FIZIK DAN MATEMATIK
Universiti Eurasia Kampus Nusantara
"Dari mana datangnya semua teorem Matematik tu? Dicipta atau ditemui? Being invented or being discovered? Hukum Gerakan Newton ditemui Isaac Newton. Mentol pula dicipta Thomas Edison. Nampak perbezaannya?"
Kelihatan seorang gadis berkata seorang diri di sebuah bangku yang disediakan di sebuah taman mini. Matanya kelihatan sedang menatap pohon rendang di hadapannya, tetapi mindanya sudah menerawang ke tempat lain.
Beberapa pelajar yang lalu-lalang berhampiran kelihatan berbisik-bisik sesama mereka tatkala ternampak kelibat gadis itu. Bagi mereka, hanya orang gila sahaja yang suka bercakap seorang diri. Bukan apa, gadis itu langsung tiada teman bicara. Tiada siapa yang sudi berkawan dengannya, lantaran keanehannya.
Di tangan gadis itu terdapat sebuah buku nota yang dibawanya ke mana-mana. Setiap hari, dia akan duduk di mana-mana sudut sambil memerhatikan keindahan lukisan alam. Tangannya pula ralit menari di atas halaman buku nota yang masih kosong. Mencorakkan sesuatu pada halaman kosong itu. Dia ingin merakamkan keindahan alam di dalam buku notanya.
Akan tetapi, bukan lukisan yang dipilih sebagai medium terjemahannya. Cara dia menterjemahkan lukisan alam luar biasa sekali. Pasti orang akan berasa pelik lagi hairan tatkala melihat isi kandungan buku nota miliknya.
"Alisya!" Kedengaran suara seorang perempuan memanggil nama gadis itu.
Gadis yang dipanggil Alisya itu tidak menoleh. Dia terus tekun dengan aktivitinya.
"Alisya Maryana!" Orang yang memanggil itu menguatkan lagi suaranya. Nadanya kedengaran seperti dia sudah hilang kesabaran dengan Alisya.
Pantas Alisya menoleh ke arah punca suara. Kelihatan seorang pelajar perempuan sedang melambai dari jauh. Namanya Auni Mulyana, rakan sebiliknya merangkap kakaknya sendiri. Alisya tidak membalas lambaian itu, sebaliknya hanya melontarkan renungan kosong.
Melihatkan Alisya yang seperti tiada respons terhadap panggilannya, Auni mendengus geram. Lantas dia berjalan ke arah Alisya yang masih duduk di bangku.
"Alisya, kau taknak balik ke? Dah lewat petang ni!" leter Auni kepada Alisya sambil bercekak pinggang.
Alisya masih dengan renungan kosongnya. Dia kelihatan langsung tidak terkesan dengan bebelan kakaknya itu.
"Dahlah, jom kita balik!" Tanpa amaran, gadis yang berleter tadi menarik tangan Alisya.
Akibat tidak bersedia, buku nota dan pen yang berada di tangannya terlepas lalu jatuh ke tanah. Tubuh Alisya pula terdorong sedikit ke hadapan dek ditarik dengan kasar. Hampir sahaja dia tersungkur ke tanah.
Menyedari buku nota kesayangannya terjatuh, Alisya memberontak tidak mahu mengikut langkah Auni yang kelihatan memaksa.
Auni terus menoleh lalu mengherdik dengan wajah bengisnya, "Dahlah! Apa lagi yang kau nak buat kat sini!"
Tangan Alisya yang kurus menyebabkan dengan mudahnya dia meloloskan tangannya daripada terus dicengkam gadis berwajah bengis itu. Pergelangan tangannya kelihatan sedikit merah akibat dicengkam terlalu kuat.
Terkocoh-kocoh Alisya mengutip semula buku nota dan pen yang tergeletak di atas tanah. Buku nota dan pen itu dimasukkan semula ke dalam beg tote yang berada di atas bangku. Auni pula hanya bercekak pinggang menunggu Alisya mengemaskan barangnya.
"Apa benda yang kau sayang sangat kat buku nota sampah kau tu!" herdik Auni lagi.
Alisya tidak membalas herdikan kakaknya. Dia terus berjalan menghampiri Auni lalu menghulurkan tangannya untuk dipimpin. Auni terus menarik tangan Alisya dengan kasar sekali. Alisya pula kelihatan rela sahaja diperlakukan begitu.
Sepanjang perjalanan pulang ke bilik mereka berdua, pelajar-pelajar lain hanya memerhatikan gelagat dua orang gadis itu. Mereka seperti kasihan melihat Alisya diperlakukan sebegitu, tetapi mereka tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Bagi mereka, usahlah menjaga tepi kain orang lain.
'Hisy, menyusahkan betullah dia ni! Kalau tak kerana papa amanahkan aku untuk jaga budak ni, takdanya aku ingin nak jaga perempuan sakit mental ni. Banyak lagi benda lain aku nak buat kat sini. Daripada buang masa jaga budak ni, baik aku pergi mengurat abang-abang handsome di sini lagi bagus,' rungut Auni di dalam hati.
Alisya Maryana dan Auni Mulyana, kedua-duanya merupakan anak gadis kepada pasangan Datuk Iskandar dan Datin Suryati.
Disebabkan kepintaran yang dianugerahkan kepada Alisya, dia ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Eurasia Kampus Nusantara. Dia hanya dihantar untuk belajar di universiti itu untuk menjaga Alisya. Dek kekayaan yang dimiliki Datuk Iskandar, mudah sahaja untuk dia menampung kos pengajian dan perbelanjaan Auni. Alisya pula dianugerahkan biasiswa khas oleh pihak universiti kerana kepintaran yang dimiliki olehnya.
Walaupun sebelum ini mereka berdua bersekolah di sekolah yang sama, prestasi Alisya lebih menyerlah daripada kakaknya. Auni pula tidak mampu menyaingi Alisya walaupun mereka berdua adik-beradik. Akibatnya, dia seringkali dibandingkan dengan adiknya sendiri.
Kebijaksanaan luar biasa yang dimiliki Alisya menyebabkan Auni dianggap tidak wujud dalam keluarganya. Auni hanya dianggap wujud dalam keluarganya sebagai pengasuh kepada Alisya.
Disebabkan gadis itu unik dan tidak seperti manusia lain, Alisya perlukan perhatian. Dia tidak pandai menguruskan dirinya sendiri. Dia seringkali hanyut dalam dunianya sendiri. Apa yang dia tahu cumalah Matematik. Tidak lebih daripada itu. Keadaan ini menyebabkan Auni dipaksa untuk menjadi pengasuh kepada adiknya sendiri. Menguruskan segala keperluan harian gadis itu.
***
Ilham terduduk dalam keadaan matanya masih terbuntang luas. Mindanya masih memikirkan tentang apa yang baru dilafazkannya beberapa minit lalu. Buku yang terlepas daripada tangannya tadi terbentang di hadapan. Ilham membongkok sedikit untuk menatap buku itu. Sekali lagi persamaan Matematik yang penuh dengan simbol dan huruf itu ditatap lama-lama.
'Persamaan tu! Matematik! Ya, Matematik. Gunakan persamaan Matematik untuk buktikan teori-teori dalam Fizik. Setiap dakwaan baru dalam Sains mesti dibuktikan melalui kaedah saintifik, sama ada melalui eksperimen atau kerja lapangan. Tapi, in certain case, mustahil eksperimen untuk dilakukan. Jadi, penggantinya adalah persamaan Matematik.'
Ilham menjadi bersemangat secara tiba-tiba dengan jawapan yang baru diperolehinya ini. Imej seorang ahli fizik menulis di papan hitam yang penuh dengan formula dan persamaan terbayang di ruangan mata.
Sejak kecil lagi, dia seringkali melihat di dalam rancangan dokumentari, di mana seorang ahli fizik sedang menerbitkan persamaan di papan hitam. Dia sendiri tertanya-tanya, 'Untuk apa mereka lakukan itu semua?'
'Apa pula kaitan semua tu dengan teori Fizik yang diterangkan dalam rancangan ni?' tanya Ilham sendiri ketika dia masih kanak-kanak.
Akan tetapi, itu dahulu. Kini, dia menimbulkan persoalan baru, 'Bagaimana nak kaitkan teori yang aku ingin usulkan dengan persamaan Matematik? Bagaimana aku nak buktikannya?'
Ilham buntu. Mindanya terasa kosong. Tidak dapat menjana jawapan untuk soalannya tadi. Jauh di sudut hatinya, dia teringin benar menjadi seperti mereka. Menerbitkan segala persamaan dengan lancar, sambil otak ligat mengaitkan dengan teori yang berlegar di ruangan minda. Kemudian, teori itu disampaikan kepada komuniti saintifik, dan dibuktikan dengan persamaan Matematik.
Pada ketika ini, dia sudah mula membayangkan dirinya berada di hadapan kelas, menghadap rakan-rakan sekuliah yang lain. Menerbitkan sebuah formula, menyelesaikan permasalahan dalam Fizik dan membuktikan sebuah teori melalui persamaan Matematik.
Dia juga turut membayangkan dirinya sedang gah berdiri di hadapan pentas. Mengusulkan sebuah teori baru, dengan menerbitkan beberapa buah persamaan Matematik di papan hitam sebagai buktinya. Dengan disaksikan para saintis yang lain.
Imej itu satu-persatu bermain di layar mindanya. Bayangan masa hadapan dan cita-citanya. Dia ingin menjadikannya sebagai pembakar semangat. Ilham tersenyum sendiri membayangkan itu semua akan berlaku ke atas dirinya.
'Tapi ... dari mana aku nak mulakan dulu ya?' soal Ilham sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Tawaran yang diceritakan Prof. Zahran juga tidak boleh Ilham lupakan. Sedikit sebanyak hatinya berasa tercabar dengan soalan yang diajukan kepadanya di kelas tadi. Maruahnya rasa tercalar sedikit sebanyak. Kalau boleh, dia ingin membuktikan kepada pensyarah itu dia bukan seteruk seperti yang disangka.
Ilham memandang semula ke arah persamaan Matematik yang terpamer pada buku di hadapannya. Bibirnya mengukir senyuman.
'Mungkin, kalau aku sekurang-kurangnya boleh buktikan semua equation dan formula ni, aku boleh buktikan semula kepada Prof. Zahran. Dan dapatkan semula momentum belajar aku,' desis Ilham di dalam hati.
Ilham mengambil buku yang terjatuh tadi lalu diletakkan semula di atas meja. Kerusi ditarik lalu dilabuhkan punggung di atas kerusi tersebut. Sebatang pen diambil bersama beberapa helai kertas yang berada di dalam laci meja belajarnya. Di atas kertas itulah dia akan mencatatkan apa yang patut dan juga menerbitkan beberapa buah persamaan.
Kebanyakan halaman dalam buku-bukunya sudah penuh dengan contengan. Sehinggakan tiada ruang lagi untuk dia menambah contengan yang baru. Itu memang sudah menjadi tabiatnya sejak dahulu lagi, sejak di bangku sekolah.
Dia masih ingat lagi, dia pernah dimarahi Dr. Luqman kerana suka menconteng bukunya sendiri. Pensyarah itu amat tidak menggemari sekiranya ada para pelajarnya yang tidak sayang akan bukunya sendiri. Bagi Dr. Luqman, buku itu sumber ilmu, sepatutnya disayangi dan dipeliharan dengan baik. Tidak sepatutnya diconteng sesuka hati, kerana perbuatan itu ibarat tuannya sendiri tidak menyayangi buku itu.
Bagi Ilham pula, tiada salahnya jika dia berbuat begitu. Dia perlu menunjukkan bukti kepada semua orang bahawa dia amat rajin mengulangkaji pelajaran. Contengan di hampir setiap halaman itu adalah buktinya.
***
Sebatang pen sedang menari dengan ligat di atas sehelai kertas putih. Mencorakkan simbol-simbol Matematik yang penuh makna tersurat dan tersirat. Simbol-simbol yang bergabung membentuk sebuah persamaan. Persamaan demi persamaan yang diterbitkan menjurus kepada sebuah jawapan. Sebuah pembuktian. Sebuah formula yang penuh dengan makna tersurat serta tersirat.
Kali ini, Ilham sedang cuba menerbitkan Persamaan Schrödinger. Sebuah persamaan yang menerangkan keadaan kuantum sebuah sistem di mana kedualan gelombang-partikel adalah signifikan.
Setelah puas menulis dan menulis dan menulis, akhirnya Ilham meletakkan pennya semula di atas meja. Persamaan yang berjaya diterbitkannya itu ditatap. Dia berasa berpuas hati dengan hasilnya. Sekarang, dia harus mencari makna tersurat dan tersirat di sebalik persamaan tersebut. Dia juga cuba mengaitkan persamaan itu dengan konsep Fizik yang pernah dipelajarinya.
'Hamiltonian Operator ni menunjukkan jumlah tenaga sistem. Tenaga tu jumlah tenaga potential dan tenaga kinetik. Tenaga tu maksudnya melibatkan pergerakan sistem tu sendiri bersamaan dengan perubahan wave function ni terhadap masa. Sebabnya ada partial derivative with respect to time di sini.'
Ilham meletakkan hujung jari telunjuknya di hujung persamaan itu.
'Jadi, maksudnya, persamaan ni nak tunjukkan pergerakan partikel dalam sebuah sistem, yang mana mematuhi wave-particle duality. Sebab tulah ada wave function kat sini, kan?'
Kali ini, Ilham kelihatan lebih tenang daripada kebiasaan. Hatinya berasa lega kerana otaknya mampu menghadam maklumat yang diterima. Mindanya mampu mencari dan memahami makna tersirat di sebalik persamaan itu. Otaknya terasa ringan sedikit daripada sebelum ini.
Mungkin, ini adalah kali pertama Ilham merasakan ilmu mengalir di dalam mindanya seperti sungai. Mungkin juga sebelum ini dia pernah mengalaminya. Walau bagaimanapun, Ilham sudah tidak ingat kali terakhir dia menikmati saat-saat manis ketika menuntut ilmu.
'Lega,' luah Ilham di dalam hati.
'Kalaulah aku selalu macam ni. Ilmu senang je masuk. Kepala pun tak rasa berat. Entah apa masalah aku ni, tiba-tiba jadi macam ni. Tapi ... mungkinkah sebab....' Ilham berasa tidak sanggup lagi untuk meneruskan kata-katanya.
Sekali lagi minda Ilham mula menjana teori pelik. Dia menyedari ada sesuatu yang aneh dengan cara otaknya berkerja.
'Pasal Quantum Mechanics, pasal Relativiti, senang pula aku nak faham. Senang je aku nak terima. Tiba-tiba pasal benda-benda basic macam Hukum Newton, Principle of Conservation of Energy, kinematic equation, Coulomb's Law tu semua, susah pula otak aku nak terima.'
Ilham menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia mula berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya selama ini.
'Senang cerita macam ni. Otak aku lebih mudah menerima Fizik Moden daripada Fizik Klasik. Orang selalu cakap, yang Fizik Moden tu lagi susah, betul tak? Tapi dalam kes aku ni terbalik.' Hatinya mula berbicara menzahirkan apa yang pelik dengan cara otaknya berfikir.
'Lagipun, konsep dalam Fizik Moden cuma general case kepada konsep-konsep dalam Fizik Klasik. Contohnya, Special Theory of Relativity ialah general case kepada Hukum Gerakan Newton. Betul tak? General case tu memang lebih susah, tapi bagi orang lainlah.'
Jeda. Ilham sudah tidak tahu apa yang harus difikirkannya lagi pada saat ini.
'Bagaimana aku boleh jadi macam ni ha?' soal Ilham. Setakat ini, tiada sesiapa pun yang mampu menjawab soalannya itu.