang sering menjadi orang tengah. Sebab itu dia tidak pandai hendak berhadapan dengan ayah. Bagaimana sepatutnya seorang anak berbahasa dengan ayahnya, bagaimana dia patut berbicara dengan ayah, bagaimana dia hendak mengajak ayah makan, semua itu dia tidak tahu melakukannya.

* * * * * * * *

TANPA diduga dia sudah berada di hadapan rumah usang itu. Tiada paksaan atau dorongan dari sesiapa, keretanya sudah berhenti di hadapan rumah itu dan dia hanya sedar mengenai keberadaanya di situ apabila dia melihat seorang gadis sedang duduk di atas pangkin. Seingatnya, dia mahu pulang ke rumah awal kerana merasakan dirinya berserabut tetapi antara sedar dan tidak dia berada jauh dari rumah agamnya. Mungkin dua tiga hari berulang alik ke rumah Atirah menyebabkan dia tiba-tiba berada di situ.

“Atirah, err hai,”

“Awak buat apa kat sini?”

“Emm…umi minta saya tengokkan Tirah,”

“Saya baik lagi, masih hidup dan masih boleh meneruskan hidup. Jangan susahkan diri awak untuk orang seperti saya,”

Pantas dia membalas. Musibah yang menimpanya seakan menarik simpati orang lain sedangkan dia tidak mahukannya. Tidak mahu menagih simpati orang.

“Atirah tak perlu risau, saya tak berasa susah hanya untuk melihat keadaan Tirah. Atirah masih hidup dan masih boleh meneruskan hidup…Saya rasa umi mesti gembira mendengarnya,”

“Saya sangat berterima kasih pada umi dan awak juga sebab banyak memberi bantuan kepada saya, tapi saya dah tak berupaya menerima sebarang bantuan lagi,”

“Oh, iya? Kalau begitu saya perlukan bantuan Atirah…perut saya laparlah…Dari pagi belum sempat menjamah makanan…Boleh saya menumpang makan?”

Atirah hanya memandang wajah selamba itu. Tidak tahu apa yang patut dibalasnya. Sebenarnya dia ingin sekali melihat wajah itu beredar dari rumahnya tetapi untuk menghalau dia tidak sanggup. Kini Badli sekan mahu mengujinya sekali lagi. Jangankan nasi, air pun masih belum dijamahnya hari itu.

“Kenapa Tirah?”

“Boleh menunggu? Sanggup makan nasi dengan garam?”

“Belum pernah rasa lagi…macam menarik, kan? Boleh cuba tu,”

Atirah menarik nafas panjang. Dia menolak secara halus pun masih belum dapat dikesan oleh Badli. Agaknya pemuda bandar memang begitu, cakap mesti jelas. Akhirnya dia melepaskan nafas sepanjangnya, meninggalkan Badli untuk melihat apa yang boleh disediakan buat anak sulung Hajah Fatimah itu. Sesudah menanak nasi, dia menuju ke sungai di belakang rumah. Walaupun tidak sekerap adik-adiknya menangkap ikan tetapi dia tahu di kawasan mana ikan banyak berkumpul. Agaknya bagaimanalah keadaan adiknya yang berdua itu. Sihat atau sakit? Susah atau senang?

“Pandai ke tangkap ikan, Tirah?”

“Nak hidup…tak perlu pandai…tapi perlu ada usaha,”

Badli menyambut jawapannya dengan ketawa yang meletus kecil. Dia duduk di sisi Atirah dengan hanya bersila di atas tebing sungai itu. Baju kemeja yang masih kemas ketika tiba di rumah gadis itu sudah bertukar rupa. Dilipat lengan baju sependek-pendeknya, malah baju kemeja yang kemas di dalam seluar ditariknya keluar. Tali leher sudah dicampaknya di atas pangkin sebentar tadi, malah dua butang baju yang paling atas pun sudah dibukanya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja ditanggalkan kemejanya tetapi ada rasa segan yang bertandang, tambah pula dia berada di kawasan kampung yang rata-rata pemikiran penduduknya masih bersih dan suci.

“Kenapa Atirah sentiasa sinis dengan saya?”

“Bukan dengan awak seorang tetapi dengan sesiapa sahaja…”

“Kenapa?”

Atirah tidak menjawab. Bubu yang diletakkan di celah dahan tumbang itu seakan menunjukkan hasilnya lalu dia menarik bubu itu ke atas.

“Pernah makan ikan puyu?”

Tanya Atirah sambil mengeluarkan dua ekor ikan yang berjaya ditahannya hari itu. Badli menggelengkan kepalanya sambil ketawa. Seperti baru memulakan hidup baru, segala yang dilakukannya pada hari itu baru malah tidak pernah langsung dilakukannya sebelum itu. Bagaimana dia terdorong melakukan semua itu pun masih belum ditemui jawapannya.

* * * * * * * *

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.